Kebelakangan ini saya banyak terbaca perihal hubungan ibu mertua jadi saya nak berkongsi kisah saya. Maaf saya bukanlah pandai sangat nak menulis sekadar ingin berkongsi.
Saya bertemu jodoh dengan suami yang saya namakan A setelah hampir 8 tahun bercinta. Saya dari keluarga yang agak berantakan sebenarnya, banyak kisah yang sedih berlaku semenjak dari kecil.
Hubungan dengan ibu kandung saya kurang baik kerana saya adalah anak yang dianggap sial kerana dia mengandungkan saya ketika hubungannya dengan ayah saya menanti jalan penghujung dan disebabkan kelahiran saya dia terpaksa menurut kehendak keluarga untuk rujuk kembali.
Walaupun saya masih kecil tapi saya faham kelakuan ibu yang agak kasar terhadap saya terus terang saya memang didera secara mental dan fizikal.
Perkataan seperti ‘jalang’ ‘bodoh’ ‘kau ingat buka buku boleh buatkan saya masuk universiti’ ‘pergi gali lubang kambus diri dalam tu’ ‘pergi terjun dalam perigi’ selalu jadi muzik di telinga saya.
Jadi saya membesar sebagai seorang anak yang agak degil, saya banyak memendam rasa, dan berdikari memandangkan kehadiran saya di rumah kurang disenangi oleh ibu saya setiap kali cuti persekolahan saya akan keluar bekerja seawal usia.
Saya rapat dengan A di tahun akhir pengajian saya di universiti. Saya berjaya menghabiskan pengajian terlebih dahulu dan berhijrah ke ibu kota.
A ketika itu masih belajar di ibu kota kerana perlu mengulang semester. Walaupun A dari keluarga yang agak senang tapi dia tidak banyak bergantung kepada keluarga.
Kenderaan yang digunakan hanyalah motosikal cabuk pemberian arwah ayahnya yang agak uzur. Motosikalnya sering pancit, pernah sewaktu menolong saya menghadiri interview motosikal rosak jadi kami bersama mengusung motosikal ke bengkel yang berkilometer jauhnya.
Berkali tayar pancit hadi kami berpanas dan berhujan bersama mencari tayar ganti atau menunggu orang datang gantikan tayar.
Ketika itu kami masih berhubungan secara rahsia memandangkan keluarga kami mengenali antara satu sama lain sehinggalah di tahun yang ketiga hubungan kami terbongkar. Ibu A secara terang-terangan menentang perhubungan kami.
Pada waktu itu yang paling mengejutkan abang sulung A yang rapat dengan saya juga menentang. Saya dituduh sebagai seorang pengikis dan macam-macam lagi. Saya agak terkejut pada malam pergaduhan itu A bercerita kepada saya dan bertindak keluar dari rumah untuk menenangkan diri.
Sewaktu itu tipu kalau saya katakan tidak langsung terkesan dengan tuduhan sebegitu. Hiba hati saya dengar tuduhan sebegitu tapi saya cuba berlapang dada.
Saya nasihatkan kepada A pada waktu itu jangan kerana saya dia bermasam muka dengan keluarga. Saya hanya kekasih bukan ahli keluarga. Apa tuduhan yang dikeluarkan saya anggap ayat yang keluar bila orang marah.
Cukup A sahaja tahu macam mana kami beri sokongan antara satu sama lain. A menyakinkan saya untuk meneruskan perhubungan kami. Setelah saya menimbang tara saya teruskan perhubungan kami.
Selepas hampir 3 tahun A bekerja dia ingin masuk meminang saya. Pada waktu itu sekali lagi keadaan menjadi kecoh kerana ibu dan abang A fikirkan hubungan kami telah lama terputus.
Waktu itu saya memang dalam dilema. A adalah seorang yang amat pendiam namun saya sukakan dia kerana sikap matang dia.
A memujuk saya berkali-kali dan menyakinkan sehingga akhirnya saya mengalah. Ibu A setelah dipujuk berbulan-bulan akhirnya dia setuju masuk meminang saya.
Saya ingat apa yang dia katakan kepada saya memang dia masuk meminang kerana anaknya yang sukakan saya bukan dia. Tapi dia akan hormati permintaan anak dia.
Pertunangan yang sepatutnya diikat dalam masa setahun berganjak kepada 2 dan 3 tahun. Setiap kali ada sahaja alasan dari ibu A.
Ibu saya sendiri mengamuk tapi saya hanya mengambil pendekatan beristikarah dan bisikkan kepada diri saya saya tak disayangi oleh keluarga saya sendiri semenjak kecil,
Saya harap A adalah orang yang terbaik untuk bersandar harapan dan saya berjanji kepada diri saya apabila saya berkahwin keluarga A adalah keluarga saya.
Waktu itu semua katakan saya bodoh kerana saya bukanlah tidak ada rupa memandangkan saya berdarah campuran dan ada beberapa lelaki berharta yang ingin masuk merisik.
Tapi saya tegaskan bahawa hanya A orang yang mampu bimbing saya dan bersama saat saya susah dan senang.
Yang tidak mengambil kesempatan ke atas saya. Kalau seandainya tiada jodoh biar kata putus keluar dari mulut A sendiri.
Sepanjang tempoh pertunangan saya hanya menjadi bayang tidak pernah sekali saya menelefon ibu A atau melawat cuma setiap kali A balik saya akan titipkan hadiah.
Akhirnya setelah hampir 3 tahun saya selamat diijabkabulkan. Selepas berkahwin ibu A cuba mencari salah saya dan banyak lagi perkara yang terjadi tapi seperti biasa saya pekakkan telinga.
Pada A saya selalu ingatkan tanggungjawab dia kepada ibunya, memang saya akan paksa A untuk selalu menelefon bertanya khabar atau pulang ke rumah ibunya walaupun tanpa saya.
Saya juga pastikan A memberikan sedikit duit gaji kepada ibunya walaupun ibunya masih mendapat pencen dari arwah ayah A dan pencennya.
Saya bukanlah seorang yang pandai memasak tapi setiap hari saya akan mencuba resepi baru manakala A yang jadi masterchef. Sampai kembong perut dia kena ulang menu yang sama sampai menjadi. Bila masa dia pulang ke melawat ibunya saya akan bekalkan lauk yang saya masak.
Bila hari raya tiba saya akan bekalkan dengan kuih raya buatan saya. Alhamdulillah setelah hampir setahun ibu A dapat menerima saya. Dan boleh saya katakan ibu mertua terbaik.
Saya lebih rapat dengan ibu mertua berbanding keluarga saya sendiri. Dia sudah boleh bercerita alasan saya tidak diterima. Berkongsi cerita suka dan duka. Apabila ada cuti panjang saya akan mengajak ibu mertua bercuti bergilir dengan keluarga saya.
Apabila tiba musim cuti sekolah ibu mertua dan abang ipar memang akan berkampung di rumah saya. Saya suka apabila mereka datang dan akan menyajikan juadah kegemaran ibu mertua. Saya bahagia kini kerana kejadiran A juga telah merapatkan hubungan ibu dan keluarga kandung.
Berkali saya ulang kepada ibu mertua terima kasih kerana didik A menjadi manusia dan suami terbaik buat saya. Kami tak kaya tapi kami bahagia A adalah lelaki yang bertanggungjawab.
Hari ini saya lebih berdikari dan boleh berdiri di atas kaki sendiri. Pendapatan saya lebih dari pendapatan A sendiri. Setiap kali saya ucapkan terima kasih A hanya membalas saya di tempat sekarang kerana saya sanggup menerima teguran dan ingin belajar memperbaiki diri.
Dia hanyalah insan terpilih yang menemani saya sebagai pemangkin semangat dan mungkin kerana Allah swt nak seseorang bimbing saya.
Allah swt uji saya bukan sedikit di usia kecil dan remaja saya sepanjang membesar banyak yang saya rasa, ditikam oleh rakan, dibuli, ditipu, dibuang kerja kerana fitnah. Banyak yang saya rasa.
A bukan suami yang sempurna masih ada kekurangan tapi begitu juga saya. Kini meniti ke usia 8 tahun perkahwinan, saya memiliki hampir kesemuanya cuma masih belum dikurniakan zuriat.
Doakan saya untuk mengecapi kebahagiaan ini. Bagi yang mepunyai masalah dengan ibu mertua saya tak pandai nak nasihatkan mungkin perjalanan berbeza tapi sentiasa berfikir yang baik-baik.
Allah swt sayang sebab tu kita diuji. Yang penting jangan pernah putuskan hubungan di antara ibu dan anak. Hormati keluarga mertua dan minta suami juga menghormati keluarga kita.
In Syaa Allah.
– Ann (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit