Asalamualaikum. Saya cuma ingin meluahkan perasaan di hati.
Saya bekerja di sebuah syarikat yang agak besar. Bukanlah ternama. Tapi boleh dikatakan agak besar dengan jumlah kakitangan mencecah ratusan dan beberapa cawangan di sekitar selangor.
Saya bekerja sebagai eksekutif pentadbiran dan sumber manusia. Namun itu hanyalah di atas kertas. Hakikatnya kerja saya lebih daripada itu.
Hantar dokumen, masukkan cek, buat pendaftaran, berhubung dengan PBT, jabatan bomba, jabatan kesihatan, dan banyak lagi kerja yang bukan dalam bidang sumber manusia mahupun pentadbiran.
Saya memegang 2 jawatan eksekutif. Namun gaji yang ditawarkan adalah gaji minima RM1200 sebulan. Dengan beberapa alaun dan juga tolakan, gaji bersih tetap RM1200.
Saya bukan jenis pekerja yang malas. Walaupun ini kali pertama saya memegang jawatan ini, saya tetap bekerja dengan bersungguh.
Disebabkan syarikat tidak mempunyai sistem yang terurus, saya turut bantu membina sistem yang baru yang boleh memudahkan urusan kakitangan, ketua jabatan dan juga sumber manusia.
Antaranya sistem cuti berjadual, sistem penilaian kakitangan, syarat-syarat perkhidmatan syarikat yang tidak dikemaskini lebih 20 tahun dan lain-lain disamping kerja “on-going” sumber manusia dan pentadbiran dan pengkeranian yang tiada penghujung.
Saya bekerja dengan bersungguh dan yakin rezeki datang daripada Allah.
Namun disebabkan gaji yang sikit, saya terpaksa buat dua tiga kerja di malam hari dan juga di hujung minggu untuk menampung kehidupan keluarga terutamanya hidup di tengah bandar di selangor.
Saya tak pernah mengeluh namun kadang kepenatan. Bukan sahaja penat fizikal, tapi penat juga mental. Melayan kerenah majikan, bos, dan kakitangan. Saya rasa tidak setimpal dengan gaji yang ditawarkan.
Saya cecah limitasi saya apabila saya ditimpa kemalangan, terpaksa melakukan fisioterapi dan juga diberi cuti untuk kesembuhan.
Walaupun sedang bercuti, tapi saya masih lagi dipanggil untuk bekerja.
Meskipun bukan paksaan, tetapi ianya cukup membuatkan saya rasa terpaksa pergi selepas “dipujik rayu” oleh bos untuk hadir ke mesyuarat, siapkan dan hantarkan dokumen, susunkan fail dan lain-lain.
Tidak cukup dengan itu, dalam keadaan sedang bercuti dan telah diberi sijil sakit yang diikitiraf oleh hospital kerajaan, saya masih lagi diberi tugas untuk disiapkan dengan memaksa saya bekerja daripada rumah.
Belum dicerita lagi kerja-kerja yang diminta untuk disiapkan pada waktu malam. #tiadaOT
Disebabkan kerja-kerja ini, saya juga risau akan kesihatan saya.
Sekiranya saya tidak berehat dengan menjalani fisio dengan baik, akan ada kemungkinan untuk saya terpaksa membuat pembedahan yang akan memakan kos ribuan ringgit meskipun di hospital kerjaan.
Dan saya juga yakin sekiranya perkara tersebut berlaku, pihak syarikat tidak akan membantu membayar sesen pun pembiayaan hospital.
Namun inilah dilema yang terpaksa saya hadapi. Meskipun PKP sepajang tahun, saya merasakan prestasi kerja saya agak baik.
Banyak perubahan yang saya telah buat untuk syarikat ini. Banyak penambah baikan yang saya telah laksanakan untuk kemudahan semua kakitangan. Tapi saya macam tidak dihargai.
Saya mohon kenaikan gaji namun tidak dilayan kerana saya baru berkhidmat selama 2 tahun. (Awal-awal gaji RM1100. Ada lah kenaikan RM100 masa tahun kedua alhamdulillah. Itu pun sebab gaji minima telah dinaikkan pihak kerajaan)
Nak berhenti, tak mudah.. bukan mudah juga nak dapat pekerjaan sekarang. Banyak resume sudah dihantar. Banyak temuduga sudah dihadiri. Namun tetap dengan jawapan sama, anda tidak sesuai untuk syarikat kami.
Kerja-kerja separuh masa yang saya buat juga tidak mampu menampung sepenuhnya keluarga saya.
Namun saya masih bersyukur alhamdulillah.. dan terus berdoa agar Allah memberikan kami sekeluarga peluang menikmati kehidupan yang lebih senang.
Sekadar luahan hati…
Terima kasih kesudian membaca.
– Zack (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit