Ibu Yang Tak Kurindukan

Semoga semua yang membaca dalam keadaan sejahtera. Aku terpanggil meluah sebab tak terpendam perasaan. Luaran tenang semuanya biasa tapi dalaman aku dapat rasakan aku tertekan. Dugaan keluarga membuatkan masalah dunia jadi remeh.

Aku membesar dengan mak ayah aku selalu bergaduh pasal duit. Boleh kata hari-hari bergaduh. Ayah aku bekerja & sentiasa berusaha tetapi Allah tentukan rezekinya biasa sahaja.

Ayah seorang yang tenang tak suka marah-marah, suka beri nasihat dan bertanggungjawab walaupun ada bulan terpaksa harap bantuan mak aku. Silap ayah aku ni pernah meminta izin dari mak untuk bernikah lagi dan inilah titik yang mengubah banyak perkara menjadi lebih buruk.

Mak pula bagai manusia yang lahir dari api, sentiasa tak berpuas hati, baran, maki hamun & hinaan adalah makanan kami sejak kecik. Pantang silap sikit sedang main sesama adik beradik tiba-tiba dihamun, dipukul sepuas hati.

Bukan mak tak baik, mak cekap urus rumahtangga cuma ada masalah attitude yang aku faham semakin teruk dek terhimpit dengan tanggungjawab & dugaan hidup.

Dipendekkan cerita, ayah batalkan niat bernikah lagi selepas respon yang diterima oleh mak. Sejak tu rumahtangga ibarat retak tapi tak pecah. Yang jadi mangsa kami adik beradik.

Kami dihasut mak yang ayah curang, menganaiya isteri, tidak adil, tak berduit, bodoh ditipu dan macam-macam lagi. Kami percayakan mak sebab sebahagian besar masa memang bersama mak. Kami terima takdir hidup & cuba berbahagia dengan apa yang tersisa.

Setelah kami semua berkerja kami lebihkan mak daripada ayah. Itu yang kami mampu untuk menebus kesedihan & pengorbanan mak. Kami kesempitan pun kami tetap dahulukan mak.

Walau tak mahal tapi ada jambak bunga di hari jadi atau hari ibu, perfume, pakaian, handbag walau bukan LV tapi berjenama designer tu pasti, mak merasa bercuti luar negara nak dibandingkan dengan kawan-kawan seperjuangan.

Makan sedap, ingat mak. Jalan-jalan mana sahaja, sentiasa ingat mak tapi walau macam mana usaha kami nak bahagiakan mak, mak tetap macam tu, sentiasa tak cukup, tak happy, ada sahaja complain itu ini tak kena.

Mak merungut nasibnya malang, kalau boleh diundur masa mak tak nak jalani hidup yang dah tertulis. Mak sering sindir kami bertuah dan bahagia dengan pasangan dan anak-anak.

Mak tak boleh nampak kami lebih, ada sahaja ceritanya. Dari percakapan mak, mak tak nak susahkan anak-anak tapi mak selalu merungut tak beruntung.

Bukan itu je, mak turut burukkan sesama kami adik beradik, kami bagi duit cakap tak bagi. Mak suka mereka cerita, tambah perisa pada cerita yang ada, benda kecik jadi besar. Mak jadi seorang yang sukakan duit, agak berkira walaupun untuk diri sendiri apatah lagi anak-anak.

Semua kerenah mak kami hadam dan cuba terima sampailah satu hari mak ketahuan curang. Mak terlampau leka dengan dunia baru, mak sanggup bersengkang mata untuk main phone, tak pernah lekang dari phone sampai solat pun tinggal.

Jijik ya baca isi kandungan message orang tua yang sedang dilamun cinta. Mak message dengan ramai lagi lelaki entah mana datangnya. Patutlah mak semakin diam tak baran, bergaya, tudung makin singkat, bergambar pun melentik mendada.

Semua ni dirahsiakan dari ayah sebab kami takut dengan kemungkinan yang akan berlaku kalau ayah aku tau. Kami adik beradik kecewa dan teramat marah dengan mak tapi masih berbaki ruang untuk maafkan mak dan lupakan apa yang jadi kalau mak berubah.

Berbulan berlalu tapi dah sebati dalam diri seorang narcissist, mak tetaplah mak malah lebih suka cari pasal. Kami sebagai anak serba salah, nak dibahasakan mak, nak dibiarkan pun mak.

Mak dah jadi orang lain yang tak boleh lagi dibawa berbincang. Bila kami berterus terang, mak play victim, mencari kesalahan kami, tak kenang jasa, derhaka dan sebagainya.

Aku tak sangka masalah ni sangat bagi kesan dan tekanan pada aku. Aku terhimpit, aku sayang mak tapi aku marah dengan apa yang terjadi. Terlalu banyak yang berlaku in between, tapi terlampau panjang untuk aku huraikan satu persatu.

Aku cuba buat takde apa berlaku, aku jalankan tanggungjawab aku sebagai ibu dan seorang isteri tapi aku juga manusia biasa yang ada perasaan.

Mak ramai kawan-kawan baik yang katanya jauh membahagiakan. Walaupun aku semakin jauh hati dengan mak, aku tetap mendoakan kesejahteraan mak.

Semoga Allah ampunkan dosa mak, tenangkan hatinya dan memberi kecukupan buat mak. Walau tawar hati dengan sikap mak, cukuplah Allah mendengar doa-doaku untuk mak.

– Perempuan gila (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *