Ini Kisah Aku

Assalamualaikum, kenalkan namaku Zahra. Berusia lewat 20-an, telah mendirikan rumahtangga, dan bekerja di syarikat swasta di ibu kota.

Sebelum ini, aku pernah berfikir untuk mencoretkan keluhanku disini tapi sering kubatalkan niat kerana risau tulisanku akan membuka aib sendiri tapi kali ini aku kuatkan hati untuk menulis kerana beban ini rasanya semakin berat kutanggung sendiri.

Sebelumnya, maafkan aku andainya coretan ini terlalu panjang atau menimbulkan rasa kurang senang kepada anda semua.

Niatku bukan untuk membuka pekung didada, sebaliknya hanya ingin meminta pandangan dari perspektif lain mengenai situasiku. Aku tidak pandai mengarang, jadi maafkan aku juga andainya tulisanku tidak sempurna.

Aku dan suami baru melangsungkan perkahwinan beberapa bulan yang lalu setelah bertunang lebih kurang 6 bulan. Sebelum itu, aku dan suami PJJ atas dasar kerja tetapi kami bersetuju setelah berkahwin aku akan pindah untuk tinggal bersamanya.

Namun, kami hanya mampu merancang, aku dan suami kehilangan pekerjaan sebelum kami diijabkabulkan. Aku membuat keputusan untuk pulang kekampung setelah 2 bulan menganggur sementara menunggunpanggilan kerja yang lain.

Pada mulanya kami bercadang untuk menangguhkan majlis kami, tapi setelah berbincang dengan kedua ibu bapa kami majlis diteruskan dengan sederhana.

Segala urusan perkahwinan diuruskan oleh aku, dalam masa yang sama aku juga berusaha untuk mencari pekerjaan kerana aku mempunyai komitmen bank yang perlu dibayar sebaik tamat tempoh moratarium.

Sejujurnya, emosi aku sangat tidak stabil ketika itu kerana suasana di rumahku agak toksik, ditambah dengan urusan perkahwinan dan juga permohonan kerja yang tidak membuahkan hasil.

Perkara ini membuatkan aku dan suami sering bergaduh melalui telefon, dan pernah juga aku terlalu emosi sehingga meminta pernikahan kami dibatalkan. Setiap kali itu, dia akan memujukku dan berkata bahawa itu semua adalah ujian bertunang.

3 minggu sebelum berkahwin, aku telah mendapat panggilan kerja untuk jawatan kontrak sebagai data entry clerk selama 2 bulan berdekatan rumahku tetapi tarikh lapor diri adalah sehari selepas majlis nikah kami.

Aku berbelah bagi untuk menerima tawaran tersebut kerana telah berjanji dengan suami untuk mengikutnya selepas majlis. Aku suarakan pada suami mengenai hal tersebut dan dia menyuruh aku untuk menerimanya.

Pada mulanya dia ingin pulang bersama keluarganya selepas majlis, tetapi setelah kupujuk dia bersetuju untuk tinggal sementara dirumah keluargaku sehingga tamat kontrak dan kami akan sama-sama pulang kemudian memandangkan dia juga tidak bekerja.

Untuk pengetahuan, suami juga masih tinggal bersama keluarganya. Sepanjang berada dirumah, suamiku banyak terperap dibilik dan tidak bergaul dengan ahli keluargaku dengan alasan beliau kekok. Mujur ibuku faham dan tidak berkecil hati.

Dua minggu selepas kami bernikah, keretaku telah dilanggar semasa dipandu oleh suami dan pada masa yang situasi Covid di negeri suami memburuk dan dia memberitahuku bahawa dia harus pulang kerana risaukan ibu bapanya.

Katanya dia risau kerana abah degil, dan dia perlu berada disana untuk menjaga abah agar tidak sesuka hati keluar rumah. Adik beradik suami yang lain tinggal jauh dari mereka, maka tanggungjawab tersebut jatuh kepada suami.

Suami meminta maaf kerana terpaksa meninggalkanku dan keesokan harinya aku menghantar suami ke stesyen bas. Agak berat hatiku untuk berpisah dengannya memandangkan kami baru berkahwin, tapi aku redha kerana tanggungjawabnya sebagai anak dan berjanji akan kesana sebaik tamat kontrak ku.

Sebelum itu suami merajuk denganku kerana menganggap aku menyalahkannya perihal keretaku dilanggar padahal aku hanya meminta dia menjelaskan bagaimana kemalangan tersebut berlaku,

Dia mengemaskan barang-barangnya dengan niat untuk pulang pada keesokan harinya tetapi membatalkan niatnya setelah aku meminta maaf.

Maka tinggallah aku sendiri untuk urusan membaiki kereta dan atas sebab-sebab tertentu, syarikat yang menawarkan kontrak kepadaku terpaksa memberhentikan pekerja kontrak dan sekali lagi aku kehilangan pekerjaan.

Aku agak risau kerana tiada sumber pendapatan, insurans kereta dan cukai jalan perlu dibayar, tapi dengan keadaanku aku risau tidak mampu untuk menyelesaikannya.

Emosi aku amat terkesan disebabkan perkara itu, ditambah lagi apabila suami memberitahu bahawa dia dan rakan-rakannya merancang untuk camping 2 hari selepas dia kembali walhal situasi Covid disana masih membimbangkan.

Aku mula berfikir yang dia sengaja mencari alasan untuk pulang kerana katanya ingin mencegah abah dari keluar tanpa keperluan tapi dia sendiri melakukan hal yang sama. Aku tertekan dan kami bergaduh tapi kerana rasa bersalah aku meminta maaf padanya.

Alhamdulillah Allah Maha Baik dan Maha Mendengar. Tidak lama selepas itu aku dihubungi oleh sebuah syarikat swasta dibandar dan ditawarkan bekerja dengan gaji yang agak kecil, tapi cukup untuk membayar komitmenku.

Namun, setelah ditolak komitmen yang perlu dibayar dan kos sara hidup, aku belum mampu untuk menyewa dan terpaksa menebalkan muka untuk menumpang di rumah abang long sementara keadaanku stabil. Aku menerima tawaran kerja tersebut dengan izin suami.

Sepanjang tinggal dengan Along, kakak iparku sering mencari kesalahanku seolah-olah tidak senang dengan kehadiranku.

Aku suka memasak bekal untuk dibawa ketempat kerja untuk menjimatkan belanja, tapi setiap kali aku masak kakak ipar akan membuat spot check dan mengadukan setiap benda yang tidak disukainya kepada Along agar Along menegur aku.

Walaupun aku mencuba untuk mengikut standard yang dia tetapkan, setiap kali aku melakukan sesuatu pasti ada sahaja kesalahanku dimatanya.

Kadang-kadang barang dapur yang dibeliku dan kusimpan dalam peti sejuk dibuang olehnya tanpa bertanya terlebih dahulu.

Lama kelamaan aku menjadi segan untuk memasak dan mula makan mi segera untuk lunch, manakala waktu malam aku jarang makan sehingga menyebabkan berat badanku jatuh drastik.

Aku tidak memberitahu sesiapa mengenai hal ini kerana sedar aku menumpang, dan aku juga tidak mahu memburukkan kakak ipar didepan keluarga. Dalam masa yang sama, aku kasihan Along yang serba salah memilih antara aku dan isterinya.

Selepas 2 bulan, aku semakin tertekan dengan keadaan tersebut. Aku seolah-olah orang asing di rumah Along dan aku menceritakan keadaanku kepada suami. Tanpa kuminta, suami merancang untuk mengikutku berpindah dan berjanji akan bersamaku selepas PKPB ditamatkan.

Aku sangat gembira dan meminta suami mencarikan rumah sewa untuk kami memandangkan aku tidak banyak masa kerana sibuk bekerja.

Suami pada mulanya membantu, tapi kesungguhannya bagai melepas batuk ditangga. Akhirnya aku yang bersengkang mata dimalam hari untuk mencari rumah sewa dan mengorbankan hujung mingguku untuk membuat ‘site visit’ ke rumah yang diiklankan.

Suami? Semasa aku sibuk kesana kemari melihat rumah sehingga mendapat migraine dia bersuka ria keluar bersama kawan-kawannya. Setelah mendapat tempat yang sesuai, aku membayar wang pendahuluan rumah dengan duit simpananku sendiri.

Aku agak berkecil hati dengan suami kerana dia seolah-olah membiarkan aku menguruskan semua sendiri dan cuba untuk berbincang dengannya, tapi suami pula memanipulasi luahanku dan berkata dia gagal menjagaku dan aku memandang rendah padanya kerana dia tidak bekerja.

Aku serba salah dan meminta maaf, tapi dalam diam aku merasa kesal dan mula tawar hati kepadanya.

Aku mula berfikir, mengapa aku perlu mempunyai suami sedangkan aku mampu menjaga diriku sendiri? Aku mampu menyara hidupku tanpa bantuannya.

Aku tak minta dia manjakan aku dengan wang ringgit, cukup dia ada disisiku semasa kuperlukan tapi diwaktu aku perlukan sokongannya dia sibuk dengan kawan-kawannya.

Apalah gunanya punya seorang suami jika suami hanya tempat melaporkan aktiviti harianku? Bila aku meluahkan masalahku, suami hanya diam dan sering mengubah topik dengan alasan tidak mahu aku memikirkan masalahku.

Akhirnya aku hanya mampu menangis ditikar sejadah menceritakan sedihku dengan Allah. Terlintas difikiranku untuk melarang dia berpindah denganku, kerana bagiku mungkin aku akan lebih baik tanpa dia tapi aku takut menjadi isteri derhaka.

Aku mempunyai seorang sahabat lelaki, sebelum bertemu dengan suami kami agak akrab dan sehingga sekarang dia masih mengambil berat mengenaiku walaupun aku tidak pernah lagi membalas chat nya dan sejujurnya aku tidak ada perasaan langsung kepada sahabatku itu.

Aku sedar akan statusku dan tidak pernah melayannya, tapi setiap kali dia bertanya khabarku terdetik dihatiku mengapa suamiku tidak seperti itu.

Aku sayangkan suami, tetapi hatiku tawar apabila dia sering membiarkanku. Kadang-kadang kurasakan suami kurang matang dalam sesetengah hal padahal dia 5 tahun lebih tua dariku.

Entah lah, aku buntu. Semoga ada sinar indah untuk kami. Doakan kami dan terima kasih sekiranya saudara saudari membaca luahanku sehingga habis. Semoga kalian semua dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki. Aamiin ya rabbal alamin.

Assalamualaikum.

– Zahra (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *