Usai sahur, sambil aku berehat sebentar, fikiran aku menerawang jauh teringatkan memori ramadhan ku bersama mak abah 30 tahun dahulu.
Aku Acik, berusia pertengahan tiga puluhan, anak keempat dari enam beradik, berasal dari keluarga sederhana dari negeri selatan tanah air dan kini mempunyai lima orang askar kecil, Alhamdulillah.
Sejujurnya, ini bukanlah confession yang penuh emosi seperti biasa, hanya secebis memori untuk perkongsian bersama.
Kenangan bulan Ramadhan memang sangat istimewa buat aku. Bila meniti usia, terasa jelas flashback memori Ramadhan, seketika aku tersenyum sendiri.
Selalunya di hujung Ramadhan begini, aku sudah berada di kampung, berkampung dengan adik-beradik lain. Walau giliran beraya di kampung suami, aku akan pastikan beberapa hari terakhir Ramadhan diluangkan bersama mak abah di kampung sebelum sambung beraya di belah suami.
Rezeki aku bekerja di ibu kota, adik beradik yang lain tinggal di negeri sama dengan mak abah, jeles juga ya, tapi syukur masih ada kerja. Apakan daya, tahun ni dengan PKP, tiada rezeki aku pulang berpuasa dan beraya. Bak kata lagu siti nurhaliza, piluuu hati ini makin sayuu.
Bila Ramadhan tiba, landskap dan rutin harian keluarga aku berubah. Ingat lagi terpisat-pisat bangun sahur, mak dalam telekungnya mengejutkan kami. Selalunya makan lauk lebihan berbuka je, tak lain tak bukan lauk kebangsaan keluarga kami, lauk kuning.
Abah berasal dari negeri sembilan. Kalau ada lauk tambahan pun telur dadar atau sardin. Mak menjerit minum milo tu, kang tak larat. Nak jadi cerita, kalau terlewat bangun naik seoktaf volume mak. Makan cepat, minum cepat. Yang pasti lepas sahur, tak boleh baring.
Mak cakap kalau baring perut buncit, tak pasti la kesahihannya, tapi duduklah termangu kami enam beradik tunggu solat subuh, tersengguk-sengguk terus siap ke sekolah. Yang anehnya dalam kalut-kalut bersiap tu, abah masih sempat baca alquran di ruang tamu.
Suara abah sedap, dengan berlagunya dan menuju ke hujung ramadhan abah akan cuba untuk khatam. Seakan terngiang-ngiang suara abah mengalunkan bacaan suci, indahnya.
Pasar ramadhan bukan kelaziman keluarga ku, bukan lah tak mampu, sememangnya mak abah jenis simple tak suka banyak-banyak makanan atas meja, aku sendiri tak suka bersesak rasa nak pitam tapi kalau sesekali abah pergi roti john sudah pasti dibungkus.
Bila fikir balik, hebatnya mak. Sebelum sahur, solat sunat, balik kerja dah bersilat macam-macam. Antara aktiviti yang termasuk kategori macam-macam, menjahit baju kami adik beradik, jahit langsir, buat kuih raya, masak untuk berbuka, berkemas lagi.
Mengah bila kita sendiri menguruskan keluarga sendiri, boleh imagine betapa letihnya mak kita dulu. Tapi tak pernah pula dengar mak komplen, nampak senyum je melayan kerenah kita menyibuk di tepi mesin jahit beliau, tepi dapur. Baiknya mak.
Tambah pula abah pun sejenis ringan tulang, suka duduk dapur di bulan puasa, pandai siang apa yang patut, mak pun hepi je buat kerja.
Pengat antara menu wajib bulan puasa. Bermacam jenis pengat mak buat sebab kegemaran abah. Kita yang boring asyik pengat asyik lauk kuning.
Rumah orang lain ada macam-macam kaler, kenapa rumah kita asyik makan ni je. Mak cakap tanya abah sambil gelak. Kuih lain pun mak pandai buat, onde2, lepat, kuih koci, roti jala even cendol pun mak buat sendiri tapi pengat masih di hati abah, menjuarai carta.
Bila rasa tak larat nak puasa, boleh berkomplot dengan mak. Seingat aku, di sekolah rendah, kalau bagitahu mak tak larat nak puasa, memang mak suruh berbuka. Tak pernah memaksa.
Jadi bila ada anak sendiri, tengok muka anak bila anak cakap tak larat teringat kita dulu-dulu. Kalau dah tak puasa tu memang seronok, mak bagi jadi tukang rasa kuih raya, lauk, air, haha..bahagianya.
Siap di rumah, pergi rumah best friend merangkap jiran pula. Ini lagi hebat, mak ayah tokey katering. Bermacam ilmu dapat belajar. Kuih raya yang level payah, renyah semua boleh belajar dengan jiran ni.
Nak dekat 6.30, mak hantar abang aku panggil aku balik rumah sambil bertukar lauk dengan jiran. Memang kategori tak ingat rumah aku ni. Sibuk sangat bulan puasa ni sampai nak tengok tv pun tak sempat.
Usai buka puasa, mak memang lepas terus ke kami adik beradik dari kecil kemas meja, dapur, basuh pinggan. Kalau dapat turn basuh pinggan ni malasnya la sampai kalau menyorok pun orang cari gak sampai jumpa.
Nasib baik bila adik beradik ramai dah masuk asrama, kurang sikit pinggan nak dibasuh. Maghrib yang singkat memang rushing sebab nak ikut mak terawih pula di masjid.
Suka kan pergi terawih sebab boleh jumpa kawan-kawan dapat banyak kuih bila moreh. Yang azabnya, tak dengar imam baca sebab bunyi meriam buluh, mercun dah macam pesta pula sebab masjid tu dekat sebelah balai raya siap taman permainan.
Budak-budak selalunya terawih sekejap terus lesap main mercun, buai la jongkang-jongket lagi. Yang menulis ni tak boleh sebab datang dengan mak. Kalau pergi dengan kak long boleh la. Sabar je la tok imam makin sayup je suara.
Hari-hari terakhir puasa, lebih letih kebiasaannya. Abah akan bawa kami ke bandar untuk beli baju raya dan kasut raya. Tak banyak pun, baju kurung mak jahit tinggal baju kasual sepasang seorang untuk jalan raya.
Kemudian hari seterusnya dipenuhi dengan operasi mengemas rumah, memasang pelita dan persiapan membakar lemang, dodol, rendang dan kuah kacang.
Ada abang aku yang kreatif dan ringan tulang buat pelita diy dari tempurung kelapa sekali pakej tengah laman rumah tu disusun tempurung banyak-banyak, bakar di atas sekali.
Tak tahu lah apa namanya. Tapi memang cantik dan seronok bila ingat balik. Mana dapat tempurung, dari kebun kelapa abah sendiri. Kami tak pernah beli santan siap memang kelapa sendiri, mesin sendiri dan perah sendiri.
Bayangkan bila bakar lemang kadang-kadang beratus batang, berapa banyak santan. Tak terasa dah tangan ni bila memerah.
Abah tak menjual, tapi lemang beliau memang sedap jadi ada kawan-kawan tempah sikit, nak bagi saudara mara dan jiran-jiran lagi, jadi banyak. Itu belum lagi bab mengacau dodol. Hahaha.
Abang-abang aku jauh lagi penat, dengan nak siapkan kayu nak membakar, ambil daun pisang, cari buluh, tunggu lemang tapi itulah ada manisnya dalam penat tu. Syukur Alhamdulillah.
Sekarang, masing-masing dah berkeluarga, mak abah pun tak buat dah sendiri, semua kami belikan siap tinggal masak rendang dan kuah kacang sahaja, sebab abah lagi suka sendirian berhad yang dua ni.
Lebih banyak masa mereka boleh beribadah, berjumpa kawan-kawan dan bermain dengan cucu. Mesin jahit pun dah tiada. Semua keperluan mak abah, anak-anak sediakan.
Biar pun Acik tak bersama mak abah tahun ni, tapi Acik doakan semoga mak abah sentiasa diberkati dan diredhai Allah.
Tak terbalas jasa mak abah membesarkan kami dengan penuh kemanisan dalam memori kami menjadikan aku strive untuk create memori yang indah juga untuk family kecil aku. Semoga dipermudahkan.
Kesimpulannya, 2,3 kucing berlari, mana nak sama si kucing jantan, 2,3 bulan berganti, mana nak sama bulan Ramadhan.
Ingat ya, Ramadhan ada berbaki lagi beberapa hari, rebutlah peluang beribadah dan berbuat baik sesama insan. Semoga ini bukan Ramadhan yang terakhir buat kita.
Selamat Hari Raya semua!
– Humaira si merah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit