Untuk part I, (https://iiumc.com/ini-bukan-rumah-kamu/).
Encik Zul menghabiskan ratusan ribu ringgit untuk mengubahsuai rumah pusaka ibu dan arwah ayahnya dalam beberapa fasa. Entah apa sebenar di dalam fikirannya. Adakah mempunyai niat untuk memiliki rumah tersebut secara mutlak atau hanya untuk melihat ibunya hidup dengan selesa?
Namun, setelah ibunya keluar dari rumah tersebut, ternyata keikhlasan beliau boleh dipertikaikan. Ruang tamu diperluaskan. Bilangan bilik ditambah. “Bilik ini untuk along. Bilik ini untuk Acik. Bilik ini untuk Uda. Bilik ini untuk cucu-cucu berkumpul” kata Encik Zul kepada tetamu-tetamu yang datang melawat.
Tanpa beliau sedari, tidak ada sekali pun beliau berkata dimana bilik ibunya. Sebenarnya, beliau telah terkeluar daripada landasan awal semasa hanya ingin membaik pulih rumah uzur tersebut untuk melihat ibu dan bapanya tinggal selesa di rumah itu. Namun ternyata kini beliau seolah-olah telah menguasai rumah tersebut tanpa memikirkan hak adik beradiknya yang lain.
Nek Jah bertindak tegas apabila tidak sesekali mahu menukar nama pada geran tanah dan rumah kepada Encik Zul. Beliau sentiasa mengada-adakan alasan dan cuba mengelak. Apabila diajak ke pejabat daerah, sering kali beliau memberi alasan seperti kurang sihat dan pening kepala. Nek Jah sedar bahawa sekiranya beliau menurut sahaja permintaan anaknya itu, anak-anaknya yang lain akan tawar hati terhadapnya.
“Mak, dulu di rumah itulah tempat kita berkumpul! Kami membesar di rumah itu. Tempat kita semua berhari raya. Sekarang? Masing-masing membawa haluan masing-masing. Semuanya kerana Abang Ngah dan keluarganya yang masuk ke rumah itu!” Luah Puan Zuraida, anak bongsu Nek Jah.
Nek Jah mencelah. “Anak-anak mereka ramai Zu. Anak dara pun ramai. Kalau kita semua ke sana nanti, bilik tidur pun tak cukup. Tak apalah, sekarang kamu semua dah ada keluarga masing. Dah ada rumah sendiri. Mak boleh bergerak ke rumah anak-anak mak selang dua minggu”.
Dalam memujuk, sebenarnya Nek Jah menahan rasa. Entahlah, siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini. Beliau sendiri sebenarnya sudah tidak senang di rumahnya sendiri. Sekarang, beliau seolah-olah tiada kuasa di rumah itu.
Ya, mungkin kerana segala perbelanjaan makan minum dan bil ditanggung sepenuhnya oleh anaknya Zul. Dahulu, Nek Jah dan arwah suaminya menerima bantuan anak-anak pada setiap bulan untuk menguruskan rumah tersebut. Tetapi pada masa itu, kuasa mutlak ke atas rumah itu masih ada pada pada Nek Jah dan Haji Manan.
Namun semenjak kuasa mengurus diambil alih oleh Encik Zul dan isterinya, beliau bukanlah lagi seorang nahkoda di bahtera itu. Ibarat seorang penasihat yang tiada fungsi. “Semoga Allah tunjukkan jalan yang terbaik. Yang hak, insyaAllah akan kembali kepada yang berhak” pujuk Nek Jah kepada dirinya sendiri.
“Binalah rumah disini Rohayu. Kamu pun dah nak pencen. Tanah mak ada di sini. Bahagian kamu mak dah sediakan.” pujuk Nek Minah kepada anaknya Puan Rohayu. “Entahlah mak, saya cuma mengikut suami sahaja. Lihatlah nanti macam mana, saya akan bincang perkara ini dengan suami” terang Puan Rohayu kepada ibunya.
Seakan dapat merasakan salah percaturan anaknya bersama suaminya itu, Nek Minah tidak putus asa menasihati anaknya itu. “Bukan mak nak mendoakan perkara yang tak baik-baik. Kalaulah apa-apa berlaku kepada suami kamu dan mentua kamu masih hidup, tidak semena-mena kamu anak beranak dihalaunya keluar Rohayu. Suami kamu tu ada ramai adik beradik lelaki” terang Nek Minah.
Masih dengan kedegilannya Puan Rohayu membalas dengan berkata “masalahnya sekang mak, kami berdua telah menghabiskan ratusan ribu untuk membaiki rumah itu. Takkan senang-senang adik beradiknya tanpa berbuat apa-apa begitu sahaja menuntut rumah itu?”. Nek Minah mengeluh dan berkata, “Apa-apa la Rohayu. Apa yang penting, mak dah sampaikan apa yang mak rasa. Mak harap tiada apa-apa yang kurang elok berlaku”.
Acik anak perempuan Encik Zul dan Puan Rohayu memang betul-betul sama lagak gaya seperti Nek Jah. Cakap sentiasa main lepas. Baginya, kalau dia tidak begitu, ibunya memang akan diperkotak- katikkan di rumah itu. Setiap kali Nek Jah mengeluarkan kata-kata sindiran, ada sahaja jawapan yang terpacul di mulut Acik.
Seringkali Encik Zul menasihati anaknya itu supaya lebih sopan ketika bertutur dengan neneknya. Namun Encik Zul menyedari bahawa ibunya Nek Jah bertindak sedemikian atas hasutan adik beradiknya yang lain yang memang terang-terangan tidak suka mereka tinggal di rumah pusaka itu. Lebih mengeruhkan keadaan, kebiadaban Acik itu dijajanya ke rumah anak-anaknya yang lain.
Digambarkan oleh beliau bahawa biadapnya Acik itu datangnya dari keturunan Puan Rohayu. Menurut beliau lagi, berpuluh-puluh tahun dia membesarkan anak-anaknya seramai sepuluh orang. Tiada seorang pun yang berperangai begitu. Padahal provokasi itu datang dari Nek Jah itu sendiri. Memang sudah jadi adat di dunia, siapa yang kalah pada provokasi, maka dialah yang akan melenting dan dianggap kurang ajar seterusnya dijadikan bahan bualan umpatan.
Keadaan bertambah tegang apabila Pak Man datang ke rumah pusaka itu untuk mengambil beberapa barang lama yang didakwa olehnya telah diberikan arwah ayah mereka Haji Manan terhadapnya. Sebuah rehal yang dibeli arwah Haji Manan semasa mengerjakan fardhu Haji di Mekkah.
Kedatangan Pak Man sebenarnya hanyalah suatu provokasi agar keluarga Encik Zul sedar bahawa mereka bukanlah satu-satunya pihak yang boleh menuntut rumah tersebut. “Kami tidak tahu di mana letaknya rehal tersebut pakcik” terang Along dengan sopan sekali. Sebenarnya rehal tersebut memang sudah bersama Pak Man. Cuma, tindakannnya itu hanyalah untuk menggegarkan isi rumah tersebut.
-BERSAMBUNG-
– Sang Arjuna Nestapa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit