Assalammualaikum semua pembaca,
Aku tertarik nak berkongsi rasa lepas aku baca artikel tentang kenapa si penulis tidak lagi ada rasa sayang terhadap bapanya. Kisah aku ini tidaklah setragis kisah si penulis tetapi aku terasa hendak cerita kepada umum apabila membaca banyak komen yang menyatakan betapa ramai wanita yang bodoh kerana sanggup setia dengan lelaki yang tidak menghargai mereka.
Ibu aku tak bodoh!
Bapa aku sejenis yang kuat cemburu, ego setinggi langit dan panas baran, maka disebabkan itu ibu aku yang dulunya bekerja terpaksa berhenti kerja dan lebih selesa menumpukan perhatian kepada anak-anak.
Setelah ibu lama tidak bekerja dan fokus kepada rumahtangga, terbongkar satu rahsia yang bapa ada perempuan lain. Waktu itu hanya tuhan yang tahu betapa luruhnya hati ibu. Setelah semua pengorbanannya, bapa balas dengan kecurangan sedangkan dulu bapa yang beria mengajak ibu berkahwin.
Ibu hampir saja mahu meninggalkan bapa tetapi pujukan bapa yang menyatakan dia tidak akan mengulangi perbuatannya itu membuatkan ibu menelan segala pahit yang dia terima dan kembali ke pangkuan bapa dengan harapan bapa akan berpegang pada katanya.
Hidup kami berjalan seperti biasa walau bapa masih panas baran dan sering bergaduh dengan ibu walau pada hal yang kecil.
Masuk sekolah menengah, aku ke sekolah asrama smpai tingkatan 5. Setelah aku habis SPM, barulah terbongkar yang bapaku sudah lama bernikah lain dan sudah punya anak dengan wanita itu. Ibu sengaja merahsiakan hal itu daripada pengetahuanku kerana tidak mahu fokusku pada pelajaran terganggu.
Saat itu, figura bapa yang aku sanjung tinggi terus terpadam. Aku boleh menerima sikap bapa yang perengus tetapi apabila dia curang kepada ibuku hingga sanggup berkahwin lain, aku tidak bisa memaafkan dia lagi. Hingga kini.
Ya, aku tidak kisah jika ibu mahu berpisah tetapi seorang ibu tidak akan mementingkan dirinya dan berfikir soal kebahagiannya semata. Ibu terpaksa bertahan dan bersabar kerana adik-adikku masih kecil dan ibu juga tidak yakin untuk berdikari setelah lama tidak bekerja. Ibu bukan berfikir tentang dirinya, sebaliknya dia risau bagaimana dengan masa depan kami kalau dia berpisah dengan bapa.
Kalau mereka berpisah, apa nasib adik-adik aku yang memerlukan wang untuk persekolahan? Bagaimana dengan aku yang bakal melanjutkan pelajaran ke universiti? Ibu aku tidak habis belajar kerana datang daripada keluarga dhaif jadi bayangkan kerja apa sangat yang dia bisa lakukan untuk menanggung kami? Aku pasti semua itu bermain dalam fikiran ibu hingga dia terpaksa setia walau hatinya telah dirobek parah.
Kerana itu aku tak pernah salahkan ibu, aku tak pernah anggap ibu bodoh kerana tidak meninggalkan bapa sebaliknya ibulah insan paling tabah dan mulia yang aku pernah kenal.
Walau hati ibu sudah lama tawar tetapi hingga kini ibu masih bertahan. Aku sudah lama redha dan tidak kisah andai ibu mahu berpisah kerana aku sekarang sudah punya kerjaya sendiri yang bisa menanggung ibu dan adik-adik tetapi seperti biasa, ibu tetap seorang ibu.
Ibu masih memikirkan soal adik-adik yang masih belajar walau aku sudah mampu menanggung keluarga. Aku tahu ibu lebih rela bapa bertanggungjawab kepada anak-anaknya daripada melepaskan tanggungjawab itu kepada aku.
Orang lain mampu berkata apa saja, tetapi yang menanggung segala kepahitan itu tetap ibu aku. Walau apapun pandangan orang lain terhadap ibu, membodohkan ibu kerana kesetiaannya, aku tetap sayang ibu sampai syurga.
Kerana dia syurga aku.
-anak ibu
– Anak ibu
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit