Kisah ini merupakan penceritaan semula berdasarkan pengalaman seseorang yang dikongsikan kepada saya menerusi aplikasi Messenger di Facebook. Kisah ini mempunyai 2000 lebih patah perkataan dan memerlukan masa bacaan purata selama 8 minit. Selamat membaca semua.
Nama aku Fariz (bukan nama sebenar). Semasa semester terakhir aku di universiti yang terletak di Kuala Lumpur, aku mengenali seorang perempuan menerusi aplikasi sosial media. Perempuan ini pada pendapat aku merupakan seorang yang sangat sempurna, dan melihatkan perwatakan dia di media sosial, aku dapat rasakan dia seorang yang happy-go-lucky.
Dalam setiap gambar yang dipaparkan di akaun instagramnya itu, wajahnya yang comel dan sentiasa tersenyum menyebabkan aku terus jatuh hati kepadanya. Aku mula menghantarnya beberapa mesej dan ajaibnya, dia menerima mesej tersebut dan membalasnya secara positif.
Permintaan aku untuk mendapatkan nombor telefonnya juga tidak mempunyai apa-apa masalah.
Biasalah, sepertimana cinta baru berputik, aku rasakan akulah lelaki yang paling bertuah di muka bumi ini kerana setelah 4 bulan berbalas-balas mesej, panggilan telefon berjam-jam serta video call, dia menerima confession aku untuk menjadi teman lelakinya semasa aku bertemu dengannya di sebuah restoran yang terletak di Kuala Lumpur.
Perempuan ini bernama Hana (bukan nama sebenar). Dia merupakan seorang graduan dalam bidang kesihatan dan telah pun mendapatkan panggilan untuk bekerja di sebuah klinik kesihatan yang terletak berdekatan dengan kampung halaman aku. Aku seringkali bertemu dengannya selepas itu, dan seringkali keluar bersamanya.
Bagaikan segalanya dipermudahkan, aku mendapat pekerjaan sebagai seorang jurutera di mana syarikat tempat aku bekerja juga berdekatan dengan klinik kesihatan yang Hana kerja.
Aku akui, walaupun setelah Hana menjadi teman wanita aku, saat bahagia dan ‘kentut berbau busuk pun aku kata wangi’ sememangnya membuatkan mood aku dan Hana semakin baik dan ianya bertahan agak lama tanpa ada apa-apa pergaduhan yang besar.
Namun, setelah setahun setengah relationship aku dengan Hana, dia tiba-tiba berubah. Begini, Hana mempunyai latar belakang keluarga yang boleh aku katakan porak-peranda. Dia dibesarkan dengan single father yang sentiasa sibuk untuk bekerja demi menjaga Hana dan 4 lagi adik-beradiknya.
Aku amat bersimpati apabila mendengar kisahnya, tetapi, pada masa yang sama, aku amat menghargai segala yang diceritakan kepada aku kerana pada pandangan aku, apabila seseorang itu mula berkongsi sesuatu yang amat sensitif kepada orang lain, hal itu bermaksud dia mempercayai orang tersebut, dan dalam kes Hana, diri aku sendiri.
Juga, aku berbangga kerana walaupun dia dibesarkan dalam keadaan begitu, dia berjaya mengharungi segala rintangan dan kini sudah pun berjaya mendapatkan pekerjaan yang stabil. Namun, tanpa aku sedari, dia mula berubah.
Perubahan yang aku maksudkan itu adalah dari segi mood swingnya yang langsung tidak dapat aku jangkakan. Ianya ibarat terdapat dua orang Hana di dalam badan perempuan ini.
Kau orang bayangkan sahajalah, waktu pagi, dia merupakan seorang yang sangat baik, berperwatakan seseorang yang suka ketawa dan suka melayan lawak hambar yang aku buat. Namun, apabila waktu petang pada hari yang sama, Hana menjadi seorang yang sangat mementingkan dirinya sendiri.
Dia akan mengabaikan aku sepenuhnya. Panggilan telefon tidak akan dijawab dan dia seringkali menghantar mesej kepada aku dengan isi mesej tersebut membuatkan aku rasa sakit hati. Seperti mana-mana manusia yang normal, aku mulai berprasangka buruk dan pada pendapat aku, mungkin dia sudah ada teman lelaki yang lain.
Perbuatan dia yang paling aku tidak terima adalah perbuatan ‘tarik talinya’. Dia akan membuatkan aku seperti tunggul, dan apabila aku cuba untuk menegur dengan bahasa yang paling elok, dia menjadi sebegitu marah dan memblok aku. Beberapa hari kemudian, dia akan menghubungi aku ibarat tiada apa yang berlaku.
Kitaran sebegini berulang-ulang mengakibatkan aku jadi sakit hati. Kadangkala, dia mengakui aku ini seorang yang naif dan berterima kasih kerana aku masih tidak berputus asa walaupun diperlakukan sebegitu. Dia mahukan aku dalam hidupnya, dan dia ingin membina keluarga bersama aku.
Hal ini kemudiannya disusuli dengan sifat membuatkan aku macam orang bodoh. Apabila aku menghantar mesej untuk bertanyakan mengenai jadual hariannya kerana aku faham pekerjaannya memandangkan ibu aku juga seorang pekerja kesihatan, tiba-tiba aku dihentam dan ditanya pula, mengapa aku ingin tahu jadual pekerjaannya.
Walhal, sebelum ini aku bertanya banyak kali, dan dia boleh sahaja menjawab pertanyaan aku dengan baik.
Apabila aku set masa untuk menelefon dirinya dan dipersetujui olehnya, dan apabila sampai ke masa untuk aku menelefonnya, aku akan dimarahi. Ada satu ketika di mana dia meminta aku untuk mengejutnya daripada tidur untuk perkara yang penting, aku terus membuat panggilan telefon pada masa tersebut.
Apabila panggilan aku tidak dijawab, aku akan call beberapa kali sehinggalah dia menjawab panggilan telefon aku dengan nada yang marah kerana aku mengganggunya tidur, walhal, itulah apa yang dia suruh aku buat.
Disebabkan aku berkawan dengan penulis (Shark), aku terus bertanya kepadanya secara terang-terang, jikalau sifat seseorang itu menjadi seperti ‘diva’, apakah maksudnya dan mengapa boleh jadi begitu?
Dari situ, aku belajar satu perkataan iaitu narcissistic personality. Ianya bukan sejenis penyakit pada tahap itu untuk Hana, namun, ianya mungkin sebahagian daripada personalitinya sahaja.
<Fakta Perubatan Mula>
Personaliti narcissistic ini bermaksud seseorang yang rasakan dirinya terlalu penting dan menganggap segala kejadian di dunia ini berkaitan dengan dirinya, (center of the universe) dan ianya boleh jadi perkara baik sahaja atau kedua-dua perkara yang baik dan buruk adalah disebabkan oleh dirinya. Terma moden untuk narcissistic ini seperti yang kita ketahui adalah ‘toxic’.
Mereka akan merasakan diri mereka sentiasa betul dan sekiranya terdapat apa-apa perbuatan mereka yang sudah terang lagi bersuluh salahnya, dia tidak akan mengakui kesilapan dirinya, sebaliknya akan cuba mencari apa-apa objek, habit atau orang lain untuk dipersalahkan.
Severe narcissistic atau narcissistic personality disorder pula akan berlaku sekiranya seseorang itu mempunyai personaliti tersebut, dan dia gagal mengawal dirinya daripada cuba untuk berubah yang mana pada hujungnya, dia akan menderita dan mulai mengganggu 3 asas utama seseorang manusia iaitu self preservation, social interaction dan juga job function.
Prestasi pekerjaannya akan menurun, dan dia mulai mencabar serta melawan orang atasannya walaupun kesalahan tersebut dilakukan oleh dirinya. Orang sebegini tidak mempunyai kawan atau sahabat yang betul-betul bergelar sahabat kerana tidak tahan dengan sikapnya.
Juga, sekiranya sudah pun diberitahu oleh seseorang yang bertauliah dalam bidang tersebut, dan dia sudah pun mengetahui fakta tersebut, tetapi masih lagi gagal untuk mengubahnya, maka di sinilah keadaan ini menjadi satu jenis penyakit.
Sama seperti lain-lain penyakit perubatan, narcissistic personality disorder memerlukan rawatan dan amat sukar untuk dirawat dengan efektif selagi seseorang itu tidak menerima dengan hati yang nyata bahawasanya, dirinya memerlukan rawatan ataupun khidmat nasihat daripada psychologist mahupun psychiatrist.
<Fakta Perubatan Tamat>
Hal ini memang memberi kesan pada diri aku serta kesihatan aku juga. Aku menjadi begitu gelisah kerana puas aku memikirkan sama ada aku terbuat apa-apa kesalahan ataupun tidak.
Pertanyaan aku secara langsung kepada dirinya menyebabkan aku dimarahi dan kadangkala jika aku bernasib baik, muncul pula Hana yang satu lagi dan Hana versi sebegini terus menerangkan apa yang berlaku, sama ada dia mengatakan bahawa dia sibuk, dia terlalu stress akibat pekerjaannya dan terus memohon kemaafan kerana memperlakukan sedemikian kepada diri aku.
Secara jujurnya, aku amat menyayangi Hana. Aku sanggup berkorban untuk dirinya dan aku betul-betul komited untuk membantunya menjadi manusia yang normal dan tidak lagi menyalahkan dirinya memandangkan ianya adalah satu jenis penyakit.
Namun, kemunculan Hana yang satu lagi, dan buat lagi perkara yang amat menyakitkan hati aku betul-betul menguji kesabaran aku dan menguatkan lagi prasangka buruk aku terhadap dirinya.
Satu hari, aku terus bertanya kepada dia, adakah dia mempunyai orang lain dan jika ya, aku ingin mengundur diri kerana aku terlalu sakit untuk meneruskan perhubungan dengannya kerana jauh di dalam lubuk fikiran aku, Hana yang aku kenal masih ada lagi di jasad tersebut.
Biarlah aku rasa ibarat menggenggam pagar elektrik. Semakin aku pegang, ianya hanya akan menyakitkan diri aku.
Jawapannya terhadap persoalan tersebut adalah;
“Seriously u ingat I ada lelaki lain? Apa hal you ni sebenarnya hah! You ingat I ni perempuan yang jenis begitu ke? You ingat you tu siapa?”.
Aku mendiamkan diri aku. Persoalan ringkas sebegitu dihentam dan seperti masih lagi tidak puas menyakiti hati aku, dia menyambung dan menengking aku,
“I masih lagi tak faham kenapa you nak couple dengan I? I rasa perhubungan ini tak akan viable pun. Tak akan kemana pun. I pun tak faham kenapa and whats wrong with you actually keep on asking the same question again and again”.
Walhal, itulah kali pertama aku bertanya kepada dia dan persoalan dia mengenai kenapa aku ingin bersamanya itu sudah lebih 10 kali ditanyakan kepada aku dan sudah 10 kali aku menjawab persoalan tersebut.
Aku memang jadi terlalu marah sewaktu itu. Aku mulai menulis mesej yang panjang dan aku sudah berputus asa dengan Hana sewaktu itu walaupun aku kesian melihat dirinya.
Namun, aku tidak menghantar mesej tersebut kerana aku ingin tidur sebentar untuk mengelakkan diri aku membuat keputusan untuk memutuskan perhubungan terlalu cepat dalam keadaan marah.
Apabila aku terbangun sahaja daripada tidur, aku dapati ada beberapa mesej masuk
“Hi awak, awak tengah buat apa? Dah dinner ke belum? Nanti lusa saya cuti, jom kita keluar nak?”.
Aku rasa sebenarnya, aku ini sangat pathetic dan bodoh. Satu mesej sebegitu sahaja sudah cukup untuk aku menyayangi dirinya semula.
Namun, sekali lagi, pada keesokan harinya, ianya bertukar lagi. Waktu itu, aku memang sudah sakit hati dan betul-betul komited untuk hantar mesej berbaur makian. Aku sudah tidak tahan
Sekali lagi, aku menghubungi Shark.
<Fakta Perubatan Mula>
<Meh saya tulis apa yang saya perkatakan kepada Fariz>
Masalah kes ini pada awalnya adalah si Fariz gagal menceritakan secara keseluruhannya kepada saya. Saya tidak mengetahui bahawa Hana mempunyai dua sifat yang berbeza dan berlawanan di antara satu sama lain.
Saya rasa, korang semua mesti pernah terdengar Split Personality atau Multiple Personality Disorder. Terma yang digunakan kini adalah DID, atau Dissociative Identity Disorder.
Maksud terma Dissociative adalah lupa dan Identity pula bermaksud personaliti seseorang serta attitude nya secara am.
Diagnosis ini bermaksud seseorang itu mempunyai dua jenis perwatakan dan perkataan dissociative digunakan kerana mereka seringkali lupa apa yang keluar dari mulut mereka ketika mereka berubah dari satu identiti kepada satu identiti yang lain.
Memang ada orang kata, perwatakan kita berubah bergantung kepada orang yang kita jumpa.
Hal ni memang benar dan ianya secara tidak langsung menjadikan diagnosis DID ini amat sukar untuk kita buat. Ianya mengambil masa yang amat panjang serta pemerhatian secara terperinci harus dilaksanakan untuk mencapai keputusan bahawa seseorang itu di diagnos dengan penyakit ini ataupun tidak.
Dalam kes ini, ianya merupakan satu jenis penyakit kerana dia gagal untuk mengubah sikapnya walaupun dia sedang bersembang dengan orang yang dia sayangi, iaitu teman lelakinya.
Sikap toksik yang dilakukan juga tidak diketahui dan seringkali ‘lupa’ terhadap apa kesalahan yang dilakukan semasa pertukaran identiti itu, menjadikan apa-apa perhubungan persahabatan itu menjadi renggang.
Juga, perlakuannya itu seringkali ditakrifkan sebagai ‘tidak lagi berminat’ atau ‘mempunyai orang lain’ daripada pemikiran dan perspektif orang yang rapat dengannya.
Malangnya, walaupun DID boleh dirawat, rawatannya lebih kepada menggabungkan kedua-dua identiti ini menjadi satu atau dikenali sebagai fusion of multiple identities.
Ianya tiada apa-apa ubat, dan untuk pesakit DID, rawatan berbentuk ubat-ubatan hanya akan diberi sekiranya pesakit mengalami komplikasi DID iaitu penyakit kemurungan, penyakit kegelisahan dan pada masa yang sama, meningkatkan risiko untuk seseorang itu menyalahgunakan dadah.
DID selalunya tidak tahu mengapa tiada orang mahu berkawan dengannya, dan inilah mengapa perkataan dissociative itu muncul. Juga, hal ini membawa kepada kecenderungan pesakit untuk mendapat penyakit-penyakit yang lain seperti disebutkan di atas. Tetapi, bagaimana pula dengan penggabungan 2 identiti?
Gabungan ini akan ‘dimenangi’ oleh sifat yang lebih prominent di antara 2 identiti tersebut. Saya beri contoh, Hana yang pertama suka bercerita mengenai pengalamannya merawat pesakit dengan terperinci, dan Hana yang kedua pula tidak gemar bercerita mengenai pesakit langsung.
Jadi, apabila digabungkan, mengikut kepada mana yang lebih prominent, Hana akan menjadi seorang yang suka bercerita mengenai pesakitnya, namun tidak begitu terperinci seperti dalam identitinya yang pertama.
Pening kan? Saya nak tulis ni pun pening sampai nak demam pun ada. Sebab itulah penyakit ini sukar untuk dirawat.
<Fakta Perubatan Tamat>
Setelah mengetahui perkara berkenaan, aku dapat rasakan bahawa aku perlu membuat keputusan sama ada meninggalkan dirinya terus atau mencuba sebaik mungkin untuk meneruskan sahaja perhubungan antara aku dengan dia kerana walaupun Hana begitu, aku tidak akan meninggalkan dirinya hanya kerana dia mempunyai penyakit yang bukan dia minta.
Aku sudah berulang kali mencadangkan dia untuk mendapatkan rawatan yang betul, namun usaha aku tampak sia-sia pada awalnya. Aku pula diperlekehkan kerana aku bukan mempunyai pengalaman atau kemahiran dalam bidang perubatan.
Aku diejek olehnya, dan adakalanya, aku dipuji dan disayanginya kerana aku tidak sampai hati untuk meninggalkan dirinya sewaktu saat sebegini rupa. Sukar, amat sukar.
Aku cuba fahami dan aku tulis di dalam buku nota aku bahawasanya, Hana bukan perempuan biasa. Aku akan sentiasa membuka buku berkenaan untuk mengurangkan rasa sakit hati aku.
Maklumlah, dia dibesarkan dalam keadaan yang tidak kondusif. Dia menjadi sebegitu tertekan dalam pekerjaannya.
Memang aku ketahui, faktor-faktor tersebut merupakan antara pemangkin untuk DID dan juga, tiada orang inginkan kehidupan sedemikian kerana ianya amat menyeksakan bukan sekadar kepada orang lain, bahkan kepada dirinya juga sebagai pesakit.
Untuk itu, aku memilih untuk meneruskan sahaja perhubungan ini. Aku sudah pun bertunang dengan Hana, dan Alhamdulilah, aku gembira kerana walaupun hati aku ini hampir hancur berkecai, namun, usaha aku untuk memujuknya bagi mendapatkan rawatan tampak berkesan sedikit demi sedikit.
Memang dalam hati aku pun, jika ada jodoh, insha Allah dipermudahkan.
Jika tiada, tidak mengapa. Sekurang-kurangnya aku tahu bahawa untuk waktu sekarang, aku ada untuknya. Andaikata aku terpaksa berpisah sekalipun, sekurang-kurangnya aku dah mencuba dengan baik.
Tiada apa lagi yang aku inginkan kecuali niat aku untuk membina keluarga bersama dia berjalan dengan lancar.
Jadi, aku hanya ingin berkongsi kepada pembaca semua bahawa sekiranya korang ada kawan-kawan yang korang betul-betul baik, atau pasangan hidup korang yang berubah kerana masalah kesihatan mental yang disahkan oleh doktor pakar, aku sarankan, jangan ditinggalkan begitu sahaja.
Cubalah sehabis baik kerana niat yang baik sentiasa akan mendapat keredaan daripada Allah, insha Allah.
Tamat…
– ILZANNO SHARKY
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit