Untuk part I, (https://iiumc.com/ini-bukan-
Untuk part II, (https://iiumc.com/ini-bukan-
Kedua-dua anak lelaki Encik Zul dan Puan Rohayu berjaya mendapat pekerjaan yang baik dalam sektor kerajaan. Mampu membeli rumah sendiri. Tidaklah begitu mewah, namun cukup selesa untuk didiami anak beranak. Berlainan pula dengan dua orang anak anak perempuan mereka yang tidak begitu bernasib baik dalam aturan kehidupan. Kedua-duanya telah mengandung sebelum berkahwin.
Seorang terpaksa menamatkan pengajian diperingkat diploma kerana mengandung manakala seorang lagi memang agak liar dan seringkali curi-curi keluar rumah pada waktu malam. Namun begitu, perkara itu hanyalah sejarah. Kini mereka telah berumah tangga tetapi hanyalah menjadi suri rumah tangga. Kebanyakan masa menjaga kebajikan ibu bapa di rumah dan sangat memerlukan rumah tersebut untuk berteduh.
Salah seorang anak lelaki mereka pula mempunyai hubungan yang dingin dengan Encik Zul dan Puan Rohayu setelah berkahwin. Isterinya tidak begitu digemari ibu bapanya. Latar belakang keluarganya yang tinggal di kawasan setinggan dan tidak berpelajaran tinggi, menjadikan isterinya rasa kurang selesa tinggal bersama mentua. Kemiskinannya menjadi bualan dan bahan sindiran. Rumah senget lah, rumah sebelah kilanglah. Semuanya menjadi bahan umpatan.
Hinggalah pada suatu malam, apabila anak lelaki sulung Encik Zul itu telah menangkap adik perempuannya keluar melalui tingkap untuk berjumpa dengan kekasihnya. Berlaku pertengkaran besar lalu keluarlah segala tohmahan dan kata-kata kesat yang tidak sepatutnya terkeluar dari mulut adik beradik. Abang sulung yang begitu kecewa kerana isterinya dihina akhirnya datang tangan dan ayah mereka begitu marah dengan peristiwa itu.
Akhirnya pada malam itu juga, anak lelaki Encik Zul itu keluar dari rumah itu bersama-sama isterinya. Anak lelaki kedua mereka pada masa itu masih bekerja di daerah yang jauh dari kampung mereka. Jauh dari segala masalah dan keberantakan dalam keluarga.
“Ketulahan! Dasar keluarga merampas hak adik beradik lain. Anak-anak pun tak menjadi! Bunting sana. Bunting sini. Begaduh sana. Bergaduh sini! Padan muka! Benda tak elok. Memang tuhan bayar cash! Sembunyi la. Tahi sembunyi la di mana-mana, baunya tetap ada!” umpat Pak Man bersama adik beradiknya di rumah Zuraida.
Seringkali mereka sekeluarga mengadakan aktiviti makan-makan bersama keluarga namun Encik Zul dan keluarganya sama sekali tidak dipelawa. Mereka telah dipulaukan. Malahan ketika hari Raya Aidilfitri sekalipun adik beradiknya tidak mahu menjejakkan kaki ke rumah itu. Mereka semua betul-betul meluat melihat wajah Puan Rohayu yang dikatakan sebagai punca Encik Zul itu menjadi begitu. Sebenarnya, memang sudah jadi kebiasaan apabila keluarga berantakan begitu, memang isterilah yang akan menjadi mangsa tuduhan.
Anak-anak Encik Zul dan Puan Rohayu sentiasa menjadikan nenek mereka Nek Jah sebagai bahan lelucon. “Daniel, boleh Nek Jah tidur di bilik kamu nanti?” Usik Acik kepada anaknya. “Tak nak lah ibu, dia bukan nenek saya. Nenek saya Nek Minah” ejek Daniel sambil mencebikkan mulutnya.
Lalu mereka pun ketawa berdekah-dekah. Begitulah mereka sekeluarga. Kehadiran Nek Jah seperti yang dijadualkan selama dua minggu di rumah itu menjadi bahan momokan kepada sesiapa pun di rumah itu. Namun, sudah pasti gurauan begitu dilakukan di belakang ayah mereka Encik Zul. Mereka sedar juga untuk tidak bergurau begitu di depan ayah mereka untuk mengelakkan ayah mereka berkecil hati.
Pada suatu hari. Encik Zul tumbang di dalam tandas. Ketika itu, beliau bangkit dari tidur untuk menunaikan solat Subuh. Di dalan tandas, beliau terjatuh dan bunyi hentakan di dalam tandas itu didengari oleh Puan Rohayu. “Ya Allah. Kenapa ni bang” rintih Puan Rohayu. Sedikit darah mengalir akibat luka di bahagian kepala suaminya. Mereka anak beranak segera menghantar ayah mereka ke hospital dengan segera.
Dalam keadaan yang begitu nazak, sempat Encik Zul berkata mungkin masa untuk dirinya pergi hampir tiba. Adik beradik yang telah bermasam muka pun tiba. Bermaaf-maafan disaat pejamnya mata ayah mereka namun masih bernyawa. Mereka saling berharap agar berbaiknya mereka pada hari itu didengari oleh ayah mereka.
Sejenak selepas itu, Encik Zul telah meningal dunia. “Di depan Kaabah mak berdoa, agar anak-anak mak kembali bersatu walau apa cara sekalipun. Memang mak tak sangka, beginilah caranya”. Kata Puan Rohayu kepada anak-anaknya yang hadir di hospital ketika itu. Beberapa bulan sebelum kejadian ini, Encik Zul dan Puan Rohayu ada mengerjakan umrah bersama rakan-rakan mereka.
Tiada seorang pun adik beradik Encik Zul hadir di hospital ketika itu. Setelah hari ketiga kematian, Pak Man datang ke rumah pusaka itu. “Kamu semua silap. Tidak perlu kamu semua mengambil kuasa tuhan untuk meramal bila ibu akan meninggal. Ternyata Allah maha kuasa. Zul dulu pergi sebelum mak meninggal dunia” sindir Pak Man. Puan Rohayu hanya mendiamkan diri. Setelah itu, keluarlah Nek Jah dari kenderaan sambil membawa bagasi pakaiannya.
Akhirnya Puan Rohayu pindah ke rumah ibunya. Meneruskan hidup dengan menggunakan duit pencen dirinya. Anak-anak lelakinya tinggal di rumah mereka sendiri. Seorang anak perempuannya tinggal bersama suaminya dan seorang lagi anak perempuannya bersama cucunya mengikut Puan Rohayu ke mana sahaja beliau pergi.
-TAMAT-
Penafian : kisah ini adalah berdasarkan kisah benar. Nama watak di dalam kisah ini telah ditukar kepada nama samaran yang lain. Oh ya, hamba Aliff. Anak buah Puan Rohayu. Mohon maaf jika tulisan bersambung-sambung. Perlu masa untuk proses imbas kembali. Semoga tulisan ini memberi keinsafan kepada kita semua.
– Sang Arjuna Nestapa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit