Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Ini kali pertama aku cuba menulis. Aku ucapkan terima kasih kepada admin sekiranya cerita aku disiarkan.
Aku M, berumur awal 30an, berkhidmat sebagai penjawat awam di sebuah bandar. Aku tak tau nak mulakan dari mana, tapi aku just nak straightforward kepada secebis kisah hidupku. Kisah ini bermula beberapa bulan lepas selepas kematian arwah ayahku. Aku pening dengan ragam ibuku.
Sejak kematian arwah ayah, ibuku seperti kembali menjadi ‘remaja’. Ibuku tinggal di kampung bersama adikku. Walaupun aku dan adikku pernah memberitahu mengenai tempoh eddah seorang isteri, tapi ibu tetap juga keluar rumah. Aku sedar aku hanya anak dan tidak berhak untuk mengawalnya tapi aku sedih dan tidak berdaya untuk mengubahnya.
Aku dan adikku S tidak tahu adakah perbuatan kami ini betul atau tidak. Kami telah membuat salinan perbualan whatsapp ibu melalui satu aplikasi ini. Selama beberapa minggu kami mendapat maklumat ibu merancang untuk check in hotel dengan kenalannya yang kunamakan D (juga mualaf) yang merupakan suami dan bapa orang. Aku dan adik ingin mengekorinya dan mengumpul bukti tersebut.
Sebenarnya, lelaki tersebut kami kenal, bahkan semasa arwah ayah hidup, keluarga lelaki tersebut pernah datang beraya di rumah kami. Aku tidak pasti apakah hubungan mereka, sejauh mana hubungan mereka. Ibu ku pernah memberitahu bahawa mereka hanyalah kawan biasa dan rakan sekolah.
Oh ya, mereka juga mempunya whatsapp group reunion sekolah mereka. Mungkin ibuku menjalin hubungan dengan lelaki tersebut sejak menghadiri reunion sekolah.
Melalui perbualan tersebut ibu berbual perkara-perkara menjijikkan di mata kami sebagai anak. Mereka sepertinya pernah check in hotel sebelum ini dan pernah melakukan perkara yang suami isteri lakukan berdasarkan apa yang kami baca.
Tapi di depan ibu, kami berpura-pura tidak tahu dan jika ibu mengatakan ingin ke rumah mak cik Z (ibu D), aku akan cuba untuk mengikut tapi ibu tidak membenarkan. Dia mengatakan aku tidak percaya kepadanya. Ibuku menunjukkan perangai seperti anak remaja yang baru mengenal dunia bebas tanpa arwah ayah.
Aku pernah menggunakan nombor telefon lain dan menyamar sebagai isteri D kepada ibuku. Aku mengugut supaya berhenti berhubungan dengan D. Ibuku telah memberitahu perkara ini kepada D. D nampak tenang dan tidak takut.
Jadi aku telah membuat satu group whatsapp dan add D dan ibuku di dalam group tersebut. Aku telah forwardkan mengenai Akta Orang Ketiga Rumah Tangga, dan screenshot perbualan mereka. Aku beritahu bahawa itu adalah amaran pertama dan terakhir dan menasihati mereka untuk berhenti melakukan maksiat.
Sebenarnya banyak lagi yang aku nak kongsikan tetapi aku tak tahu nak cerita macam mana. Aku tidak pasti adakah mereka betul-betul menyintai satu sama lain atau hanya sekadar untuk melepas nafsu. Ibuku tergolong dalam wanita berkerja ada gaji sendiri berumur awal 50an dan lelaki tersebut ku kira sebaya dan juga berkerjaya.
Buat pengetahuan pembaca arwah ayahku juga meninggalkan pencen. Kami dalam proses memohon pencen tersebut. Alhamdulillah, arwah ayah tidak meninggalkan banyak hutang kecuali kereta pacuan 4 roda yang berbaki 2 tahun.
Baru-baru ini, kami mendapat maklumat ibuku berhasrat untuk memberikan D kereta tersebut dan aku tidak pasti secara jualan, pinjaman atau sewaan. D mengatakan bahawa dia ingin membeli kereta baru dan ibuku menawarkan kereta tersebut kepadanya. Mungkin D sengaja mengumpan ibu atau ibu ingin mengumpan D. Aku dan adik keliru lantas kami berfikir mungkin mereka sama dua kali lima. Nafsu, duit, itulah yang mampu ku fikirkan.
Sebenarnya aku tidak membantah sekiranya ibu ingin berkahwin lagi, tetapi eddah beliau 4 bulan belum pun habis. Aku juga tidak pasti adakah ibu tetap mendapat pencen walaupun dia berkahwin semula dengan lelaki lain. Tetapi aku tidak setuju ibu menjalin hubungan dengan suami dan bapa orang. Dan aku tidak rasakan lelaki tersebut benar-benar menyayangi ibuku. Mungkin dia hanya mengisi masa lapang dan hanya ingin enjoy sahaja dengan ibuku.
Aku dan adik juga tidak bersetuju ibuku menceritakan bahawa dia akan mendapat tunggakan pencen nanti sebanyak 10k (3 bulan pencen) kepada D. Seolah-olah ibu sengaja menceritakan perihal kewangan kepada D agar D terus melayannya. Mungkin juga ibu kesunyian atau memang perangai ibu begitu. Semasa arwah ayah hidup pun, ibu tidak begitu melayan dan memberi perhatian kepada arwah ayah sejak 4,5 tahun kebelakangan ini.
Tidak lama lagi ibu akan mendapat wang pencen bulanan arwah ayah, dan juga wang simpanan arwah ayah. Kami adik beradik akan membuat probate untuk pengurusan wang tersebut. Yang menjadi kerisauan adalah sekiranya ibuku menggunakan wang tersebut ke atas D. Aku risau D hanya ingin mengambil kesempatan ke atas ibuku.
Oleh itu, aku telah berbincang dengan S, untuk mengawal duit pencen tersebut hanya untuk kegunaan membayar kereta arwah, bil air elektrik rumah serta keperluannya sahaja. Aku tidak mahu duit tersebut digunakan untuk perkara maksiat tersebut.
Namun aku sedar, aku hanyalah anak dan tidak berhak untuk mengawal hidup ibu. Sebab itu, aku tertekan kerana tidak mampu membimbing ibu ke jalan benar. Aku cuba memberi perhatian kepada ibu dan mengajak nya keluar, tetapi ibu cepat-cepat ingin pulang ke rumah.
Sebagai anak aku terasa hati kerana ibu lebih suka keluar dengan kawan-kawan, lelaki itu dan orang lain berbanding meluangkan masa dengan anak-anak. S mengatakan mungkin ibu tidak suka keluar dengan anak-anak kerana kami selalu menasihati ibu.
Setiap hari aku berfikir apa yang boleh aku lakukan untuk menghentikan semua ini. Ibu bukan tidak sayang kepada arwah ayah tetapi aku dapat rasakan mungkin jauh di sudut hatinya ibu menyesal tidak melayan arwah ayah dengan baik di hujung hayat arwah ayah. Tetapi disebabkan nipisnya iman ibu, ibu melayan lelaki lain. Untuk apa aku juga tidak pasti.
Aku hanya mampu berdoa semoga Allah ampunkan dosa ibuku, dan memberi kekuatan dan kesabaran di dalam menghadapi ujian ini. Aku anggap ini juga adalah ujian buatku dan adik.
Kami ada adik beradik lain tapi aku tidak rasa mereka akan dapat menerima perkara ini (adik kandung, abang sebapa) dan aku tidak mahu menambahkan keruh di dalam keluarga kami yang dah sedia keruh dan kurang harmoni. Aku hanya ingin keluargaku harmoni walapun aku tahu ianya susah. Aku tidak mahu adik beradik lain hilang hormat pada ibuku jika mengetahui hal ini.
Ada banyak lagi yang ku nak kongsikan tetapi cukuplah buat masa ini. Selagi ibu tidak berkahwin lain, tanggungjawab menjaga ibu tetap jatuh pada anak-anak. Sebab itu aku risau kerana aku bertanggungjawab ke atas ibu. Tetapi aku tidak berhak menentukan hidup ibu dan pilihan yang dibuatnya.
Aku juga tidak tahu sampai bila aku boleh bertahan dan bersabar. Adik sedang mencari maklumat mengenai isteri D. Aku cuba mencari penyelesaian terbaik dalam hal ini. Aku tidak mahu berlaku kasar dan kurang ajar terhadap ibuku juga.
Mungkin para pembaca dapat kongsikan pendapat apa yang patut aku dan adikku lakukan. Kerana kami buntu dalam masa yang sama kami masih hormat dan sayang pada ibu. Bantulah kami bagaimana untuk menyelamatkan ibu.
– M (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit