Ibu Mengertillah, Aku Sengsara

Assalamualaikum pembuka bicara. Allah tidak akan menguji seorang hamba lebih dari kemampuannya (2:286). Namun begitu, hati ini sering bertanya, kuat benarkah aku hingga diuji sebegini rupa?

Apa perasaan para pembaca jika ibu kalian sering mengatakan bahawa anda tidak akan cium bau syurga tiap kali dia marah. Aku sendiri sudah muak dengan kata-kata itu. Dalam hati sering berkata, jika aku tidak akan kesyurga, biar saja aku jadi anak jahat sejahatnya. Biar aku abaikan dia. Biar dia hidup dengan anak-anak lelakinya.

Aku ada dua orang adik beradik lelaki. Seorang adalah adik dan seorang lagi abang. Ibu aku pilih kasih dan berat sebelah sejak dari aku kecil lagi. Ketika kecil, bila aku bergaduh dengan adik lelakiku, adik lelakiku akan menghina dan memaki hamun aku semahunya kerana dia tahu dia tidak akan pernah disalahkan oleh ibuku. Aku sentiasa akan menjadi villain. Abangku juga begitu. He’s the apple of the eye of my mother. Buat salah apapun ibuku akan tutup sebelah mata. Aku pula bolehlah dikatakan the black sheep of the family hanya kerana aku pendiam dan adik beradik lelakiku bermulut manis.

Alhamdulillah Allah mudahkan urusanku dari segi pelajaran dan kerjaya. Aku sering mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan terus ditawarkan dengan pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang pengajianku sebaik sahaja tamat pengajian.
Dipendekkan cerita, ibu berpisah dengan ayah. Ibu kini tinggal bersamaku di sebuah rumah sewa. Adik lelakiku juga tinggal bersama kami. Adik lelakiku belajar hanya setakat SPM. Itupun semasa sekolah dia banyak buat hal. Ada sekali dirotan guru disiplin kerana tertangkap merokok. Ketika itu ibu percaya dengan dia bulat-bulat bahawa dia hanya melepak dengan kawan-kawan yang merokok dan dia sendiri tidak merokok. Aku memang tidak boleh terima ketika ibu marah-marah dengan guru disiplin tersebut kerana kononnya telah merotan adik tanpa usul periksa. Dalam hati aku berkata, memang adikku akan rosak kerana terlalu dimanjakan. Dia kini bekerja ikut mood. Jika terasa sudah tidak suka dengan sesuatu tempat kerja, dia terus akan berhenti kerja dan duduk menganggur di rumah. Ibu tak pernah berkata apa. Jika aku menegur, aku akan dikatakan anak yang tak boleh ditumpang senang. Sudah berjaya, sombong dengan adik beradik yang susah. Aku memang terasa hati bila ibu berkata begitu. Sedangkan motosikal yang adikku guna pun aku yang bayar. Satu sen pun dia tak pernah hulur walau ketika dia bekerja. Pernah sekali, aku marah dan pegang kunci motosikal kerana dia tidak bekerja dan asyik merayau di malam hari. Dia mengamuk dan angkat kaki kepadaku. Tahu apa yang ibuku buat? Ibuku marah kepadaku, masuk bilik dan terus hempas pintu sekuat-kuatnya. Aku dikatakan suka cari pasal dan tak boleh ditumpang senang. Allah sahaja yang tahu perasaanku ketika ini. Terasa mahu keluar rumah dan tinggalkan ibu dengan anak lelaki kesayangannya ketika itu juga.

Itu kisah dengan adikku. Kisah dengan abangku pun apa kurangnya. Semasa aku masih bergelar mahasiswi, aku mendapat tajaan biasiswa JPA. Abangku minta untuk dipinjamkan RM 500.00. Aku beritahu ibu, ibu cakap, pinjamkan sajalah. Aku pun mengalah. Sampai kesudah tak berbayar. Memang aku kecewa sebab aku bergantung sepenuhnya dengan biasiswa. Dengan wang itulah aku survive sehingga hujung semester dan untuk disimpan sementara biasiswa semester seterusnya dikreditkan kedalam akaun (penerima JPA akan faham bahawa JPA masuk lebih lambat berbanding PTPTN pada awal semester baru). Tak pernah aku minta duit dengan ibu ayah sebab aku tahu memang mereka tak mampu. Terasa dikhianati. Orang lain ada abang boleh bergantung harap, aku sebaliknya. Selepas aku bekerja selalu juga abang minta untuk meminjam wang dan sememangnya tak pernah berbayar. Sudahlah mengharapkan adik perempuan untuk menangggung ibu bapa, duit adik perempuan pun dikebasnya seolah-olah memang menjadi tanggungjawab aku untuk menanggung keluarganya juga. Namun aku tak pernah yang baik dimata ibu. Anak-anak lelakinya malaikat. Langsung tak boleh disentuh.

Salahkah aku kerana berjaya dan mampu menanggung kehidupan sendiri. Salahkah aku kerana tidak main-main ketika belajar kerana aku tahu hanya pelajaran sahaja yang mampu menyelamatkanku. Terasa seperti apa yang aku buat langsung tidak terkesan di hati ibuku. Duit belanja bulanan yang aku beri kepada ibuku setiap bulan boleh dikatakan banyak. Dengan duit itu dia hulurkan kepada adikku untuk membeli rokok. Untuk mengisi minyak motor. Bila dia bersungut mahu makan sesuatu aku akan belikan. Bila aku belikan pakaian untuk diri sendiri, aku tidak lupa untuk belikan yang ibu punya juga. Aku masih anak yang tidak boleh ditumpang senangkah? Jahat lagikah aku sehingga ibu sering kali mengatakan bahawa aku tidak akan cium bau syurga, sehingga dia sering mengajak adikku keluar dari rumah dengan kata-kata yang menghiris perasaan, “ini rumah orang, kita menumpang”. Aku ini siapa, orang luarkah? Adakah aku bukan anakmu? Ibu, mengertilah, aku sengsara.

– The Black Sheep

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit