Assalamualaikum kepada sesiapa yang membaca. Nama aku Ira (bukan nama sebenar). Niat menulis confession ini bukanlah untuk mengaibkan sesiapa. Aku hanya ingin meluahkan apa yang terbuku di dalam dada sejak sekian lama. Mari kita mulakan..
Aku dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Walaupun gaji bapaku melebih 30 ribu sebulan, aku tidak pernah merasa hidup mewah. Bapaku seorang yang sangat berjimat cermat. Sehinggakan apabila makan pun, kami adik- beradik terpaksa berkongsi.
Oh, lupa untuk beritahu yang aku mempunyai hampir 10 orang adik beradik. Aku mempunyai 5 orang adik di bawahku dan yang paling kecil berumur 5 tahun.
Berbalik kepada isu berkongsi makanan, sejak kecil jika kami sekeluarga makan diluar, air minuman yang diorder sentiasa dikongsi. Tidak boleh order air sorang satu.
Jadi hingga ke besar kami terbiasa begitu dan tidak berani untuk order minuman sendiri jika di kedai makan. Tidak berani kerana ayahku juga seorang yang agak tegas. Sehingga aku habis sekolah, keadaan begitu sentiasa berterusan.
Manakala ibuku tidak terlalu berkira bab makan minum. Tetapi dia terpaksa akur akan arahan ayahku. Apabila ibuku membeli makanan sedap- sedap, ayahku akan berleter. Aku masih ingat semasa aku berumur 18 tahun begitu, ayahku membeli burger (yang biasa dijual di tepi jalan).
Tetapi dia hanya membeli 2-3 dan kami makan separuh seorang sahaja. Apakah? Aku sungguh tidak faham. Semasa aku masih bersekolah (asrama), ayahku memberi duit belanja yang agak mencukupi.
Seingat aku dalam RM50 hingga 100 sebulan, bagiku itu sudah terlalu cukup. Akan tetapi, sesudah aku tamat persekolahan, ayahku tidak lagi memberiku duit belanja. Jika aku ingin membeli apa- apa, aku gunakan duit simpanan aku sendiri kerana aku jenis suka menabung.
Baju dan pakaian juga tidak pernah dibelikan seusai aku habis bersekolah. Dan aku masih ingat, aku pernah mengikut ayah ke kedai Mr. DIY dan aku membeli sesuatu yang berharga SERINGGIT lebih. Aku tumpang ayahku bayar di kaunter kerana aku tidak membawa duit.
Dan apabila sampai di rumah, ayahku ingatkan ku supaya membayarnya balik RM SERINGGIT tersebut. Sungguh berkira bukan? Aku anaknya. Anak kandungnya.
Setiap kali aku pulang dari kampus ke rumah aku akan menaiki train. Tiket train pada mulanya ayahku yang belikan. Lama kelamaan, dia pernah menyuruhku membayar harga tiket tersebut semula kepadanya. Aku sungguh tidak faham. Lainlah jika gaji ayahku cukup cukup sahaja.
Tetapi gajinya terlalu besar untuk berkelakuan begitu berkira terhadap anak – anak. Aku sangat sedih melihat orang lain yang mana ayah mereka tidak langsung berkira untuk anak. Bukankah anak itu satu amanah dan tanggungjawab selagi anak tersebut belum berkahwin?
Akan tetapi, ayahku meninggal dunia tanpa disangka- sangka. Sebabnya biarlah aku sahaja yang tahu. Aku berumur 19 tahun ketika itu. Apabila ayahku sudah tiada, kesemua hartanya diwarisi oleh ibuku dan kami adik beradik.
Banyak tidak banyak, ibuku mendapat separuh daripada harta tersebut iaitu bernilai melebihi dua juta kerana harta sepencarian. Sungguh banyak bukan?
Kami tidak terkejut kerana ayahku memang banyak menyimpan gajinya sejak dahulu lagi. Kami adik beradik faham dan tidak kisah kerana ibuku perlu membesarkan adik-adik yang masih kecil. Adikku cuma berusia 2 tahun semasa ayah meninggal.
Ok sekarang ke kisah masa kini, ibuku yang menjadi ketua keluarga menggantikan ayah. Isu makanan tidak lagi menjadi masalah kerana ibuku memang tidak berkira soal makan. Kini kami adik-beradik agak selalu makan sedap dan mewah.
Akan tetapi, aku seperti sudah tidak ditanggungnya soal pakaian dan semua benda selain makan. Ini disebabkan aku mempunyai income sendiri, tetapi tidaklah banyak seperti gaji orang bekerja ( aku masih belum bekerja kerana aku masih belajar). Aku memang tidak pernah meminta apa-apa dari ibuku.
Baju pakaian ku juga semua aku beli sendiri. Tetapi menghampiri hari raya, ibuku mahu membelikan adik-adikku baju raya. Aku sahaja menyelit cakap, “Belanja la kakak jugak hehe” kemudian ibuku balas, “Kamu kan dah ada baju raya”. Aku sungguh terkilan.
Memang aku sudah ada tetapi itu aku beli sendiri menggunakan duitku. Apa salahnya dia membelanjakan ku sehelai baju? Dalam RM100 lebih sahaja.. bukan aku ingin yang berjenama mahal pun.
Baju raya adik-adikku setiap seorang hampir RM100 lebih juga. Hm.. Baju baju jalan juga aku juga yang membeli sendiri. Kini sudah seperti aku menanggung diri sendiri. Sedangkan aku belum berkahwin? Sepatutnya aku ditanggung oleh ibuku sehingga aku berkahwin.
Ibuku juga gaji agak banyak. Hampir 10 ribu sebulan. Bukanlah cukup-cukup makan sahaja. Jika campur dengan harta yang diwarisi, memang ibuku seorang jutawan. Tetapi berkira denganku, anaknya :(
Jadi aku pun sudah tak tahu nak buat apa. Redha sahajalah agaknya. Semoga aku tidak mendapat suami yang berkira suatu hari nanti. Terima kasih kerana sudi baca.
Yang terkilan,
– Ira (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit