Assalamualaikum pembaca sekalian. Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada admin kerana menyiarkan confession saya.
Saya rasa bukan saya sahaja yang menghadapi masalah ini kerana ia bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat kini. Saya merupakan pelajar IPTA universiti tempatan. Sebelum ke menara gading, saya melanjutkan pelajaran di matrikulasi. Di sini bermulalah episod kehidupan saya menjadi salah seorang mangsa hutang.
Untuk pengetahuan semua, saya bukanlah dari golongan yang berada. Keluarga saya sederhana sahaja. Ketika di matrikulasi, setiap bulan pelajar akan mendapat elaun sebanyak RM 250. Jujur saya kata ianya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian. Sekiranya saya kekurangan wang, saya akan meminta daripada kedua ibu bapa untuk menyalurkan sedikit wang ke akaun bank. Nota kuliah harus dibeli atau difotokopi di kedai kooperasi. Saya sering membeli nota kuliah terlebih dahulu sebelum kuliah baru dimulakan. Jadi, kawan saya sekali sekala menempah nota daripada saya. Saya berasa tidak selesa apabila dia tidak membayar balik. Selain itu, apabila ke kooperasi, kawan saya juga sering menyuruh saya bayarkan makanan yang dibelinya terlebih dahulu atas alasan beg duitnya ada di dalam beg dan sukar dikeluarkan. Saya tidak kisah tetapi ianya kerap berlaku dan saya pendam masalah ini seorang diri.
Tamat pengajian setahun, saya ke universiti. Kali ini saya beruntung kerana berjaya mendapatkan biasiswa. Boleh dikatakan saya tiada masalah wang berbanding dengan pelajar yang mengambil PTPTN. Usai semester pertama, 2 orang kawan saya telah menghantar mesej secara personal untuk meminjam wang. Jumlah yang mereka inginkan agak besar dalam lingkungan 100-200 ringgit. Saya ketika itu telah memberikan wang kepada seorang sahaja kawan saya. Mujur dia membayarnya semula. Namun sejak itu, jika dia ingin meminjam wang, dia akan cari saya. Keluarga saya sangat marah dengan tindakan saya kerana katanya ibu bapanya yang harus menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anaknya itu. Oleh itu, saya akan mencipta alasan untuk menolak secara baik apabila dia mesej saya secara personal. Bukan itu sahaja, sekiranya kami keluar makan secara berkumpulan, kadang kala saya akan bayar terlebih dahulu. Ya saya akan mengira setiap harga makanan mereka dan memberitahu jumlah yang patut mereka langsaikan, namun mereka tidak membayar balik. Saya segan untuk meminta, setahu saya orang yang meminjam harus peka dan sedar diri bahawa mereka berhutang. Saya pelik dengan perangai orang sebegini. Saya tidak mahu menjejaskan persahabatan. Saya sudah banyak kali diperlakukan seperti ini. Bukan seringgit dua. Jumlahnya agak besar kerana kadang kala makan di cafe hipster.
Saya berharap, mereka yang berhutang tolonglah sedar diri kerana anda telah melakukan sesuatu yang salah. Tolong jangan aniaya mangsa hutang. Jika anda berhutang, lebih baik langsaikan secepat mungkin. Janganlah berdiam diri dan lupakan hutang-hutang anda. Bahana hutang bakal menjejaskan kehidupan anda di akhirat kelak. Ia bukan sesuatu yang main-main.
Sekian.
– Mangsa Hutang
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit