Kisah ini bermula 6 tahun yang lepas. Ketika itu, aku baru sahaja mendirikan rumah tangga. Aku sungguh tidak menyangka yang perkara ini akan terjadi kepada keluarga aku sendiri.
Ianya terjadi selepas ibu berjumpa semula dengan rakan sekolahnya. Dan ibu semakin aktif mengikut segala aktiviti bersama rakan sekolah lamanya, terutama reunion sekolah. Sejujurnya apabila ibu mengikut semua aktiviti bersama rakan lamanya, aku tidak gemar dengan semua itu.
Jauh di lubuk hatiku merasakan akan ada sesuatu perkara buruk yang akan terjadi. Semakin lama, semakin menjadi-jadi perangai ibu. Kerap keluar malam dan lepak bersama rakan lamanya. Bercampur tak kira isteri orang mahupun suami orang.
Mereka seperti tidak ada perasaan malu. Semakin meningkat usia, semakin menjadi-jadi.
Suatu hari, aku terbaca masej ibu bersama lelaki lain. Kalau isi kandungannya seperti borak biasa aku tidak kisah. Akan tetapi, isi kandungannya amat menyakitkan hati aku.
Lalu aku mencari tahu, siapa gerangan yang cuba mengganggu merosakkan ikatan kekeluargaan kami. Akhirnya aku jumpa siapa lelaki itu.
Betul rupanya tekaan hatiku. Lelaki itu adalah salah seorang dari rakan lamanya.
Aku tahu kenapa ibu begitu berani masej dengan lelaki lain. Ini kerana, ayahku seorang buta huruf. Ayahku memang tidak reti untuk membaca lansung. Akan tetapi ayah seorang yang gagah mencari rezeki untuk membesarkan kami dan memberi kami kehidupan yang selesa.
Berbalik pada kisah ibu. Suatu hari, ibu meminta kepadaku untuk membawanya pergi kekedai rakan lamanya. Dengan alasan untuk memberi jeruk yang dibuatnya kelmarin.
Aku dengan hati yang gugup dan berdebar-debar menghantar ibu. Sewaktu itu aku merasakan dia lah lelaki yang cuba untuk mengganggu ikatan kekeluargaan kami.
Aku tidak tahu mana untuk mendapatkan nombor lelaki itu. Dan tiba-tiba aku terpandang papan di kedainya yang mempunyai nombor telefon lelaki itu. Aku dengan segera mangambil gambar papan tanda yang mempunyai nombor telefon itu.
Pada keesokkan harinya, aku cuba untuk memberanikan diri masej lelaki itu. Yela, aku anak yang sulung. Tiada abang mahupun kakak untuk aku berkongsi. Yang ada hanya adik 2 orang dan masih bersekolah. Aku terus masej lelaki itu, supaya jangan mengganggu ibuku.
Selang beberapa hari, ibuku marah, tengking dan herdik dengan nada suara yang amat tinggi. Aku merasakan seakan satu dunia medengar suara ibu menjerit memarahiku. Sungguh aku tak menyangka yang ibu memarahiku gara-gara malu dengan rakan-rakanya.
Rupanya baru aku tahu yang lelaki itu memberi amaran kepada semua rakan lama ibuku untuk berhati-hati kerana aku memerhati. Agak lama ibu memarahiku dan tidak menegurku. Aku hanya ada suami tempat aku mengadu.
Aku faham, suami tidak mahu mencampuri urusan kerana dia hanya menantu. Dan aku tidak menceritakan hal ini kepada ayahku atas sebab aku tidak mahu ayah risau. Yang mengetahui hal ini hanyalah aku, suami dan adik-adik.
Selang setahun, ibu mula menegurku semula. Itupun setelah puas aku cuba mngambil hatinya kembali dan memohon ampun. Aku fikir, keadaan kembali seperti biasa dan tidak akan ada apa-apa perkara buruk berlaku lagi. Rupanya-rupanya, pisang berbuah dua kali.
Sungguh aku tidak menyangka yang ibuku curang untuk kali yang kedua, tapi bukan dengan lelaki yang sama. Aku seakan merasakan ada batu besar yang jatuh menimpaku. Dugaan apa lagi yang kau beri ya Allah. Mampunkah aku menggung semua masalah ini.
Ibu mula buat hal, dengan tidak mengendahkan lagi ayahku, sering meninggi suara kepada ayah. Kami sedih melihat ayah dimarahi oleh isteri sendiri yang sepatutnya dihormati dan disayangi.
Sewaktu itu aku keliru sama ada aku ingin berkongsi cerita mengenai ibu kepada ayah atau pun hanya berdiam diri sahaja. Aku cuba untuk mengumpul bukti bahawa ibuku berlaku curang.
Kami membuat whatsapp web, kami “screen shoot” segala perbualan ibu dengan lelaki durjana itu, serta kami mencari tahu siapa lelaki itu sebenarnya.
Setelah hampir setengah bulan aku mengumpul bukti dibantu oleh adikku yang paling bongsu. Akhirnya aku dapat tahu lelaki itu adalah sepupu ibuku sendiri. Sewaktu mereka diusia remaja, mereka adalah sepasang kekasih.
Mengapalah perlu ibu mengingati semula kisah silam antara mereka dan mengapa perlu jalin semula hubungan itu. Sedangkan lelaki durjana itu sudah beristeri dan beranak 5. Apa yang ibu kejar padanya, aku pun tidak mengerti.
Aku mula memberanikan diri untuk memberitahu pada ayah. Rupanya sudah lama ayah perasan dengan tindak-tanduk ibu yang kian berubah.
Sewaktu itu, aku sangat sedih melihat raut wajah ayahku yang mula berubah apabila mendengar perbualan ibu dengan lelaki durjana itu setelah aku membacanya.
Bertapa remuk hati seorang suami apabila mendapat tahu isteri yang disayangi dan dikasihi berlaku curang. Aku sangat berbangga dengan ayah, kerana ayah tidak cepat naik tangan pada ibu.
Ayah cuba selesaikan dengan cara baik. Berbagai cara ayah cuba untuk selamatkan ikatan perkahwinannya.
Suatu hari di pagi 1 Syawal, kami seperti biasa menunggu ibu dan ayah untuk bersalaman memohon ampun. Tapi berbeza pagi ini, kami tunggu sangat lama.
Tiba-tiba ayah keluar dari bilik dan suruh kami menyalamnya. Kami tunggu ibu, ibu tidak keluar-keluar dari bilik. Kami bertanya kepada ayah, dimana ibu?
Dan ayah memberitahu nanti ibu keluar. Lepas itu, ayah memberi tahu bahawa ibu meminta cerai kepadanya. Kami berdiam diri, dan masing-masing menyeka air mata. Hati mana yang tak hancur, apabila dapat tahu ibu meminta cerai dengan ayah dipagi 1 Syawal.
Ketika itu, kami terus gerak ke rumah atok dan bersalaman seperti biasa dan membuat seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Waktu itu pun raya PKP, jadi lepas balik dari rumah atok kami terus pulang kerumah masing-masing.
Makin hari keadaan semakin teruk. Ayah seperti biasa cuba menegakkan semula dan memperbaiki tiang yang hampir roboh. Akan tetapi ibu tetap berdegil meminta dirinya dilepaskan.
Pada suatu hari, ibu memintaku untuk menghantarnya ke mahkamah. Tetapi, suamiku melarang untuk menghantar ibu.
Suamiku berkata jika ibu ingin meminta tolong yang bukan dari hal rumahtangga ibu, suamiku benarkan. Tetapi jika melibatkan rumahtangga ibu, suamiku melarang sama sekali.
Ibuku kerap meminta aku untuk menghantarnya ke klinik. Ibu sering mengatakan yang ibu sudah tiada hati pada ayah bukan sebab lelaki lain, tapi sebab ayah buat ibu sakit.
Pada mulanya aku tidak mengerti apa yang ibu perkatakan. Dan ibu terus menerangkan kepadaku. Yang ibuku sakit disebakan ayah yang ada penyakit kencing manis. Aku seperti percaya dan tidak. Aku mula selidik dan bertanya kepada yang lebih arif.
Mereka mengatkan yang ianya tiada kaitan dan dari situ aku fikir ibu hanya cari alasan untuk dilepaskan. Ibu sering tabur fitnah tentang ayah kepada orang lain. Ibu sering bercerita masalah dirinya kepada orang lain untuk meminta simpati. Aku sendiri tidak faham dengan perangai ibu.
Ibu pernah lari rumah, balik rumah atok. Dan sewaktu ayah tiada di rumah, ibu cuba mengambil barang-barang bawa kerumah atok. Aku tidak faham mengapa ayah masih mempertahankan perkahwinannya, sedangkan ibu dah buat macam-macam untuk menyakitkan hati ayah.
Akhirnya aku berfikir, ayah buat semua ini mungkin sebab terlalu sayangkan ibu. Ayah pujuk ibu, dan bawa ibu pulang kerumah.
Apa yang aku perasan, ayah melayan ibu dengan lebih perhatian. Apa yang ibu inginkan ayah beri. Ibu ingin berjalan ayah bawa. Segala apa yang ibu mahukan, ayah akan tunaikan.
Kadang kami kesian dengan ayah. Mengikut sahaja telunjuk isteri asalkan isteri bersamanya. Aku hanya mampu berdoa dan terus berdoa supaya ayah kuat untuk melayan kerenah ibu. Akhirnya aku nampak ibu sedikit berubah.
Hari demi hari pun berlalu, dan alhamdulillah ibu semakin okay. Baru-baru ini ada kenduri dirumah saudara kami. Tiba-tiba, kakak sepupuku bertanyakan tentang ibu.
Ibu menceritakan kisah dirinya yang katanya “teranaiya” oleh sang suami. Aku terkejut kenapa ibu bercerita tentang itu kepada sepupu kami?
Adakah untuk mendapatkan simpati kembali? Adakah untuk memberitahu bahawa ayah kami ni jahat? Mengapa ibu perlu buka aib sendiri?
Aku bukan lah nak mempersoalkan ibadah ibu. Tapi apa guna ibu beribadah, sedangkan mendurhakai suami sendiri! Aku kesal dengan sikap ibu yang masih tidak berubah.
Tidak bersyukur dengan apa yang ibu sudah ada sekarang ni. Ibu dah ada rumah besar, kerata, duit pun tiap hari ayah bagi, nak berjalan keman-mana pun ayah bawa. Apa lagi yang ibu tak puas hati tentang ayah?
Aku pun menerangkan dari awal masalah keluarga kami supaya sepupu kami tidak salah faham.
Aku bersyukur sepupuku bukan hanya mendengar dari sebelah pihak. Jujur aku mengatakan bahawa perasaan sayangku pada ibu semakin hilang, hatiku kepada ibu semakin kosong. Aku berdoa supaya jauhkan sifat benci dari dalam hatiku.
Kini, aku hanya mampu berdoa supaya ayahku lebih kuat. Sepatutnya dari awal aku berkahwin ibu perlu memberi contoh yang baik kepada aku tentang hal rumahtangga.
Akan tetapi aku hanya nampak yang negatif. Aku bernasib baik sebab dikuraniakan suami yang baik, dan juga menjadi tulang belakang aku utuk dorang aku menjadi seorang anak yang lebih kuat.
Dari aku kecil aku mengagungkan ibuku, menjadikan ibu sebagai idolaku. Akan tetapi, semakin aku menigkat dewasa aku merasa IBU BUKAN LAGI IDOLA YANG AKU AGUNGKAN!
– Jasmine (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit