Ini Sebab Mengapa Doktor Suka Tanya Banyak Soalan

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada semua pembaca. Cukuplah intro untuk tahu saya ada latar belakang dlm bidang perubatan. Kali kedua saya cuba utk publish penulisan ini di IIUM. Sayang tak publish sebab dah tertulis.

Saya rasa terpanggil untuk memberikan sedikit sebanyak penerangan tentang mengapa doktor suka bertanya banyak soalan kepada pesakit. Sementelah melihatkan sikap segelintir pesakit “annoyed” / menyampah / rimas apabila doktor buat “History Taking”. Dan agar semua pesakit bekerjasam dgn baik & tahu apa yg penting utk dimaklumkan kpd doktor anda juga.

Ya, post ini mungkin panjang tapi rajinkanlah diri membaca. Membaca jambatan ilmu tau.

Untuk menerangkan kepentingan History Taking, saya perlu pastikan anda memahami makna istilah berikut kerana saya mahu kalau boleh semua golongan tak kira usia, latar belakang pendidikan dapat faham dengan mudah. Maafkan saya kalau anda rasa penerangan istilah ini tak perlu, boleh skip saja jika anda dah faham maknanya.

***********************
Apa itu “Diagnosis”

Proses mengenalpasti penyakit yg dilakukan oleh doktor dengan melakukan ‘penyiasatan terperinci’ yang terdiri dari :
1. History taking – bertanya soalan kpd pesakit
2. Pemeriksaan fizikal – Cek tekanan darah, tekan perut, tengok dalam mulut, dengar nadi jantung etc
3. Scan (Xray/MRI/CT Scan etc)
4. Ujian makmal ke atas darah, air tulang belakang , sampel kahak dan segala macam ujian

Contoh ayat:
– Apa diagnosis saya doktor?
– Doktor telah mendiagnos saya menghidapi diabetes.

************************
Apa itu “Simptoms”

Simptoms adalah gejala atau perubahan yg lari dari kebiasaan yg normal pada fungsi badan yg anda sendiri rasai sebagai pesakit & merupakan isyarat dari badan anda bahawa terdapat kewujudan sesuatu penyakit.

Bermakna ini adalah sesuatu yg tidak tampak jelas kpd doktor seperti sakit kepala, sakit perut, sakit sendi, sakit dada, loya, muntah, berpeluh-peluh, berak berdarah, cirit birit, sembelit etc. Jadi, hanya anda yg boleh maklumkan kpd doktor tentang simptoms. Contohnya, doktor tidak boleh mengetahui anda sering sakit kepala sejak beberapa bulan lalu hanya dengan melihat anda. You have to tell them. Kalau sesuatu seperti ruam, bengkak, kemerahan pula adalah TANDA (Signs) , bermakna ia boleh dikenalpasti oleh doktor melalui pemeriksaan fizikal.

Sering kita dengar doktor akan bertanya ayat pembukaannya, “Boleh beritahu saya awak sakit apa?”
ATAU “Okay, kenapa awak datang hospital hari ni?”

Ada pesakit kadang-kadang rasa nak sekeh je sebab jawab:

1. Manalah saya tau saya sakit apa tu saya datang sini. Atau awak doktor, awaklah bagitahu saya ni sakit apa. Kadang nada bergurau, kadang nada sinis.
2. Saya datang sebab saya sakitlah! Tu pun nak tanya ke?

Oi oi oi. Doktor tak sama dengan ahlil nujum atau bomoh. Anda masuk saja bilik doktor dah boleh scan automatik seraya berkata, “Hmm..dah tak lama awak ni, sila balik untuk beribadah & tinggalkan urusan duniawi”.

Sebenarnya, soalan yang lebih tepat & yg dimaksudkan oleh doktor anda adalah, “Boleh beritahu saya, awak ada simptoms apa?”

Tetapi disebabkan perkataan ‘simptoms’ ini bukan istilah yang sering digunakan oleh kesemua lapisan masyarakat maka doktor kadang bertanya soalan tadi. “Sakit apa?” ATAU “Kenapa datang hospital hari ini?”

Jawapan yg tepat adalah ceritakan simptoms anda atau “Apa yg tak kena sampai kau rasa kau ni ada sakit dan kena jumpa doktor?”

********************
Apa itu “History Taking”

History taking jika kita buat “direct translation” maksudnya “Proses Mengambil Sejarah Pesakit”. History Taking adalah langkah pertama untuk membantu doktor membuat agakan awal penyakit apakah yang paling mungkin dihidapi pesakit berdasarkan ‘cerita’/jawapan kpd soalan-soalan yang ditanya kepada pesakit.

Contohnya, WANITA BERUSIA 20 TAHUN DATANG DENGAN SAKIT PERUT.
Penyakit-penyakit yang boleh menyebabkan sakit perut terlalu banyak. Bagi tujuan memudahkan penjelasan yang diberikan, saya berikan jumlah penyakit yang lebih kecil. Katakanlah ada 50 sebab sakit perut (Jumlah ini langsung tidak tepat tau! Hanya untuk memudahkan penjelasan).

Seorang doktor akan bertanya soalan yang banyak untuk mengurangkan dari 50 sebab tadi contohnya kepada 3 penyakit berdasarkan simptoms yg diceritakan pesakit. 3 penyakit yang mungkin dihidapi pesakit sehingga menyebabkan simptoms tertentu ini dipanggil “Differential Diagnosis”. Untuk mengenalpasti manakah antara tiga ini yang betul, doktor akan lakukan pemeriksaan fizikal, scan , ujian darah etc.

Selain dari simptoms, secara umumnya doktor akan menyenaraikan penyakit yang paling mungkin dari History Taking dengan mengambil kira pelbagai faktor antaranya :

1. Umur : Orang yang lebih berusia lebih berisiko untuk penyakit tertentu seperti sakit jantung. Jadi bila pesakit umur 18 tahun datang dgn sakit dada, serangan jantung ini bukan dalam senarai diagnosis paling atas. Berbeza jika yg datang pakcik berumur 65 tahun.

2. Status perkahwinan / aktif dalam hubungan seks : Simptom spt sakit perut mungkin kerana “Ectopic Pregnancy”s

3. Last period : Utk wanita belum putus haid penting utk rule out mengandung sbg sebab sakit perut contohnya, atau utk dibuat Xray.

4. Ubat-ubatan, supplement, makanan minuman herba yg anda ambil.

– Walaupun doktor anda mungkin mempunyai senarai ubat yg anda ambil, tetapi kadang kala berlakunya perubahan pada ubat yg anda ambil. Disebabkan contohnya, doktor lain yg anda temui minta ubat X dihentikan buat sementara waktu atau doktor lain menukar ubat X kpd ubat Y . Jadi senarai lama yg dimiliki mungkin tidak sama dgn ubat yg anda ambil sekarang.

– Penting utk kita pastikan senarai ubat yg anda ambil supaya ubat baru yg mungkin akan diberi ketika di hospital tidak ada tindak balas dgn ubat yg pesakit sedang ambil.

– Supplement & herba sebagainya juga boleh bertindak balas dgn ubat.
Jika anda ambil ubat cair darah, supplement spt gingko, ginseng ia meningkatkan lagi kesan “cair darah” tersebut. Meningkatkan pula risiko berlaku pendarahan yg tidak sepatutnya berlaku. Beritahu doktor jika anda ambil supplement.

– Allergi.
Sesetengah orang allergic kpd ubat X tapi tidak pada ubat Y. Manakala ada orang allergic kpd ubat Y tapi tidak X dan ada yg tidak allergik langsung. Tahap keterukan allergi pun berbeza bagi stp individu. Contoh mudah, ada orang allergik pada bulu kucing tapi majoritinya tidak. Jadi perlu beritahu allergi anda pada doktor.

– BUAT SENARAI UBATAN YG DIAMBIL.

Mungkin mustahil bagi pesakit utk mengingati nama ubat pelik-pelik, dose ubat, berapa kali diambil sehari, pagi ke petang ke malam. Tak apa, kebanyakan doktor tak harapkan anda ingat pun. Tapi tuliskanlah dalam 1 kertas senarai ubatan & bawa apabila perlu berjumpa dgn doktor.

5. Merokok. Berapa lama anda merokok, berapa batang sehari meningkatkan risiko kanser spt peparu. Orang merokok juga sampai satu tahap, sering batuk-batuk sama ada kering/berkahak yg normal bagi mereka. Pastikan anda maklumkan kpd doktor jika perlu melalui pembedahan yg memerlukan intubation (masuk tiub pernafasan dalam mulut),

6. Minum alcohol/arak. Jumlah/kekerapan minum yg penting. Jika minum seadanya sikit sikit tak mengapa. Penting utk penyakit berkaitan hati (liver) seperti Hepatitis, kanser hati

7. Pekerjaan : Sesetengah pekerjaan meningkatkan risiko keupayaan peparu jadi merosot contohnya perkerjaan berkaitan lombong arang batu/bauksit

8. Hobi, haiwan belaan : Membela burung, kucing, suka berkebun. Ada organisma tertentu melalui aktiviti ini yg boleh menyebabkan manusia mendapat sakit.

9. Family History / Sejarah Penyakit dlm Keluarga .
Penyakit seperti kanser payudara, diabetes , stroke & sakit jantung –(pada usia muda) dalam kalangan ahli keluarga lain adalah penting kerana ia mungkin meningkatkan risiko anda juga utk mendapat penyakit yg sama.

Bukan semua ini akan ditanya kpd setiap pesakit. Ia bergantung kpd simptoms, hasil ujian darah, scan etc.

ISU SOALAN SENSITIF dalam History Taking

1. Pelajar perempuan umur 20 datang kerana sakit perut – Ada kemungkinan tak anda mengandung?

Untuk memastikan anda tidak mengandung soalan seperti datang period tak bulan lepas, sudah berkahwinkah akan ditanya. Mengapa perlu?
– Pesakit wanita yang dalam usia masih boleh mengandung atau kita sebut dalam usia reproduktif bermakna anda boleh mengandung tanpa anda sedari atau tidak. Walaupun kebanyakan wanita sedar tetapi ada kes yg mereka tidak perasan pun.
– Jika anda datang dgn sakit perut, salah satu diagnosis adalah kandungan di luar rahim (Ectopic Pregnancy}, ia satu kecemasan yang berbahaya kepada pesakit.
– Ada kes seperti mengandung luar nikah, dirogol oleh kawan/bapa/saudara dan sebagainya. Jika kes ini kes jenayah spt rogol maka doktor perlu buat pemeriksaan lanjut.
– Scan seperti X ray memancarkan sinaran yg berbahaya kpd kandungan

Ada pesakit/ibubapa pesakit yg turut berada di sisi pesakit rasa terhina/insulted kerana doktor bertanya soalan sedemikian kerana mereka : Beragama Islam / Belum berkahwin / Menjaga ikhtilat etc , doktor WAJIB pastikan anda mengandung atau pun tidak! Justeru tidak perlu rasa terhina kerana mereka tidak ada niat langsung nak berbuat demikian.

Doktor dah lihat kes anak mati-matian menafikan mereka mengandung tapi bila kita scan membuktikan yg sebaliknya. Maknanya, tidak boleh percaya begitu saja, perlu buat pemeriksaan ujian air kencing/scan utk pastikan pesakit tidak mengandung.

Jadi, marilah kita jadi pesakit yang memberi kerjasama dan mengambil berat tentang perihal kesihatan sendiri. Hal ini memudahkan anda dan memudahkan doktor juga. Jika ada perkara yg anda tidak fahami, bertanyalah secara baik kpd doktor. Sekiranya anda gagal bertanya kerana mereka kelihatan tergesa-gesa dan sibuk, cari lain waktu atau kadangkala sesetengah persoalan boleh ditanya kpd jururawat/ahli pharmacist. ATAU cari sendiri di internet. Tapi ingat jangan dah cari di internet, anda jadi memandai mandai nak terjemah journal perubatan macam sesetengah antivaks buat. Sekian.

Sila perbetulkan jika terdapat sebarang kesalahan pada tulisan saya. Terima kasih kerana membaca.

-Confessor Prihatin-

– Confessor Prihatin

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit