Hutang Budi

Di sini saya nak kongsikan satu kisah mengenai pengalaman hidup walaupun dah lama perkara ini berlaku. Kisah ini mengambil masa lebih kurang 7 minit dan mengandungi 1,700 perkataan. Jadi, emoga kita mendapat sesuatu daripada penulisan saya yang tidak seberapa ini ya. Selamat membaca!

Masa aku tingkatan 2 dulu, aku ada jiran yang selalu meminta pertolongan ayah dan ibu aku. Nak ‘pinjam’ beras secawan, beberapa keping roti, bawang, telur dan lain-lain.

Jiran aku ini bernama Farah (bukan nama sebenar). Keluarganya tersangatlah daif dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan zakat dan derma daripada orang ramai untuk meneruskan kehidupan mereka. Rumah yang dia sewa pada ketika itulah yang menjadi tempat untuk dia menjaga ibunya yang memang terlantar akibat terkena serangan angin ahmar.

Aku tak berapa ingat dengan begitu terperinci mengenai latar belakang keluarga mereka, namun, apa yang aku ingat adalah ibu dia memang hanya mampu bergerak di atas katil sahaja. Dia tiada kemampuan untuk berdiri, tidak mampu untuk mengunyah makanan dan apatah lagi untuk berjalan. Ayahnya pula sudah pun meninggal dunia.

Tidak dapat dinafikan bahawa apa yang perlu ditempuhi oleh Farah yang terpaksa berhenti sekolah untuk menjaga ibunya bukanlah kehidupan yang diidamkan olehnya atau mana-mana manusia sekalipun, namun, kecekalan dia untuk menempuhi cabaran sedemikian rupa sudah pastinya tidak boleh dilakukan oleh semua orang.

Aku rasa, apa yang membantu Farah untuk kekal tabah adalah pegangan agamanya yang kuat serta apa yang dilakukan olehnya berteraskan kepada apa yang kita, umat Islam percaya bahawa kasih anak untuk ibunya ini akan membawanya ke syurga kelak.

Setiap kali aku mengikuti ayah atau ibu aku yang seringkali menghantar makanan kepada mereka, aku masih ingat suasana dalam rumahnya itu yang berbau susu. Susu tersebut sebenarnya dituang menerusi satu tiub yang terletak di dalam lubang hidung ibunya.

<Fakta Perubatan Mula>

Tiub pemakanan atau dikenali sebagai nasogstric tube/ Ryle’s tube merupakan satu jenis tiub yang dimasukkan ke dalam lubang hidung pesakit dan bahagian hujung tiub tersebut berada di dalam perut pesakit. Hal ini adalah kerana untuk mana-mana pesakit yang terkena serangan angin ahmar, kadangkala, gag reflex (refleks untuk muntah dan batuk/ tersedak) mereka juga tidak lagi berfungsi.

Disebabkan itu, tiub tersebut dimasukkan bagi mengelakkan apa yang disuap di mulut pesakit sama ada makanan atau minuman. Hal ini adalah kerana tanpa gag reflex, makanan atau minuman tersebut mempunyai risiko untuk masuk ke dalam saluran pernafasan dan seterusnya akan masuk ke dalam paru-paru, menyebabkan risiko jangkitan kuman yang dikenali sebagai aspiration pneumonia.

<Fakta Perubatan Tamat>

Jadi, bahan makanan yang ‘dipinjam’ itu adalah untuk Farah memandangkan bahawa walaupun ibunya sakit, itu tidaklah bermaksud bahawa Farah tidak memerlukan makanan.

Ramai yang salah tafsir bahawa bukan pesakit sahaja yang perlu untuk makan, bergerak dan berasa tertekan akibat nikmat yang selalunya diambil mudah ini ditarik, malahan, si penjaga juga seorang sama atau kadangkala, lebih teruk.

Kita selalu terlupa bahawa si penjaga juga ada hati dan perasaan, ada rasa lapar dan dahaga, ada rasa terlalu tertekan melihatkan kawan-kawan sebayanya ke sekolah, dah ada yang sudah pun berjaya memasuki kolej atau universiti dan kadang-kadang muncul rasa ‘terperangkap’ di dalam rumah tersebut.

Tipulah kalau langsung tak ada pernah terfikir begitu kerana perasaan inilah yang menjadikan kita sebagai seorang manusia.

Aku berasa sedikit pelik sebenarnya, bukan terhadap jiran aku, tetapi terhadap ayah aku.

Sebabnya, setiap kali Farah datang ke rumah untuk meminjam bahan masakan yang tak seberapa banyak itu, ayah aku pasti akan meminta dia sama ada serai, buah limau nipis atau daun kari memandangkan Farah rajin untuk bercucuk tanam di atas kawasan tanah yang kecil untuk mengisi masa lapang atau mungkin sebagai escapism untuk diri dia daripada terlalu banyak berfikir keadaan dirinya dan ibunya.

Yang menjadikan aku lagi pelik adalah kerana kesemua tanaman yang ayah aku minta itu, bukannya tiada di rumah aku. Ada je serai, limau, daun kari dan memandangkan ayah aku ini suka berkebun dan memelihara ayam, maka, agak meriahlah kawasan belakang rumah aku dulu. Jadinya, kalau dah ada, kenapa ayah aku nak minta dia juga kan?

Tapi sebab masa tu aku masih lagi tak matang (sekarang pun tak matang juga :-P) dan tak faham apa sebenarnya yang berada di fikiran ayah aku sampai aku mulai berfikir yang bukan-bukan pasal ayah aku.

Mana mungkin ayah aku kedekut sampai ke tahap itu sekali atau adakah dia nak ajar aku konsep system barter pula (ayah aku seorang guru) kan?. Jadi, aku masih teringat perkara ni, namun, aku malas nak fikir sampai lah satu hari di mana aku berada dalam posisi Farah.

Aku ada seorang kawan yang sangat baik dan pemurah dengan aku, nama dia Shamsul (bukan nama sebenar). Kehidupan aku ini sebenarnya agak tunggang terbalik sehingga kini dan kadangkala, aku memang ‘go completely broke’ daripada segi duit untuk aku meneruskan kehidupan dan pada masa yang sama, untuk membayar kos ubat-ubatan bulanan.

Shamsul selalu membantu aku. Dia transferkan atau kadangkala beri sedikit wang kepada aku untuk ‘duit makan’ atau kos ubat-ubatan. Aku ingat lagi sampai ke tahap aku rasa aku tak mahu dah meneruskan persahabatan aku dengan dia sebab aku rasa malu dan hina. Aku rasa aku mengambil kesempatan atas sifat pemurah dia.

Maklumlah sebelum ni aku pernah melalui zaman kaya, berada di atas. Aku lupa kehidupan ini bagaikan roda, kadangkala aku di atas, kadangkala aku di bawah. Tetapi, sewaktu itu bukan setakat di bawah, bahkan dilenyek pula dengan steamroll sampai jadi roadkill.

Jadi, satu hari ni aku perlu keluar ke Kuala Lumpur untuk temuduga pekerjaan. Namun, kau tahu-tahu sahajalah, travel pada kala zaman Covid ni bukannya mudah.

Juga, aku dapati bahawa duit yang mengalir ini ibarat air terjun apabila kita travel. Namun, aku bernasib baik memandangkan Shamsul ni kebetulan nak ke Kuala Lumpur juga sewaktu itu. Aku terus buat perancangan memandangkan dia nak memandu ke sana, bolehlah aku tumpang sekereta.

Tiba sahaja di sana, aku rasa Shamsul bantu aku terlalu banyak. Makan dan minum serta back and forth ke pejabat yang menjadi lokasi temuduga aku.

Kemudiannya, disebabkan dia perlu ke tempat lain, dia bayarkan grab juga untuk aku. Sejujurnya, sebelum ini pun dia banyak sangat membantu hidup aku dan membuatkan aku berterima kasih kepada dia. Namun, aku dapat rasakan egoistik dan maruah aku macam makin merudum dan tercalar pula.

Kemudian, lama-kelamaan, perasaan berterima kasih itu semakin luput kerana timbul rasa bersalah dan aku rasa aku mempergunakan Shamsul untuk keuntungan aku. Aku rasa aku bukan sahabat yang baik, aku rasa aku tak layak berkawan dengan dia. Aku rasa terlalu hina, malu dan mulai terkapai-kapai di dalam lautan ‘self-guilt’.

Bagaimana rasa dia?

Korang pernah rasa tak situasi macam ni yang mana kau selalu sangat minta tolong pada orang lain sampai ke tahap kalau rasa macam tak sanggup dah nak minta tolong atau nak jadi kawan dah dengan orang tu memandangkan kau langsung tiada keupayaan untuk membalas budi semula pada kawan kau walaupun berpuluh kali dia cakap dia nak bantu kau secara ikhlas dan tidak pernah akan meminta balik mahupun mengungkit?

Sebenarnya, itulah apa yang aku rasakan.

Aku balik bersama Shamsul ke kampung halaman aku memandangkan di situlah juga kampung halaman dia walaupun ianya terletak lebih kurang 15 kilometer daripada rumah aku. 3 hari kemudian, pada hari sabtu semasa Shamsul di tempat kerja, dan aku berada di rumah, tiba-tiba Shamsul menghubungi aku menerusi panggilan telefon.

Dia ingin meminta bantuan aku untuk membelikan dia kupang dan siput yang terletak berdekatan rumah aku kerana isterinya yang berada di rumah (mengandung 4 bulan) mengidam nak makan makanan laut tersebut.

Aku pun terus memandu keluar untuk membelikannya makanan laut tersebut memandangkan sewaktu itu, Shamsul bekerja sehingga malam dan tidak mungkin boleh sempat untuk membelikan apa yang isterinya nak kerana sudah tentu gerai yang menjual makanan laut yang terletak di tepi jalan itu sudah tutup.

Aku pun berhenti di salah satu gerai yang terletak di jalan yang yang menghala ke Tangkak untuk membeli makanan laut tersebut. Cuma RM20 sahaja untuk kedua-duanya yang diletakkan di dalam bungkusan plastik.

Semasa aku memandu menghala ke rumah dia, tiba-tiba aku dapat rasakan ibarat satu jenis kegembiraan di dalam diri aku. Aku berasa lega dan bahagia tanpa sebab. Rupa-rupanya, perasaan yang timbul dalam diri aku ni bukanlah disebabkan kupang atau siput, tetapi aku dapat rasa diri aku ibarat dihargai olehnya.

Aku rasa, akhirnya, walaupun aku masih lagi miskin dan ‘broke’, sekurang-kurangnya, aku masih lagi dapat ‘membantu’ Shamsul walaupun perkara tersebut jauh jika nak dibandingkan dengan apa yang diberikan kepada aku.

Daripada sinilah aku terfikir bahawa apa yang dilakukan oleh ayah aku, meminta daun kari, serai atau limau nipis itu bukanlah kerana dia memerlukan, sebaliknya, dia ingin mengurangkan perasaan bersalah Farah dan ibunya ketika itu.

Walaupun pada zaman kini, kita dapat lihat betapa mudahnya seseorang itu mengambil kesempatan ke atas orang lain tanpa ada rasa malu atau bersalah (ada orang pernah DM aku untuk belikan kereta untuk dia setelah berpuluh-puluh kali aku memberinya wang dan mengutip dana untuknya ~bukan mengungkit, namun sakit hati kerana walaupun dia tahu aku tengah susah.

Tapi dia masih lagi meminta-minta sampai ke tahap aku block terus sebab alasan dia gunakan adalah untuk anak-anaknya yang bersekolah, tetapi, apabila aku nak beri alat tulis dan beg sekolah, dia tak mahu pula. Nak cold hard cash sahaja… banyak canteek).

Kadangkala pula, kita sudah pasti pernah bertemu dengan orang yang langsung tidak mahu ditolong kerana rasa obligated untuk membalas jasa orang tersebut.

Contoh yang paling mudah adalah apabila jiran tetangga kita memberi kita makanan dan kemudiannya dia berkata bahawa dia inginkan bekas tersebut semula (mungkin sebab tupperware kot, mahal woo– sempat lagi).

Ada beberapa jenis orang tidak suka menerima pemberian makanan kerana adat kita semua, kita ibarat ‘perlu’ membalas makanan tersebut dan rasa sedikit malu apabila memulangkan bekas tersebut tanpa ada apa-apa isi.

Sebenarnya, rasa berterima kasih itu yang betul, dan selalunya, orang kita ini pada zaman moden manalah kisah sangat andai kata kita beri dia makanan dan memulangkan bekas tersebut kosong pada hari tersebut. Mungkin esok lusa, kalau kita masak sesuatu, kita pula akan memberinya makanan semula.

Pemikiran tidak mahu pertolongan siapa-siapa langsung takut jasa tersebut tidak terbalas sebenarnya tidak betul sepenuhnya kerana agak mustahil jika aku katakan bahawa ada manusia yang sepanjang hayatnya tidak pernah dibantu oleh orang lain. Alangkan nak keluar daripada perut (uterus) ibu pun memerlukan bantuan bidan terlatih, inikan pula kehidupan day-to-day basis.

Kini, walaupun ayah aku sudahpun meninggalkan aku hampir 10 tahun yang lepas, namun, beberapa memori yang baik masih tersemat di dalam kepala aku dan memori ini serta pengalaman yang aku lalui ini aku harap dapat memberi satu dua maklumat yang baru untuk korang semua.

Juga, dia masih tidak berhenti mengajar diri aku tentang banyak perkara yang baik-baik. Tolong doakan arwah ayah saya sekali ya, Cikgu Puade bin Mahbar.

P/s – Tolong share dan likes sebagai tanda sokongan korang semua ya. Terima kasih kerana sudi membaca penulisan saya yang panjang ini ya.

#genart #stroke #medicaart #imedex #imedart #medex #medart #jasa #budi #hutang

– ILZANNO SHARKY (https://www.facebook.com/drshark88)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *