Ibu Ayah Yang Meletakkan Dunia Dihati

Assalamualaikum. Saya Diba, berasal dari selatan dan sudah berumahtangga hampir 10 tahun. Kini memiliki anak seramai 3 orang.

Setelah membaca kisah ibu ayah yang pelik yang dikongsikan dalam page ini baru-baru ini, (https://iiumc.com/ibu-ayah-yang-pelik/).

Saya tergerak hati untuk turut berkongsi tentang kisah ibu ayah saya yang mempunyai kepelikan yang berbeza. Jika ibu ayahnya gemar menonjolkan seolah-olah mereka miskin, tapi ibu ayah saya sebaliknya.

Ibu ayah saya boleh dikategorikan dalam kumpulan B40..kerana pencen ayah hanya sekitar RM2000.

Dengan wang bulanan yang dihulurkan anak-anak berjumlah sekitar RM1000 sebulan, saya kira cukup untuk menyara mereka berdua yang sudah tidak miliki anak yang bersekolah.

Namun, apa yang saya kesalkan adalah sikap ibu ayah saya yang meletakkan dunia di hati.

Setiap kali saya pulang ke kampung, pasti ada saja barangan baru yang dibeli ibu dan ayah sehinggakan rumah mereka penuh seolah-olah kedai runcit. Ruang untuk berjalan dan duduk hanya muat-muat sahaja.

Jika bukan barang elektrik baru, pasti hiasan dinding, karpet, cadar, set tupperware, baju, tudung dan kasut yang baru. Sedangkan set tupperware, pinggan mangkuk, baju dan tudung ibu sudah banyak almari.

Malahan, ibu sering menghina pakaian anak-anak saya yang baginya kelihatan lusuh dan tidak cantik. Ibu yang kini di usia 60an sanggup berhabis duit untuk kelihatan cantik.

Selain itu, ibu dan ayah amat gemar berjalan. Jika orang tua seusia mereka lebih suka duduk di rumah untuk beribadah, tapi ibu ayah tidak lekat di rumah.

Setiap hari pasti mereka akan berjalan-jalan sekitar bandar. Adakalanya sehingga ke malam.

Saya berasa hairan kerana ibu ayah masih bertenaga untuk berjalan hingga larut malam.

Selain itu, mereka sentiasa merancang percutian ke tempat yang jauh seperti KL, Cameron Highlands dan Langkawi. Kami anak-anak perlu lah membawa mereka bercuti ke tempat yang mereka ingin pergi.

Jika tidak, mereka akan merajuk. Yang paling kasihan adalah adik lelaki saya kerana tidak dapat bercuti berdua dengan isteri yang baru dikahwini.

Honeymoon pun terpaksa bawa ibu dan ayah. Ini kerana ibu dan ayah akan merajuk jika adik tidak membawa mereka bercuti bersama.

Adik mengadu pada saya yang dia langsung tiada peluang untuk bercuti berdua dengan isterinya. Saya hanya mampu menyuruhnya bersabar. Ibu ayah juga hanya makan makanan mewah di rumah.

Jika menziarahi saudara mara yang menghidangkan menu biasa, mereka akan mengumpat di belakang dengan mengatakan saudara tersebut kedekut. Sedangkan saudara mereka bukanlah dari golongan yang senang.

Ibu dan ayah juga gemar bersaing dengan jiran. Jika jiran sebelah melancong ke Penang, ibu dan ayah tidak senang duduk selagi mereka tidak pergi ke Penang juga.

Jika jiran sebelah melancong ke KL, pasti ibu dan ayah akan mengajak kami ke KL segera.

Jika jiran sebelah menukar motosikal atau sofa baru, ibu dan ayah juga akan bising-bising pada kami bahawa mereka juga ingin menukar motosikal baru.

Pendek kata, apa sahaja yang dibeli jiran, pasti ibu dan ayah ingin memilikinya.

Selain itu, apa yang menyedihkan saya ialah ibu dan ayah masih lagi solat di hujung waktu, terutamanya ibu. Jika waktu zohor, hampir jam 4 petang, asar ibu hampir jam 7malam.

Akibat keletihan berjalan sehingga larut malam pula menyebabkan ibu sering menunaikan solat subuh sekitar jam 7.30pagi. Saya hanya mampu menggelengkan kepala.

Saya tidak lah kisah sebenarnya jika ibu dan ayah mahu bershopping, melancong, dan makan makanan mewah…kerana mereka layak untuk memilikinya setelah bersusah payah membesarkan kami anak-anak mereka.

Tapi apa yang menyedihkan saya, mereka sentiasa mengatakan tidak mampu untuk pergi umrah dan haji kerana mereka hanya B40.

Jika mereka mengurangkan sedikit keinginan untuk bershopping, berjalan-jalan dan makan makanan mewah, saya pasti ibu ayah mampu untuk pergi haji.

Saya dan adik beradik juga boleh menambah sedikit jumlah kos pergi haji jika ibu dan ayah mahu. Malangnya tiada sedikit pun usaha ibu dan ayah untuk mendaftar dan menyimpan untuk pergi haji.

Melihatkan ibu saudara suami saya pergi haji walaupun hanya bergelar seorang cleaner hospital, menambahkan lagi sebak di dada.

Doakan semoga sempena Ramadhan ini, ibu dan ayah saya beroleh petunjuk Allah.. agar meletakkan dunia di tangan, bukan di hati.

Terima kasih kerana sudi membaca.

– Diba (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *