Assalamualaikum semua.. Hari ni aku nak berkongsi kisah aku. Aku tak berniat exposekan life aku untuk membuka aib mana-mana pihak.
Sekadar perkongsian untuk sedikit ketenangan dan doakan aku agar apa yang selama ni terpendam dalam hati aku dapat aku lerai dan redhakan.
Aku anak tunggal perempuan dalam keluarga, semua adik beradikku lelaki tetapi tidak bermakna hidup aku dimanjakan.
Seingat aku, hubungan aku dengan mak tak pernah baik sejak kecil. Aku bukan mangsa penderaan fizikal, walaupun ada sesekali aku dipukul tetapi itu aku akui kerana kedegilan ku ketika kanak-kanak.
Tapi aku mungkin tidak bernasib baik seperti anak-anak yang lain seusia aku pada ketika itu. Ingatan paling jelas ketika aku berusia dalam lingkungan 10 tahun. Rasanya di usia itu aku sudah cukup merasakan ditekan secara dalaman oleh mak aku sendiri.
Tidak seperti anak yang lain, ketika melakukan kesalahan mak akan menegur, memberi nasihat dan mungkin memarahi.
Tapi mak aku berbeza. Dia akan meminggirkan aku, tidak membalas teguran dalam tempoh yang agak lama (kadang hampir 3 bulan), menyindir dan selalu bercakap aku anak derhaka depan orang lain. Bila aku ingat balik, aku hanya anak berusia 10 tahun masa tu.
Pada mulanya aku mungkin tidak begitu terkesan tetapi bila hampir setiap kali melakukan kesalahan aku tidak akan ditegur mak sendiri selama berbulan-bulan, cukup menyiksa aku. Sedangkan aku masih sangat mahu bermanja dan bergelak tawa dengannya pada ketika itu.
Ketika menginjak 12 tahun, aku lebih banyak menyendiri. Aku banyak habiskan masa sendiri dalam bilik, aku tuliskan nota-nota kesakitan dalam “diary” aku setiap hari. Bila hari ini aku terbaca kembali tulisan tersebut, seakan aku tidak percaya aku pernah menuliskan itu.
Manakan tidak, seberat-berat tekanan yang aku alami, membuat aku menulis seperti aku bukan anak kandung dan banyak kali juga aku menulis hendak mengakhiri hidup dalam diary tersebut. Betapa besarnya tekanan yang aku alami pada usia aku sekecil itu.
Pernah sekali aku tercari-cari benda yang boleh mematikan aku. Mujur aku tidak berjumpa. Kalaulah tidak mungkin aku sudah mati kufur dan menyesali tindakan itu. Maafkan aku pembaca. Aku hanya anak kecil yang tertekan pada waktu itu.
Adik beradik aku yang lain? Ya, mereka tidak pernah diperlakukan sedemikian. Hanya aku! Bila adik beradik aku yang lain melakukan kesalahan, mak akan berusaha menyembunyikan dari pengetahuan bapa walaupun kesalahan itu berat.
Mereka semua adalah jenis remaja yang menjadi perokok pada usia sangat muda, tapi mak tidak pernah mahu bapa tahu semua tu. Seboleh-bolehnya dia akan menutup kesalahan anak-anak lelakinya itu. Tapi aku? Walaupun sekecil zarah kesalahanku, dia akan ceritakan pada bapa.
Pernah sekali, ketika aku berusia 17 tahun bapa menghambat aku menggunakan paip besi. Masa tu aku tak tahu apa salah aku. Tapi memang aku akui aku banyak menghabiskan masa di luar rumah, bersama seorang kawanku yang mak percaya dia budak tak bagus.
Tapi kalaulah mak dan bapa tahu aku merasa lebih dihargai di samping orang lain dibandingkan mereka dan tekanan dalam rumah itulah yang membawa aku selalu meninggalkan rumah. Carutan dan kata-kata tak baik jangan cakaplah.
Itu sudah seolah-olah menjadi zikir pada mak setiap kali kami berseteru. Bila diingat, aku sendiri malu untuk menuliskan, cukup aku cakap mak selalu seakan-akan mendoakan benda tak baik dari kata-katanya.
Aku selalu ingin berkata dan bersuara pada mak, bukankah kata-kata seorang ibu itu adalah doa mak?
Kenapa selalu mak mengandaikan apa yang tidak aku perbuat dan meramalkan Allah akan membalas itu padaku?
Adakah kerana mak adalah ibu, mak bebas ‘menderhakakan’ aku. Allah aka mendengar kata-kata mak kerana tempat mak mulia di sisiNya.
Bukankah sepatutnya aku layak mendengar kata-kata yang manis dan doa yang baik dari seorang ibu seperti anak orang lain? Kalau apa yang menjadikan aku, bukankah mak yang membentuk dan melentur aku?
Begitupun aku tidak pernah berbuat benda tak baik pada masa tu. Mungkin aku hanya perlukan sedikit ruang dari terus-terus di tekan dalam rumah sendiri.
Kembali ke usia awal remajaku tadi, pada usia 13 tahun aku tinggal di asrama sekolah. Bermakna aku tidak menetap sepenuhnya di rumah maka tidaklah aku begitu tertekan. Hidup di asrama bagiku cukup indah. Aku dapat bergaul dan aku dapat kawan-kawan yang baik.
Seakan di sana membuat aku lebih ceria dan rasa disayangi. Kakak-kakak senior aku rasakan seperti kakak sendiri. Aku rasakan ingin sangat bermanja-manja dengan mereka, benda yang tidak pernah aku rasa di rumah.
Pada usiaku 15 tahun, keluarga terpaksa berpecah tempat tinggal kerana kami mahu mendirikan rumah baru di tapak asal rumah.
Rumah lama dirobohkan, mak bapa dan adik bongsuku tinggal di kuartes jauh dari kampung, dua abangku dan adik nombor empat tinggal dengan atok nenek. Aku masih di asrama. Pada masa itulah masalah sosial abang-abang dan adikku semakin teruk.
Tiada pengawasan ibu bapa, adikku yang pada masa itu hanya berusia 13 tahun di buang asrama kerana merokok, abang-abangku pernah didapati mencuri dan paling teruk mereka terlibat dengan kegiatan tidak sihat.
Mereka pernah berparang antara mereka. Bayangkan keluarga kami hampir musnah pada masa itu. Aku sering ketakutan ketika berada di persekitaran keluargaku.
Pada masa cuti memang aku akan bersama mereka. Setiap hari adalah hari-hari yang mencemaskan dalam keluarga kami.
Berasah parang, menyaksikan adik beradik bergaduh hampir setiap hari, belum lagi ditambah dengan cerita-cerita luar, khabar abang-abang ku mencuri, hisap gam, mabuk.
Mak aku tertekan, aku tahu. Sedangkan aku selalu ketakutan apakan lagi dia. Tapi seandainya mak bercerita perihal adik beradik ku dengan bapa, bapa ajar mereka dengan cara seorang lelaki mengajar anaknya, mungkin semua benda ni tidak akan terjadi.
Tapi dia pun satu, pergi kerja, balik, dia akan terus masuk bilik. Tidak pernah pun cuba tahu apa yang berlaku pada kami. Syukur tuhan, hari ini mereka semua sudah berubah.
Walaupun tidak mendapat pekerjaan yang baik sekurang-kurangnya mereka bukan lagi seperti dulu. Mereka sudah berkeluarga dan aku tumpang gembira walaupun ikatan adik beradik kami tidak erat. Ada banyak sebab juga aku berjauh hati dengan mereka.
Dipendekkan cerita, selepas berkahwin, aku masih menerima tekanan yang sama. Aku masih tidak ditegur berbulan-bulan andai ada sepatah perkataan salah pada mak.
Ditakdirkan pula usia perkahwinan aku tidak panjang. Berbulan aku hidup menumpang dengan keluarga.
Dulu hidup aku sangat susah. Kerja tak ada, sumber pendapatan tak ada. Aku keluar dari rumah bersama anak-anakku selepas dihalau oleh adikku. Sedih bercampur dendam pada kesemua mereka pada masa itu.
Sedih bila masa di mana aku perlukan sokongan, pertolongan dan perlindungan daripada adik beradikku, malah merekalah yang menghalauku keluar. Kereta milik bapa yang selalu aku gunakan yang pada masa itu aku tak mampu bayar bulanannya pun diambil mereka.
Alangkah indahnya punya adik beradik bila mana kau diduga dalam hidup, mereka hulurkan tangan dan memapah kau bangkit bukan menolak kau jatuh.
Mak dan bapa? Mereka sedikitpun tidak bersuara, tidak juga mempertahankan dan bercakap aku juga layak berada di sana kerana aku anak. Di sana aku berdendam.
Aku tercari-cari sendiri hidupku bersama anak-anakku. Syukur Allah membuka pintu rezeki untuk kami. Aku diterima bekerja di suatu tempat, aku sekolahkan anakku dan perlahan-lahan aku bina kehidupan kami.
Alhamdulillah Allah masih memberikan rezeki seperti air yang mengalir. Tidak pernah putus sejak aku melangkah meninggalkan rumah hinggalah hari ini.
Aku kembali membawa sedikit kejayaan yang tidak perlu dibanggakan. Hanya sedikit tapi sungguh bererti buatku dan anak-anak.
Benar, aku diterima kembali dan diperlakukan lebih baik dari dahulu. Tapi aku memang tidak pernah mengimpikan untuk bergabung di persekitaran itu lagi.
Aku hanya balik sekali sekala dan tidak berhajat untuk terus menetap di sana kerana aku tahu manis berkeluarga hanya bila kau berkasih sayang dari jauh. Percayalah bila kau ada dekat mereka, segala yang indah takkan jadi indah. Yang nampak hanya kesalahan kau saja.
Kini aku menilai mereka satu persatu dari pengalamanku. Ada yang tidak pernah bertanyakan khabarku ketika aku terkial-kial dalam hidup, sekarang semakin kerap bertanya. Aku tidak mahu menjauh terus dari mereka kerana sungguh aku sayang keluarga aku.
Cuma mungkin luka aku cukup membuat aku mendendami hidupku. Terkadang bila ada saudara yang susah mendatangi aku, sering aku ajukan kembali pada diriku, orang ini tidak pernah menolong aku ketika aku susah dahulu. Apakan menolong, memandang pun tidak.
Dendamkah itu? Wajarkah aku bersikap sebegitu? Kadang mak menasihati aku untuk jangan berdendam, terutama dengan adik beradikku tapi aku tidak pernah menghiraukan itu sebagai nasihat kerana dia jugalah yang membawa aku merasai itu.
Mereka bukan sahaja tidak pernah cuba merasai kesusahanku malah mereka jugalah yang menyusahkan aku.
Sehingga kini aku masih merasai bahawa aku bukan anak yang dipilih dan ketika aku seolah-olah makin disayangi, jauh di sudut hati aku merasa dipergunakan.
Kadang hati aku tidak cukup kental untuk menolak permintaan tapi hati aku seolah tidak ikhlas bila banyak persoalan aku ajukan sendiri dalam hatiku.
Doakan aku redha atas segala masa laluku. Doakan aku dapat berbakti kepada kedua orangtuaku dengan ikhlas.
Doakan juga aku terus mengikhlaskan apa pun dan moga apa yang terjadi mendapat ganjaran pahala dari Allah. Mudah-mudahan siapapun di antara kita yang terpinggir hari ini akan beroleh kejayaan dan diberi peluang berbakti.
– Nelly (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit