Walaupun menggunakan bahasa Melayu formal, Kaz akan cuba buat confession ini sesantai yang mungkin, untuk elak jadi “sebuah lagi confession membosankan” yang muncul di News Feed kalian.
Kaz mahu berkongsi dan meminta pendapat sebagai seseorang yang baru sahaja bergelar graduan.
“Fresh Graduate” lah orang selalu panggil.
Sedikit latar belakang tentang Kaz – berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda (IT Engineering) semasa berusia 22 tahun.
Pemegang anugerah pelajar cemerlang fakulti kerana aktif di peringkat kolej, universiti dan kebangsaan di samping cemerlang akademik (CGPA nyaris kelas pertama, tetapi Allah beri rezeki lain).
Namun di sebalik kejayaan ini, Kaz telah menyembunyikan sesuatu yang sangat gelap dan hitam.
Di mana jika sahabat atau pensyarah Kaz tahu, seolah-olah Kaz sedang menggali kubur sendiri. Silap hari boleh kena pulau (atau Kaz yang overthinking? Entahlah. Korang baca dan nilai sendiri di bawah).
Etika kerja Kaz sangat teruk, mungkin 2 daripada 10 bintang? Atau 1 bintang sahaja yang Kaz layak?
Pertamanya, elok lah kalau korang ambil tahu apakah yang dimaksudkan dengan Etika Kerja.
= Tingkahlaku terhadap kerja (apa sahaja tugasan/amanah yang telah dipertanggungjawabkan) yang dipandang dengan sikap positif.
Etika kerja cemerlang merangkumi [1] menghantar kerja tepat pada masanya, [2] memberikan kerjasama yang cemerlang terhadap tugasan berkumpulan, [3] konsisten, dan akhir sekali [4] bersikap profesional sepanjang masa.
dan Kaz GAGAL untuk mencapai sikap-sikap positif di atas.
Kaz memberi diri sendiri 1 bintang, maksudnya Kaz mengerjakan sebarang tugasan dengan sikap yang negatif lah kan? Pahit untuk ditelan namun jawapannya adalah YA.
[1] Menghantar kerja tepat pada masanya
Biasa di dalam mana-mana kelas, pasti akan ada seorang yang hantar tugasan lewat dari tarikh akhir yang telah ditetapkan.
Selalunya mereka ini akan didenda seperti diberikan penalti (tolak markah), diberikan tugasan tambahan, atau yang paling sedih, markah dikosongkan tanpa prejudis.
Tapi yang di luar kebiasannya, apabila hantar tugasan lewat namun masih diterima dan tiada denda dikenakan. Kaz tergolong di dalam kes ini.
Macam tidak adil kan? Pelajar lain bersengkang mata tidak tidur mengejar tarikh akhir tetapi Kaz selamba hantar lambat dan dapat markah yang sama.
Bagaimana Kaz asyik terlepas setiap kali? Alasan yang nampak munasabah tetapi penuh tipu helah.
Disebabkan Kaz aktif menyertai program sana sini, Kaz cuma perlu kata “Maafkan saya. Semalam saya di luar mengerjakan tugasan X kerana program Y bakal berlangsung tidak lama lagi” dan ajaibnya, pensyarah menerima bulat-bulat dan melepaskan Kaz.
Licik kan? Mula-mula buat rasa serba salah, lama-lama sudah jadi tabiat.
Boleh bayangkan betapa malangnya siapa yang ambil Kaz bekerja nanti?
[2] memberikan kerjasama yang cemerlang terhadap tugasan berkumpulan,
Pada awal tugasan diberi, Kaz antara orang yang tampak paling bersemangat; ajak kumpulan duduk sama-sama, bincang strategi bagaimana mahu siapkan tugasan awal, agihkan tugasan sama-rata.
Sejujurnya, itu semua hanya lakonan.
Lakonan semata-mata untuk membina imej palsu di dalam ahli kumpulan yang Kaz merupakan seorang yang komited.
Semata-mata untuk tampak memberikan sumbangan, namun pada hakikatnya Kaz mendiamkan diri sewaktu kerja sebenar bermula (ya lah, sebelum ini cuma rancang sahaja lebih).
Bila di pertengahan semester, ahli bertanya pendapat di dalam group Whatsapp, haram nak bagi respon dan kerjasama.
Boleh bayangkan betapa malangnya siapa yang ambil Kaz bekerja nanti?
[3] konsisten
Hari ini Kaz datang tepat pada masa, esok lambat, lusa terus tak datang.
Hari ini Kaz e-mel bahagian tugasan yang telah diamanahkan; alhamdulillah kualiti tinggi, ahli kumpulan lain pun suka. Esok lusa tak e-mel langsung, hantar pula kerja yang penuh tiru dan tampal (copy&paste) sana sini.
Itulah Kaz.
Ada hari Kaz sangat produktif dan boleh mengerjakan apa-apa sahaja tugasan yang diberi tanpa banyak alasan, ada hari sebaliknya berlaku. Langsung tidak konsisten.
Boleh bayangkan betapa malangnya siapa yang ambil Kaz bekerja nanti?
[4] bersikap profesional sepanjang masa.
Kalau tak marah-marah, atau tampak emo, bukan Kaz namanya.
Maaf mengecewakan korang, tetapi Kaz seorang Lelaki. Tetapi emosi berubah macam perempuan yang tengah dalam haid.
Ada masalah dengan kawan X, tetapi lepaskan geram kepada kawan Y semasa tengah buat kerja berkumpulan.
Atau beri alasan tidak dapat menumpukan perhatian tugasan, kerana masalah keluarga. Ini alasan paling cliche nak mampus.
Yang sedihnya, kadang-kadang ahli kumpulan redha sahaja dengan Kaz, kerana bersimpati Kaz ni orang sibuk, macam-macam program disertai, dengan kerja separuh masa lagi. Langsung mereka diam dan tidak berkata apa-apa.
Langsung tak profesional kan?
Boleh bayangkan betapa malangnya siapa yang ambil Kaz bekerja nanti?
…
..
.
Di sebalik semua perlakuan tidak beretika ini, Kaz berjaya menamatkan pengajian tanpa ulangan mana-mana subjek.
Setiap kali terlepas namun Kaz langsung tidak rasa bangga malah rasa malu dan jijik. Mana tak nya, hantar tugasan lambat, bait perenggan kadang-kala dipetik bulat-bulat daripada jurnal tesis di internet, lepas tu beri alasan dan pusing sana-sini untuk melepaskan diri.
Setiap kali Allah sengaja mahu uji kejujuran Kaz, Kaz tewas lagi dan lagi dengan ujianNya.
Baru-baru ini, Kaz sudah mula memohon pekerjaan dan sudah melalui beberapa temuduga. Alhamdulillah kebanyakannya positif, tinggal mahu pilih sahaja.
Namun perasaan “Aku seorang penipu, aku tidak layak” sering menghantui diri.
Berkat ke ijazah ni?
Bagaimana harus Kaz menebus kembali dosa-dosa menipu sepanjang pengajian?
Cukup kah sekadar bertaubat pada 10 malam terakhir Ramadhan kali ini?
Moga Allah memberi petunjuk melalui kalian yang menyampaikanya di ruang komen.
– Kaz
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit