Nama aku Melanie. Aku just nak share apa yang aku alami.
Untuk makluman korang, sejak dapat gaji Januari haritu, macam-macam ujian menimpa aku — ujian yang melibatkan wang ringgit.
Aku ni kerja hanya sebagai kerani biasa, gaji aku memang tak sampai RM2k. Aku stay alone sebab family semua dah tak ada.
Selalu tiap-tiap bulan, lepas bayar komitmen wajib, aku cuba simpan sekitar RM300 buat simpanan kecemasan.
Tapi tak sempat nak jadi simpanan kecemasan, aku korek balik simpanan tu untuk tampung hidup aku sampai next gaji. Last-last simpanan tinggal angan-angan, habis gitu saja, tak nampak hasil.
Bulan Februari ni banyak juga ujian aku. Tiba-tiba mesin basuh rosak, kos baiki lebih kurang harga beli baru. Fikir punya fikir, aku beli jugak mesin basuh baru manual punya, sekitar RM320+ harga dia.
Dalam bulan Februari ni jugak, tiba-tiba telinga aku jadi bengang, tak dengar langsung belah kiri.
Punca telinga aku tak dengar lepas guna putik kapas. Menggelabah aku ingat gegendang telinga rosak apa, aku pergi beli ubat kat farmasi, kos dalam RM20+ (ubat makan dan titis).
Esok tu tak lega jugak, makin tak dengar pulak telinga aku. Nak nangis sebab dok fikir duit bakal melayang lagi. Nangis aku time solat, doa sungguh-sungguh minta Allah sembuhkan.
Tetapi telinga aku tetap tak sembuh. Google punya google, akhirnya aku decide pergi check kat klinik telinga. Esoknya aku pergi klinik pakar telinga, doktor check guna kamera khas dimasukkan dalam telinga.
Rupanya telinga bengang sebab ada serpihan kapas tertinggal dalam telinga. Kos rawatan hampir RM200. Huwaa, terkedu aku masa bayar bil. Tak apa, aku redha saja, nikmat pendengaran lagi penting dari duit.
Seminggu lepas tu pulak aku sedih sebab tak terpilih ke program syarikat. Teringin sangat nak join sebab boleh tambah ilmu, dapat duit elaun RM250, makan semua disediakan.
Ingatkan bolehlah tampung sikit-sikit duit belanja kalau dapat elaun tu. Sedih sampai nangis time solat sebab tak terpilih. Tak apalah, aku redha saja, dah tak ada rezeki nak join.
Beberapa hari lepas tu, tengah scroll FB, nampaklah ada kelas untuk ajar tentang diet. Harga dia dalam RM50, kira full training la coach tu ajar pasal diet.
Masa tu terdetik dalam hati nak join lah, boleh juga lupakan kesedihan tak dapat join program company tu. Excited jugak nak join sebab selain boleh tambah kawan baru, boleh juga dapat ilmu baru.
Selama ni dok baca tips diet kat internet tapi hangat-hangat tahi ayam saja. Aku harap dengan join kelas ni bolehlah diet betul-betul, tambah dengan bimbingan coach bertauliah.
Sekali lagi aku diuji — rupanya kelas tu jatuh hari Jumaat, which is hari aku bekerja. Malam sebelum kelas tu baru aku perasan tarikh sebenar kelas tu.
Nak apply cuti last minute memang boss takkan bagi. Entah macam mana aku silap tengok, ingat kelas tu jatuh hari Sabtu.
Bincang punya bincang dengan organizer tu, duit tak boleh refund dah, cuma boleh ganti orang lain.
Disebabkan tak ada orang boleh ganti, maka burn gitu saja duit RM50 tu. Sedih gila aku sampai basah telekung time solat sebab fikir kenapalah nasib aku malang sangat.
Campur semua total kerugian aku bulan ni hampir RM600 jugak. Sekali lagi aku pujuk hati aku redha dengan semua ujian ni. Aku dok terfikir, dengan baki gaji tak seberapa, jenuhlah aku mencatu duit aku sampai nak dapat gaji pulak.
Walaupun macam tu, bulan ni aku bagi makanan stray cats, beli makanan kucing, derma pada yang memerlukan. Aku terus lupa berapa baki gaji yang tinggal dalam akaun.
Esok dah gaji, tadi aku terdetik nak check gaji. Ya Allah, rupanya gaji aku masih berbaki RM400 lebih. Sesuatu yang pelik bin ajaib bagi aku.
Yalah, kalau nak ikut logik akalnya, dengan perbelanjaan aku yang banyak bulan ni, aku mampu simpan wang lebih dari target aku. Seolah-olah duit aku langsung tak terusik.
Allahu, besar sungguh keajaiban redha dan sedekah.
– Melanie (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit