Ini Kisah Cinta Pertamaku

Membaca kisah cinta pertama dalam IIUM Confession ini, sungguh menyentuh jiwa saya. Ada yang bahagia di hujung, ada yang harapan tinggal harapan.

Saya terkenang cinta pertama, puluhan tahun dahulu, jatuh cinta kali pertama pada usia 14 tahun. Usia yang sangat muda, orang selalu kata, cinta monyet.

Namanya M, jejaka sekampung yang baru tinggal di kampung saya bersama keluarganya. Rumahnya berjarak 2 kilometer dari rumah saya waktu itu.

Saya tidak mengenalinya sehinggalah saya terserempak dgn M di dalam bas di suatu petang, dan inilah permulaan kisah cinta pandang pertama saya.

Saya masih ingat, sekilas saya terpandang wajah M, hati saya bagaikan terkena satu aliran letrik yang buat jantung saya terasa berdegup kencang.

Saya terus memandangnya, dengan rasa kehairanan dan tertanya-tanya mengapa saya merasa sedemikian rupa, sangat aneh perasaan yang saya rasa.

Sesungguhnya, cinta pertama bagi saya, adalah rangkaian suatu perasaan aneh, misteri, malu, berdebar, sayu, gementar namun penuh harapan.

Cukuplah memandang si dia dari kejauhan, sudah cukup membahagiakan. Namun, tidak mampu rasanya bertentang mata, takut ternampak riak di wajah yang tidak mampu dibendung dari menjerit untuk menyatakan perasaan di hati.

Asyiknya cinta pertama, hingga terasa ingin hidup seribu tahun lagi. Namun sifat malu amat menebal, tidak pernah saya berterusterang dengan M, kerana saya takut saya hanya bertepuk sebelah tangan.

Saya tahu hati saya, ia bukan cinta monyet. Saya memang mencintai dia untuk selamanya. Hanya kertas putih yang bisu tempat saya mencurahkan rasa hati dan tidak ada alamat untuk diutuskan.

Jarak umur kami adalah 3 tahun, dan kami juga satu sekolah yang sama. Pendek kata, kami sama sekampung, sama sekolah dan sama bas sekolah.

Apapun, hubungan kami tidak rapat, M orangnya pemalu jika dengan saya, itu yang selalu buat saya terasa hati. M tidak pernah berbual lama dengan saya, dia hanya pandang saya dan merenung mata saya dan kemudian mengalihkan pandangannya.

Di sekolah M ada peminat, mungkin juga ramai yang meminatinya. M ada rupa, pemuda yang baik, beragama dan berjawatan pengawas.

Satu hari, saya dimarahi oleh seorang senior perempuan yang berjawatan pengawas, dia menyindir saya kerana tidak mahu saya berkawan dengan M.

Saya rasa pelik, mengapa pula saya yang dimarahi sedangkan saya tidak sedikitpun memberitahu M saya meminatinya, tetapi saya lupakan persoalan itu.

Saya rasa amat sedih dan rasa sangat rendah diri, rupanya kakak itu menganggap saya, pengacau hubungannya dengan M. Saya beranggapan M dan kakak itu ada terjalin hubungan istimewa. Sejak itu, saya mengundur diri dengan hati yang hancur berderai.

Kasihan saya, sekeping hati yang naif, yang penuh rasa cinta yang tulus, terpaksa meratap kasih yang musnah tanpa sempat ia tumbuh subur menghijau. Namun tunasnya masih ada, tidak pernah mati rupanya selama hayat ini.

Tahun itu, M telah menghabiskan persekolahannya di sekolah saya dan saya meneruskan kehidupan yang ada, dengan menumpukan perhatian pada pelajaran.

Tiada lagi M yang jadi tempat untuk saya mencuri pandang, tiada lagi kenangan indah dia dalam angan-angan saya. Yang tinggal hanya kesan-kesan kenangan yang terpahat di kalbu saya.

Saya tidak sempat untuk berterusterang dgn M tentang perasaan saya, saya terlalu pemalu dan terlalu takut utk menerima kenyataan jika cinta saya bertepuk sebelah tangan.

Saya bertekad untuk lupakan M dan teruskan mengejar cita-cita saya. Saya ingin melupakan cinta pertama yang hanya mengajar saya menjadi sengsara dalam usia yang terlalu muda. Cinta itu sangat kejam pada saya.

Untuk pengetahuan pembaca, bukan tiada pemuda lain yang meminati saya sejak usia muda, saya ada rupa dan tergolong dalam kalangan yang comel dengan wajah chinese look.

Namun, hati saya hanya meminati M seorang, jika M membalas cinta saya, saya yakin saya akan setia dengan M selama hayat masih ada. Sayangnya, saya tidak tahu bagaimana perasaan M terhadap saya.

Apapun, akhirnya saya berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh dan meneruskan kecemerlangan itu hingga memasuki universiti.

Sepanjang waktu itu, saya tak pernah melupakan M. Saya sentiasa mengikuti perkembangan hidup M dari kawan-kawan kami. Saya tahu M masuk Maktab dan akan jadi seorang guru.

Di universiti, tentulah banyak peluang untuk saya berkenalan dengan jejaka lain. Saya tidak mencari, tetapi merekalah yang meminati dan menghampiri saya untuk berkenalan dan ada yang serius.

Saya tahu hati saya, saya hanya mampu mencintai seorang lelaki sahaja, dan cinta itu hanya pada M. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menerima lelaki lain, ia hanya buat saya rasa serba salah dan ia tidak adil untuk lelaki tersebut.

Tentu pembaca marah dgn kebodohan saya, tidak dapat melupakan M. Realitinya, saya telah cuba melupakan M, namun ingatan itu tetap datang tanpa paksaan, saya akan surut pada kenangan dan rasa cinta yang tak pernah hilang ini.

Hingga akhirnya, saya dapat tahu M akan bertunang dengan gadis semaktabnya, dan itu adalah final countdown untuk saya. Tiada apa lagi yang perlu saya tunggu, hidup perlu diteruskan. Saya pasrah.

Saya tidak sesekali akan menganggu hidup M dan dia telah memilih jodohnya. Saya ambil keputusan untuk menerima lamaran dari seseorang dan kami berkahwin, selepas 2 bulan dari hari pernikahan M.

Mungkin di sinilah berakhir kisah cinta saya yang malang ini. Namun Allah lebih mengetahui, Dia berikan jawapan untuk saya akhirnya.

Tahun lepas, saya bertemu dengan sepupu M yang rapat dengan M, dan biasalah bila berjumpa kawan lama sebab kamipun sekampung dan satu sekolah, bercerita kisah lama-lama. Saya dan sepupu M sama usia.

Dia cerita, sebenarnya M meminati saya sejak zaman sekolah tetapi M terlalu malu untuk approach sebab saya budak pandai dan cantik. M takut saya akan ketawakan dia. M rasa rendah diri.

Kawan saya cerita, kakak senior yang pernah memarahi saya itu, bukan gf dia. Memang kakak itu meminati M dan pernah ajak M kahwin tetapi M menolak.

Kakak senior itu dapat tahu dari desas desus yang menyatakan M meminati saya, sebab itu awal lagi dia cuba menyingkirkan saya.

Dia juga cerita M selalu ambil tahu tentang hidup saya walaupun kami tidak pernah berhubungan semenjak masing-masing berkahwin.

Pernah sekali masa saya dapat bekerja di Arab Saudi, M call kawan saya, bertanya betulkah saya akan berhijrah ke Saudi.

Dia juga pernah cerita, M pernah menitiskan airmata bila tahu saya berkahwin buat kali kedua, dan inilah yang menyebabkan kawan saya itu, dapat mengagak bahawa M tidak pernah melupakan saya selama ini.

Sayapun sangat terkejut mendengarnya, sebab apa yang dia rasa juga saya pernah rasai.

Apapun, saya bersyukur Allah beri jawapannya kepada saya, walaupun ia tidak membawa makna apa-apa dalam hidup saya kini.

Inilah kisah cinta pertama saya yang ingin saya kongsikan. Soal hati bukan mudah untuk difahami, cinta itu misteri.

Jangan kita menghukum seseorang yang tidak pernah melupakan cinta pertamanya. Itu ujian Allah, kita tidak tahu apakah yang telah mereka lalui. Peperangan hati itu sulit, jika Allah tidak menguji kita, janganlah mengeji orang lain yang diuji.

Namun, dalam hidup ini, kita kena belajar untuk redha dengan takdir Allah, mencintai bukan semestinya memiliki.

Hiduplah dengan mengikuti jalan yang penuh syariat, letakkan keimanan menjadi pedoman.

Cinta yang tulus akan membuka jalan ke arah lebih banyak kebaikan bukan kemaksiatan.

Itulah cinta sejati.

– PUTERI MAYA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *