Ibu Mertua

Assalamulaikum. Niat menulis di sini hanya sekadar luahan.

Aku telah berkahwin hampir 20 tahun dan mempunyai anak. Suami ku merupakan anak tunggal lelaki.

Awal perkenalan dengan suami, ibu mertua aku bersikap baik terhadap aku. Namun, segala berubah setelah aku berkahwin dengan suami.

Di awal perkahwinan, kami banyak bergaduh mengenai sikap ibu mertua aku. Jika dia mencari suami aku, aku dilarang untuk dibawa bersama.

Namun, suamiku akan berkata, dia isteri saya dan saya ada hak untuk membawanya bersama.

Aku juga pernah diberitahu oleh ibu mertua, orang luar buat cara orang luar. Hati ini memang terasa ketika itu.

Tahun demi tahun aku bersabar dengan karenah ibu mertua. Ketika aku tengah mabuk mengandung, aku disuruh membasuh pinggan tetapi suami tegah.

Dia mengambil tugasan itu, akibatnya aku dimarahi. Kami pernah hampir bercerai kerana ibu mertua. Suami diberi kata putus oleh ibunya, aku atau dia.

Alhamdulillah, suami masih memilih aku dan anak-anak kerana itu tanggungjawab dia ketika itu. Akibatnya, suami di cop anak derhaka.

Suami aku, suami yang baik. Tidak pernah abaikan tanggungjawab, selalu melayan karenah aku cuma aku terkilan kerana kadang-kadang dia tidak menegur ibunya terhadap layanan yang diberi kepadaku.

Tidak pernah pun dia menanya ibunya, kenapa aku dilayan sedemikian.

Disuruh aku memasak, aku masak. Disuruh aku buat kuih kegemarannya, aku akur demi mengambil hatinya. Namun tiada hasil.

Aku sudah berputus asa untuk mengambil hati ibu mertua setelah 10 tahun berkahwin.

Aku memberi tahu suami, aku sudah tidak mampu untuk makan hati jadi aku angkat bendera putih. Pulang ke kampungnya hanya sekadar aku menghormati suami serta ibu mertua.

Suami akur dan dia faham. Pulang ke kampung suami bererti aku akan dipinggirkan, membuat hal aku sendiri.

Aku biarkan dia mengisi masa melayan ibunya. Kadang-kadang aku tertanya-tanya, apa salahku dimana silapku.

Aku masih menghormati ibu mertua sebagai ibu tapi cukup sekadar itu. Tiada kemesraan di antara kami. Semoga suatu hari nanti ibu mertua aku terima aku seadanya.

– Anon (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *