Ibu

Nota Dari Penulis :

<Ini adalah satu kisah yang saya ingin kongsikan daripada penjara. Saya mengubah nama watak, lokasi dan perbualan untuk menjadikan kisah yang mempunyai 3,000 perkataan ini menarik (anggaran 12 minit masa bacaan).

Kunjungan saya ke penjara (saya tidak dibenarkan untuk berkongsi lokasi penjara) pada pertengahan tahun 2019 ini membolehkan saya menerbitkan kisah ini, khusus untuk anda semua.

Saya berharap anda boleh like dan share, serta follow akaun saya di Facebook (FB @drshark88) sekiranya anda belajar sesuatu berdasarkan tragedi ini. Selamat membaca semua>

“Kenapa kau bawak balik perempuan sial tu sekali di rumah ni!”, bentak Mak Leha.

“Ibu!”, aku menengking tatkala mendengar perkataan ‘perempuan sial’ itu.

Hafizah berdiri, berpaling muka sambil berlalu terus ke biliknya menutup pintu dengan rapat. Aku menggelengkan kepala. Air muka ibuku yang bersahaja tanpa menunjukkan rasa bersalah itu menaikkan lagi api kemarahannya.

Memang silap aku dahulu apabila aku terlanjur dengan Hafizah kira-kira 5 tahun yang lepas. Sewaktu itu aku tiada apa-apa pekerjaan, tetapi aku ada Hafizah. Dia teman wanitaku. Hafizah lah yang membantu aku mendapatkan pekerjaan di sebuah firma guaman.

Perasaan cinta yang berbunga-bunga dan mekar di dalam hatiku menyebabkan aku menjalinkan hubungan sulit dengan Hafizah sebaik sahaja aku mula bekerja. Hubungan sulit yang aku sangka tiada apa-apa berakhir dengan keadaan Hafizah yang sudah berbadan dua. Mahu tak mahu, aku berkahwin dengannya untuk menutup aib.

Mak Leha, ibuku memang terlalu benci akan perempuan itu. Aku tahu dia kecewa kerana dia sudah pun bersetuju dengan Makcik Aini untuk aku berkahwin dengan anaknya. Makcik Aini pula bukan orang biasa-biasa, maklumlah isteri kepada ketua kampung di sini. Sejak daripada hari pertama lagi selepas aku menikah dengan Hafizah, ibuku betul-betul menunjukkan kebencian terhadapnya.

Perempuan sial, jalang, anak haram, segala macam jenis makian diberi kepada Hafizah. Hafizah kini sudah pun mengandung 5 bulan. Aku dan dia menetap di Kuala Lumpur, kira-kira 5 jam daripada kampungku yang terletak di Ulu Tiram.

Memang dahulunya aku balik seminggu sekali untuk menjaga ibuku. Maklumlah, itulah peranan aku sebagai anak tunggal yang telah pun kehilangan bapaku. Tetapi setelah berkahwin, sebulan sekali pun susah untuk aku pulang ke kampung.

Ada sahaja alasan yang Hafizah berikan setiap kali aku ingin membawanya untuk berjumpa ibuku. Dia tidak tahan dengan makian dan ejekan ibu mertuanya sendiri. Kalau ikut kewarasan pun, siapa yang mampu menahan makian sedemikian?

Setiap kali aku pulang, pastinya drama persengketaan antara Hafizah dan ibuku bermula. Makian demi makian, diikuti dengan serangan yang kadangkala bersifat fizikal. Pernah sekali Hafizah dilemparkan dengan piring dan cawan tatkala dia cuba menjawab demi mempertahankan dirinya daripada bertubi-tubi makian serta memohon untuk tidak lagi mengungkit hal yang lama.

Setiap kali dalam perjalanan pulang, setiap kali itulah aku berdoa dan solat hajat, benar-benar berharap agar kepulangan aku dan Hafizah disambut baik dengan ibuku kali ini.

Walaupun sudah berkali-kali perkara ini terjadi, tetapi, pada tanggapan aku, mungkin kali ini dia berubah hati menerima menantunya ini dengan baik. Akan tetapi, setiap kali aku mengharap, setiap kali itulah jauh panggang dari api berbanding dengan apa yang aku harapkan.

Dia suka memanggil Hafizah perempuan sial dan pelacur murahan. Aku memang tersangat marah apabila dia diperlakukan sebegitu. Aku tahu, ibu adalah orang pertama harus aku hormat, selepas itu barulah isteriku. Ibu aku lah yang mengandungkan aku 9 bulan, dan setia menjaga aku walaupun tidak ada ayah.

Cuma, perbuatannya semakin lama semakin melampaui batas. Aku teringat kali sebelum ini aku bawak Hafizah bertemu dengannya

“Aku tak nak kau balik dengan pelacur ni, aku nak kau balik seorang kalau kau nak jumpa aku. Pelacur tidak layak untuk menjejakkan kaki di rumah ini!”, jerit ibuku, di hadapan aku dan Hafizah.

Berdesing telinga ku. Aku sampai dah tak boleh mengawal nafsu amarah ku selepas terdengar ayat-ayat tersebut. Beginilah juga situasi yang sama apabila aku pulang ke kampung.

“Kau pun sama anak tak guna, patut dua-dua pergi mampus!. Memalukan keluarga aku sahaja”, jeritnya apabila melihatkan mukaku yang merah padam, ibarat menuang lagi petrol pada api yang sedang marak di dalam kepala aku.

Entah bagaimana, tanpa aku sedari, ibu aku menendang perut Hafizah sehingga dia jatuh terjelepok di atas lantai. Sudahlah dia sedang sarat mengandung, disepak-sepak pula oleh ibuku. Mulutnya tak henti-henti mencarut terhadap aku dan Hafizah.

Dia seolah-olah ingin mencabar aku, ingin menolak aku sampai ke batasannya. Dia ibarat ingin melihat dan menguji kesabaran aku pada tahap mana aku boleh kawal. Walaupun aku dah dicaci maki berkali-kali sebelum ni, aku tak sangka perkara ini diungkit-ungkit tanpa henti selama 5 tahun.

Aku bukanlah jadi manusia tak berguna pun selepas menikahi Hafizah. Aku ada pekerjaan tetap, dan stabil. Aku juga memberi wang ringgit kepada ibuku setiap kali aku dapat gaji. Bukan aku mahu mengungkit, tetapi, apa lagi yang harus aku lakukan sekarang ini?

Aku bangkit dan mencapai gelas di tangan seraya membaling gelas kaca ke dinding. Aku tak boleh menahan lagi masa itu. Hafizah yang tadinya duduk, kini berdiri dan menarik tangan ku keluar dari rumah dan masuk ke dalam kereta. Apabila aku melepaskan tangan aku daripada pegangannya, Hafizah terus merentap baju aku untuk keluar dari rumah itu secepat mungkin.

Dia membuka pintu kereta aku dan menghumbankan aku dengan kasar di atas tempat duduk penumpang. Dia kemudiannya menghidupkan enjin kereta dan memandu terus daripada situ. Bukan apa, hanya dia sahaja yang pernah melihat aku naik hantu apabila tahap kesabaran aku ini diuji melebihi hadnya.

“Jom kita balik abang, tak mengapa, mungkin lain kali dia akan okay sedikit”, Hafizah cuba memujuk.

“Saya tak faham mengapa ibu buat perkara begitu”, aku berkata, seolah-olah bertanya kepada Hafizah kerana aku sendiri sudah tidak mengerti apa yang difikirkan oleh orang tua itu.

“Mungkin dia stress agaknya, takpelah sayang, dia pun kan dah tua”, kata Hafizah lagi, cuba memberi penjelasan kelakuan ibu aku itu.

“Dah la awak pun sarat mengandung..”, sebelum sempat aku habiskan kata-kata aku, aku lihat Hafizah memegang perutnya.

Dia tiba-tiba mengerang kesakitan. Aku jadi terlalu cuak.

“Sayang! Sayang, macam mana ni?!”, tanya ku. Aku panik dan tak boleh berfikir.

“Hospital abang, hantar saya ke hospital”, kata Hafizah.

Aku lihat pada kain yang dipakainya, terdapat tompokan darah. Ada sedikit yang mengalir ke stoking yang dipakainya. Aku menarik dia keluar dan meletakkan dia ke tempat duduk belakang kereta tersebut. Tanpa membuang masa, aku terus memandu ke hospital yang terdekat.

Setibanya aku di sana, setelah seorang lelaki memeriksa Hafizah di kaunter triage, dia memanggil staf lain untuk membantu isteri aku untuk ke zon merah memandangkan bacaan nadi yang tinggi dan tekanan darahnya yang rendah, konsisten dengan keadaan dirinya yang kehilangan darah. Hafizah diletakkan di atas stretcher.

Aku cuba nak masuk, tetapi dihalang pegawai keselamatan di situ. Dia menyuruh aku tunggu di luar terlebih dahulu kerana tidak mahu aku mengganggu doktor dan jururawat dari melaksanakan tugas mereka. Aku duduk di tempat menunggu di luar zon merah. Kaki aku tak henti-henti bergerak. Resah dan gelisah.

40 minit kemudian, seorang doktor berbangsa India menghampiri aku.

“Encik, maafkan saya”, katanya

“Kenapa? Bagaimana isteri saya?!”, tanya ku, sedikit kalut.

“Isteri encik stabil, tetapi anak dalam kandungan encik kami tak dapat selamatkan dah sebab isteri encik tadi mengalami pendarahan yang agak teruk”, katanya.

“Apa sebabnya doktor? Tadi dia ada terjatuh, itu boleh jadi puncanya ke?”, aku bertanya lagi.

“Ya. Perkara ini kita kenali sebagai antepartum hemorrhage. Kalau ada trauma dari luar seperti terjatuh, memang boleh jadi macam tu. Isteri encik ni, kami kena hantar ke bilik pembedahan kecemasan ya sebab takut pendarahan tu makin teruk”, katanya sebelum dia masuk kembali ke zon merah.

Aku terpaku. Berita buruk aku terima dengan hati yang reda. Namun, aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya isteri aku selamat. Dia akan dimasukkan ke wad untuk pemantauan selepas pembedahan nanti. Aku masih ingat bahawa aku perlu tandatangan persetujuan untuk dibedah.

Apabila stretcher ditolak keluar, cepat-cepat aku dapatkan Hafizah. Dia sedang berbaring dan diberikan oksigen melalui tiub kecil. Dia tersenyum melihatkan aku yang kalut semacam. Aku memegang bahunya sambil berjalan kerana jururawat dan attendant menolak katil tersebut dengan pantas.

Aku mengusap dahi isteri aku sambil memandangnya dengan penuh sebak. Dia tersenyum, tetapi, juraian air mat kelihatan begitu jelas di wajahnya.

“Sayang, sayang kuat kan? Abang tunggu tau”, aku mula bercakap dengan perlahan. Aku masih ingat betapa sukarnya aku menahan air mata yang mula mengempang di mata aku.

“Don’t worry abang. Fiza kuat. Abang tolong belikan sikit buah-buahan ya. Mengidam nak makan buah epal…”, katanya, cuba untuk mengubah topik supaya aku tidak terlalu sedih.

Beberapa minit kemudian, seorang doktor menghampiri aku. Dia mengatakan bahawa operasi pembedahan itu berjaya. Dia juga menyerahkan aku jenazah anakku yang telah pun meninggal dunia akibat tidak mendapat darah secukupnya apabila isteri aku mengalami pendarahan yang teruk.

Selesai sahaja pembedahan, aku kembali ke dalam wad yang menempatkan Hafizah. Dia masih lagi belum sedar sepenuhnya, tetapi boleh mengangguk tanda setuju apabila aku meminta diri untuk mengebumikan anak ‘kedua’ aku itu.

Aku melihatnya sebagai cukup sifat, sudah cukup seperti seorang manusia, namun nampak terlalu kecil dan “rapuh”. Betapa hebatnya ciptaan Allah untuk menjadikan satu makhluk bergelar manusia.

Aku menggali kuburnya di satu tanah perkuburan setelah mendapat kebenaran. Hatiku terasa bagai kaca terhempas ke batu. Sedang aku bersiap-siap menguruskan diri dan ingin kembali ke hospital, telefon bimbit aku berbunyi. Tertera nama Makcik Aini di skrin telefon.

“Saiful, Saiful di mana? Mak awak sakit ni di rumah”, katanya.

Aku jadi berbelah-bagi. Ke mana harus aku tuju terlebih dahulu. Aku membuat keputusan untuk berjumpa Hafizah sebentar, dan kemudiannya terus pulang ke kampung berseorangan. Aku meninggalkan beberapa bungkus makanan dan buah-buahan untuk Hafizah di wad.

“Abang, saya nak buah epal sahajalah, ini, semua abang beli untuk saya, tak termakan la saya nanti”, kata Hafizah sambil tersenyum dan tergelak kecil.

Begitulah sifat isteri aku, Hafizah. Banyak mulutnya jauh mengatasi aku. Happy-go-lucky sokmo.

“Anything for you sayang”, aku menjawab.

Sedang dia melihat buah-buahan yang aku beli untuknya, dia nampak terdapat 3 bungkus plastik yang ada potongan buah rock melon.

“Abang, ni rock melon ni, abang bawa balik bagi pada ibu lah. Ini kan buah kegemaran ibu”, katanya sambil menghulurkan buah tersebut kepada aku.

Aku mengambil buah tersebut seraya menghulurkan tangan kepada isteri aku untuk bersalam. Dia mencium tangan aku dan berkata,

“Abang kirim salam mak ya. Dan abang, jangan marah-marah ya. Nanti esok lusa sayang tak mahu abang masuk neraka sebab abang jadi anak derhaka. Fiza tak ada ibu macam abang dan Fiza tak pernah kenal pun ibu Fiza yang betul, Fiza tak tahu macam mana nak jaga hati ibu, tapi, Fiza rasa bersalah”,

Aku mencubit pipinya sebab dia terlalu banyak cakap semasa itu. Memang satu kemalangan jalan raya yang terjadi semasa Hafizah masih kecil mengakibatkannya yatim piatu serta-merta. Dia tinggal di asrama anak yatim sejak kecil lagi, dan semasa remaja, dia menjadi sangat nakal, samalh seperti aku.

“Dah, sayang rest dulu, nanti abang balik sini kita sembang lagi ya”, kata aku berlalu pergi sambil membawa buah-buahan itu.

Sejujurnya, hati aku masih lagi sakit apabila memikirkan bala yang terjadi kepada Hafizah, semuanya akibat daripada kelakuan ibuku itu. Aku memandu pulang ke kampung berseorangan.

Setibanya di rumah, aku lihat Makcik Aini sedang berdiri di muka pintu rumah. Ibuku demam katanya. Ubat-ubatan telah pun dia belikan, dan katanya, dia harus ke bandar untuk mengambil anaknya, itulah sebabnya dia meminta aku pulang bagi menjaga ibu ku itu memandangkan aku pun tidak bekerja semasa hari tersebut. Majikan aku sudah pun memberi kelulusan emergency leave aku.

Masuk sahaja ke dalam rumah, aku bersalam seraya mencium tangan ibuku. Dalam hatiku, seteruk-teruk dia pun, dia masih ibuku. Aku meletakkan makanan di sebelahnya. Air mukanya bersahaja, kerana dia tidak tahu perbuatannya menendang Hafizah telah menyebabkan kematian kandungannya. Dia kelihatan sedikit lemah, tetapi masih boleh berjalan ke bilik air dan ruang makan di dapur.

Aku menghidangkan makanan untuknya.

“Ibu, ni ada buah rock melon yang saya belikan”, kataku, memperlawa ibuku untuk makan. Dia berdiam diri sahaja.

Aku mengambil pisau di dapur dan mula memotong buah itu untuk menjadikannya lebih kecil dan mudah dimakan. Aku duduk di hadapannya. Aku bertekad, aku perlu memberitahu perbuatannya tadi menyebabkan Hafizah dimasukkan ke wad dan mungkin dia slow-down sedikit daripada memaki aku.

“Ibu, Hafizah masuk wad”, kataku.

“Kenapa?”, jawabnya sambil mengunyah makanan.

“Keguguran”, jawabku.

“Ha, eloklah tu, anak haram tak patut hidup pun”, jawab ibuku.

Aku menarik nafas dalam-dalam…

“Dia mampus sebab dia tak layak pun jadi cucu aku. Kau keturunan anak haram ni memang macam tu”, katanya bersahaja.

Aku menjadi berang semula. Menggigil-gigil tangan ku menahan kemarahan. Aku ambil pisau yang digunakan untuk memotong buah tadi. Aku tunjal-tunjal potongan buah tersebut yang telah aku potong. Aku cuba mengawal perasaan aku sebaik mungkin.

“Betina sial tu…”

Aku tak sedar apa yang jadi. Apa yang kau ingat, tangan aku dipenuhi darah. Pisau dapur yang aku guna terpacak di dada ibu aku yang telah terbaring terlentang di atas lantai. Ibuku tercungap-cungap di lantai. Darah membasahi simen dan meja makan. Dia bernafas seperti ada sesuatu besar berada di mulutnya. Dia terbatuk-batuk, menghamburkan darah pekat nya.

<Fakta perubatan mula>

Dalam keadaan trauma sebegini, repression merupakan salah satu jenis defense mechanism yang sama seperti yang dialami oleh Saiful (bukan nama sebenar). Defense mechanism secara asasnya adalah satu cara di mana otak kita cuba melakukan sesuatu, kesan daripada tekanan daripada luar yang menyebabkan seseorang itu berasa gelisah atau murung.

Contoh yang paling mudah adalah displacement, iaitu apabila seseorang itu dimarahi oleh bosnya, dia pulang ke rumah dan memarahi isterinya pula.

Dalam kes ini, repression merupakan apa yang dialami oleh Saiful di mana dia tidak ingat tentang bagaimana dia mengambil pisau dan menikam dada ibunya. Untuk pengetahuan anda, apa-apa jenis defense mechanism pun, majoritinya berlaku secara subconscious dan tidak boleh dikawal.

<Fakta perubatan tamat>

“Ya Allah, ibu!!!, maafkan Saiful ibu, maafkan Saiful”.

Aku menjadi cuak. Aku cuba mencari kain untuk mengelap darah yang memenuhi ruang di situ. Tuala, cadar, kain batik dan segalanya aku guna untuk mengelap lantai dan meja., tetapi tidak boleh kerana darahnya terlalu banyak.

Aku berlari ke tandas, aku basuh tangan aku menggunakan sabun, dan berlalu pergi ke hospital yang menempatkan Hafizah. Dalam perjalanan, aku terketar-ketar membuat panggilan polis dan menyatakan bahawa aku ‘ter’bunuh ibu aku dan mayatnya berada di rumah tersebut.

Dalam otak aku, aku pasti akan ditangkap dan dihukum mati. Cuma, kalau aku tunggu sahaja di lokasi kejadian, aku khuatir tidak akan dapat berjumpa dengan Hafizah selama-lamanya.

Sampai sahaja di hospital, melihatkan wajah Hafizah yang senyum daripada jauh lagi, aku jadi breakdown. Aku terduduk di sisi katilnya dan mula menangis teresak-esak.

“Sayang, maafkan abang…”, kataku.

“Kenapa ni abang? Apa yang jadi ni?”, jawabnya.

“Abang terbunuh ibu…”, aku menjawab dengan perlahan.

Hafizah menyangka aku buat lawak sahaja, tetapi, apabila dia melihat wajah aku yang serius, dia menjadi pucat.

“Ya Allah abang… Ya Rabbi. Abang, jangan macam ni… Kita setelkan kes ni nak?”, kata Hafizah.

Aku memandang mata Hafizah dalam-dalam dan bertanya

“Macam mana kita nak setelkan ni sayang?”.

“Abang, abang telefon polis, buat pengakuan terus. Fiza boleh tahu abang sayangkan ibu, dan Fiza boleh rasa, apa yang abang buat ni untuk mempertahankan Fiza”, katanya.

“Kalau abang kena hukum gantung macam mana Fiza?”.

“Fiza tak rasa begitu abang. Kita bercakap elok-elok kes ini daripada awal lagi kepada polis ya”

“Tapi… kalau masuk penjara macam mana Fiza?”

“Abang, ni Fiza nak cakap ni. Bila kita dating dulu, kita buat maksiat semua tu kan? Tapi, abang ingat tak apa yang berlaku lepas tu. Abang ingat tak janji abang pada Fiza?”.

“Ya”.

“Fiza bersumpah demi Allah, Fiza tak akan meninggalkan abang selama-lamanya, sama macam apa yang abang janjikan dulu kan?. Kalau abang masuk penjara sekalipun, Fiza tak akan tinggalkan abang terkontang-kanting dalam tu. Kan ada waktu melawat…”.

Aku asalnya rasa nak marah sangat mendengar percakapannya itu. Nada suaranya yang tenang ibarat macam tak memahami apa yang aku baru sahaja beritahu. Tetapi, memang betul, benda dah berlaku, aku buat salah, aku harus berhadapan dengan kesalahan tersebut.

Aku membuat panggilan telefon mengatakan lokasi aku setelah aku meluangkan masa dengan isteri aku. Aku duduk, dan menunggu ketibaan PDRM yang akan memberkas aku tidak lama lagi. Aku memegang tangan Hafizah erat-erat, dan tak lepas.

15 minit kemudian, 2 orang anggota polis bersenjatakan pistol masuk ke dalam wad dan terus menuju ke katil yang menempatkan Hafizah. Belum sempat polis tersebut menyuruh aku untuk mengangkat tangan dan pusing belakang, aku sudah siap-siap berada dalam posisi tersebut. Aku digari dan ditarik dengan begitu keras.

Hafizah melihat apa yang berlaku dan menangis teresak-esak. Tiada apa lagi yang aku boleh lakukan. Pasrah dengan apa yang sudah berlaku.. Aku dihumban ke dalam black maria. Penumbuk, terajang semua ibarat makanan harian aku awal-awal semasa aku dimasukkan penjara. Aku terima. Aku reda. Aku faham, tak kira apa pun yang berlaku, aku tidak boleh mengundurkan masa,

2 tahun setengah lagi aku akan dibebaskan. Sudah 13 tahun setengah penjara ini menjadi rumah aku yang kedua. Seminggu sekali, Hafizah akan datang melawat aku bersama anak aku. Dia terpaksa pindah ke rumah ibu saudaranya dan bekerja di nursery. Dia menjaga kanak-kanak di taman itu, dan pada masa yang sama, anak kami berdua…

Aku bangga bahawa anak aku yang sulung, yang sering di label sebagai anak haram oleh ibu aku kini berada di sebuah sekolah berasrama penuh kerana pencapaian akademiknya yang bagus.

Aku menyesal menjadi pembunuh. Aku tidak bermaksud untuk melakukan perbuatan itu. Aku cuma tak mahu isteri aku yang bagaikan nyawa untuk diri aku diperlakukan sebegitu, dan digelar bukan-bukan.

Semasa di balai polis, dan penjara, aku dibelasah seteruk-teruknya. Masyarakat dan orang dalam penjara tidak mengetahui kisah yang sebenar. Mereka menumbuk sebelum bertanya. Aku tidak kisah dibelasah sedemikian rupa kerana tidak dinafikan bahawa aku bersalah.

Aku cuba berubah selepas kejadian itu sebelum ini. Tetapi, asyik-asyik diungkit. Tiada apa yang aku boleh lakukan selain daripada mengharapkan keampunan daripada Allah.

Aku harap, kisah ini boleh dijadikan pedoman untuk para pembaca semua. Aku bersyukur kerana walaupun aku berada dalam keadaan sebegini, ada insan yang sanggup memberi aku peluang untuk menceritakan kisah tentang aku.

Walaupun adik beradik dan saudara rapat aku memang membenci diri aku sepenuhnya, tapi itu tidak mematahkan semangat aku selagi aku ada komitmen untuk ditanggung selepas aku bebas nanti. Aku memohon kemaafan sekiranya ada pembaca yang merupakan waris keluarga aku yang terdekat dan cerita ini memang pun diketahui ramai.

Juga, jika diberikan sekali lagi peluang, aku akan gunakan sepenuhnya ke arah kebaikan. Insya Allah.

<Berdasarkan perbualan penulis dengan warden penjara, dia merupakan salah seorang banduan yang sangat baik dan mengikut kata. Dia tidak melawan, tidak terlibat dalam pergaduhan dan lain-lain.

Insya Allah hukumannya boleh dipendekkan lagi untuk memastikan dia boleh pulang ke rumahnya dan menjalankan tanggungjawab untuk isteri dan anaknya.

Faktor utama yang membolehkan dia survive di dalam penjara adalah sokongan isterinya yang tidak pernah terlepas untuk melawatnya, sekurang-kurangnya sehari seminggu>.

#kisahdaripenjara #imedart #medex #kisahterbaru #genex #genart

– ILZANNO SHARKY

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *