Bismillahirrahmanirrahim. Jujur kunyatakan di sini penulisanku ini gara-gara terpengaruh dengan sebuah penulisan tentang kematian yang difikirkannya indah.
Entahlah.. Bermula Januari 2022, mak terhilangkan rantai tangan emas hadiah hari lahir yang hujung-hujung usia ni je terfikir untuk aku bagi.
Mak sangka telah tercicir di belakang rumah. Mak cari rantai tangan tu sampai mak tergelincir. Akibatnya kaki mak terseliuh.
Padaku dah nak hilang, nak buat macam mana? Jika masih ada rezeki jumpalah balik.
Tetapi rasa bersalah mak macamlah mahal sangat rantai tangan tu.
Rupanya rantai tangan tu tercicir atas tilam tempat tidur mak. Itupun seorang anak buahku buat cerita kelakar.
“Tok jumpa lipan atas katil dan mencampakkannya terus ke dalam tong sampah. Lipan boleh bunyi ‘ting’ tercampak dalam tong sampah.” Sambil menghantar gambar rantai tangan yang disangka lipan ke dalam wasap group family kami.
Alahai mak, mak. Mak gembira, rantai tangannya dijumpai semula.
April 2022, kami dikejutkan dengan berita mak dimasukkan ke hospital. Mak meronta-ronta tidak mahu berada di hospital.
Betapa luluh hati kami melihat tangan mak diikat ke katil gara-gara tanpa sedar mak banyak meronta rimas tangannnya di pasang branula.
Ujian demi ujian dibuat, tahulah kami mak didiagnosis barah tulang.
Apa cadangan rawatan yang doktor boleh buat? Nak jalani kemoterapi, faktor usia dan kondisi mak tidak mengizinkan.
Kami cuba juga mencari rawatan alternatif lain yang lebih moden dan terkini. Yang kami jumpa hanya untuk barah lain-lain.
Kami terpaksa juga bawa mak balik setelah berminggu-minggu kami lihat mak menderita di hospital walaupun kami sentiasa ada dengan mak secara bergilir kerana ikut doktor pun,
Tiada cadangan rawatan untuk mengubati penyakit mak dan setiap hari memang mak minta nak balik.
Hanya Tuhan yang tahu betapa kami adik beradik ‘ditelan salah, diluah salah’.
Akhirnya kami ikut sahaja permintaan mak. Mak lebih tenang di rumah.
May 2022, ulang tahun hari lahir mak. Sempatku berpakat dengan anakku belikan mak loket.
Sejak akhir-akhir ini, baru terdetik untukku belikan mak barang kemas. Mak pakai sebagai tanda menghargaiku.
Tetapi senyuman di wajah mak semakin pudar cerianya. Sikap mak yang rajin ke dapur masih lagi mengambil berat hal makan minumku.
Aku sedar mak tak larat mana dan melarangnya menyediakan makan minumku. Mungkin mak nak makan sesuatu, ku tanya mak nak makan apa-apa untuk ku sediakan.
Memang mak sedia faham sahaja, akulah anaknya yang tidak cekap di dapur. Mak tak minta apa-apa melainkan makan sahaja apa-apa yang aku beli dari luar balik ke rumah.
Jun 2022, keadaan mak makin hari makin merisaukan. Macam-macam ubatan yang dibeli.
Adik lelakiku masih lagi percaya dengan ubatan alternatif yang terjual di pasaran. Ada sejenis ubatan yang agak mahal ada di atas almari mak.
Aku cuba la google dulu untuk tahu khasiat ubat tersebut. Pak cik google bagi tahu semuanya baik-baik sahaja tentang ubat tersebut.
Masa nak minta mak makan ubat tu, mak marah aku tak nak makan ubat tu. Kata mak, nanti mak boleh mati makan ubat tu.
Aku yang tak tahu menahu berkaitan ubat tersebut cuba juga nasihatkan mak untuk makan ubat tersebut hasil bacaanku di Google. Datang pula adik bungsuku.
“Gara-gara mak makan ubat tulah sampai masuk hospital”. Getusnya.
“Dah macam tu, kenapa masih dibiarkan ubat ni kat sini?”. Getusku.
“Ubat tu mahal kot, nanti…. ”.
Aduhai. Tak apalah mak. Tak payahlah mak makan ubat ni. Aku khuatir.
Tapi penyakit mak?
Julai 2022, mak banyak meracau. Masa ni mak banyak terbaring di atas katil sahaja.
Mak dah tak tidur di bilik yang baharu sahaja kami siapkan dengan serba sedikit perabot baharu dan ruang surau untuk solat jemaah.
Aku bekerja dan aku juga pesakit kronik. Aku masih gagahkan diri balik setiap minggu dan selepas waktu kerja jika aku larat.
Sering juga aku mengalami ‘microsleep’, ketika memandu. Tetapi demi mak.
Ada ketikanya mak mengadu kekejangan kaki, gatal-gatal badan. Kerja yang aku usung sampai ke rumah tergendala.
Ya, Allah SWT, aku sangat kesal. Dalam keadaan aku yang sepatutnya perlu segera menjalani pembedahan dan kerja yang bertimbun, aku gagal menjadi anak yang baik dalam menjaga mak.
Aku sedar kerjaya yang aku miliki hari ini berkat doa dan impian mak dan ayahku.
Aku terperangkap antara kerjaya periuk nasiku, ujian sakit kronik yang membebaniku dengan bakti sebaik mungkin buat ibu tersayang.
Sampai satu tahap, kami mengambil jururawat swasta untuk datang ke rumah merawat mak. Kami ikut kehendak mak yang kami rasakan lebih terseksa jika di wad hospital.
Segala peralatan perubatan kami beli ikut keperluan mak. Sampaikan keperluan oksigen yang mak perlukan pun kami sewakan.
Mak juga ada masalah kencing manis. Betapa khuatirnya kami dengan keadaan mak.
Aku sempat tukar pampes mak. Bantu mak mengambil wuduk untuk solat.
Solat pun kadang mak ingat, kadang tak. Bergantung kepada kami untuk beritahu dan bantu mak mengerjakan solat.
Ayah setia berada di hujung kaki katil mak. Ayah pun tak tidur di bilik. Tak selesalah, gatal badan lah. Padahal tilam herba, cadar baru dan bilik aircond lagi.
Katanya selesa tidur di atas kerusi malas sampai kami tengok badan ayah macam bengkok gara-gara lama di atas kerusi tersebut. Ayah tak banyak cakap berbanding mak.
Jumaat & Sabtu terakhir, tiada lagi racauan dan rengekan mak. Sebelum-sebelum tu mak bagitau bermimpi dikejar orang.
Meracau memanggil mak, ayah, adik (arwah tok, tok wan & Pak Cik). Tahap mak sampai terpaksa dimasukkan tiub melalui hidung untuk minum.
Berat hatiku untuk pulang ke rumahku yang 45 minit tempoh perjalanan dari rumah mak ayah.
Rawatan hemodialisis yang terpaksa aku jalani esok hari memaksaku untuk pulang juga ke rumah sendiri.
Pembedahan kecil sahaja yang sepatutnya ku jalani 3 atau 4 tahun lalu semakin memudaratkan kesihatanku.
Covid-19 menyerang dunia ketika itu membantutkan hasratku untuk menjalani pembedahan kecil.
Jam 3:00 petang, berakhir rawatanku. Biasanya, aku jarang memandu sendiri selepas rawatan hemodialisis.
Entah mengapa hatiku tak tenang memikirkan keadaan mak di kampung. Sebaik sampai di rumah, baru aku dapat khabar mak dah tiada sekitar jam 2:00 petang tadi.
Mak pergi begitu sahaja. Terasa nak saja aku pegang stereng pandu sendiri pulang ke kampung.
Tetapi untuk apa? Mak tetap dah tak ada kan?
Kami pulang ke kampung. Sempat aku dan adik-beradik memandikan mak bersama-sama.
Sebelum dikafankan, sempat kucium pipi mak buat terakhir kalinya. Masih terasanya wanginya racikan daun pandan ditabur sekeliling jenazah sebelum dikafankan.
Telekung yang mak pakai bagaikan persiapan mak untuk ke makkah menunaikan haji & umrah. Seri wajah mak tak mampu ku lupakan.
Tak apa mak, anak cucu mak ada di sana menanti mak. (ya masa arwah adik lelaki, abang dan kakakku meninggal dulu, bertahun juga mak tak henti-henti bercerita tentang mereka seolah-olah mereka anak paling mak sayangi).
(Satu-satunya cucu mak yang tunggu di sana tu anak aku. Anak lelaki tunggalku).
Betullah kata bijak pandai, pemergian mak paling menyakitkan dalam hidup. Aku merasanya kini.
Mungkin benarlah kata-kata orang sekeliling, bertuahnya mak, segalanya baharu bagaikan disediakan untuk mak; tempat mandi, keranda, dan van semuanya baharu dibeli.
Setelah setahun berlalu, Ogos 2023, tahlil pertama di rumah mak ayah, seperti dirancang, siapa yang mampu merancangnya kalau bukan kehendakNya, ayah menyusul sebaik selesai tahlil untuk arwah mak diaminkan.
Bagaikan sebuah drama. Tapi drama ini pengarahnya Dia Yang Maha Kuasa.
Untuk malam ini, di sini sahaja mampu kucoretkan. Dah berhelai juga tisu yang menyapu air mataku.
Sekian..
– Sesiapa sahaja (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit