Ibu Berhati Walang

Salam semua. Sedikit pengenalan tentang saya, nama samaran Nana. First time mom di pertengahan usia 30an.

Saya baru bersalin. Seperti mana ibu-ibu bekerja yang lain, saya pun dah mencari pengasuh dan taska untuk anak saya sebaik sahaja tamat cuti bersalin. Akibat kesukaran mencari pengasuh, saya memohon kerja dari rumah sementara mencari pengasuh dan taska.

First time mom, saya akui, saya sangat cerewet bab pemilihan pengasuh dan taska. Banyak kriteria yang saya senaraikan untuk pastikan anak saya berada dalam jagaan yang terbaik.

Seriau mendengar, membaca, melihat kes pengabaian dan kes dera oleh pengasuh. Baik pengasuh persendirian mahupun pengasuh di taska.

Seperti tajuk yang saya tulis di atas, saya ibu yang berhati walang. Pilih punya pilih, Allah duga saya dengan sikap cerewet saya. Taska yang saya pilih tu kelihatan sangat menyakinkan.

Hari pertama hantar ke taska untuk tempoh percubaan pun saya dah berat hati untuk hantar memandangkan anak saya jenis high needs baby. Anak saya jenis perlu orang duduk menghadap dia walaupun semasa dia tidur.

Perkara ini sudah tentulah menyukarkan pengasuh. Di taska, mana mampu pengasuh menumpukan perhatian penuh kepada anak saya seorang.

Oleh itu, saya abaikan saja perasan sedih saya dengan menyedapkan hati, anak perlu belajar membiasakan diri dengan orang lain.

Orang disekeliling pun menambah garam, dengan mengatakan saya terlalu manjakan anak sehingga anak tak mahu orang lain langsung.

Sebaik sahaja saya tiba di taska, saya bertemu dengan pengasuh dan memaklumkan serba serbi tentang makanan, susu dan lain-lain maklumat berkenaan anak.

Setelah saya serahkan anak kepada pengasuh, anak terus menangis. Dengan terpaksa rela, saya keraskan hati meneruskan perjalanan ke tempat kerja sambil tak putus berdoa Allah menjaga anak saya sepanjang saya bekerja.

Sesampainya di tempat kerja, saya masih tak tenang. Makin jadi cacing kepanasan. Sedaya upaya menahan diri dari menelefon taska untuk bertanyakan keadaan anak saya. Saya betul-betul gelisah.

Saya minta suami melihat keadaan anak di taska dari kejauhan. Pada masa itu, suami memaklumkan anak telah tidur setelah penat menangis. Fikiran saya masih berkecamuk.

Naluri saya kuat merasakan sesuatu yang tak kena. Saya masih abaikan perasan tu dan teruskan kerja seperti biasa.

Hari pertama bekerja setelah lama bercuti dirasakan terlalu panjang. Saya segera siapkan kerja-kerja yang penting dari sekian senarai kerja yang menimbun. Setelah selesai kerja, saya segera memohon kebenaran untuk balik awal dari penyelia.

Mujur penyelia berhati mulia memahami galaunya seorang ibu yang pertama kali menyerahkan anak dalam jagaan orang lain. Saya terus ke taska untuk mengambil anak. Rasa rindu tak bertepi yang membuak-buak. Padahal baru beberapa jam berpisah.

Ibu yang cengeng ini tak henti-henti menangis sepanjang perjalanan. Sesampainya di pintu taska, naluri ibu ternyata tepat. Kedengaran suara nyaring anak saya menangis.

Saya tunggu beberapa minit sebelum membunyikan loceng pintu taska. Saya menekapkan telinga di daun pintu utk mendengar adakah anak saya dipujuk. Ternyata anak saya dibiarkan menangis sendirian.

Dengan sabar yang masih berbaki, saya menekan loceng taska. Pengasuh membuka pintu dan terkejut melihat saya datang awal dari masa yang diberitahu.

Seorang lagi pengasuh terus meluru mendapatkan anak saya kemudian memberitahu anak saya menangis semasa tidur kerana terkejut dengan bunyi loceng yang saya bunyikan. Alangkah sakitnya hati saya mendengarkan kebohongan yang diberitahu.

Saya pilih untuk terus berdiplomasi walaupun dalam hati saya sedang menunggu cetusan marah yang melahar. Saya ambil anak dan terus terbau najis di badan anak.

Lagi sekali saya uji pengasuh-pengasuh berkenaan jika mereka ada terhidu bau busuk. Mereka terus menjawab tidak ada sebarang bau. Mungkin hidung saya terhidu bau sampah.

Lantas saya terus memeriksa lampin anak dihadapan pengasuh-pengasuh tersebut. Ternyata anak saya memang berak. Najisnya pun dah comot ke seluruh punggung dan dah hampir kering.

Terus saya bersihkan anak saya sendiri. Punggung anak dah kemerahan. Pasti anak saya menangis kerana tak selesa dengan najis.

Paling saya sakit hati. Makanan anak yang saya sediakan tidak luak. Bila saya suapkan anak, semangkuk penuh makanan dihabiskan. Kelihatan anak saya betul-betul kelaparan. Sedih sungguh melihat anak saya dalam keadaan begitu.

Terus saya terimbau keadaan bayi-bayi lain di taska tersebut. Tak tahulah keadaan di taska lain bagaimana. Di taska ini anak-anak dibiarkan menangis sendirian dan hanya tidur di atas foam a b c. 1.2.3 tu. Allah. Remuknya hati.

Di sini saya nak tanya pendapat pembaca-pembaca, bolehkah taska mengambil warga asing tanpa kelulusan akademik yang diyakini sebagai pengasuh?

Saya jadi kasihan dengan anak kecil yang masih belum pandai bercakap diasuh disitu. Nak diadukan kepada pihak berkuasa, taska tersebut mendapat review yang baik.

Mungkin ibu bapa yang sibuk bekerja tak sempat melihat keadaan anak mereka dan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada taska berkenaan untuk menjaga anak mereka. Entahlah. M

aaf ya jika penulisan saya tak teratur. Emosi saya masih terganggu dengan insiden yang berlaku ke atas anak saya. Mungkin hal ini kecil bagi orang lain, tapi bagi saya perkara sebegini tak boleh diterima sama sekali.

Terima kasih kepada yang sudi membaca sampai habis.

– Nana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *