Indahkan Doamu

Assalamualaikum semua. Aku Naylah (bukan nama sebenar) berumur 28 tahun, sudah berkahwin. Aku nak kongsi dengan korang berkenaan macam mana nak bangkitkan perasaan untuk berdoa bersungguh-sungguh.

Ini confession pertama aku. Rasa nervous lah jugak, tapi niat aku cumalah nak share barang sedikit kebaikan.

Bulan Jun lepas, aku ada beli sebuah buku motivational agama bertajuk ‘Talk to Allah’ tulisan saudari Ayesha Syahira. Aku recommend sangat buku ini untuk orang-orang yang teringin nak ubah cara mereka berdoa dan pandangan mereka terhadap doa.

Habis baca buku ini, aku rasa motivated nak buat tips-tips dalam buku itu lalu aku beli sebuah buku nota ringkas yang aku bahagikan kepada 4 section sebab alang-alang buku nota tersebut dah terbahagi 4 warna. 4 section tersebut ialah:

1) Section 1: Doa-doa peribadi yang aku nak sangat Allah kabulkan – aku tulis dalam Bahasa Melayu dan aku ambil masa fikir apa lagi permintaan yang aku nak minta dekat Allah.

Setiap doa yang aku tulis, aku senaraikan apakah nama-nama Allah yang indah yang aku boleh selitkan dalam doa aku. Contohnya:

Kalau aku memohon untuk keampunan Allah – aku tulis “Ya Tawwab, Ya Ghaffar, Ya Ghafur, Ya ‘Afwu, ya Raheem, ampunilah segala salah silap dan dosa-dosaku, dosa suamiku, dosa kedua ibu-bapa ku…” – etc.

Untuk rezeki: Allah ar-Razzaq, al-Wahhab, al-Ghani, ar-Rahman…

Untuk kesejahteraan pasangan dan rumah tangga: Allah al-Lateef, al-Wadud, ar-Raqeeb…

Boleh renungkan maksud dan sifat-sifat nama Allah dan cuba padankan dengan jenis doa yang kita mohon.

Antara syarat mudah terkabulnya doa ialah apabila kita meminta bersungguh-sungguh dan bertawassul menggunakan nama Allah dan amalan-amalan soleh kita.

Bukan bertawassul di kubur orang mati ya. Jadi, gunakanlah nama-nama Allah yang indah ini semoga dengannya Allah Al-Mujeeb, as-Sami’ akan mengabulkan permintaan-permintaan kita, inshaAllah.

2) Section 2: Doa-doa SUNNAH yang diamalkan oleh Rasulullah dan para sahabat — Bukan doa/ zikir rekaan yang di’ijazahkan’ oleh habib palsu sekian-sekian melalui mimpi. Itu tak terpakai.

Pastikan doa kita merupakan doa daripada al-Quran atau hadis yang sahih. Bila kita nak beramal ibadah, pastikan kita beramal dengan amalan yang terbaik supaya amalan kita diterima, bukan mereka-reka amalan dengan hawa nafsu.

Apa lagi amalan yang terbaik melainkan amalan dan doanya Rasulullah dan para sahabat? Ikutilah cara mereka.

Nak buat section ini, aku pun ambil buku poket Hisnul Muslim iaitu kumpulan doa-doa dan zikir sahih dari al-Quran dan as-Sunnah yang disusun oleh Said Ali Waqf al-Qahtani.

Aku catit semula doa-doa ringkas berserta maksud yang aku rasa tak berat, mampu hafal dan boleh diamalkan secara konsisten, kemudian tambahlah sedikit demi sedikit.

Kalau aku jumpa poster doa-doa sahih yang indah di FB, aku akan download dulu poster tersebut dan share di group whatsapp aku dan suami. Bila free, aku akan transfer tulis semula ke dalam buku nota aku. Begitulah.

3) Section 3: Nota-nota ilmiah berkaitan doa atau zikir – Kalau kita baca apa-apa artikel agama atau tonton ceramah agama, rugi kan kalau kita tak catat poin-poin penting.

Bila kita catat and try to contemplate, itu dinamakan active learning and reading. We are slowly digesting the info. Kalau tak, kita sekadar baca sekali lalu, kemudian akan lupa.

Sambil-sambil selak kita akan rasa teringat nak buat. Dalam section ini, aku catatkan senarai amalan-amalan sunnah yang dianjurkan, senarai waktu-waktu mustajab untuk berdoa, kelebihan bersedekah, kelebihan mendirikan solat malam dan lain-lain.

Section ini sekadar info-info agama umum yang membuatkan aku rasa terinspirasi.

Selalunya aku taip dalam ‘Notes’ di handphone dulu, baru transfer ke buku nota. Sejak beberapa bulan yang lalu, area tempat tinggal aku boleh dikatakan sering hujan. Setiap kali hujan, aku akan rasa best sangat sebab boleh berdoa.

Untuk makluman korang, waktu hujan ialah antara waktu mustajab untuk kita panjatkan doa. Lepas baca doa hujan, mintalah dekat Allah al-Barr, al-Fattah segala apa yang kita nak.

Sungguh banyak kesempatan untuk kita berdoa dan berzikir. Sambil drive pun boleh berdoa, sambil jogging, sambil berjalan.

Kita bercakap dan mohon kepada Allah hajat-hajat kita. Tak semestinya perlu angkat tadah tangan. Mintalah dengan penuh rasa rendah diri, ikhlas dan yakin bahawa Allah memandang doa kita.

4) Section 4: Fadhilat-fadhilat/ hadis berkaitan amalan soleh dan zikir – Aku akan tulis seringkas mungkin berkenaan hadis tersebut menggunakan ayat aku sendiri berserta rujukan hadis riwayat supaya aku yakin amalan tersebut benar-benar sunnah dan sahih.

Contohnya, bacaan 3 Qul 3 kali setiap pagi dan petang — maka akan diberikan kecukupan dan perlindungan oleh Allah SWT (HR Abu Dawud dan Tirmidzi).

Perbanyakkan istighfar — maka Allah merubah setiap kesedihan menjadi kegembiraan, solusi dari setiap kesempitan dan rezeki dari arah yang tak disangka-sangka (HR Ahmad).

Banyak lagi fadhilat-fadhilat amalan sunnah yang lain. Mesti seronok kan nak beramal bila jaminan datangnya daripada Allah sendiri? Banyak lagi section yang korang boleh reka sendiri. Buku ini dah jadi sesuatu yang istimewa untuk aku.

Dah tentu pembaca nak tahu apa perubahan yang berlaku bila amalkan benda-benda ini. Biasalah, semua orang nak instant result.

Jawapannya, kehidupan aku tak banyak berubah. Aku bukan dapat rezeki segedebuk tiba-tiba, aku bukan sentiasa tenang dan ceria, ada juga waktu aku risau dan sedih.

Cuma satu perubahan yang aku suka — aku lebih khusyuk berdoa. Kita ada sebegitu banyak permintaan kita harap Allah makbulkan tapi bukan semuanya kita ingat dan terasa nak minta. Kadang-kadang fikiran kita mengelamun dan tak conscious pun waktu berdoa.

Bila kita catit, doa kita jadi lebih indah, tersusun rapi dan sistematik. Just take some time to curate your own list of du’aas and read them in certain occassions.

Aku rasa tak sabar-sabar nak meminta dengan Allah.

Manusia benci bila kita meminta-minta kan, tapi Allah al-Haalim (Allah yang Maha Penyantun), suka bila hambaNya meminta-minta dan akan kurniakan lebih banyak lagi untuk hambaNya yang bersyukur dan membilang-bilang nikmat kurniaanNya.

Jadi, berharaplah dan mintalah hanya dengan Allah ar-Rahman, ar-Raheem.

Selama ini aku tak faham dan tak merasa macam mana bila bertambahnya ilmu, boleh bertambahnya iman. Terbukti dengan mendalamnya ilmu kita terhadap nama-nama Allah, boleh menyuburkan iman kita.

Semoga Allah al-Muhaimin al-Mateen mengukuhkan kita dalam beragama dan menjadikan kita istiqamah beramal dalam kebaikan. InshaAllah.

Aku tutup dengan sepotong firman Allah subhanahu wataala:

وَلِلَّهِ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا

Hanya milik Allah-lah Asmaul Husna (nama-nama yang maha indah), maka berdoalah kepada-Nya dengan nama-nama itu [al-A’raf: 180]

Semoga bermanfaat buat para pembaca sekalian, dan selamat mencuba!

– Naylah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *