Ibarat Telur Sesangkak, Pecah Sebiji, Pecah Semua

Hai semua. Terima kasih admin, sudi siarkan kisah ni. Nama aku Sara (nama panggilan, nama dalam ic aku lain, huhu), 23 tahun, anak sulung dari 2 beradik. Ayah kerja sebagai staf KTM manakala mak suri rumah sahaja.

Aku membesar di kuarters KTM. Tak ramai budak sebaya dengan aku, yang aku kenal hanyalah Asfan, Nuh dan Mirul. Mereka semua sebaya dengan aku. Ada juga perempuan di kuarters kami, tapi semuanya lagi berusia dan tak layan pun kami yang bawah umur ni.

Karakter mereka? Asfan ni spesies kalau tengah main, ada je tak kena. Tak bertekak dengan aku sehari tak sah. Yang akan leraikan kami dari terus berperang mulut ialah Mirul. Mirul, orang yang tak henti-henti bercakap, ada je idea dia untuk jadikan satu hari tu penuh dengan aktiviti. Mulut potpet-potpet macam bertih jagung meletup. Kadang runsing aku dibuatnya.

Nuh pulak, jenis pendiam. Aku sampai tak ingat karakter dia sebab terlalu pendiam dan jenis menurut je apa kami arahkan. Kawan baik dia tentulah Asfan. Orang yang dia paling percaya untuk cerita apa jua masalah dia berbanding aku dan Mirul.

Kami suka main galah panjang, panjat pokok, penggal selipar bersama, pergi mengaji bersama, pergi sekolah pun bersama. Sara oi, kau takde kawan perempuan ke? Eh, ada. Tapi kat sekolah jela. Tu pun tak rapat. Sebab aku suka aktiviti lasak, lagipun mak ayah aku percayakan aku, sebab aku garang dan boleh jaga diri. Alhamdulillah.

Kami berkawan dari darjah 1 sampai la masa aku darjah 5, ayah aku naik pangkat, kami sekeluarga kena pindah ke negeri lain. Maka aku lost contact dengan mereka bertiga.

Takde telefon bimbit masa tu, masing-masing bukan orang senang. Takde hantar-hantar surat ke kad raya ke, entah la. Tak terfikir kot masa tu nak minta alamat kawan-kawan. Maka aku teruskan hidup macam biasa.

Lepas aku tamat SPM sekitar tahun 2015, pada usia 18 tahun, aku dapat tawaran ke IPT. Aku yang dulu belajar di sekolah harian, tak pernah tinggal di asrama, terus belajar hidup berdikari tanpa mak ayah di sisi.

IPT aku takde sediakan kolej kediaman, maka aku kena la menyewa rumah. Berkat berkenalan masa hari pendaftaran kemasukan pelajar baru, aku dapat 4 orang kawan. Kali ni perempuan ya.

Kak Aida, Hani, Mia dan Fifi. Kenapa aku panggil Kak Aida? Sebab dia 3 tahun tua dari aku, aku hormat dia sebab aku takde kakak kandung, manakala Hani, Mia dan Fifi masing² sebaya dengan aku. Merata kami bertanyakan rumah sewa untuk diduduki sepanjang tempoh belajar. Kebetulan, ada rumah sewa yang lengkap dengan 3 bilik dan 2 bilik air menjadi pilihan kami.

Kak Aida dan Mia memilih untuk duduk di bilik utama yang ada dua katil single dan bilik air di dalamnya. Fifi dan Hani memilih untuk duduk di bilik hujung dan aku di bilik tengah. Bilik masing-masing dilengkapi almari baju, kipas siling, katil beserta tilam, cuma bantal dan selimut sahaja yang perlu kami sediakan sendiri.

Karakter mereka yang perempuan ni pula? Kak Aida, seorang yang kurus, berperwatakan persis seorang kakak yang bertanggungjawab, pintar, rajin mengulangkaji, lemah lembut percakapannya dan sudah ada boyfriend yang sudah bekerja. Namanya aku tak ingat. Haha.

Hani? Asal dari Selangor, anak orang berada, mempunyai kereta sendiri, kulit putih gebu, badan yang kecil molek dengan mata yang bulat. Orangnya baik, tidak pernah lokek dan pandai dalam pelajaran. Mempunyai boyfriend yang sudah bekerja bernama Aiman.

Mia, seorang yang sedikit gempal dan rendah. Garang seperti aku namun tak kasar perwatakannya, pakar dalam masakan dan ada seorang boyfriend nama Boboi, sebaya dengannya.

Fifi, seorang yang troublemaker. Sering sahaja bertukar-tukar lelaki dan ketidakhadirannya di kelas menyebabkan kami selalu ditanya oleh pensyarah. Ketika di semester 4, Fifi dibuang IPT kerana kerap tidak datang ke kelas. Kami tidak lagi contact satu sama lain.

Masa ni, aku dah pakai handphone. Ayah berikan pada hari pertama aku mendaftar menjadi pelajar IPT. Aku berazam untuk kekal pakai satu handphone sahaja sampailah aku konvo nanti. Bukan apa, menghargai pemberian ayah dan mak. Takkan aku sia-siakan.

Aku ada ceritakan perihal kawan-kawan aku masa kecil tu pada Kak Aida, Hani dan Mia. Mereka sarankan supaya aku buka akaun Facebook dan bolehlah cuba cari mereka di situ.

Aku pun cuba. Letak nama sebenar, butiran, gambar dan sebagainya. Dengan harapan kawan-kawan jumpa aku balik. Lama tak dengar khabar, sihatkah lagi korang? Sambung belajar ke? Atau dah kerja? Semua tinggal tanda tanya. Tiada dari mereka bertiga yang add aku. Takpelah, sekurangnya aku dah ada Facebook, mana tahu 1 hari nanti, bersua kembali. Inshaa Allah.

Suatu hari, aku diajak oleh Kak Aida, Hani dan Mia ke satu program Derma Darah Anjuran Fakulti sebelah. Pada mulanya aku keberatan, maklumlah, weekend, baru nak rehatkan badan, dah diajak ke sana ke sini, ke sana ke sini. Tanpa berlengah, aku bersiap-siap.

Setibanya di perkarangan fakulti tersebut, Hani park kereta dia di kawasan yang kami tak perasan ianya terpapar ‘Dilarang Parking’. Maka kami pun turun beramai-ramai tanpa memikirkan apa yang bakal berlaku.

Sedang Kak Aida dan Mia baring untuk darah diambil, Aku dan Hani berdiri menunggu giliran. Kelihatan seorang Pak Guard di sisi kereta Hani sambil mencatit sesuatu dan letak di wiper keretanya. Aku syak, ianya saman. Lalu aku ajak Hani lekas menuju ke keretanya.

Kami merayu pada Pak Guard tersebut namun diarahkan untuk segera ke Pejabat Keselamatan bagi menyelesaikan saman berkenaan. Aku ikut Hani ke pejabat Guard tersebut dan berjanji akan bayarkan samannya itu bersama-sama. Senang sama-sama, susah sama-sama lah kan? Kami tiba di pejabat Pak Guard tadi.

Hani dan aku terus masuk ke dalam pejabat. Hani meminta aku duduk di ruangan menunggu sementara dia beratur untuk dapatkan nombor giliran. Aku duduk, selang sebuah kerusi di hadapanku ada seorang lelaki yang aku rasa turut disaman kerana asyik menggaru kepala yang tak gatal.

Tak lama kemudian, terdengar, “Amirul Hasif bin Marzuki, sila ambil resit pembayaran saman di kaunter 1, terima kasih”. Terkejut aku mendengarnya. Mirul? Eh, depan aku ni Mirul?? Seakan tak percaya, dia bingkas bangun, dari yang aku lihat, eh tingginya dia. Nak tegur ke tak ya, kata hati aku. Macam tak percaya bertahun lamanya! Betul ke ni??

Lepas dia selesai urusan di kaunter, dia menuju ke pintu keluar yang dekat denganku. Aku terus menyapanya, “Mirul, anak pakcik Marzuki?”.. Dia menjawab, “ya saya. kenapa?” Sambil berkerut dahi. Aku terdiam, agaknya dia tak kenal, lupa, hilang ingatan, atau tengah runsing baru lepas kena saman.. Nak teruskan tanya atau tak? Nak kenalkan diri atau tak? Suasana krik krik sekejap.

Aku tarik nafas, dan aku sambung, “takpelah, teringat kawan lama, coincidence.. nama sama..” Terus aku bangun, jumpa Hani yang dah dapat nombor giliran. Hani memandang aku kehairanan. Aku angkat 2 jari dan buat isyarat zip mulut. Kami duduk. Aku toleh ke arah Mirul, dia masih berdiri di pintu, mungkin tengah recall siapa perempuan yang tegur tadi.

Aku duduk dengan Hani. Hani membuka mulut, “Wah, dah buka langkah ke? hehe,”.. Aku balas pendek, “Bukan la…”..jauh kat sudut hati aku, sikit kecewa sebab aku yakin tu Mirul, muka macam Naim Daniel tu, kurus-kurus dari dulu sampai sekarang. Cuma bertambah ketinggiannya.

Dia berlalu pergi dan kami meneruskan sesi pembayaran saman. Kami ambil Kak Aida dan Mia yang baru lepas derma darah dan kami terus balik ke rumah. Sepatah pun aku tak bercakap, terkenangkan apa yang berlaku pagi tadi. Adakah aku salah orang? Kalau salah, malunya! Andai kata betul, malu juga sebab dia dah tak kenal aku. Ah, jangan difikirkan. Esok ke kelas macam biasa.

Di kelas, ada seorang pelajar lelaki yang tak pernah bercakap dengan aku, cakap pun bila perlu. Tiba-tiba sahaja dia datang dihadapanku dan minta nombor telefon aku, katanya roomate dia minta. Aku tanya, “siapa yang minta? nama apa? aku kenal ke tak?”. Dia diam. Aku jeling, geleng kepala, tanda aku enggan berikan. Dia menulis sesuatu di kertas, dan berikan pada aku.

Kertas itu tertera nombor telefon, dan nama Mirul. Katanya, “kau ambillah nombor ni Sara, dia budak Fakulti lain, dia nak tahu kenapa kau tegur dia hari tu.”.. Aku terdiam.. Tapi kertas tu takku buang.

Kak Aida, Hani dan Mia perasan akan sikapku yang mula menyendiri. Kak Aida bertanya, “Sara, ada masalah ke?”.. Aku senyum dan geleng kepala.. Dia berkata lagi, “dah dekat 3 tahun kita sama-sama kat sini, ada apa-apa nak dikongsikan?”.. Aku jawab ringkas, “tiada..”

Meski hati ni nak meluahkan pada Kak Aida, namun aku tak nak mengganggunya dengan urusan remeh seperti ni. Aku jalani hari-hariku sama seperti sediakala.

Selang beberapa hari, aku menuju ke bank untuk keluarkan sikit duit. Sedang beratur di mesin ATM, aku ditegur seseorang, “weh..”.. Aku berpaling, oh, ni orang yang aku kenal, ya, Mirul.

Aku membalas, “Assalamua’alaikum.”

Dia segan sendiri, dan jawab salamku beri.

“Kenapa tak contact pun nombor henfon yang Alip bagi??”, katanya memulakan bicara.

“Malas..”, jawabku pendek.

Selesai ambil duit, aku berjalan keluar, dia mengiringku dan terus menerus bertanya. Katanya dia tidak berapa yakin untuk meneka aku lah Sara yang sewaktu kecil dulu kerap melastik buah, panjat pokok, main bersama.

Katanya lagi, aku sudah lain, namun dari segi percakapan kasar, masih seperti asal. Aku tersengih, dan disebabkan mahu segera pulang atas urusan penting, aku maklumkan akan hubungi dia kemudian. Dia menjawab,

“Okay aku tunggu. Jangan peram lama sangat nombor aku tu Sara!!”.. Tergelak aku sambil melambai ke arahnya. Akhirnya aku dah jumpa salah seorang kawan aku. Begini rasanya lega bertemu sahabat lama. Aku gembira yang aku tak salah orang.

Dalam kegembiraan aku yang dah jumpa kawan lama, Hani dalam kesedihan. Dia bergaduh teruk dengan Aiman. Mereka sepatutnya bertunang namun atas sebab-sebab tertentu, Aiman mahu postpone pertunangan mereka.

Aku, Kak Aida dan Mia turut terlibat sama memandangkan Aiman menuduh Hani mempunyai kekasih hati yang lain. Dan kekasih hatinya itu merupakan seorang ViP yang berpangkat Dato.

Pada mulanya kami tidak percaya, namun salah seorang pensyarah kami merupakan rakan kepada Datin, isteri Dato berkenaan. Dia turut menyindir setiap kali masuk ke kelas untuk mengajar. Kami terdiam, tak mampu menegakkan benang yang dah basah.

Dalam serabut dengan masalah macam tu, aku teringat untuk contact Mirul. Kami berbual, mengimbas kenangan zaman kanak-kanak yang mana menurut aku, tak seserabut sekarang. Aku tidak menceritakan padanya tentang apa yang berlaku terhadap aku, Hani, Kak Aida dan Mia ketika itu. Biarlah kami sahaja yang tahu.

Disebabkan masing-masing sibuk di minggu peperiksaan, kami jarang berbual. Sekadar whatsapp bertanya khabar dan tunggu masa terluang barulah aku berpeluang membalas.

Tiba cuti semester, aku tak dapat pulang ke rumah, sebab mak, ayah dan adik pulang ke kampung untuk melawat pakcik aku yang sakit.

Aku duduk di rumah sewa bersama Hani yang masih bersedih dan tak mahu pulang ke rumah keluarganya, Kak Aida yang ingin mengulangkaji tanpa gangguan adik-adik di rumah dan Mia yang tak nak balik rumah sebab mahu menghabiskan tahun terakhir bersama kami.

Aku memberitahu Mirul bahawa aku tak pulang ke rumah keluargaku kerana tiada sesiapa di sana. Dia juga begitu, menghabiskan sisa-sisa semester akhir dengan rakan-rakan serumah selain ada paperwork yang perlu dihantar.

Suatu petang, dia bertanya, “Sara, kau nak jumpa tak, dengan Asfan dan Nuh?”. Aku tersentak. Asfan? Nuh? Aku bertanya, “dorang ada kat sini ke sekarang?”.

Mirul menjawab, “Ada, dorang cuti semester, kalau kau nak jumpa dorang, aku bawa. Tapi ni rahsia, aku nak buat kejutan kat dorang”.

Aku balas, “Okay, nanti roger kedai makan kat mana, pukul berapa, aku bawa housemate aku sekali, bye,”.. dan aku letak telefon..

Aku beritahu pada Kak Aida, Mia dan Hani. Mereka setuju untuk ikut aku malam tu ke kedai makan untuk jumpa kawan-kawanku.

Tiba di kedai makan, aku lihat Mirul berjalan bersama seorang lelaki memakai jersey oren tertera nama Asfan 10 dan dibelakang mereka ada seorang lagi lelaki muka seakan Jekfer dalam drama Kampung People tu. Aku berkerut dahi, cuba mengingati siapakah gerangan orangnya.

Malam tu, Mirul memilih untuk makan di ruangan open area. Baru ku tahu mengapa, sebab Asfan ingin merokok selepas makan. Mirul memperkenalkan kepada semua, di sebelah kirinya Asfan dan di sebelah kanannya Nuh.

Di meja makan, aku seolah tak mampu berbual. Mungkin kerana aku sudah lupa akan rupa Nuh, aku jadi ketandusan idea. Berkenaan Asfan pula, aku masih ingat kami kerap bergaduh maka aku memang kurang berbual dengannya.

Aku kerap kali perasan Asfan asyik memandang Hani tidak berkelip. Meski Kak Aida rancak berbual dengan Mirul, kadangkala dia bertanya pula pada Asfan, Asfan seakan tidak mendengar pertanyaan Kak Aida itu.

Selesai makan, kami berjalan beramai-ramai menuju ke tempat letak kereta yang kami parking berdekatan antara satu sama lain. Aku ucapkan terima kasih pada Mirul yang sudi belanja kami semua. Rakan-rakanku juga ucapkan terima kasih.

Di dalam kereta, tak berhenti mereka memuji Mirul yang dikatakan ‘gentleman’ sebab membayar makan malam kami senyap-senyap. Aku jawab bersahaja, mungkin sudah matang seiring usia. Mereka turut cuba memadankan aku dengan Mirul, dan aku membalas sekerasnya, kami cuma sekadar kawan, kawan dari kecil. Itu sahaja.

Lewat malam itu, aku mendapat whatsapp dari nombor yang tak dikenali. Ku baca mesej yang berbunyi, “Salam. Sara? Erm.. Saya minta nombor awak dekat Mirul, dan dia bagi. Harap kita masih boleh contact lagi lepas ni. Emoji Senyum. -Nuh-“..

Terkedu aku melihat whatsapp tersebut. Oh.. Nuh si Jekfer rupanya.. Tadi senyap je kat kedai makan, dah balik, boleh whatsapp aku pulak, bebel aku dalam hati. Aku balas, “Wkslm, okay, inshaa Allah, Selamat Malam”.

Masuk lagi satu notification, dari Mirul pula. “Weih Sara, si Asfan kata, dia nak nombor telefon Hani, nak kenal-kenal kalau Hani tu single. Boleh kau tanyakan tak??”.. Aku yang nyaris nak lelap, terus terbangun. Nak je aku balas, si Hani dah berpunya. Tapi aku takut nak bagi jawapan bagi pihak dia. Yelah, orang tu baru putus cinta, macam-macam masalah lagi.

Aku ke bilik Hani, belum ketuk pintu, Hani dah buka. “Ha, ada apa Sara?, belum tidur lagi?”, sambil mukanya di tepek mask. “Hmm, Hani, ni kalau Sara tanya, jangan marah ya? Hani dengan Aiman, dah ok?”, tanyaku perlahan.

Hani menjawab, “Tak pun, Aiman senyap je even Hani dah cakap, Hani tak nak pun jadi wife kedua Dato tu, I realize it was a big mistake. Tapi Aiman nakkan masa untuk diri dia. Terpulang laa kat dia, why Sara?”.

Aku lepaskan keluhan kecil, seakan lega tak lega begitulah. Aku katakan, “Hani kenal dengan Asfan tadi kan? Dia nak kenal-kenal dengan Hani, nak minta nombor telefon Hani, boleh ke? Tak boleh takpe tau, sebab Sara tahu, time-time macam ni, Sara faham situasi Hani dengan Aimankan tengah..”..

Belum sempat aku habiskan ayat, Hani mencelah, “Takpe Sara, bagi je. Aiman pun diam je, biarlah Hani cari pengganti kan? Nanti boleh Hani kenal-kenal dengan dia, okay? Kirim salam kat dia ya. Tell him, that he’s so cute. Hehe”..

Aku terkesima. “Ouh.. ha..okay, nak beritahu dia tak, pasal Aiman?..”, kataku sambil memegang tombol pintu bilik Hani. “No need, Aiman is my past..”, balas Hani ringkas. Aku mengangguk dan minta izin untuk tutup pintu biliknya seterusnya berjalan menuju ke bilik.

Aku reply whatsapp Mirul, berserta nombor telefon Hani dan Mirul ucapkan terima kasih, dia berjanji akan pass nombor tersebut pada Asfan. Aku menghela nafas lega, aku turut menceritakan apa yang berlaku kepada Nuh. Dia turut mendoakan agar mereka berdua berjodohan.

Kata Nuh, “Siapa tahu, mungkin sekarang hari mereka berkenalan, esok lusa, mungkin kita? Jodoh tak semestinya orang jauh.. Selamat Malam awak..”.. tatkala terbaca ayat akhir tu, aku tak sedar, aku tersenyum sendirian ..

Selang beberapa minggu kemudian, semasa aku sedang bersiap ingin ke kelas, Hani datang ke bilikku. “Sara, nak minta tolong sikit lah.”, kata Hani. Aku membalas, “Tolong apa tu Hani?”. Hani terkumat kamit sendirian, menunduk, tak keruan. Sekali sekala dilihatnya aku atas bawah. “Hani nak..Hani nak Sara bagitau Asfan, jangan contact Hani lagi pasni, boleh?”.. Aku terkaku.

Dalam hatiku, ape kes pulak ni? Dorang bergaduh ke? Ada Asfan whatsapp bukan-bukan ke? Aku bertanya pada Hani, “Kenapa Hani?”..

Hani menjawab, “Sebab Aiman dah contact Hani balik, dia setuju kami buat majlis tunang lepas konvo nanti, Hani tak nak lah Asfan kacau. Hani serius dengan Aiman. Nanti Aiman salah faham lagi. Minta Asfan padam nombor Hani ya? Tolong ya Sara, bagitau dia. Thank you..” dia berlalu pergi.. Aku sekali lagi berdiri kaku, speechless.

Yela, aku ni jadi serba salah sebab aku orang yang pass kan nombor kau kat kawan aku. Aku buntu bagaimana cara nak beritahu pada Asfan. Satu, kerana aku takde nombor telefonnya. Dua, kerana dia jenis mudah terasa dari kecil lagi maka aku merasa beban takut terluka hatinya. Maka aku ajukan pada Nuh, meminta dia menyampaikan.

Menurut pemerhatianku, Nuh lebih rapat dengan Asfan berbanding Mirul, namun Nuh mengatakan bahawa Mirul lebih rapat dengan Asfan. Aku whatsapp Mirul, memberitahu perkara sebenar. Mirul juga seolah menyalahkan aku kerana tidak berterus terang dan memberikan nombor telefon Hani sewenangnya.

Mirul turut berkata bahawa Asfan betul-betul terpaut hati pada Hani. Aku terdiam, terasa ingin menangis apabila sahabatku sendiri berkata begitu dan sahabatku sendiri diperlakukan begitu. Aku minta tolong Mirul untuk memaklumkan perkara ini kepada Asfan. Mulanya dia menolak, akhirnya dia setuju. Namun dia menyuruhku bersedia atas risiko akan datang.

Telah ku duga, Asfan berang dan kecewa. Dia berang dengan aku yang tidak berterus terang dari awal dan dia kecewa cinta hatinya iaitu Hani telah berpaling tadah kepada kekasih lama. Aku tak mampu berkata apa-apa. Sejujurnya hati manusia tidak boleh dipaksa. Asfan menyalahkan aku atas semua yang terjadi, dia yang terluka, dia yang menaruh harapan, semuanya musnah.

Aku menangis, mengadu pada Nuh, Nuh menyuruhku bersabar. Dia berjanji akan sentiasa ada denganku sehingga bila-bila. Aku sejujurnya lega, bersyukur masih punya sahabat yang percayakanku. Mirul dan Asfan diam seribu bahasa, seolah tidak lagi wujud seperti sebelumnya.

Nuh pula, kami sentiasa berhubung dan hatiku mula terpaut pada sikap Nuh yang ikhlas, sering memberi kata-kata semangat dan sering mengingatkan ku pada Allah.

Tiba hari konvokesyen, kehadiran mak ayah dan adik mengubati hatiku yang sedikit sedih kerana Nuh tidak dapat hadir disebabkan dia juga bakal konvo lagi dua hari di IPT yang berbeza denganku. Aku tidak berpeluang melihat Mirul konvo kerana waktu yang berbeza meski konvo dalam IPT yang sama.

Namun ditakdirkan, kami bertentang mata sewaktu ingin pulangkan jubah konvo di bilik astaka. Aku menegurnya, “Mirul,..” Malangnya, Mirul berlalu pergi, bagaikan aku memakai pakaian halimunan yang tidak kelihatan dihadapannya.

Aku agak sedih, sedih kerana tidak berpeluang membela diri. Aku suarakan kesedihanku pada Nuh. Nuh mententeramkanku dengan bacaan alunan ayat suci Al-Quran. Aku tersenyum, lunak suaranya. Aku sering mendoakan moga dikurniakan jodoh sebaik Nuh. Yang memahami aku dan tidak pernah jemu dalam mendengar masalahku.

Beberapa hari kemudian, dia yang turut selesai urusan konvokesyen memaklumkan bakal diambil bekerja di tempat dia menjalani latihan industri sebelum ini. Aku melahirkan rasa syukur, Allah permudahkan urusannya. Orang baik-baik semua urusan dunia diatur cantik, kataku dalam hati.

Nuh menelefonku, dia ingin memberitahu sesuatu. Aku dengan sabar menunggu, lalu Nuh membuka bicara. “Sara, boleh Nuh dan keluarga datang merisik?”.. Aku seakan pekak sebentar, betul ke aku dengar ni? Ke telinga aku berdengung? Aku salah dengar kot.

Aku tanya sekali lagi, “Apa dia Nuh??” Nuh ketawa kecil, diulangnya perkataan tadi, sambil menambah, “Ibu dengan Abah dah tahu pasal isi hati Nuh, mereka pun kenal Sara, mereka restu, cuma Nuh tunggu jawapan Sara..macam mana?”..

Dadaku berdegup kencang, seperti stop sekejap dan berdegup semula. Aku menekup mulutku dengan tangan. Nak sahaja aku jerit, YA!! Namun masih lagi boleh dikawal. “Inshaa Allah, boleh..”, balasku pendek.. Dalam kepala, nak joget zapin rasanya.

Nuh berkata, “Alhamdulillah syukur. nanti Nuh bagitau Ibu dengan Abah bila waktu yang sesuai untuk urusan majlis tu. Terima kasih Sara. Moga Allah halalkan hubungan kita. Nuh minta izin beritahu sahabat kita yang lain, boleh?”.. Aku terdiam.. nak ku katakan tak boleh, tu kan sahabat aku juga. “Erm, boleh lah. Sara ikut je..”,balasku. Kami tamatkan perbualan pada hari itu.

Seminggu sebelum majlis merisik dan bertunang, aku menerima satu whatsapp panjang dari nombor yang tak dikenali. Salam perkenalan juga tak diberi.

Ayatnya berbunyi begini, “Dulu kau tak jujur dalam menolong sahabat kau, lepas kau dah hancurkan perasaan sahabat lama kau, sekarang kau hancurkan perasaan orang yang sayangkan kau pulak kan?

Kau buat sahabat-sahabat kau sendiri seolah berebutkan kau pulak kan? Hebat permainan kau. Elok tak payah ada reunion ke apa ke lepas ni!! Hiduplah kau berdua atas penderitaan orang lain. Tak layak bersahabat lah orang macam ni.” -Asfan-

Aku terpinga. Mengucap. Apa yang dia cakapkan ni?? Apa salah aku?? Mesej ni memang tuju kat aku?? Apa lagi yang dia tak puas hati? Siapa sahabat-sahabat yang berebut yang dia katakan tu? Masya Allah.

Aku terasa pening, aku baringkan badan dan cuba lelap. Lembik jari jemari nak membalas whatsapp tersebut. Seolah kalau membalas, tak berkesudahan. Dalam aku sengaja berbaring, aku terlelap. Sayup-sayup aku terdengar bunyi telefon berbunyi. Aku cuba capai dan jawab.

Nuh call. Aku terus buka mata, aku perasan suaranya sedikit berubah. Tak ceria seperti selalu. Aku tanyakan padanya, “Ada apa-apa yang berlaku ke, Nuh? Awak okay ke?”.. Nuh menjawab, “saya okay. Sara okay?”..Aku hampir nak menangis bila diajukan soalan seperti itu.

Sebab aku teringatkan whatsapp yang aku terima sebelumnya. Aku terdiam. Nuh seolah mengetahui tingkahlaku aku. Dia memintaku berterus terang. Aku screenshot dan forwardkan whatsapp tersebut pada Nuh.

Nuh terkejut dan mengucap panjang. Lalu dia menceritakan padaku bahawa dia tidak ketahui bahawa Mirul turut menyimpan rasa terhadapku. Dia baru sahaja tahu apabila dia memaklumkan pada sahabat-sahabatnya yang dia akan bertunang denganku dan ingin menghalalkan hubungan secepat mungkin. Asfana memarahinya kerana tidak peka dengan orang lain.

Aku kecewa. Pertama, kerana aku tidak tahu akan perasaan Mirul. Kedua, sejujurnya memang aku tidak punya rasa apa-apa dengan Mirul. Rasa yang wujud untuknya hanya sebagai sahabat. Di dalam hati aku ada cinta hanya untuk Nuh. Meski Mirul luahkan isi hatinya, aku tetap akan menolaknya. Aku dan Nuh disisihkan mereka sewenang-wenangnya.

Kami di block dari semua media sosial, facebook, whatsapp dan sebagainya. Malah aku rasa, nombor telefon turut di blacklist memandangkan bila kami cuba telefon, kerap sahaja masuk voicemail. Kami usaha menjemput mereka dari hari pertunangan sehinggalah hari pernikahan kami.

Aku juga ada whatsapp mohon maaf atas segala kesilapan aku yang telah menyakiti mereka berdua. Namun hanya satu tick sahaja. Aku muka berputus asa. Letih, sedih dan kecewa diputuskan sillaturrahim begitu sahaja.

Nuh kini telah selamat menjadi suamiku. Aku tahu, jauh disudut hatinya, rindukan sahabat-sahabat lama. Apakan daya, mereka membuang kami tanpa usul periksa. Tahun 2020 ni, kami selamat menimang cahaya mata pertama. Keluarga kami sangat bahagia.

Aku bersyukur punyai suami seperti Nuh yang penyayang dan bertanggungjawab. Aku juga dapat tahu dari orang tuaku yang ada bertembung dengan orang tua Asfan, bahawa Asfan sudah mendirikan rumah tangga awal tahun ini.

Sudah ku sampaikan berita kepada Nuh, dia bersyukur sahabatnya turut ketemu jodoh. Cuma Mirul sahaja yang kami tidak tahu kesudahannya, moga dia baik-baik sahaja.

– Puan Sara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *