Ibu Toksik II

Untuk part I, (https://iiumc.com/ibu-toksik/).

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Terima kasih di atas komen semua tentang luahan saya sebelum ini. Saya rasa sedikit terubat dengan doa dan nasihat anda semua. Saya minta maaf sebab tidak bercerita secara detail dalam post sebelum ini sebab tidak mahu terlalu panjang untuk post yang pertama.

Post kali ini mungkin akan sedikit panjang untuk saya bercerita secara detail tentang situasi yang saya alami. Sejujurnya, saya tidak merasakan yang ibu saya jahat, cuma seperti tajuk, saya rasa ibu saya seorang ibu yang toksik. Yang mungkin akan memudaratkan jikalau saya terlalu mengikut rentaknya. Saya akan bercerita mengikut fasa hidup saya, di mana saya berasa kecewa dengan ibu saya.

Fasa Persekolahan.

Betul jangkaan pembaca yang sebenarnya, ibu saya dan Uncle Mat bernikah di Siam tanpa pengetahuan Atok dan Opah. Kami cuma dapat tahu tentang perkara ini apabila ibu saya telah mengandung. Waktu itu, saya 9 tahun, ibu saya mengambil saya kembali untuk tinggal di Sepang bersama Uncle Mat. Di usia 10 tahun, saya diberitahu yang kami akan berpindah ke Kajang untuk duduk di rumah 2 tingkat. Tetapi sebenarnya, kami ditipu. Kami dibawa tinggal di rumah kedai.

Ibu saya seakan lupa tanggungjawabnya. Dia selalu keluar malam dengan Uncle Mat. Saya dan akak banyak berdikari sendiri. Persekolahan kami terjejas. Yuran tak dapat dibayar yang akhirnya menyebabkan saya kembali duduk bersama Opah dengan Atok di Hulu Selangor. Alhamdulillah, saya dapat fokus kembali pada pelajaran dan dapat keputusan cemerlang dalam UPSR. Saya pun mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh.

Kecewa yang pertama, di hari pendaftaran untuk masuk asrama, beberapa hari sebelum itu, saya dah maklumkan pada ibu untuk menyediakan sedikit wang untuk urusan pendaftaran. Ibu saya berjanji di telefon, dia akan masukkan duit tetapi sampai ke hari pendaftaran, bila akak check akaun bank, tiada pun duit yang dimasukkan. Saya kecewa dengan ibu saya sebab dia dah berjanji banyak kali untuk masukkan duit itu.

Sampai di sekolah, Atok dengan Opah menjelaskan pada cikgu di sana tentang situasi saya, mereka mencadangkan saya memohon biasiswa kerajaan. Urusan yuran boleh ditangguhkan pembayarannya. Tapi Opah dengan Atok ada keluarkan duit untuk bayar keperluan lain. Kecewa yang kedua berlaku ketika tingkatan 4, di akhir tahun, guru kelas saya bertanya tentang yuran makan asrama.

Dia kata saya tak bayar lagi yuran itu padahal saya ada keluarkan duit untuk bayar tetapi tak sempat pergi bank untuk urusan pembayaran sebab saya cuti hujung minggu sahaja. Saya serahkan pada ibu saya untuk bayar yuran itu. Berkali-kali saya tegaskan pada cikgu yang saya dah bayar yuran itu.

Cikgu cakap saya jangan main2 sebab ini melibatkan makanan, takut tak berkat apa yang saya makan. Saya rasa marah sangat. Terus saya telefon akak saya untuk bertanya tentang yuran itu. Rupanya, ibu saya tak bayar pun yuran itu, Dia pakai duit itu tak tahu untuk apa. Akhirnya yang bayarkan yuran itu ialah guru kaunseling saya, tempat saya selalu share masalah saya.

Fasa Asasi dan Universiti.

Alhamdulillah, saya dapat rezeki untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara di bawah tajaan JPA. Saya ditakdirkan untuk melalui asasi di kolej swasta yang agak mahal. Living cost di area yang mahal. Makan mahal. Saya agak struggle dengan duit waktu itu sebab elaun tak cukup, ditambah lagi dengan duit nak bagi family. Ada sekali, saya makan satu pisang je sehari itu sebab tiada duit. Saya malu nak pinjam dekat kawan. Saya buat kerja part time dekat restoran steamboat terkenal.

Ada waktu itu, seminggu cuti raya Cina saya tak balik kampung, saya bekerja sampai kaki saya bengkak tak boleh nak kerja. Terpaksa balik kampung untuk berehat. Kecewa ketiga, waktu dinner habis asasi, saya mintak duit dekat ibu saya untuk beli baju baru. Ibu saya cakap dia tiada duit, dia suruh saya pakai baju yang saya pakai hari2 untuk ke kelas. Saya sedih sebab kalau ibu saya, setiap kali ada kenduri, dia nak pakai baju baharu. Baju dia banyak. Tapi untuk dinner ini, dia suruh saya pakai baju kurung hari2 ke kelas.

Saya tak pernah minta apa2 pada dia. Duit bulan2 pun dia tiada bagi dekat saya. Saya sedih menangis bila dia play victim and cakap pada saya ,”Ibu tak hantar kau belajar tinggi untuk jadi lupa diri macam ini.” Apalah yang saya lupa diri. Saya hanya minta baju baru, bukan yang mahal pun. Menangis saya bercerita dekat akak, akak pos baju kurung dia pinjam dari kawan dia untuk saya pakai waktu dinner itu.

Untuk pengetahuan pembaca, saya tiada lagi dinner selepas itu di alam universiti, cuma graduation dinner sahaja di luar negara, Dua kali sahaja dinner saya. Balik kampung, ibu masih lagi sentap pada saya. Saya yang meminta maaf sebab minta duit pada ibu. Takdir Allah, Ibu saya bercerai dengan Uncle Mat pada tahun saya berlepas ke luar negara.

Saya rasa lega sangat pada waktu itu sebab akhirnya kami lepas dari cengkaman biawak hidup itu. Seakan rasa ada sinar kembali untuk kami membina masa depan kami. Susah kami waktu itu hidup dengan dia. Duit pun tak cukup untuk makan. Ada sekali, saya dan adik beradik terpaksa kutip kelapa sawit belakang rumah untuk dijual supaya boleh beli makanan.

Di alam universiti, saya hanya balik ke Malaysia sekali untuk cuti musim panas sekali dengan sambutan hari raya waktu itu. Saya teruja untuk menghabiskan masa dengan keluarga. Di telefon, ibu ada bercerita tentang Ajib, lelaki yang banyak membantu dia sepanjang saya di luar negara. Saya malas nak ambil tahu sangat. Yang penting saya nak spend time dengan family.

Balik kampung, saya sedih dengan keadaan rumah sewa yang ibu saya duduk. Sebelum ini, ibu saya duduk di rumah Atok dan Opah tanpa bayar sewa, mungkin rumah itu sudah usang, ibu tiada duit untuk selenggara. Saya kesian, saya di luar negara hidup selesa tetapi ibu dengan adik2 duduk di rumah sewa yang teruk. Saya offer untuk carikan rumah sewa baru di pekan. Depositnya RM1K saya rasa, saya kurang ingat, tetapi saya tolong bayar half, Ajib tu bayarkan half.

Kecewa keempat, bila saya perasan yang rupanya Ajib itu selalu tumpang tidur di rumah ibu. Mula2 tidur di ruang tamu, sampai satu malam tu saya nampak dia tidur dalam bilik ibu. Luluhnya hati saya. Serba salah untuk saya menegur, ketika itu bulan puasa pula tu. Sampai satu tahap, saya tak tahan, saya ambil keputusan untuk tegur ibu. Lepas zohor, dengan masih bertelekung, saya panggil ibu dengan Ajib untuk duduk depan saya. Ada sesuatu yang saya nak cakap, saya kata.

Saya tegur mereka sambil saya menangis. Ibu saya persoalkan hak saya untuk menegur ibu. ”Apa hak kau untuk tegur ibu? Kau takde hak nak tegur ibu.” Dia cakap Ajib banyak tolong dia. Saya cakap saya pun ada hantar duit pada ibu. Ayat ibu yang membuat saya kecewa, ”Setakat RM300 tu cukup ea?” Ya Allah, saya belum pun bekerja waktu itu. Sampai hati ibu berkata pada saya macam itu.

Saya teruskan masa cuti saya dengan bekerja part time untuk requirement universiti. Langsung tak bertegur dengan ibu. Malam raya saya habiskan dengan berjalan di pekan. Saya fed up sebab akak pula bawa teman lelaki dia juga untuk beraya di rumah kami. Tidur di rumah kami. Saya sedih sebab saya nak luangkan masa dengan family. Bukan dengan lelaki yang tiada kena mengena dengan saya ini.

Akhirnya, pagi raya, saya nekad untuk lari dari rumah itu. Mereka bergembira seakan-akan saya tiada pun dalam rumah itu. Saya naik bas yang penuh dengan warga asing untuk balik ke Pahang, ke rumah Atok dan Opah. Langsung ibu tak bertanya tentang hal saya. Sedih dan sakitnya hati saya waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu. Saya memang sangat kecewa dengan ibu. Saya tak contact dengan ibu sampai saya kembali ke luar negara, grad dan balik kembali ke Malaysia. 6 bulan saya bawa diri.

Fasa Bekerja dan Berkahwin.

Selepas 6 bulan, Allah buka pintu hati saya untuk maafkan ibu. Saya cari ibu balik untuk meminta maaf pada dia. Sebab dengan nasihat,”Seburuk mana ibu, itu ibu kamu,” saya rendahkan ego saya untuk minta maaf. Masuk alam pekerjaan, saya diuji dengan tidak mendapat penempatan di dalam kerajaan. Saya terpaksa bekerja di sektor swasta dengan gaji RM2K sebulan. Tiap bulan saya bagi RM250 pada ibu.

Saya mengalami mild depression disebabkan loneliness dan juga disebabkan ujian yang tak berhenti dalam hidup saya. Ibu saya tidak macam ibu lain. Dia tiada pun menelefon untuk bertanya khabar, saya dah makan ke belum. Kalau ada contact pun, dekat nak gaji untuk minta duit. Tetapi Allah itu Maha Adil dan Penyayang, Dia menghadirkan suami saya waktu itu to go through everything with me. Dia pun was at his lowest point at that time. Kami support each other sampai la kami berkahwin.

Bila saya mengikuti suami saya ke kawasan pedalaman, saya terpaksa berhenti kerja dan menjadi surirumah, saya pun dapat tahu yang saya sedang hamil. Saya tidak dapat bagi duit bulan2 kepada ibu saya lagi. Saya sedih sebab rasa bersalah tak boleh bagi duit lagi dekat dia. Sampai saya menangis mengadu pada akak. Saya rasa saya anak yang tak bertanggungjawab.

Saya stress bila dalam telefon ibu saya cakap, ”Liza, kerjala. Nanti boleh tolong ibu.” Ya Allah, ibu saya masih mengharap saya untuk bagi dia duit bulan2. Dia selalu post di FB artikel tentang ”Keberkatan rezeki anak dari doa seorang ibu” ”Jangan kedekut dengan ibu bapa walaupun gaji lelaki bini beribu” Saya stress sebab walaupun suami saya ada memberi nafkah duit pada saya tetapi saya tak boleh bagi ibu banyak sebab saya pun mahu simpan duit untuk kepentingan saya sendiri.

Mungkin di mata dia, suami saya mampu sebab profesion suami saya dianggap kaya di mata orang kebanyakan. Tetapi kenyataannya tidak, kami berjimat untuk sediakan simpanan dengan keadaan ekonomi sekarang yang tak menentu. Tetapi akak comfort saya by saying sepatutnya saya tak payah sedih, tolong je apa yang saya mampu.

From now on, I have to think about my own well being. Saya pun dah ada family sendiri. Bakal ada anak sendiri. Sampai bila saya kena pentingkan ibu. Padahal ibu saya tak pernah fikir masa depan dia sendiri, tak pernah kerja. Adik saya yang lelaki itu pun dibiarkan tidak bekerja. Berlingkar di rumah. Tiada pula ibu sentap dengan dia.

Alhamdulillah, sekarang saya menunggu hari untuk melahirkan. Kecewa terakhir ini, saya mulanya ingin berpantang di rumah ibu saya tetapi tidak jadi sebab ibu saya selamba sahaja merokok di depan saya yang sedang sarat mengandung. Saya dah bagi hint dengan keluar daripada bilik bila dia hisap rokok or turun ke tingkat bawah, tetapi dia masih tidak faham. Sampai satu malam, saya terpaksa bukak langsir bila dia merokok tapi dia sibuk nak tutup langsir itu katanya silau, dia nak tidur.

Saya sampai merayu pada dia, tolonglah biar je bukak langsir itu sebab saya tak tahan bau rokok. Tetapi akhirnya dia biarkan kejap langsir tu bukak tetapi dia tutup juga bila dia nak tidur. Tidurla saya dalam keadaan sesak nafas. Saya ambil keputusan untuk tidur di bawah tetapi bilik di bawah sempit dan panas. Saya terpaksa tidur di ruang tamu yang keadaannya tidak bersih disebabkan bau kencing kucing yang suka memancut di dalam rumah.

Saya sedih dengan ibu yang sampai ke sudah tidak sedar kesalahannya. Saya ingatkan dia ada common sense tentang hal begini sebab dia dah ada 5 anak dan dia yang volunteer untuk jaga saya. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk berpantang dengan ibu mertua. Biarlah ibu saya terasa hati. Saya buat semua ini untuk kepentingan kesihatan bayi saya nanti.

Kesimpulannya, luahan hati ini bukan untuk mengundang kecaman pada ibu saya. Ia sekadar luahan dalam penceritaan supaya kita boleh ambil iktibar. Saya pun dahulu sering tertanya mengapa ibu saya bersikap seperti itu. Sukar untuk saya terima ujian ini. Tetapi cerita ini tidak cukup lengkap lagi.

Mungkin ibu saya mengalami depression sebab diberhentikan sekolah pada darjah 6, diuji dengan kematian suami, keluarga belah lelaki senyap tak ambil tahu, ditakdirkan berkahwin dengan ayah tiri yang abusive dan tak bertanggungjawab.

Sampai sekarang langsung tak bertanyakan or bagi nafkah pada adik tiri saya. Mungkin sebab semua ini, ibu saya susah untuk bangkit memperbaiki kehidupan dia. Dia seolah-olah terperangkap dalam usia remaja, suka play victim and tak nampak kesalahan sendiri.

Untuk sesiapa yang senasib dengan saya, saya doakan semoga kita tabah untuk menghadapi ujian ini. Mungkin ada lagi yang bernasib lebih buruk daripada saya. Jika ditakdirkan ibu saya terbaca cerita saya ini, saya nak dia tahu, saya tak berdendam dengan dia. Hari2 saya doakan dia diberi hidayah untuk memperbaiki diri,untuk saya diberi kekuatan untuk terus menghormati dia sebagai ibu yang melahirkan saya dan untuk saya terus berbakti kepada dia semampu saya. Aamiin.

– Liza (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *