Hari ini aku terpanggil menulis kerana aku terbaca coretan syed azmi tentang ibu yang rindukan anaknya. Aku juga punya cerita ibu yang rindukan anaknya. Versi keluarga aku.
Aku punya ibu. Seorang yang menjaga kami sebaik-baiknya kerana abah jarang ada di rumah sewaktu kami kecil. Keluarga besar kami ibu tanggung sepenuhnya dengan duit jualan kuih dan nasi. Gaji abah? Abah tak usik pun setiap bulan hinggalah abah ada simpanan 7 angka dalam bank.
Kini ibu menjangkau usia emas. Kami bertebaran dari utara semenanjung, pantai barat, timur, tengah, bahkan selatan. Pada usia emas ini masih lagi bersusah payah menjaga abah yang tidak sihat, sarat dengan kombo penyakit tidak berjangkit versi orang miskin kaya.
Ibu dan abah selalu menyatakan rindu. Sarat rindu pada cucu dan anak-anak. Namun tiap kali kami balik, diherdik tengkingnya kami yang usia dari 40an ke lewat 20an sesuka hati. Ditengking-tengking cucu yang melasak diherdik diam.
Minggu lepas balik, minggu ini diasak supaya balik. Jika anak diamkan diri, menantu pula dihantui dengan kata-kata menagih simpati agar rasa bersalah menghantui, tapi bila pulang, ibu dan abah sibuk ke kenduri kahwin sana sini.
(Ada 5 kenduri kahwin, semua nak pergi walau tahu anak sudah menghampiri) hinggakan 2 jam anak cucu tersadai menanti di kaki tangga, siap pergi shopping, balik rumah masih berkunci, walau ditelefon menyatakan lokasi diri, sekejap itu lamanya dua jam menanti.
Jika sibuk melanda diri, ada anak yang mengambil ibu dan abah datang ke rumah, namun hanya rumah anak tertentu yang sudi dijejaki. Itupun waktu pulang sesuka hati, tengah-tengah minggu dipaksa hantar pulang ke kampung walau sebelum itu hujung minggu janji dihantar pulang. Rupa-rupanya ada program di kampung menanti.
Ibu selalu kata, untung si polanah punya anak dekat-dekat, senang nak lihat cucu-cucu. Tapi polanah itu cucunya tak seramai cucu ibu. Tapi ibu tak seperti polanah yang kepenatan mengasuh cucu-cucunya. Ibu juga tak punya anak-anak yang saban waktu meminta wang dari polanah. Ibu juga tiada ada yang menengking-nengking ibu tatkala ibu melakukan silap.
Ibu selalu kata, untung si polan punya anak-anak yang punya rumah, kereta besar. Ya, anak-anak ibu yang punya rumah hanyalah rumah kecil dan rumah burung (flat). Yang menyewa di rumah kecil berselerak kerana anak masih kecil. Rimas untuk ibu singgah, tak selesa.
Bahkan dulu ibu, rumah kita di pantai timur amat kecil, sekecil-kecil rumah untuk keluarga besar kita dahulu. Bahkan dulu ibu pernah punya anak kecil berderet (kami) yang tak henti berselerak. Ibu abah selalu berkata rindu. Bila pulang, dimaki. Bila tak pulang asyik dipanggil-panggil agar kembali.
Ibu abah selalu tak berpuas hati rezeki sederhana kami. Walhal, tatkala ibu merengek itu ini habis tak terbeli, ada saja anak ibu memesan atas talian agar dihantar pada ibu. Ada saja anak menghulur wang. Tiada anak yang meminta tarahan simpanan ibu buat survival diri.
Tolong, nyatakan justifikasi rindu ibu ini. Anak ini selalu insafi diri, mungkin sewaktu kecil terlalu banyak perkara yang menyukarkan ibu hinggakan waktu ini, serba serbi tak kena buat ibu dan abah.
Mohon doakan anak ini berupaya sabar. Sabar melayan rindu yang selalunya diakhiri dengan caci maki.
Ya, itu rindu ibu. Yang sampai kini tak aku pasti atas dasar apa hadirnya rindu itu, kerana jika dibalas menyeksa anakmenantu dan cucu.
Anak yang serba serbi tak kena di mata ibu,
– Anak betung. (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit