Assalamualaikum dan hai semua, saya ingin berkongsi sedikit kisah perjalanan keluarga kami.
Sudah genap 10 tahun kami menetap di kampung, bukan sekadar untuk berehat atau menumpang, tetapi atas masalah dihadapi di rumah lama menyebabkan kami pulang ke kampung. Segala keperluan rumah di kampung, termasuk bil-bil, ayah saya yang tanggung.
Ibu pula menjaga keperluan nenek, dan atuk, memastikan mereka makan dan minum dengan cukup.
Kami kembali ke kampung bukan tanpa ujian. Nenek saya sakit terbaring, dan walaupun ada adik-beradik lain, ibu yang menguruskan semuanya. Alasan mereka? Ibu tidak bekerja dan hanya duduk di rumah. Hakikatnya, ibu saya seorang yang banyak mengalah, tidak mahu membantah walaupun penat.
Atuk saya pula seorang yang bersifat narsistik, lebih menyayangi anak-anak lelaki dan tidak peduli siapa yang menguruskan nenek, asalkan ada orang buat kerja.
Bila ayah saya menegur, barulah “anak lelaki soleh” ini muncul, tetapi hanya untuk beberapa hari sebelum menghilang kembali. Sedangkan rumah mereka cuma bersebelahan.
Atuk saya selalu berkata anak-anaknya yang lain sibuk bekerja dan ada anak ramai. Tapi ibu saya juga ada anak, bukan? Dia juga ada kehidupan sendiri. Kasihan ibu, terlalu letih hingga kami bawa berjumpa doktor.
Doktor sendiri mengesahkan ibu tidak boleh lagi mengangkat benda berat. Tapi bagi atuk, asalkan nenek dijaga, dia tidak peduli. Ayah saya pula, walaupun mengalami sakit belakang akibat bekerja keras untuk menanggung kami, tetap berusaha mencari rezeki.
Sedihnya, ibu mengadu kepada ayah tentang keletihan dan ketidakadilan ini, tetapi apabila ayah mempertahankan ibu, ibu pula yang marah dan mempertikaikan tindakan ayah.
Jika ayah terlupa membeli sayur kegemaran atuk, ibu pasti memarahi ayah. Saya terkilan melihat ayah yang sudah berusaha sehabis baik tetapi masih dimarahi.
Lebih menyedihkan, atuk suka menyebarkan cerita tidak benar tentang keluarga kami. Orang kampung juga mula menjauh, percaya dengan fitnah-fitnah yang disebarkan. Padahal, ibu yang bersusah payah menjaga nenek sehingga meninggal dunia.
Sedangkan keluarga anak-anak lelaki atuk hanya datang sewaktu raya dan ketika kematian nenek. Dan merekalah terpaling sibuk di hari itu seolah-olah mereka yang menjaga nenek.Dan lebih menyedihkan, atuk sendiri mengatakan mereka tidak datang kerana “kami masih ada dalam rumah ini.”
Ibu mengalami tekanan yang sangat besar. Bagi saya bukan tekanan menjaga orang tua tetapi tekanan penat menghadap perangai orang narsistik ini.
Akhirnya, kami sekeluarga mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah sendiri yang lebih kecil 10 tahun bertahan. Rumah ini tidak jauh dari rumah atuk. Tanya di tanah emak. Kami fikir semuanya akan menjadi lebih baik, tetapi masalah tetap berlanjutan.
Orang kampung mula mempertikaikan kenapa kami tidak mengajak atuk tinggal bersama. Hakikatnya, yang tahu sahaja tahu. Orang akan kasihan dengan orang yang lebih berusia kan? Dan mengatakan kami sekeluarga sudah ada rumah lupa diri.
Kami ingat sudah pindah, ibu saya bolehlah bahagi-bahagi tanggungjawab dengan adik beradik yang lain tapi ibu juga yang buat semua. Ayah buat rumah itu untuk ibu rasa bebas. Tapi ibu yang masih merantai dirinya terhadap atuk. Ibu takut digelar anak derhaka.
Padahal ayah saya sudahpun mendapat gelaran itu dan buat tidak endah sahaja. Saya dan adik beradik jugak dihina sebegitu. Ibu masih memasak untuk atuk setiap hari walaupun atuk jarang makan masakan ibu. Saya sudah beritahu ibu tak perlu risaulah, kan atuk ada orang bawakkan makanan?
Atuk mempunyai kawan bomoh yang sering datang ke rumah dan membawa makanan kepadanya. Bila ditanya bayar ke makanan itu? Dia cakap tidak kerana bomoh itu teringat dekat dia nak beri makanan.
Kesian tak ada siapa masak untuk atuk saya. Habistu ibu saya penat-penat masakkan makanan untuk dia? Saya tahu dia menipu sebab atuk saya nak beri kami rasa bersalah sebab saya pernah ternampak dia beri duit kepada bomoh tu.
Lebih menyayat hati ibu saya. Atuk juga pernah bercerita kepada pakcik saya bahawa ibu memasukkan sesuatu ke dalam makanannya, seolah-olah menuduh ibu berniat jahat.
Tuduhan ini sangat menyakitkan kerana ibu telah berkorban segala-galanya untuk menjaga atuk sehingga kami sekeluarga redha sahajalah ibu macam tu lebihkan atuk. Apa- apa perkara atuk dulu. adakah ini trauma akibat perangai dari narsistik?
Saya sedih melihat ibu yang masih dibelenggu rasa bersalah, sedangkan pengorbanannya sudah terlalu besar.
Pakcik-pakcik saya pula? Mereka pasti gembira kerana tanggungjawab mereka telah diambil alih oleh ibu selama ini. Ingatkan apabila berpindah, masalah akan selesai, tetapi rupanya tekanan masih ada.
Saya mohon kepada pembaca, doakan ibu saya diberi petunjuk supaya ibu saya nampak yang mana kaca dan yang mana permata.
Kami sayang ibu tetapi ibu yang memilih begitu kerana takut digelar anak derhaka. Kami buntu.
Doakan saya pembaca-pembaca sekalian supaya kami boleh hidup positif di rumah syurga kami.
– Rarinu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit