Assalammualaikum, debar pula hendak berkongsi pengalaman di alam maya ini. Tapi, aku kongsikan juga untuk membaca pendapat orang lain. Diharap dengan perkongsian ini, dapatlah meringankan beban di dalam benak hatiku.
Begini, aku anak kedua daripada tujuh orang adik-beradik. Aku tinggal di Selangor selepas berkahwin dan kampungku di utara Malaysia.
Keluargaku sederhana, tidaklah susah dan tidaklah terlalu senang. Ayahku seorang askar dan ibuku suri rumah. Waktu kecil kami, sangatlah menyeronokkan, tiada yang kurang. Masalah terjadi apabila kami mula membina rumah tangga.
Ibuku tidak suka apabila ada anak yang hidup susah. Sebolehnya dia tidak mahu ambil tahu, tambahan pula dia ada penyakit darah tinggi.
Abangku sering mempunyai masalah kewangan memandangkan banyak pinjaman peribadi yang dibuat kerana ingin memulakan perniagaan sendiri. Jadi ayah sering membantu.
Jika ibu tahu, dia akan marah. Sedangkan ayahku tiada masalah dan kasihan jika ada anak cucunya hidup susah. Bagi ibu, biarlah anak-anak berdikari.
Ya, sememangnya sebegitulah yang patut diterapkan. Tetapi, kadang-kala terlalu terdesak, memang ayahlah tempat mengadu abang.
Aku lihat, ibu seperti membuang abang dari hidupnya. Kini, perkara itu berlaku kepadaku pula. Awal perkahwinan, aku dan suamiku agak senang. Kami sentiasa pergi melancong dan akan membawa ibu dan adik bersama di samping anak-anakku.
Kalau kami pulang ke kampung, kami akan membawa ibu dan adik ke mana yang mereka mahu dan semestinya semua perbelanjaan ditanggung. Apa ibu dan adik mahu, saya akan cuba tunaikan. Setiap bulan juga, aku tidak pernah lupa memberikan ibu sedikit wang gajiku.
Namun begitu, tidak lama kemudian, perniagaan suamiku agak susut. Kereta besar sudah ditarik, barang kemas digadai, duit simpanan mula habis dan kami duduk di rumah yang kecil dari sebelumnya.
Tetapi aku tetap selesa dan makan minum masih tidak pernah putus. Alhamdulillah, aku masih bersyukur dab reda dengan ujian daripada Allah.
Yang membuatkan aku terasa, ibu dan adik-adikku mula menjauh. Jika aku telefon ibu hendak pulang ke kampung, ibu sebolehnya tidak mahu kami pulang. Katanya, kasihan anak lama dalam kereta, nanti tidak selesa, cuaca panas dan macam-macam lagi.
Beza dengan sebelum ini, bukan main lagi gembira jika kami hendak pulang ke kampung. Sedihnya rasa. Ayah tiada masalah, masih menerima kami seadaanya.
Pernah aku pulang ke kampung juga, aku dapati ibuku seakan tidak selesa. Apabila kami ajak keluar, ibu dan adikku tidak mahu lagi ikut serta kerana aku tidak dapat memberikan duit belanja seperti sebelum ini. Sikap ibu juga seakan acuh tidak acuh kepada kami.
Aku mempunyai adik yang telah mendirikan rumah tangga. Sekarang ini, ibu rapat pula dengannya memandangkan kini adikku itu hidup senang. Adikku pula yang membawa ibu dan adik bongsuku keluar melancong.
Aku bersalin, ibu tidak datang menjengukku. Tidak seperti sebelum ini. Alasan ibu, adikku masih sekolah. Sedangkan sebelum ini, semuanya tidak menjadi masalah.
Anak-anakku juga, ibu jarang berikan perhatian. Asyik bercerita tentang cucunya yang lain. Cucunya yang lain itu, ibu kerap belikan baju tetapi tidak anakku. Katanya tidak tahu saiz.
Aku memendam rasa sahaja. Jika dilawan, anak derhaka pula. Bila aku kata ibu sudah tidak sayang aku lagi, ibu mengiyakan. Ibu cuma telefon jika aku lambat masukkan wang bulanan kepadanya.
Dalam kesedihan itu, Allah kurniakan ibu dan bapa mertua yang baik kepadaku. Mereka sentiasa menghulurkan pertolongan ketika aku dan suamiku susah.
Jika kami hendak memberikan duit kepada mereka, mereka akan menolak. Jadi aku lebih suka membelikan mereka makanan dan barang-barang sahaja. Yang ini, mereka tidak boleh menolaknya.
Makin lama, aku makin sayang keluarga mertua. Aku juga jarang pulang ke kampung. Ibu masih lagi dengan sikap begitu.
Aku pernah menonton ceramah motivasi tentang ibu, katanya anak tidak boleh berkecil hati terhadap ibunya. Tetapi, aku masih tidak dapat membuang perasaan ini.
Diharap ada pembaca yang sudi memberikan pandangan terhadap ceritaku ini. Semoga ibu akan berubah dan bersikap adil kepada semua anaknya. Itu harapanku. InsyaAllah, doakan untukku juga. Terima kasih.
– Sara (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit