Bismillah.. Assalamualaikum buat semua.. Hari ni saya ingin kongsikan satu kisah yang dialami saya sendiri. Mungkin Allah menguji saya supaya saya dapat kongsikan pengalaman kurang manis ini kepada semua.
Bukan ingin membuka pekung di dada tapi nawaitu perkongsian saya kali ini supaya dapat memberi sedikit ilmu sekiranya diuji seperti saya dan semoga dapat dijadikan iktibar buat kita semua.
Sebelum itu saya memohon maaf sekiranya coretan kisah ini sangat panjang dan saya sangat menghargainya sekiranya pembaca dapat membacanya sehingga habis dan dapat share sebanyak mungkin bersama orang lain,
Kerana saya berharap agar dapat memberi sedikit input atau ilmu sekiranya terjadi kepada pihak pembaca. Nauzubillah, minta pembaca semua dijauhi dari terkena seperti saya.
Saya ringkaskan cerita. Saya ada berniat untuk membeli vending mesin atau juga dikenali sebagai mesin air tin gedegang.
Melihat iklan di facebook, ada promosi dan seminar berkaitan bisnes ini. Saya dan suami pergi dengan niat ingin mencedok dan menggali ilmu berkaitan bisness ini kerana sememangnya kami zero ilmu berkaitan bisness ini.
Sejurus di sana, saya tertarik untuk membeli vending mesin tersebut disamping mula terpengaruh dengan promosi yg ditawarkan. Setelah kami berdua berbincang, saya dan suami bersetuju untuk memulakan bisness ini dan ingin membeli vending mesin tersebut.
Walaubagaimanapun kami perlu membayar deposit bagi booking mesin tersebut tetapi sekiranya dibatalkan pembelian, beberapa amount akan bakal ditolak dari wang deposit yang telah dibayar.
Pada permulaannya, mereka mengenakan deposit sebanyak RM8,000 tetapi kami memberitahu tidak punya wang sebanyak itu.
Setelah berbincang, kami bersetuju untuk membayar sebanyak RM2000 dan sekiranya kami ingin membatalkan pembelian ini, RM500 akan ditolak dari jumlah wang deposit yang telah dibayar.
Sebelum itu, kami diminta untuk menandatangani beberapa agreement. Untuk makluman semua, ketika membaca agreement tersebut, ada term yang saya tidak berapa jelas memandangkan agreement tersebut juga di dalam bahasa Inggeris.
Saya meminta mereka menjelaskan mengenai agreement tersebut tetapi mereka hanya memaklumkan mengenai penolakan wang deposit sahaja sebanyak RM500. Berkenaan perkara lain tidak pula diterangkan.
Setelah pulang ke rumah, saya memberitahu penjual tersebut untuk melakukan tiga hari solat istikarah. Memandangkan harga vending mesin ini juga bukanlah murah disamping memohon petunjuk supaya bisness yang ingin kami ceburi ini adalah yang paling terbaik buat kami.
Jika berminat membeli mesin ini kami perlu membuat pinjaman bank untuk membiayai bayaran kos vending mesin ini iaitu sebanyak RM29,800.
Hari pertama saya melakukan istikarah, seawal pagi tu hati saya tergerak untuk mencari maklumat mengenai syarikat yang saya berurusan ini.
Menurut mereka, syarikat mereka telah hampir 8 tahun menjalankan perniagaan jualan vending mesin ini tetapi hasil carian saya mengenai syarikat tersebut langsung tidak menemui apa-apa maklumat.
Saya menyertai grup vending mesin Malaysia (VMM) dan bertanya mengenai nama syarikat tersebut, lebih mengejutkan saya lagi, terdapat seorang yang komen pertanyaan saya dan mengatakan bahawa dia telah ditipu oleh syarikat tersebut.
Pihak syarikat tidak memaklumkan mengenai penolakan wang RM500 dari duit deposit yang telah dibayarnya.
Selain lelaki tersebut, saya juga menerima beberapa komen supaya meminta untuk berhati-hati dengan pelbagai syarikat penjualan vending mesin kerana mereka kerap bertukar-tukar nama syarikat tetapi modus operandi pendekatan jualan mereka adalah sama.
Saya personal message (pm) dengan lelaki tersebut dan lebih memeranjatkan lagi, nama penjual dan pengurus dia adalah sama dengan orang yang saya berurusan.
Nama syarikat juga sama tetapi lelaki ini berurusan sebulan sebelum saya dan mereka bertemu di negeri lain iaitu di negeri belah utara manakala saya menemui mereka di pantai timur.
Terkini saya dimaklumkan juga bahawa syarikat ini juga telah tutup tetapi berhati-hatilah semua kerana mereka mungkin mencipta bermacam-macam nama syarikat yang baru tetapi pendekatan teknik dan strategi jualan yang digunakan masih sama.
Hari kedua saya melakukan istikarah, suami saya bertemu dengan kawannya di tempat kerja.
Kawan suami saya ini memang menjalankan perniagaan vending mesin ini tetapi setelah bersembang dengannya, kawan suami membuka cerita bahawa dia juga pernah ditipu dan lebih menyedihkan lagi, dia kerugiaan hampir RM30 ribu.
Syarikat jualan menjanjikan vending mesin yang baru tetapi mereka menerima vending mesin yang recond (second hand). Mereka membuat urusan jual beli ini di negeri yang berlainan iaitu bukan di selatan mahu pun pantai timur.
Salah seorang rakannya juga turut terkena nasib yang sama. Menurut rakan suami, syarikat tersebut juga telah pun ditutup.
Seperti yang saya maklumkan di atas tadi, penubuhan sesebuah syarikat ini tidak lama. Mereka sering menukar-nukar nama syarikat tetapi teknik jualan masih sama dan mereka menjelajah ke seluruh negeri.
Jadi tanpa di sangka, saya dan jumpa tiga orang yang terkena dalam urusan jual beli vending mesin ini dari negeri yang berlainan.
Saya terus melakukan istikarah bagi hari ketiga. Setelah menerima dan mendengar banyak perkara yang tidak enak didengar, hati mula terasa berat untuk meneruskan niat membeli mesin air tin ini.
Kami kemudiannya menghantar whatsapp kepada agen tersebut untuk memaklumkan bahawa kami tidak jadi membeli mesin ini dan dia memberitahu supaya membuat surat pembatalan.
Saya dan suami membuat surat pembatalan. Untuk makluman semua, menurut agen syarikat ini, kami hanya boleh berurusan dengan pihak HQ melalui emel sahaja. Jadi surat pembatalan juga hanya melalui emel sahaja.
Apabila bertanya agen syarikat, jawapan yang diberikan, semua HQ yang uruskan. Memandangkan balasan dari emel agak memakan masa untuk direspon, saya menghubungi nombor yang terdapat di resit yang diberikan, malangnya nombor tersebut tidak boleh dihubungi lagi.
Saya kemudiannya cuba menghubungi nombor yang tertera di facebook mereka. Malangnya juga langsung tidak diangkat.
Apabila saya whatssApp, mereka menjawab untuk berurusan dengan agen sedangkan agen memberitahu bahawa HQ yang uruskan. Saya (pm) difacebook mereka juga tidak dibalas.
Kami akhirnya berbalas-balas emel kerana surat yang pertama kali dibuat juga salah. Padahal saya telah bertanya agen, bagaimana flow pembatalan pembelian ini tetapi whatssapp kami tidak dibalas.
Kami kemudiannya menghantar sekali lagi surat pembatalan sehinggalah satu hari, saya menerima panggilan telefon dari syarikat berkenaan yang mengatakan bahawa pembatalan kami tidak diterima kerana telah melebihi tempoh masa yang diberi.
Saya terkejut kerana langsung tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut. Dia memberitahu bahawa maklumat ini telah dinyatakan di dalam agreement dan saya sendiri telah menandatangi agreement tersebut. Dia tidak mahu membayar baki duit deposit kami.
Untuk makluman semua, sebelum menandatangi agreement, saya bertanya mengenai isi kandungan agreement tersebut.
Suami saya juga meminta satu salinan agreement tersebut untuk rujukan pihak kami tetapi mereka tidak memberikan kepada kami dengan alasan akan memberikannya nanti kerana akan perlu bertemu beberapa kali lagi untuk menguruskan pembelian mesin ini.
Semasa dimaklumkan mengenai perkara ini, saya berasa sangat ralat, sedih dan terkilan kerana duit deposit saya sebanyak RM1500 telah hangus. Sesungguhnya kami bukanlah orang senang dan jumlah ini dirasakan sangat besar bagi kami.
Ketika (pm) orang yang terkena nasib dengan saya hari tu, dia juga memberitahu saya bahawa dia bukanlah orang senang dan duit RM500 yang diambil dari syarikat ini sangat memberi kesan kerana banyak perkara boleh dilakukan dengan jumlah wang sebanyak itu.
Saya sempat bertanya, kenapa dia tidak mengambil tindakan selanjutnya ke atas syarikat ini tetapi menurutnya dia berasa takut kerana pihak tersebut juga telah memberitahu dia bahawa dia telah menandatangani agreement jadi dia merasa takut serta seakan tidak punya hak untuk mendapat balik duitnya itu.
Ketika dihubungi pihak syarikat berkenaan, saya ada memberitahu dia untuk melaporkan kepada pihak polis mengenai perkara ini tetapi dia memberitahu saya akan menyaman saya kembali kerana saya sendiri telah menandatangani perjanjian tersebut.
Memikirkan perkara tersebut, pada mulanya saya juga agak ragu-ragu untuk fight kes ini tetapi setelah berbincang bersama keluarga, saya mendapat sokongan penuh dari keluarga untuk fight balik kes ini,
Dengan nawaitu supaya syarikat ini mengambil iktibar dari kes saya kerana jika sebelum ini ramai yang memilih untuk berdiam diri dan tidak mahu memperjuangkan hak mereka tetapi saya tidak.
Saya terlalu sedih dan rasa terpukul memikirkan nasib orang kampung, warga emas atau orang yang kurang berkemampuan yang ditipu oleh golongan seperti ini. Hati saya sangat tersentuh apabila mendengar kisah-kisah mereka.
Sudahlah tidak berkemampuan, ditipu pula oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang sentiasa cuba mengambil peluang ke atas kedaifan dan kekurangan ilmu seperti golongan ini tanpa rasa kasihan dan berperikemanusiaan.
Asal sahaja menguntungkan, semuanya disapu bersih tanpa memikirkan nasib orang yang dianiaya ini.
Jadi berkat sokongan semua, saya memberitahu pihak syarikat itu untuk fight dapatkan balik deposit saya.
Saya meminta untuk diselesaikan cara baik namun mereka memilih untuk tidak membayar kembali lebihan deposit saya dan berulang kali memberitahu saya untuk mengikut seperti yang telah ditandatangani sebagaimana hitam putih perjanjian tersebut.
Saya juga tidak dibenarkan untuk bercakap dengan bos mereka. Saya seperti bola yang ditendang kerana hanya mampu berurusan dengan dengan agen dan HQ sahaja.
Pengurus yang saya berurusan juga mula lepas tangan dan diamkan diri kerana saya juga gagal untuk bercakap dengannya mengenai perkara ini.
Perkara pertama saya lakukan adalah melaporkan kepada pihak polis. Sebelum itu, saya ingin mengambil peluang mengucapkan jutaan terima kasih kepada mok ayah dan kawan ayah saya kerana menjadi peneman saya membuat laporan polis.
Sesungguhnya saya agak berdebar juga kerana ini pengalaman pertama dan alhamdulillah segala urusan report polis semuanya berjalan lancar.
Di sini saya ingin highlight apa yang diberitahu oleh Pegawai Penyiasat di bahagian Jenayah Komersial yang mengambil kes saya,
Dia memberitahu supaya jangan takut untuk melaporkan kepada pihak polis sekiranya rasa ditipu atau dianiaya kerana pihak polis boleh mendapat lebih banyak info sekiranya kegiatan itu berlaku dari syarikat yang sama.
Sekiranya semua orang bekerjasama serta tidak takut untuk melaporkan kepada pihak polis, penangkapan juga boleh dibuat jika mereka terbukti bersalah.
Pihak polis juga boleh mengumpul dan merekod lebih banyak maklumat dan data mengenai kes seperti ini tetapi sekiranya kita tidak melaporkan kepada pihak polis, bagaimana mereka akan tahu bahawa kes ini semakin menjadi-jadi, berleluasa dan tersebar luas.
Ketika memberi keterangan mengenai kes saya, saya turut dimaklumkan oleh polis yang bertugas bahawa kes scammer ini sememangnya semakin menjadi-jadi.
Orang yang ditipu tidak semestinya dari golongan orang biasa malah ada juga yang terdiri dari golongan yang berprofessional tinggi termasuk seperti pensyarah, doktor dan sebagainya.
Lebih menyedihkan lagi, jumlah yang ditipu oleh pihak ini juga bukanlah sedikit malah mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.
Di sini saya ingin berkongsi bahawa apa perkara yang kita lakukan, jika niat kita niat yang baik, in sha allah, Allah akan permudahkan urusan kita dan hadirkan kita dengan orang yang baik, betul dan banyak membantu. Selepas saya melaporkan kepada pihak polis, saya juga membuat aduan di Tribunal.
Sejujurnya saya dan suami langsung tidak tahu mengenai tribunal pengguna ini. Tetapi kebetulan suami ada perlu bertemu kenalannya iaitu seorang peguam.
Kami sempat bertanya pendapatnya mengenai kes kami dan dia menasihatkan kami untuk membuat aduan di tribunal kerana ia berfungsi mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan pengguna yang dibuat di bawah akta dan tertakluk kepada peruntukan Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599) secara bebas dan adil.
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) adalah salah satu Bahagian di Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Pihak polis yang mengambil kes saya juga turut menyaran dan menyokong saya apabila saya memberitahu bahawa akan melaporkan perkara ini di Tribunal Pengguna. Kita hanya perlu membayar sebanyak RM5 sahaja untuk membuat aduan.
Saya ingin kongsikan bagaimana saya mendapat info mengenai syarikat vending mesin ini. Ini diajar oleh kenalan suami iaitu peguam tersebut.
Saya gagal mendapatkan sebarang info lanjut mengenai perincian profil syarikat vending mesin ini. Walaupun telah diminta dari HQ, mereka berdolak dalih untuk memaklumkan mengenai company profile mereka.
Malah ketika meminta nama penuh customer servis yang menghubungi saya juga, dia enggan memberikan nama penuhnya.
Apa yang kita boleh buat, kebiasaan di resit pembelian atau name card mereka akan tertera nombor pendaftaran SSM. Kita boleh dapatkan maklumat syarikat berkenaan di Mydata SSM.
Sign up sekiranya pertama kali log in dan kita masukkan no pendaftaran syarikat. Sekiranya keluar nama syarikat, kita boleh membeli SSM syarikat mereka dengan bayaran hanya RM15 sahaja.
Tetapi sekiranya kita memasukkan no pendaftaran tetapi tidak keluar sebarang nama syarikat, mungkin no pendaftaran yang diberikan tidak betul atau sekadar mereka-reka bagi menampakkan kononnya syarikat mereka wujud dan berdaftar di bawah SSM.
Setelah membeli data SSM syarikat tersebut, penemuan dari maklumat SSM syarikat vending mesin ini bercanggah kerana mereka memaklumkan bahawa telah hampir 8 tahun melakukan perniagaan ini tetapi di SSM, baru dua tahun mereka beroperasi menjalankan perniagaan ini.
Saya juga sempat bertanya customer servis syarikat ini adakah beliau mengenali nama si polan seperti yang tertera di SSM iaitu saya menyebut nama pemilik syarikat ini malangnya dia menjawab tidak mengenali. Dia bertanya saya siapakah orang itu dan saya memberitahu bahawa saya sekadar bertanya.
Bayangkan anda bekerja di syarikat tersebut tetapi tidak mengenali nama pemilik syarikat tempat anda bertugas.
Jika banyak maklumat kita peroleh, lagi banyak perkara dan info kita boleh dapat mengenai syarikat mereka kerana di dalam SSM terdapat nama penuh, IC dan alamat pemilik syarikat. Ini sangat membantu kita untuk mendapat info dan menjejaki syarikat ini sekiranya perlu berbuat demikian.
Melalui maklumat dari SSM juga, anda boleh bertanya pelbagai soalan yang anda sendri sudah punya jawapannya di maklumat tersebut. Jika tidak sama, mereka kelentong anda la tu.. so hati-hati!
Satu lagi tips saya ingin kongsikan ialah sekiranya kita bercakap melalui telefon berkenaan perkara yang penting dan serius,
Tekanlah button record di telefon pintar anda kerana kita boleh mendengar kembali perbualan bersama pihak mereka dan sekiranya ada perbualan yang boleh dijadikan sebagai bukti, kita boleh mengulang semula perbualan telefon antara mereka yang telah kita rekodkan.
Jika kita dapat kumpul sebanyak mungkin bukti bahawa syarikat mereka sememangnya tidak telus dan jujur, in sha allah kemenangan boleh berpihak kepada kita.
Antara tips lain pula ialah:
1) Sekiranya kita ditempat membeli, ambil masa sekejap untuk google atau cari maklumat pasal company yang diwar-warkan itu.
Sekiranya mereka memberitahu mereka telah lama menjalankan business ini tetapi anda tidak menjumpai sebarang maklumat company, anda perlu ada perasaan curiga dan ragu-ragu. Perasaan ni bagus kerana akan membuat anda lebih berhati-hati bagi langkah seterusnya.
2) Ambil gambar orang yang berurusan dengan anda supaya senang sekiranya terjadi apa-apa atau mereka tak dapat dikesan atau melarikan diri, anda ada wajah2 mereka untuk tindakan selanjutnya.
Teknik ni terpulang samada ambil gambar curi atau minta dia smile sambil buat peace depan anda.. tu pun kalau dia nak.. hihi..
Setelah terjadi saya baru sedar di facebook mereka langsung tiada gambar-gambar mereka. Jadi tak salah kalau kita ambil gambar mereka untuk persediaan sekiranya terjadi apa-apa isu di kemudian hari. Kalau mereka menjalankan perniagaan yang telus, mereka tidak perlu takut.
3) Sebaiknya sekiranya anda boleh dapatkan photostat IC penjual tersebut, itu lagi bagus.
4) Ambil gambar semua maklumat company yang diberikan. Sebaiknya tanya pelbagai soalan berkaitan company mereka.
Ok done kongsi beberapa tips. Semoga ada manfaatnya buat semua. Berbalik kepada kisah saya tadi, alhamdulillah, hari pendengaran kes telah dijalankan. Saya tetap gugup kerana ini pengalaman pertama saya tetapi berkat doa dari semua, saya berjaya laluinya.
Saya memang bersiap sedia dengan segala jenis bukti yang ada termasuk mencetak screen shot whasapp, menghimpunkan rekod perbualan telefon bersama pihak mereka dan apa sahaja lampiran yang menyokong aduan saya.
Saya juga tidak menyangka pihak syarikat tersebut juga turut hadir ketika pendengaran kes. Hanya pemilik syarikat sendiri yang hadir tanpa ditemani sesiapa. Dua orang penjual yang berurusan dengan kami tidak hadir.
Jika tidak salah saya, pemilik syarikat, HQ dan customer servis adalah orang yang sama.
Dia adalah orang yang sama tetapi mewujudkan tiga nama dan jawatan yang berlainan kerana semasa saya bercakap dengannya, lenggok dan cara bercakap suara pemilik syarikat ini sama dengan customer servis yang menghubungi saya. Saya sebenarnya mungkin berurusan dengan orang yang sama sahaja.
Sekiranya benar telahan saya, saya begitu terkilan kerana sampai begitu sekali mereka sanggup lakukan. Tetapi mereka sangat pandai dalam skill berkomunikasi.
Sungguh sayang sekali kerana anugerah dan bakat komunikasi yang baik yang telah dianugerahkan Allah kepadanya telah disalahguna untuk mengelirukan orang ramai dan mencari rezeki.
Yang saya jumpa pun dah tiga orang ditipu dan saya percaya sebenarnya jumlah terkena tipu oleh pihak ini ramai sebenarnya tetapi mungkin mereka lebih selesa untuk berdiam diri dan tidak mengambil sebarang tindakan serta tidak mahu tampil ke depan untuk melaporkan kepada polis dan tribunal pengguna.
Pemilik syarikat tersebut terpaksa hadir dari ibu kota ke negeri saya tinggal iaitu di Pantai Timur kerana saya yang mula membuka kes.
Sekiranya pihak dia yang membuka kes terlebih dahulu, saya perlu hadir ke sana walaupun jauh atau berlainan negeri. Tempat pendengaran kes bergantung pada negeri yang telah dipilih oleh pihak penuntut.
Tetapi sekiranya mereka tidak hadir, kes akan tetap diperdengarkan tetapi akan menjadi kelebihan kepada pihak penuntut kerana tuntutan mereka tidak mendapat sebarang tentangan dari pihak sana. Walaupun mereka tidak hadir, mereka tetap akan diberi hukuman sekiranya terbukti bersalah.
Setelah didengarkan kes di hadapan President dan kami saling disoal jawab, Alhamdulillah dan sujud syukur kepadaNya kerana tanpa diduga dan disangka, kemenangan berpihak kepada saya.
Terima kasih juga buat suami kerana sentiasa memberi keizinan untuk saya berjuang, menyokong saya di kala saya hampir give up dan sentiasa ada bersama saya.
Semasa dimaklumkan pihak syarikat terbabit perlu membayar kembali baki deposit kami dalam tempoh 14 hari, jelas terbayang kawan2 lain yang pernah terkena dengan syarikat ini. Sesungguhnya kekuatan dan semangat memperjuangkan kes ini juga datangnya dari mereka.
Berkenaan hukuman yang diberikan kepada syarikat ini, sekiranya gagal membayar kembali wang dalam tempoh selepas 14 hari, hukuman denda dan penjara akan dikenakan.
Bagi kes saya, sekiranya gagal membayar kembali deposit saya, pihak syarikat akan didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan yang berterusan, denda tidak kurang RM100 dan tidak lebih RM 5,000 bagi setiap hari atau sebahagian hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan. Ini denda bagi kes saya, mungkin kes lain, jumlah denda dan hukuman penjara juga berlainan. Walluhalam.
President memberitahu kami bahawa agreemet yang diberikan adalah tidak betul dan tidak lengkap. Agreement tersebut sendiri tidak sah dan perlu diperbaiki untuk kegunaan akan datang.
Pengurus yang menandatangani seharusnya memberi maklumat penuh bukan sekadar sain dan nama samaran sahaja.
Ini juga boleh kita jadikan pengajaran pada masa akan datang terutama apabila berurusan dengan perkara yang melibatkan urusan menandatangani agreement atau perjanjian.
Please BACA AGREEMENT DAHULU DAN FAHAMKAN. TAK FAHAM TANYA. AMBIL MASA BERTENANG DAN JANGAN TERBURU-BURU SAIN.
Sekiranya mereka tidak memberikan salinan perjanjian tersebut kepada anda. Ambil gambar guna fon anda. Simpan leklok dan sekiranya ada isu berbangkit, anda boleh rujuk balik perjanjian tersebut.
Sekiranya mereka memberitahu bahawa anda telah sain perjanjian tetapi perjanjian tersebut lain dengan apa yang telah anda tandatangani.
Kemungkinan mereka untuk menokok nambah perjanjian tersebut boleh juga terjadi kerana anda tiada salinan perjanjian tersebut. Al maklumlah, pelbagai cara dan teknik boleh dilakukan untuk tidak telus dan mengaut keuntungan.
Jadi sangat penting untuk anda dapatkan satu salinan perjanjian bagi pihak diri anda. Nasihat ini juga diberi oleh sahabat saya yang turut bekerja sebagai peguam.
Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih banyak kepadanya sebab banyak tolong guide saya dan bagi semangat kepada saya untuk teruskan kes ini.
Terima kasih juga buat semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Saya sangat menghargai jasa semua.
Sejujurnya semasa membuat aduan tribunal, sekiranya bukan rezeki saya untuk mendapatkan kembali duit deposit yang dituntut, saya telahpun redha,
Tetapi saya membuat aduan polis dan tribunal bagi memberi pengajaran kepada syarikat berkenaan supaya tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan terhadap orang dengan maklumat yang tidak jelas dan samar-samar serta mengelirukan.
Marilah kita sama-sama mendoakan semoga mereka ini insaf dari menjadikan penipuan atau ketidaktelusan info sebagai sumber rezeki kerana saya percaya banyak mana pun wang mereka peroleh, jika tiada keberkatan dan keredhaan, tidak akan senang juga akhirnya.
Saya merayu kepada sesiapa yang diuji seperti saya supaya jangan takut untuk melaporkan kepada pihak polis.
Kemudian buatlah aduan di tribunal pengguna kerana sekiranya rezeki masih lagi menyebelahi pihak tuan puan, in sha allah tuan puan akan dapat kembali jumlah wang dituntut.
Sekurang-kurangnya kita berusaha untuk mendapatkan hak kita kembali selain pada masa yang sama boleh juga memberi pengajaran kepada syarikat yang tidak bertanggungjawab seperti ini.
Lagi satu, semasa menandatangi apa sahaja agreement, jangan terburu-buru menandatanganinya. Baca dan fahami dahulu isi kandungan agreement tersebut.
Minta pihak mereka terangkan satu per satu isi di dalam perjanjian tersebut supaya kelak, kekhilafan kita tidak dijadikan modal dan peluang keemasan oleh pihak mereka untuk mengelirukan kita.
Antara taktik penipuan dengan menggunakan agreement ialah dengan menggunakan font bersaiz lebih kecil berbanding biasa.
Ada juga menggunakan bahasa Inggeris sedangkan boleh dilampirkan juga di dalam bahasa Melayu dan menggunakan ayat yang panjang serta vocabulary yang sukar bagi tujuan mengelirukan pihak pengguna.
Apabila tulisan kecil dan ayat yang panjang dan banyak perlu di baca, masyarakat kita kebiasaan lebih suka memilih untuk terus sain dan percaya bulat-bulat bahawa pihak syarikat tidak akan menipu mereka tetapi apa yang terjadi,
mereka memanipulasi agreement tersebut sehingga membuatkan kita merasa takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa kerana hanya kesalahan kita telah menandatangani agreement tersebut.
Saya tak punya kudrat untuk menghalang anda dari ditipu atau dianiaya tapi saya harap moga ujian dan kes saya ini, dapat dijadikan iktibar buat semua.
Saya berharap agar kisah ini dapat share sebanyak yang mungkin supaya orang lain akan lebih alert dan berhati-hati sekiranya terpaksa berdepan dengan kes sebegini.
Moga niat kita share kisah ini dapat membuka mata ramai orang dan tips yang saya kongsikan boleh diaplikasi sekiranya diuji seperti saya.
Last word, jangan takut untuk berjuang sekiranya kita berada di pihak kebenaran kerana jika kita berjuang, kita tidak akan rugi malah mungkin pengalaman perjuangan kita boleh dikongsi kepada orang ramai.
Terima kasih sudi membaca sehingga pengakhiran coretan. Jangan lupa klik button share okey.
– Yang diuji-HH (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit