Ibrah Sebuah Ujian

Assalamualaikum pembuka bicara. Terima kasih admin seandainya confession aku tersiar di page ni.

Disini aku nak kongsi sedikit pengalaman hidup yang mungkin ramai yang pernah alami dalam hidup mereka. Pengalaman yang membawa aku kenal erti sebenar hamba Allah yang lemah serta tiada daya dan upaya melainkan hanya bergantung sepenuhnya pada Allah.

“Ibrah sebuah ujian” yang membawa maksud hikmah disebalik dugaan hidup yang Allah beri pada hambaNya. Kisahnya bermula bila Allah takdirkan aku untuk berkenalan dengan seorang lelaki yang aku kira itulah jodoh yang Allah dah sediakan untuk aku.

Bertahun menyulam cinta dengan dia sampai aku yakin bahawasanya aku dan dia dah sebati bersama. Kami pasangan yang bahagia bagi aku tetapi sebenarnya dalam diam, dia sedang racun aku dengan penipuan yang dia sembunyikan selama ni.

Pada satu hari Allah tunjuk semuanya pada aku. Mungkin itu petunjuk dari istikharah aku dan mungkin juga berkat doa dari seorang ibu yang inginkan jodoh yang baik untuk anaknya. Rupanya selama ni aku ditipu hidup-hidup oleh orang yang aku sayang dan percaya.

Aku cuma tempat dia mengisi waktu bosannya saat isteri tiada disisi, mungkin juga tempat bila dia ada masalah dengan isteri dia. Dia sangat pandai menyembunyikan rahsia sampai aku tak sedar yang dia suami orang tapi dia lupa Allah Maha Hebat lagi Maha Melihat.

Sekelip mata aku boleh tahu semuanya. Hancurnya hati aku hanya Allah yang tahu ketika itu. Susahnya untuk aku lupakan orang yang aku sayang bertahun-tahun apatah lagi bila dia datang kembali menagih cinta.

Salah aku bila aku kalah dengan pujuk rayu dia. Aku sambut balik cinta dia tapi dalam masa yang sama aku rasa berdosa sebab bercinta dengan suami orang. Sungguh Allah itu Maha Baik dan terlalu sayangkan aku.

Satu hari, aku tergerak hati nak join 1 usrah yang tak pernah aku join selama aku hidup. Time ni aku betul-betul lemah dan niat aku join usrah ni sebab nak lebih dekat dengan Allah. Aku seorang yang perahsia so segala masalah aku tanggung sendiri dan hanya Allah tempat aku untuk luahkan segala perih dihati.

Indahnya jalan cerita Allah bila tajuk usrah pada hari tu betul-betul sama dengan ujian yang aku alami. 1 ayat yang buat aku nekad untuk tinggalkan dia bila kakak usrah tu cakap,

“tiada apa yang Allah ambil dari hambaNya melainkan untuk kebaikan hambaNya dan Allah pasti akan ganti dengan sesuatu yang jauh lebih baik”.

Mulai saat tu, aku buang semuanya tentang dia walaupun payah dan pahit yang aku telan. Aku yakin janji Allah itu pasti jadi aku terus kuatkan diri melangkah kedepan.

Tangisan dan rintihan aku curahkan semuanya pada Allah. Asbab daripada ujian ni, aku belajar perbaiki lagi solat aku. Aku buat solat taubat sebab aku baru tersedar yang aku terlalu jauh dengan Allah dan family aku sendiri sebab terlalu kejar cinta lelaki yang pada akhirnya hanya kecewa yang aku dapat.

Baiknya Allah kat aku sebab dalam maksiat yang aku buat, Allah bagi lagi aku nikmat. Aku dapat result yang bagus, aku dapat kerja yang baik, Allah jauhkan aku daripada lelaki yang tak baik dan paling penting Allah tak ambil nyawa aku saat aku lalai.

Asbab ujian ni jugak, aku wajibkan diri aku untuk baca Quran at least 1 helai sehari sebab Al-Quran adalah salah satu penawar hati yang lara dan aku praktikkan solat Dhuha setiap hari sebab aku nak dekat dengan Allah. Aku sedar aku dah jauh sangat dengan Allah so aku nak kejar balik cinta Allah yang aku dah sia-siakan selama ni.

Demi Allah, manisnya nikmat bila kita dapat cinta Allah. Sekarang setiap hari aku akan ada sesi “talk to Allah” yang aku belajar daripada 1 program. Hari-hari aku akan ceritakan semua masalah dan doa aku kat Allah.

Aku tulis semua doa dan masalah yang aku nak Allah tolong dalam buku dan saat ni aku rasa Allah sangat dekat dengan aku. Sungguh Allah sangat dekat dengan kita bila kita bergantung sepenuhnya pada Allah.

Setiap hari, dalam perjalanan ke tempat kerja aku akan dengar ceramah kat youtube. 1 perkara yang inshaAllah akan aku semat dalam diri bila aku dengar ceramah daripada Ustazah NurHafizah Musa. Dia explain tentang erti hamba sebenar.

Okey, cuba bayangkan, kita ada orang gaji dan kita bayar dia RM900 sebulan. Tapi bila kita suruh dia buat itu ini dia banyak soal. Kenapa kena buat tu, kenapa macam ni, kenapa dan kenapa. Mesti kita naik angin kan?

Dah la kita yang bayar gaji tapi banyak soal. Tu baru kita bayar gaji RM900, dia dah tak ada hak untuk persoalkan apa yang kita suruh dia buat apatah lagi kita sebagai hamba Allah yang Allah dah beri semuanya kat kita secara percuma atas dunia ni.

Apa hak kita nak persoalkan apa yang Allah aturkan dalam hidup kita. Kenapa kita suka persoalkan jalan cerita hidup kita seandainya kita faham apa itu erti ‘hamba’. Sombongnya kita pada Allah yang Al-Rahman lagi Al-Rahim.

Sekarang aku redha dengan semua yang Allah dah aturkan dalam hidup aku sebab aku sedar aku hanyalah ‘hamba’. Allah itu Al-Hakim lagi Al-Khaaliq so just leave it all to Allah. Allah plans are the best for us. Bila aku baca confession tentang suami yang curang dan pelbagai masalah yang orang lain hadapi dengan suami, aku bersyukur bila Allah pisahkan aku dengan dia.

Kalau aku kahwin dengan dia, mungkin aku salah seorang isteri yang dicurangi suami. Allahu, baiknya Allah pada aku. Dulunya aku anggap ini semua ujian bagi aku tapi kini ianya bertukar menjadi nikmat yang membawa aku semakin kenal erti sebenar aku diciptakan oleh Allah ke dunia.

Kepada kaum Hawa sekalian, apa yang boleh aku nasihatkan, jagalah hati kalian daripada terjerumus dengan cinta palsu lelaki yang hanya ingin mengambil kesempatan pada kita. Serahkan semuanya total kepada Allah.

Islam melarang untuk bercouple sebelum kahwin bersebab dan bukan sia-sia. Kejar cinta Allah dan reservekan hati mencintai orang yang halal. Jangan jadi macam aku. Kepada sesiapa yang sedang berada dalam ujian Allah, tersenyumlah sebab ada ibrah yang besar sedang Allah sediakan dibalik ujian itu.

Bak kata Dr. Maza dalam salah satu ceramahnya “jika manusia tahu apa yang Allah sediakan disebalik ujian, pasti kita ingin hidup kita sentiasa diuji oleh Allah” . Yakinlah dengan perancangan yang Maha Khaliq itu.

Semoga ada sedikit pengajaran yang kalian boleh cungkil dari kisah aku. Doakan aku tetap istiqamah dalam menuju cinta Allah dan doakan aku berjumpa dengan lelaki kiriman Allah buat aku satu hari nanti. Wassalam.

– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *