Nama aku Sara (bukan nama sebenar). Aku berumur 27 tahun dan belum berkahwin. Aku merupakan anak tunggal perempuan di dalam keluarga dan mempunyai 4 orang abang.
Aku dalam dilema untuk memilih pasangan pilihan aku kerana aku tersepit dengan dua orang lelaki yang kedua-duanya pada aku lelaki budiman.
Lelaki pertama aku namakan Wan. Kami berkenalan ketika sama-sama belajar dan ketika itu Wan merupakan pelajar tahun akhir. Kami berkenalan ketika sesi orientasi dan perkenalan ini berlanjutan sehingga Wan tamat pelajaran.
Di kolej, aku boleh katakan Wan seorang yang agak dikenali kerana latar belakang keluarganya dan pembawakan dirinya sendiri.
Jurusan yang diambil oleh kami ialah jurusan yang agak sukar dan terkenal dengan pelajarnya yang pintar. Jadi kebiasaannya kami memang agak terkenal di kolej tersebut.
Aku dan Wan berkawan rapat dan sebenarnya itu adalah keistimewaan untuk aku kerana Wan banyak mengajar aku tentang subjek yang aku lemah. Malah, Wan juga turut membantu rakan-rakanku yang lain.
Boleh aku katakan, sem pertama aku seolah-olah tergapai-gapai sehingga pertengahan sem.
Asalnya aku merupakan pelajar aliran sains, tetapi di kolej aku terpaksa belajar akaun dan ekonomi. Alhamdulillah, berkat usaha dan tidak tidur malam ku akhirnya membuahkan hasil.
Kali pertama aku membawa Wan berjumpa ibu bapaku ketika nenek ku membuat jamuan rumah terbuka pada hari raya. Ketika itu Wan sudah bekerja dan aku masih belajar. Wan hadir bersama rakan-rakanku yang lain.
Ketika itu, pakcik ku yang berjawatan agak besar dan boleh aku katakan paling senang diantara kami mengenali Wan dan keluarganya. Lalu rancaklah mereka berborak.
Dan disitu juga rakan-rakanku mengusik di hadapan ibu ku bahawa Wan merupakan bakal menantu di dalam keluargaku.
Penerimaan keluargaku agak baik ketika itu dan pakcik ku sangat berbesar hati jika Wan betul-betul menjadi menantu di dalam keluarga kami.
Sejujurnya sepanjang perkenalan kami, Wan memang selalu ada di hati aku tetapi kami tidak pernah bercinta.
Sebulan selepas itu, Wan meluahkan perasaannya kepada aku dan kami masih lagi berkawan seperti biasa. Masih lagi dengan panggilan yang sama dan prinsip kami jika ada jodoh pasti tidak ke mana.
Kehidupan kami diteruskan seperti biasa sehinggalah aku melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Semasa di luar negara, Wan ada juga datang menziarahiku ketika dia melancong bersama keluarganya. Keluarganya baik dan sangat ramah denganku walaupun dari golongan yang aku boleh katakan berada.
Selepas aku tamat pelajaran, aku pulang ke kampung dahulu sementara menunggu panggilan kerja. Dan ketika itu, ibu mengenalkan ku dengan Emir.
Emir merupakan guru di sekolah ibu. Ibuku merupakan bekas pengetua di sebuah sekolah dan ayah ku bertugas sebagai pensyarah. Ibu amat berkenan dengan Emir dan berhasrat untuk aku berkenalan dengannya.
Emir bersetuju kerana hormatkan ibu dan dia juga baru sahaja putus tunang. Dia juga ada follow aku di instagram dan disebabkan itu dia sudi berkenalan dan mula jatuh suka.
Aku dalam dilema kerana aku masih berhubung dengan Wan dan hubungan kami baik-baik sahaja.
Malah, sepanjang aku berada di luar negara, Wan tidak pernah gagal menghubungiku dan setahu aku dia memang tiada orang lain.
Aku ada mengatakan pada ibu bahawa aku masih lagi berkawan dengan Wan tetapi ibu tidak berkenan dengannya. Puas aku pujuk dan bertanyakan sebab kenapa ibu tidak merestui hubungan aku dan Wan tetapi tiada jawapan.
Akhirnya ayah memberitahuku bahawa ibu tidak selesa dengan status dan taraf hidup Wan.
Pada ibu kami tidak setaraf kerana Wan dari golongan elit dan kami hanyalah orang biasa. Sejak pertama kali berjumpa Wan, ibu ada bertanyakan hal keluarga Wan kepada pakcik ku.
Entah, aku tak faham dengan pemikiran ibu. Dan ibu juga berkata semua besannya adalah orang biasa. Pada ibu, bukan Wan yang tidak layak dengan aku, tetapi aku yang tidak layak dengan Wan.
Aku buntu. Hina sangat ke keluarga aku? Pada aku, ibu dan ayah sangat disegani oleh penduduk kampung dan masyarakat sekeliling.
Aku cuba untuk berkenalan dengan Emir dan dia seorang yang sangat baik. Tutur kata dan budi bahasanya memang sangat sempurna.
Mungkin sebab itu ibu berkenan dengannya. Tetapi, sejujurnya hati aku masih pada Wan.
Dengan Wan, topik yang kami bincangkan selalu sahaja seiring tetapi dengan Emir, dia banyak bercerita tentang anak muridnya yang kebiasaannya aku dengar dari mulut ibu.
Sekarang, keluarga Wan berhasrat untuk meminang aku kerana usia Wan telah mencecah 31 tahun. Ayah dan abang yang lain menyerahkan keputusan di tangan aku tetapi tidak ibu.
Aku ada membuat solat istikharah dan jawapan ku sama, hanya Wan tetapi pada ibu itu hanyalah mainan perasaanku kerana aku memang suka dan berharap pada Wan.
Kata ibu, dia malu seandainya satu-satu anak perempuannya dituduh oleh masyarakat hendak mengikis harta dan duit orang.
Pening kepala aku. Hendakkan restu ibu, hati dan perasaanku tergadai. Ikutkan rasa sayang dan cinta, perasaan ibu terluka.
Wahai pembaca, bantulah aku.
– Sara (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit