Assalamualaikum semua. Ini kali pertama saya hantar cerita dekat IIUM Confession, jadi saya ucapkan ribuan terima kasih sekiranya cerita ini disiarkan.
Sekarang musim cerita seram, termasuk cerita-cerita lain, tapi saya tak ada cerita seram untuk dikongsi. Saya cuma nak kongsikan satu kisah yang ringkas namun kelakar bagi saya. Moga siapa-siapa yang baca ni dapat hilangkan stres pada musim PPKP ni huhu.
Terlebih dahulu saya minta maaf kalau ada yang rasa cerita ni tak kelakar atau biasa-biasa saja.
Ok saya tak nak pengenalan panjang-panjang, terus masuk kepada bahagian cerita. Dulu saya pernah belajar di sebuah matrik di pantai timur.
Ya, walaupun pelbagai kisah seram dan mistik silih berganti dibawa dari satu mulut ke satu mulut, Alhamdulillah saya tak pernah kena apa-apa lagi sepanjang saya menuntut di sana.
Walaupun saya suka balik blok malam-malam, walaupun saya suka menyelongkar cari makanan di tangga ajaib malam-malam, walaupun saya suka basuh baju malam-malam.
Sebab tu saya tak ada cerita seram. Paling ya pun kucing yang teman saya masa basuh baju guna mesin, huhu.
Saya ada dua orang kawan sekolah di matrik yang sama, malangnya mereka berdua tinggal di blok yang berlainan iaitu Blok A, agak jauh dari blok saya.
Tetapi saya sangat rajin berkunjung ke blok mereka, sampai tahap ada malam-malam saya menumpang tidur di sana. Dan kadang-kadang kami rajin bertemu pada waktu malam di student centre untuk hal belajar dan sebagainya.
Satu malam, saya dengan Fika (bukan nama sebenar) balik ke bloknya agak lewat malam tu. Saya dah lupa masa tu kami berjumpa sebab apa, tapi sebelum pulang, Fika memberitahu bahawa dia perlu menghubungi ayahnya atas hal mustahak.
Malangnya ketika itu topupnya sudah habis. Juga topup saya. Kalau tak saya dah lama tolong.
Jadi sebelum pulang, kami merayau-rayau mencari mana-mana kedai yang buka masa tu. Tapi semuanya tutup, kalau ada yang buka pun tak ada yang jual topup.
Kami masa tu dalam keadaan letih fizikal dan mental akhirnya membuat keputusan untuk pulang disebabkan bloknya yang agak jauh dari student centre.
Fika lagilah, dalam keadaannya yang runsing kerana dia perlu menelefon ayahnya. Sepanjang perjalanan tak henti-henti mulutnya berbunyi seakan meminta keajaiban supaya dia boleh membeli topup.
Mungkin kalian rasa benda tu perkara kecil, tapi waktu tu kami mencari topup supaya Fika boleh telefon ayahnya bagaikan mencari air di padang pasir.
Kebetulan pula malam tu semua penghuni blok A diwajibkan turun ke bawah untuk satu perjumpaan. Perjumpaan apa saya tak ingat. Tapi malam tu kiranya saya ni pendatang asing tanpa izinlah huhu.
Sudahlah datang blok orang tanpa izin, dihasutnya pula Fika supaya tidak menghadiri perjumpaan itu disebabkan kedua-dua kami sudah penat.
Bangunan blok empat tingkat itu ada empat tangga di setiap sisi, jadi kami naik ke atas melalui tangga berhampiran kafe. Agak gelap dan jarang dilalui pada waktu malam.
Dan point paling penting, tak ada siapa nampak ‘kami’ senyap-senyap naik untuk ponteng perjumpaan (ya Tuhan jahatnya masa tu. Saya saja, bukan Fika. Fika baik orangnya, kuat agama).
Disebabkan semua orang dah turun, blok tu memang sunyi-sepi. Tak ada pelajar yang mundar-mandir atau keluar masuk bilik. Semua pintu kiri dan kanan tertutup rapat.
Fika tidak henti-henti berharap supaya ada sesiapa sudi pinjamkan topup kepadanya atau apa-apa saja keajaiban disebabkan dia sangat terdesak untuk menghubungi ayahnya (dia memang macam tu, kadang-kadang apa yang dia minta kedengaran macam mustahil).
Saya pula masa tu tiba-tiba sahaja dirasuk angin kebosanan dalam keadaan letih berjalan. Jadi apa yang saya buat?
Saya ketuk semua pintu di bahagian kanan. Tok tok tok! Tangan saya gatal mengetuk setiap daun pintu sepanjang saya berjalan. Dengan langkah yang longlai tapi otaknya nakal.
Fika pula empat, lima langkah di belakang, semakin lama semakin jauh. Ya, kami berdua sangat letih. Dengan perjalanan menuju biliknya yang masih jauh.
“Hannah, janganlah buat macam tu,” Fika menegur dengan suara lemah, tapi tak terlalu bersungguh.
“Tak apa, bukan ada orang pun,” jawab saya terus mengetuk pintu demi pintu tanpa langsung melihat.
Yalah, bukankah semua penghuni sepatutnya turun untuk perjumpaan? ‘Kami’ saja yang degil tak nak pergi (sekali lagi, saya saja. Fika baik orangnya. Lagipun bukankah saya yang menghasut?)
Sehinggalah langkah saya tiba betul-betul di hujung koridor (perlu belok ke kanan pula untuk pergi ke bilik Fika yang terletak di hujung), saya terdengar pintu bilik dibuka.
Berderau darah saya.
Dengan pucat, saya berpaling ke belakang. Nak tahu apa yang jadi?
Fika kebetulan berada betul-betul di hadapan pintu bilik yang dibuka, yang mana sebenarnya ada penghuni di dalam.
Fika yang jelas mukanya pucat lesi walaupun dari jauh segera bertanya.
“Topup ada?”
Soalan itu kedengaran ringkas.
Namun bagi saya masa tu, saya cuma menunggu masa untuk tergelak.
Kerana kebetulan, bilik yang dibuka itu ada tertampal dengan kertas A4 ‘Topup ada dijual di sini’.
Dan sel-sel otak Fika berhubung sangat pantas.
Terus hilang muka penatnya, yang ada cuma muka yang cuak.
Alhamdulillah, rezekinya ketika itu ada topup. Dan dia pun membelinya dengan gembira.
“Hannah…” kata Fika agak muncung, walapun terselit kegembiraan dan perasaan lega di sebalik raut wajahnya setelah selesai membeli.
Yalah, siapa yang tak malu kalau kawan kita yang ketuk pintu tapi orang ingat kita yang ketuk?
Maafkan saya ya Fika, sebab saya ingatkan semua orang sudah turun ke bawah. Tak sangka pula sebenarnya ada juga ‘rakan subahat’ yang bersembunyi di dalam bilik tak nak turun untuk perjumpaan.
Orang tu tak nampak pun saya sebab dia tak keluar bilik; hanya berurusan di muka pintu, dan saya masa tu sudah berada di hujung koridor.
Dan disebabkan perbuatan saya yang nakal itulah, Fika ditemukan dengan topupnya yang dia sangat-sangat perlukan. Huhu, gurau saja, semua itu asbab saja, sebenarnya ia ialah satu pertolongan daripada Allah.
Kadang-kadang Fika punya tawakal memang ada ajaibnya.
Tapi sampai sekarang saya memang ingat kisah ni. Allah telah hadirkan ‘penghuni yang ingkar arahan’ itu sebagai bidadari untuk membantu kawan saya ketika dia memerlukan.
Memang kebetulan Fika betul-betul berdiri di depan pintu kala ia dibuka. Fika pun masa tu memang terkejut tak boleh bawa bincang. Betul tak tipu, sebab saya masih ingat dua matanya yang separuh terbuntang.
Kepada penghuni bilik itu, kalau awak ada terbaca kisah ini dan somehow awak rasa awaklah orangnya, ketahuilah bukan Fika yang ketuk, saya yang ketuk.
Dan saya minta maaf sebab saja-saja ketuk pintu. Tak tahulah kalau awak cuak ke apa takut orang tahu awak tak turun, tapi saya sedar perbuatan saya itu sangat nakal. Tapi ketahuilah, you were a bless in disguise.
Kepada Fika pula, jaga diri dan kandungan elok-elok ya huhu. InshaaAllah ada rezeki kita akan ditemukan semula.
Kalau awak baca cerita ni, ketahuilah bahawa sampai sekarang saya masih teringat cerita ni. Dahlah awak sendiri yang pesan jangan suka-suka ketuk pintu haha.
Itu nasib baik di pintu tu memang ada tertulis jual topup, dan sel-sel otak Fika sangat cepat bertindak.
Kalau jual burger, nak cover kata nak beli burger?
Kalau tak jual apa-apa?
– Hannah Serres (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit