Ibu, Si Wanita Besi

Hi, Assalamualaikum terima kasih IIUM Confession sebab terima cerita saya. Pertama kali menulis dekat sini, selalu jadi pembaca sahaja.

Nama saya Aayesha, mempunyai 4 orang adik beradik. Anak sulung dan seorang sahaja perempuan. Apa yang saya nak kongsikan adalah tentang ibu saya. Kisah ini sedikit panjang, saya cuba ringkaskan sehabis baik.

Ibu dan ayah berkahwin pada usia yang agak muda, selepas 2 tahun berkahwin mereka dikurniakan cahaya mata iaitu saya.

Kehidupan kami 3 beranak waktu itu sangat bahagia. Ayah ada bisnes sendiri dah mempunyai sebuah lori 3 tan, ibu pula seorang surirumah. Diusia saya 4 tahun, saya mendapat gelaran kakak, dan disinilah bermulanya keluarga kami diuji.

Ayah saya mempunyai seorang adik lelaki yang ketika itu, saya difahamkan pakcik saya merupakan seorang anggota tentera yang bertindak melarikan diri dari markas atas alasan cemburu melihat ayah saya berjaya diluar, sedangkan dia didalam hidup seumpama dipenjara.

Pakcik saya membuat keputusan untuk bekerja bersama ayah. Sejak itu sedikit demi sedikit sikap ayah mula berubah.

Dia tidak lagi gigih dalam bisnesnya dan selalu meluangkan masa bersama pakcik sehingga menyebabkan lori miliknya ditarik pihak berkuasa kerana mempunyai tunggakan bank.

Setelah insiden lori ditarik, ayah saya bekerja sebagai buruh disebuah ladang kelapa sawit, ketika inilah titik hitam dalam hidup kami bermula.

Ibu mulai menghidu kegiatan ayah yang selama ini dia sudah pun terjebak dalam kancah najis dadah, lagi menyedihkan dia didapati terpengaruh dengan adik sendiri, pakcik saya. Betapa luluhnya hati seorang isteri bila mendapat tahu tentang perkara ini.

Sejak hari itu, rumah kami kerap didatangi pegawai polis bagi melakukan operasi, ayah saya dalam pemantauan mereka.

Ibu masih setia bersama ayah sehingga dia disahkan mengandung adik kami yang ketiga. Tetapi keadaan ayah semakin parah, penjara umpama rumah kedua bagi kami sekeluarga kerana ayah acapkali keluar dan masuk ke penjara atas kesalahan menagih dadah.

Ibu pula sudah mula bekerja untuk menanggung kami dan adik kami yang akan dilahirkan sehingga terdetik di hati ibu untuk memberi adik kami yang bakal lahir kepada orang lain, dek kerana keadaan ibu pada waktu tidak stabil dan agak menerima tekanan dari orang sekeliling.

Tetapi Alhamdulillah ibu tidak setega itu, malah saya sangat bangga dengan semangat ibu,

Apabila hari raya atau hari persekolahan akan tiba, kelengkapan raya dan sekolah kami semua serba serbi baru, ibu seboleh bolehnya menyediakan kelengkapan baru buat kami agar kami tidak merasa kurang sedikit pun dengan orang lain.

Susuk seorang ayah tidak ada sehingga adik dilahirkan, sehingga kami pun sudah terbiasa hidup tanpa figura seorang ayah.

Pengakhirannya, ibu telah membuat keputusan paling berat dalam hidupnya iaitu usia menamatkan perkahwinanya bersama ayah yang mencecah 16 tahun dek kerana tiada perubahan yang dijanjikan ayah. Mereka disahkan berpisah ketika adik kami yang ke 4 berusia 1 tahun.

Hidup ibu kini lebih tenang bersama anak anak, dan fizikalnya kini kelihatan lebih berisi berbanding dulu. Begitu cekal seorang isteri menempuh ujian yang diberikan Allah selama belasan tahun dan mengharapkan perubahan dari sang suami tetapi tetap tiada sinarnya.

Seorang wanita boleh bertahan hidup dengan lelaki yang dia sayang 1000 tahun lamanya, tetapi dia juga boleh jadi wanita yang tidak memerlukan lelaki untuk terus hidup jika sudah tawar hati.

Ibu, Si Wanita Besi, saya saksi dari kecil sehingga kini penat lelah ibu membesarkan dan memenuhi segala keinginan dan keperluan kami 4 beradik tanpa culas dan juga tanpa figura seorang suami.

Mohon semua yang membaca kisah saya, doakan semoga ibu saya terus kuat dan sihat sentiasa. Hargailah ibu anda.

Apa apa pun, mohon sedekahkan Al-Fatihah kepada Almarhum Ayah saya yang telah kembali ke Penciptanya pada 2 tahun lepas. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

– Aayesha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Saya juga anak seorang penagih. Sama seperti ibu penulis, ibu saya juga seorang yang sangat kuat. Segala kelengkapan dia usaha untuk penuhi walaupun habis segala kudrat dikerah.

    Ibu masih bersama dengan ayah. Ayah berubah lepas saya kahwin. Alhamdulillah berkat doa isteri dan semangat dari anak menantu, ayah dah bebas dari najis dadah. Saya doakan semoga keluarga tt sentiasa bahagia dan dipermudahkan segala urusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *