Sebelum menjelang PRU14, terdapat khabar yang menyatakan nasib penjawat awam tidak akan selamat sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menakluk Putrajaya. Berkemungkinan akan dikecilkan pengambilannya serta penjawat awam yang sedia ada akan dibuang kerja. Tetapi itu sekadar khabar angin yang tidak diambil kira oleh sesiapa pun, tidak terlintas langsung di pemikiran rakyat disebabkan PH tegas menyatakan akan mempertahankan nasib penjawat awam. Berita itu dianggap fitnah.
Sejarah baru dicipta, kerajaan PH ditubuhkan dengan 113 kerusi diumumkan pada 10hb Mei 2018. Berita yang disorak serata negara dan setiap ceruk kampung desa. Akan tetapi bermula episod yang sebelum ini tidak pernah dipercayai oleh rakyat. Penutupan beberapa agensi kerajaan serta nasib segelintir penjawat awam yang majoritinya bumiputera tidak bernasib baik telah menjadi kenyataan. Salah satunya ialah SPAD. Suruhanjaya yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) suatu ketika dahulu yang mengawal selia pengangkutan awam di Malaysia.
Berikutan isu ini, YB Menteri Pengangkutan baru dengan angkuh menyatakan dia telah menyediakan segala yang terbaik seperti pampasan, serta penawaran kerja kepada pekerja tetap SPAD. Untuk makluman, sebenarnya pampasan tersebut perlu diberi kerana pembubaran yang berlaku mengikut Akta Syarikat yang memerlukan pihak kerajaan menyediakannya. YB Menteri juga menyatakan dengan nada menyindir dalam media, pampasan yang tertinggi iaitu RM280 ribu telah diberi kepada satu individu.
Itu merupakan pampasan ketua pengurusan atasan yang gaji tinggi melampau di zaman kerajaan yang lama. Kebanyakan pekerja bawahan tidak sampai 10% pun dari nilai itu. Sekadar untuk 3 bulan hingga 6 bulan gaji sahaja. Surat tawaran pekerjaan yang diberi kepada pekerja SPAD juga menyatakan kerajaan tidak berkewajipan untuk melantik kami ke jawatan tetap dalam perkhidmatan awam. Kontrak yang ditawarkan selama dua tahun tanpa sebarang pilihan yang boleh dibuat. Perkara berkaitan masa depan kami ini dijalankan sekadar melepaskan batuk ditangga.
Semua ini dilakukan dengan sengaja untuk membuat kami menarik diri dari tawaran yang diberikan tanpa paksaan. Supaya pihak kerajaan berasa tidak bersalah dalam isu ini. Kami diberi tempoh amat singkat untuk membuat keputusan dan perlu untuk melapor diri pada tarikh yang ditetapkan dan sekiranya tidak hadir dianggap tidak berminat. Tiada peluang untuk membuat penangguhan dan rayuan atas alasan tertentu.
Mohon pihak yang berkenaan tanpa melibatkan kepentingan politik merujuk kepada tawaran pekerjaan yang telah diberikan kepada kesemua bekas pekerja SPAD demi membela nasib kami. Sekiranya perkara tersebut dibuat dengan terburu-buru dan tidak mengikut cara yang sebenar, berilah kami keadilan dan pertahankan hak kami.
Terima kasih Pakatan Harapan atas segala usaha untuk menafikan hak kami dan menjadikan khabar angin yang dahulu itu menjadi kenyataan. Sekiranya diundur masa, demi tuhan yang saya dan rakan-rakan tidak akan menjadikan PH sebagai kerajaan. Saya salah seorang penyokong tegar PH, pengundi Parlimen Port Dickson yang meletakkan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin saya. Patutnya kami hanya perlu menjadikan PH sebagai pembangkang yang kuat mengimbangi kuasa Barisan Nasional (BN). Dan Bukan kerajaan seperti hari ini. Sekian.
– Zamri
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit