Ilmu Silat dan Kebatilan

Assalamualaikum warga iium confessions sekalian..

Tujuan aku datang kesini sebenarnya lebih kepada mohon cadangan dan bantuan kalian sebagai manusia, ummah dan membantu antara satu sama lain. Sebab aku rasa hal ni sudah menjadi kebuntuan buat kami sekeluarga, tambahan pula mak dan ayah aku sudah tidak cukup kuat lagi kudrat mereka ingin menghadapi keadaan ini. Manakala kami adik beradik tak pernah berhadap dengan masalah-masalah sebegini sebelumnya bertambah buntu untuk menyelesaikannya.

Aku ada seorang abang dan dia merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Disebabkan oleh dia dilahirkan kembar kebanyakan masanya dibesarkan oleh atuk dan nenek aku. Sememangnya dari kecil dia merupakan cucu kesayangan atuk dan nenek aku dan agak mudah baginya untuk mendapatkan apa barang yang disukainya. Abang aku seorang yang penyayang sebenarnya, tetapi disebabkan ego tak nak mengalah, tunjuk hebat dan mudah terpengaruh dengan kawan-kawan membuatkan dia sikit-sikit terjebak dengan beberapa masalah. Keadaan tu membuatkan parent aku rasa serabut. Sedikit sebanyak kesan daripada sikap dia, membuatkan parent aku kurang membenarkan untuk kami adik beradik terlalu berkawan atau ada rakan karib sebab takut pada anasir-anasir sebegini.

Masa terus berlalu, mak dan ayah aku berharap sangat ada perubahan dalam dirinya dari sekolah agama dia didik dan kemudian dia mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di sekolah tentera. Alhamdulillah dengan kawalan ketat dan disiplin dalam ketenteraan, sedikit sebanyak dia telah mengubah dia menjadi seorang yang berguna berkhidmat pada masyarakat dan negara.

Namun langit tak selalu cerah, baru-baru ini kekusutan timbul semula. Kami sendiri buntu, apa masalah yang menyebabkan dia dengan tiba-tiba terjebak dengan gejala gam. Adakah lagi sekali pengaruh dari rakan-rakannya, atas kehendak dia sendiri atau dia mempunyai masalah lain. Setiap hari kami diasak dengan masalah itu. Gam bukan s uatu benda yang bagus. Kesannya boleh merosakkan saraf-saraf otak manusia. Akhirnya mampu jadi gila atau lumpuh. Pengambilannya bukan menyelesaikan masalah, tapi akan menyusahkan lebih banyak orang terutama orang terdekat..

Kami dapat report dari pegawainya dan pernah berbincang bersama bagi menyelesaikan masalah ini. Dalam masa yang sama, sama-sama turut buntu. Kami juga turut melakukan rawatan secara kampung dan juga pegawainya juga ada membuat rujukan kepada bahagian kaunseling dan psikologi untuk membantu, tetapi sehingga kini masih belum ada penyelesaian. Ketika kami membuat rawatan kampung ustaz tersebut ada menyatakan dia belajar silat tak habis membuatkan badannya jadi panas dan mungkin ini antara faktornya dan menyebabkan dia mengambil benda yang tak sepatutnya untuk menghilangkan kesan lain. Bagi aku itu semua teori semata. Sebabnya dia sendiri tak pernah mahu untuk menceritakan apa masalah dia. dan bagaimana orang lain dapat untuk membantunya.

Cerita berkaitan ilmu persilatannya, memang sejak dia disekolah agama lagi dia sangat aktif dalam persilatan. Sehingga dia masuk ketenteraan, pernah dikatanya dia juga “cubalah tikam abang dengan pisau, badan abang tak lut dengan besi” tapi itu lama dulu dan kami pun tidak hiraukan. Dan dia juga pernah membuka satu gelangan silat namun katanya terkubur sebab tok guru dah meninggal. Mungkin antara faktor daripada teori tersebut.

Rawatannya masih diteruskan sehingga kini, sejak akhir-akhir ini dia tidak banyak bercakap dan diam. Dan kadang kala aku nampak macam dia malu untuk berdepan dengan kami adik beradik. Dan kami sangat berharap dia dapat berubah kepada normal semula. Jauhkan benda-benda yang boleh membawa kemudaratan pada diri dia sendiri. Sekiranya ada diantara kalian disini yang mempunyai pengalaman berkaitan rawatan ilmu kebatilan ini dan menghilangkan ketagihan terhadap gam, sangat-sangat dipohon untuk berkongsi tip, kaedah rawatan atau tempat perubatan bagi membantu menyelesaikan masalah ini.

Aku dahului dengan ucapan terima kasih.

– Akak Kusut

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *