Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera… Di kampung aku dulu ada seorang budak panjang tangan. Aku namakan Amin la senang.
Umur Amin baru sekolah rendah tapi kenakalan dia tu terkenal di kalangan guru dan orang kampung. Asal ada barang hilang, Amin ni la antara suspek utama.
Amin ni sebenarnya anak angkat pada satu pasangan suami isteri yang dah lama kahwin, tapi tak dapat anak. So diorang adopt anak angkat lelaki bangsa lain yang diambil dari kecil. Ni je la satu-satunya anak diorang.
Family si Amin, atuk nenek dia yang duduk dalam kampung ni orangnya baik-baik je. Amin ni, didik dah, marah dah, belasah pun dah. Tapi dia ni memang tak makan saman. Terjal orang kata.
Pernah adik aku hilang ayam serama dia yang dibela belakang rumah. Menangis dia bila dia tengok bekas ayam dia kosong semua. Masa tu la aku dengar cerita pasal Amin ni.
Masa dengar tu, memang aku pandang serong sangat pada si Amin ni. Dalam hati aku terdetik, kalau muda-muda lagi dah jahat macam ni, dah besar nanti entah jadi apa la agaknya.
Sampai mak bapak, cikgu semua dah tak tahu macam mana nak ubah perangai si Amin ni. Ada juga aku terasa yang Amin jadi macam ni sebab darah mak ayah kandung si Amin ni yang bukan Islam dalam badan dia.
Agaknya sebab dah tak tahu nak buat apa dengan si Amin ni, mak bapak Amin ni decide untuk hantar Amin ni masuk tahfiz berdekatan dengan kampung aku.
Lama juga la dia duduk situ. Lama jugalah aku tak dengar cerita pasal si Amin ni sehinggalah berlaku satu peristiwa yang pernah menghiasi dada akhbar negara kita suatu ketika dulu.
Van yang dinaiki si Amin ni kemalangan. Dia meninggal di situ juga. Yang syahdunya bila mak aku cerita, tak lama sebelum si Amin ni meninggal, dia sempat jumpa anak saudara aku ni minta maaf sebab dia pernah curi ayam anak saudara aku.
Berita kematian si Amin ni memang betul-betul buat aku tertampar. Siapa kita nak judge orang lain?
Yang nampak jahat tu, mungkin tak selamanya jahat. Diri kita yang kita rasa baik ni, mungkin Allah tak pandang pun sebab ada sombong dalam hati. Pengakhiran kita pun kita sendiri tak tahu.
Amin meninggal dalam keadaan bersih. Dia sempat minta maaf dengan orang-orang yang dia pernah buat salah.
Dia meninggal hari Jumaat, lepas solat Jumaat dalam perjalanan menuju ke masjid di bandar untuk menghadiri majlis yang baik-baik, dalam pakaian jubah putih sunnah nabi.
Arwah pun budak sek rendah lagi, yang mungkin belum dicatat lagi dosanya. InsyaAllah khusnul khatimah untuk arwah.
Oh ya, mungkin la juga asbab doa si Amin ni lepas dia masuk tahfiz, tak lama lepas si Amin ni meninggal, mak angkat si Amin ni akhirnya mengandung.
Bayangkan lepas dah cecah puluhan tahun menunggu, akhirnya hadir juga zuriat untuk pasangan ni. Kehadiran yang bagai untuk menggantikan kehilangan Amin dulu.
Kisah aku ni ringkas je. Aku ubah serba sedikit cerita aku ni supaya privacy orang-orang tertentu terjaga.
Yang penting aku nak kita sama-sama ambil ikhtibar agar jangan mudah-mudah menghakimi orang lain sedangkan kita pun tak tahu kesudahan orang tu dan juga kesudahan diri kita sendiri. Tamparan paling besar untuk aku sendiri.
Moga kita sama-sama dapat ambil ikhtibar. Assalamualaikum.
– Cik Kiah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit