Assalamualaikum, Maaf jika penulisanku agak kucar-kacir. Seperti juga kisah yang ingin ku luahkan.
Namaku anis (bukan nama sebenar). Umur pertengahan 30-an. Menjengah ke sini, untuk aku meluahkan tentang ujian keluarga dari Allah untukku. Aku mempunyai enam adik beradik. 3 lelaki, 3 perempuan. Aku yang terakhir.
Kiranya, aku seperti insan lain yang hebat diuji. Pernah diuji dengan kepincangan rumahtangga, jika menurut kata-kata kawan, keluarga, mahupon masyarakat, aku ini mudah mendapat jodoh kerana cukup pakej (ada rupa dan kerja)
Namun hakikatnya jodoh dan ajal tetaplah rahsia dari Ilahi, lalu menjadikan aku telah pon hampir 10 tahun menjadi wanita mandiri, ibu tunggal kepada seorang anak.
Namun tujuanku konfes adalah bukan tentang perihal jodoh tetapi mengenai keluargaku yakni keluargaku yang pelik.
Sedikit sahaja mampu aku tulis mengenai ayah kerana beliau telah pon menjadi arwah 10 tahun yang lalu. Namun, peritnya hidup dengan mempunyai jasad ayah didepan mata tetapi tidak pernah sekalipon ayah membelai kepalaku, apatah lagi memberikan nafkah.
Ayah juga tidak bekerja, tidak solat. Beliau sering berjalan kaki dan melepak di kedai-kedai kopi (jujurnya kepelikan beliau berjalan kaki kesana sini sehingga digelar orang gila selalu membuat aku dihina di sekolah. Hakikatnya bab makan, bercakap, dia sebenarnya waras).
Manakala ibuku, seorang wanita kampung sejati yang tidak berpendidikan, beliau lah yang membesarkan anak-anak dengan bekerja sebagai petani. Ibu, sewaktu aku kecil dahulu, seorang yang bertanggungjawab walaupon dia sangat panas baran.
Keadaan menjadi parah dan semakin parah lebih kurang 10tahun lalu, apabila ibu sering mendesak anak perempuan terutamanya aku perihal duit.
Ye, ibu memaksa aku dan kakak-kakakku menanggung perbelanjaan membeli dadah anak lelakinya. Satu-satunya anak lelakinya yang masih ada. Aku namakan dia Joni. Manakala dua lagi telah meninggal sewaktu aku masih kecil, juga kerana dadah.
Setiapkali meminta duit, tidaklah ibu nyatakan untuk membeli dadah, dia beritahu untuk membeli makanan. Tetapi hakikatnya duit itu tetap pergi kepada tangan Joni.
Bezanya, 2 abang yang telah meninggal itu, telah lari dari rumah sewaktu aku sangat kecil kerana serabut dengan pergaduhan ibu & ayah yang bertengkar dan memaki. Sejak itu, walaupon mereka tidak pernah menolong keluarga, namun mereka tidak pernah menyusahkan keluarga.
Berbeza sungguh dengan Joni. Joni ni perangai dia sangat dahsyat, tidak bekerja, dia juga sangat panas baran, sering memukul aku ketika zaman aku sekolah rendah dan menengah. Joni sememangnya tidak mengamalkan hidup orang Islam yakni tidak solat, tidak puasa.
Dan sekarang, walaupon jarang-jarang sahaja aku balik menjenguk mereka, menjadi satu kebiasaan sahaja aku mendengar dia menyumpah seranah terhadap ibunya sendiri dengan panggilan bod*h, b*bi, beng*ng.
Mesti kalian beranggapan, ibu membenci beliau. TIDAK! Bahkan ibu sangat-sangat sayang kepada beliau sehingga hilang kewarasan.
Jujurnya ibu sangat pelik. Ibu tidak mempunyai commence sense dalam hidup dan sentiasa menyakitkan hati anak-anak. Sebab itu hanya Joni yang boleh bertahan dengan ibu, kerana Joni berani marah ibu.
Ibu sangat degil dan tidak mendegar kata atau nasihat. Bercakap dengan nada lembut kepada ibu seperti mencurah air kedaun keladi. Sebab itu dia hanya takut pada Joni.
Disini aku ingin memberikan satu contoh sikap ibu yang tiada common sense, pada satu hari aku balik dari perjalanan yang jauh di bulan puasa, aku menelefon memberitahu bahawa aku pulang.
Mereka sentiasa menantikan kepulangan aku kerana sememangnya aku tidak pernah balik tangan kosong, makanan mahupon duit adalah yang mereka nantikan.
Ibuku juga menjadi semakin meminta-minta kerana sikap 3 orang anak perempuan yang murah hati. Namun dalam ketiga-tiga ini aku yang paling kerap diminta kerana aku kerja kerajaan.
Manakala satu kakak kerja swasta, dia jarang meminta kerana beliau sedikit tegas dan mempunyai ramai anak. Dan seorang lagi kakak kerja kampung sahaja.
Berbalik pada kisah bulan puasa tadi, sebaik sahaja sampai, aku mengeluarkan lauk-lauk yang dibeli. Apabila azan, ibu hanya memberikan setengah senduk nasi untuk aku berkongsi dengan anak, sedangkan penuh pinggan kepada anak lelaki beliau yang tidak puasa.
Dia sudah biasa masak nasi sedikit, kerana hidup berdua.
Dan ketika aku memaklumkan akan pulang, walhal dia juga yang berkali-kali call aku kerana teruja (teruja untuk dapat duit ye, bukan teruja dengan kasih dan rindu), sepatutnya awal-awal lagi, dia boleh menanak nasi lain ataupon call dan beritahu aku untuk beli nasi lebih.
Ibu juga tidak pernah malu untuk meminta-minta. Sehingga menjadikan anak-anak tawar hati untuk menelefon bertanya kabar. Kerana SETIAP kali menelefon, tiada benda lain yang disebut melainkan duit. Walhal jika beliau tidak meminta, tetap aku akan hulur.
Benda wajib untukku lakukan adalah memberikan beberapa ratus duit kepada ibu setiap kali gaji. Jika diikutkan, ibu sudah menerima duit bantuan warga emas rm500 sebulan.
Tetapi dia sentiasa mengeluh begitu begini kerana hidup susah katanya. Macam mana tidak susah jika KESEMUA duit diambil Joni. Ibu memang orang kampung sejati, jadi kad bank juga Joni yang pegang.
Kecewa….banyak aku kecewa. Pertolongan anak-anak yang baik tidak pernah ibu hargai. Tetapi, Joni jugalah yang dipuja-puji. Jika ada sesiapa menyebut keburukan Joni, ibu akan melenting. Ibu sudah berusia 70an. Jika bersama Joni, ibu akan menjadi kuli dengan relahati.
Masak, basuh, kemas semua ibu buat untuk Joni. Joni, selepas makan, jangankan nak basuh pinggan, bawa ke sinki pon tidak kerana telah dilayan seperti raja dari kecil.
Berbeza pula jika dengan aku, ibu mula buat perangai mengada-ngada. Mula nak mengadu sakit itu ini. Sebab aku ini sejenis yang bertanggungjawab dan caring. Perkara ini menimbulkan perasaan tidak enak dihati kerana sikap beliau juga.
Kalau dia sememangnya tidak larat aku tidak mengapa. Tetapi kenapa pula jika dengan Joni dia boleh jadi superwomen. Jika betol-betol tidak larat, bersikap begitu jugalah jika dengan Joni.
Ibu tidak berpelajaran, tetapi dia tidak suka mendengar. Jika aku memberi sedikit nasihat, dia akan melenting. Dia merasa ego tercabar walhal hampir semua benda tidak tahu. Tidak pernah sekali pon dia menunjukkan kekesalan dalam salah mendidik Joni.
Anak-anak yang lain juga tidak sempurna, seperti juga aku. Membesar sebagai seorang yang gagal dan banyak khilaf namun bezanya, apabila semakin bertambah usia, kami semakin mencari hidayah.
Entahlah, terlalu banyak yang ingin diceritakan. Kepedihan, trauma, tekanan yang aku hadapi kerana dugaan yang bernama keluarga (ibu Dan Joni). Namun ini sahaja mampu aku taip. Kiranya ini 1 peratus sahaja dari kisah-kisah pelik mereka.
Jika kisah in disiarkan, mesti akan ada cadangan seperti call polis dan sebangainya. Semua itu telah berlaku. Joni telah begitu lebih kurang 20tahun. Dalam tempoh itu, aku sendiri telah call polis. Joni sudah ditangkap hampir 10kali.
Jika kalian lihat bagaimana ibu menggelupur setiap kali Joni ditangkap. Pelbagai usaha akan ibu lakukan untuk bebaskan Joni, memaksa anak-anak untuk memberikan beberapa ribu, meminjam dengan jiran.
Cukuplah setakat in sahaja mampu aku taip. Akhir kata, aku mohon doa kalian untuk aku terus bertahan dalam kefanaan dunia sebagai ujian ini.
Mohon doa kalian agar ujian-ujian ini menemukan aku pada khusnul khatimah walaupon aku bukanlah seorang yang tinggi sabar, tinggi sangka baik pada takdir dan redha dengan seikhlasnya terhadap takdir aku.
Jujurnya aku merangkak meraih redha tuhan, demi mengecap bahgia didunia dan disana kelak. Mohon juga doa kalian, jika masih ada harapan untuk aku bertemu jodoh, menggapai fitrah dicintai dan mencintai.
Wanita sepi,
– Anis (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit