Assalamualaikum. Aku NN. Umur 20-an dan mempunyai dua orang anak yang berumur 3 tahun dan 6 bulan. Baru-baru ini, aku diberi tamparan besar dengan berita suami aku bakal berkahwin lagi. Menggigil saat aku baca mesej suami dengan si dia. Ujian ini datang di saat kami tiada apa-apa. Rasanya tidak perlu untuk aku menceritakan kenapa dan bagaimana dia memilih untuk berkahwin lagi.
Pada mulanya memang aku sangat kecewa, sedih, sakit hinggakan dada aku terasa berat untuk bernafas. Aku memaksa suami aku lepaskan aku. Setelah beberapa ketika aku mula sedar suami aku hanya pinjaman dari Allah. Suami aku bukan hak aku. Kenapa aku perlu bersedih seolah orang lain merampas ‘barang’ kesayangan aku?
Aku tanamkan segera dalam otak aku yang suami aku milik Allah. Allah boleh bagi dan tarik bila Dia mahu. Tapi pada situasi ini suami aku tidak terlintas pun untuk tinggalkan aku. Aku yang beria minta dilepaskan kerana bagi aku aku tak sanggup makan hati tiap hari memikirkan suami aku ada cinta lain dalam hati dia.
Bila aku mula terasa penat dan sakit menanggung kecewa, aku mula belajar melepaskan. Aku tak tahan menanggung perasaan tu. Lelah tak terkata. Aku tak mahu seumur hidup merasa begitu. Macam mayat hidup. Aku minta Allah pegang hati aku, pulihkan semangat aku, permudahkan urusan suami aku jika benar dia berniat untuk halalkan hubungan itu.
Bila ujian sebegini datang, banyak perkara datang bertalu-talu memaksa aku muhasabah diri. Aku korek kelemahan diri aku. Aku sedar aku kurang ‘concern’ bab hubungan suami isteri sejak lahirkan anak pertama. Aku juga sedar lemahnya hubungan aku dengan Allah. Aku berterus-terang dengan suami aku apa sebenarnya yang mengganggu aku sehingga menjejaskan hubungan suami isteri. Aku memohon sepenuh kebergantungan pada Allah yang aku rasa selama ini aku kurang titikberatkan.
Lama-kelamaan aku sedar, indahnya ujian ni. Tahun ini sebenarnya agak berat untuk kami dengan ujian ditipu, difitnah, dipinggir. Tapi aku dapat lihat suami aku sangat tenang hadap semua ujian. Sejak aku mula kenal dia hingga hari ini, aku nampak perubahan, penambahbaikan yang sangat jauh berbeza dari dia sebelum ini. Dia yang banyak ajar aku didik emosi ketika ujian ini datang, ajar aku sentiasa minta pada Allah, never underestimate takdir yang Allah bagi.
Aku sedar ujian demi ujian ini adalah cara Allah hendak ‘membersihkan’ kami. Aku dapat rasakan Allah ingin hadiahkan sesuatu buat kami. Tapi bilamana Dia lihat kami masih leka, tidak bersungguh membersihkan dosa dan meminta padaNya, Dia bagi semua ujian sekaligus agar kami tunduk merayu semahunya pada Dia. Betapa aku rasa Allah sayangkan kami. Tidak mahu kami berterusan di takuk lama.
Ujian apapun yang datang, pandang pada hikmah. Jangan pernah fikir Allah membenci kita. Malah Allah sayang sangat pada kita. Sekarang aku hanya fokus untuk perbaiki diri, bahagiakan suami dan anak-anak. Urusan suami dan si dia, biarlah mereka uruskan. Ya bukan semudah itu aku redha. Tapi aku cuba belajar. Bila aku redha, aku bukan sahaja dapat cinta suami aku, tapi juga cinta Allah.
Doakan kebahagiaan kami dunia akhirat.
Apapun ujian, itu cara Allah sayang kita.
– NN (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit