Insan Malang

Assalamualaikum semua. Dah lama saya nak berkongsi cerita dalam page ni cuma belum ada kesempatan.

Saya Mira (Bukan nama sebenar) berumur 28 tahun dan bekerja sebagai Account Executive. Kisah ini mengenai keseluruhan kehidupan saya yang menyebabkan saya kemurungan. Terlebih dahulu saya minta maaf sebab saya tak pandai mengarang cerita.

Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana dan mementingkan agama. Ibu seorag mualaf dan hidup sebatang kara, dilarikan oleh melayu yang telah berkahwin selama 7 tahun namun tidak mempunyai anak.

(Saya tidak akan menceritakan di sini kerana kisah ini terlalu panjang) Saya membesar dalam keadaan tertekan kerana ibu seorang yang amat suka membebel, membandingkan anak dengan anak orang lain dan melebihkan anak lelaki sahaja.

Manakala ayah berpoligami tanpa pengetahuan ibu ketika saya berumur 15 tahun (sekarang sudah tahu). Semenjak itu ibu menjadi semakin tertekan dan kami dibesarkan dalam suasana tertekan dan memberontak.

Saya adalah satu satunya anak yang menentang perkahwinan ayah dan sehingga kini saya masih cuba untuk ikhlaskan hati. Disebabkan background kehidupan saya yang sebegini saya menjadi seorang yang pemarah dan mempunyai trust issue terhadap lelaki.

Saya telah berkahwin dgn lelaki yang telah saya kenali selama 10 tahun. Kami adalah rakan kelas pada tingkatan 4 & 5 tetapi tidak pernah bertegur sapa.

Selepas tamat SPM, dia menghubungi saya dan mengatakan hasrat ingin berkawan. Semakin lama kami menjadi semakin rapat dan menjadi kekasih.

Sejujurnya saya mengakui dia seorang lelaki yang baik dan beruntung sesiapa yang memilikinya walaupun dia seringkali menipu saya mengenai rokok. Disebabkan hal itu saya memutuskan untuk berpisah pada 2013.

Namun begitu oleh kerana dia tidak mahu berpisah dengan saya, dia telah menipu saya dengan mengatakan bahawa dia mempunyai kanser otak dan saya mempercayainya dan tidak meninggalkan dia.

Kami berbaik dan saya berusaha untuk membantu dia untuk pulih sehingga saya berhasrat untuk menangguhkan semester kelima diploma.

Bulan demi bulan saya merasakan bahawa saya telah ditipu kerana setiap kali saya meminta laporan hospital dia akan berdalih. Pada hujung tahun yang sama kami berpisah. Dan saya meneruskan kehidupan seperti biasa.

Pada tahun 2014 dia menghubungi saya dan menyatakan hasrat untuk menjadikan saya isteri. Dan saya menolak.

Pada 2015 dia menghubungi saya lagi dan meminta saya untuk menerimanya sebagai kawan. Namun saya tidak menghiraukannya. Pada waktu itu saya di ipta meneruskan ijazah.

Pada tahun 2016, dia menjemput saya menghadiri perkahwinan kakak nya dan saya setuju. Dia memberitahu pada keluarga dan saudara mara bahawa saya adalah kekasihnya. Saya hanya mendiamkan diri dan tidak ingin memalukan dia.

Kami menjadi semakin rapat disebabkan oleh kami selalu berjumpa dan lepak bersama kawan2 sekolah. Pada tahun akhir ijazah, dia mengakui bahawa dia menipu saya mengenai kanser otak itu. Dan saya tidak menghubunginya lagi semenjak itu.

Namun begitu dia tidak berputus asa dan seringkali menghantar bunga ke rumah melalui surprise delivery dan meminta rakan baik saya membantu.

Saya menerimanya dengan baik dan mengenang kebaikan dia pada saya suatu ketika dahulu dan kami berkawan seperti biasa.

Pada tahun 2017, dia mengajak saya bertunang dan saya bersetuju. Namun begitu benarlah orang kata ujian bertunang tu sangatlah hebat.

Kami bertengkar atas perkara kecil dan saya mendapat tahu dia membuang cincin tunang dan merisik serta barang hantaran yang telah saya beli di tepi jalan. Saya kecewa dan tidak ingin meneruskan pertunangan tersebut.

Namun setelah itu dia menangis dan memujuk saya untuk bertunang dan akan membelikan cincin yang lagi bagus supaya saya setuju dan memaafkan dia. Kami bertunang pada ujung 2017.

Pada hari pertunangan ibunya telah menyindir saya tetapi saya abaikan dan tidak menyimpan dalam hati. (Saya tidak pasti sengaja atau tidak).

Pada fasa pertunangan kami seringkali bertengkar sehingga dia memberitahu saya bahawa dia ingin memutuskan pertunangan. Saya memujuk nya untuk tidak memutuskan pertunangan kami. Namun begitu kami masih lagi bertengkar sehingga tiba hari pernikahan kami.

Saya amat gembira dan tidak sabar untuk menerima keluarga baru dan mempunyai suami yang akan menyayangi saya, menjaga saya dan melindungi saya.

Saya amat menyayangi hubungan kami kerana bagi saya dia seorang lelaki yang baik walaupun dia pernah menipu saya tapi dia tidak pernah curang. Dia juga seorang yang setia dan pemurah.

Pada minggu pertama perkahwinan, kami bertengkar lagi dan dia membahasakan dirinya aku dan saya sebagai kau. Saya sangat sedih kerana saya juga ingin bahagia seperti pasangan pengantin baru yang lain.

Pada ketika itu kami dalam perjalanan pulang ke kampung keluarganya di utara. Dia meminta maaf dan memujuk saya. Kami hidup seperti biasa.

2 bulan setelah berkahwin, saya mengandung tetapi malangnya saya tidak menyedari akan kehadiran janin dalam rahim dan saya keguguran. Beberapa bulan selepas itu perkara yang sama juga terjadi. Saya menyalahkan diri kerana tidak alert tentang itu.

Tambahan pula saya tertekan kerana seringkali bergaduh dan sibuk dengan kerja. Suami juga tidak membantu saya mengangkat barang2 berat dan hanya membiarkan saya mengangkat barang2 berat tersebut.

Saya tertekan dan membenci diri saya sehingga merasakan ingin menamatkan kehidupan saya.

Pada tahun pertama perkahwinan juga, dia seringkali mengugut saya dengan talak seolah olah talak itu hanyalah mainan. Saya diceraikan didalam kereta.

Pada ketika itu saya mengadu padanya bahawa keluarganya tidak menyukai saya dan kakak nya seringkali menyindir dan perli serta menyalahkan saya atas perkara yang tidak saya lakukan dan dia sendiri sedar akan perkara itu tapi tetap menyebelahi keluarganya dan membuang saya.

Kakaknya juga ada post status memerli dan menyindir saya di facebook (Kakak ipar seorang surirumah). Saya tidak tahu apa dosa saya.

Saya sering merasakan bahawa kakaknya dengki dan tidak menyukai saya dan mempengaruhi biras dan mak mertua saya untuk turut tidak menyukai saya.

Ibu mertua juga selalu membandingkan antara saya dan biras dengan mengatakan gaji biras lagi besar padahal mereka tidak tahu gaji saya berapa.

Biras pula seolah olah ingin berlumba dengan saya dan kuat membodek keluarga mertua dan hanya ingin berbual dengan keluarga mertua sahaja. Saya dipulaukan.

Saya sangat sedih kerana saya mengharapkan perkahwinan ini boleh memberi kebahagiaan kepada saya sebagai ganti kepada kesedihan yang saya lalui disebabkan ayah berkahwin lain menyebabkan saya tidak mendapat kasih sayang seorang ayah.

Namun perkahwinan ini menambahkan kesedihan dan kekecewaan yang mendalam dalam diri saya.

Saya sangat kecewa dan sedih diceraikan suami hanya kerana saya mengadu padanya saya terasa dengan keluarganya.

Saya tidak meminta dia untuk membenci keluarganya, malah saya seringkali menghulurkan duit untuk mereka dan tidak pernah melayan mereka dengan tidak baik walaupun saya terasa hati dengan mereka.

Saya juga seringkali membayar minyak dan tol untuk kami pulang ke kampung suami kerana mereka ingin buat gathering walaupun pada ketika itu suami tidak mempunyai wang.

Saya cuma ingin suami ada dengan saya dan memahami saya. Saya tidak pernah meminta wang, hadiah, barang kemas atau apa2 sebab saya tahu tahap kemampuan dia dan saya bukanlah seorg yang suka meminta minta.

Bagi nafkah RM100 pun saya terima sebab saya juga mempunyai wang sendiri dan bekerjaya.

Malah ketika kami di tempoh pengajian dulu, kami seringkali berkongsi nasi bujang kerana tiada duit dan membayar dengan duit syiling. Saya tidak memandang harta dan saya menerimanya seadanya dia.

Saya cuma perlukan kasih sayang dan perhatian suami. Saya tidak dapat menggambarkan kesedihan hati. Saya merasakan dunia ini tidak lagi bermakna.

Saya diceraikan di luar mahkamah. Saya amat kecewa dengan suami dan perkahwinan kami. Pada keesokan hari selepas dia menceraikan saya, dia meminta maaf dan ingin rujuk kembali.

Saya menerimanya bersama airmata yang mengalir deras di pipi. Kami hidup seperti biasa dan beberapa bulan kemudian kami bertengkar dan dia mengugut saya dengan talak.

Namun begitu pada ketika itu hati saya kosong dan saya tidak menghiraukan taklik yang dilafazkan kepada saya dan saya tidak melanggarnya.

Saya masuk ke dalam bilik, tiada riak sedih di wajah tetapi air mata laju mengalir di pipi.

Saya merasakan hidup saya tak berguna lagi dan saya tidak tahu mengapa Allah jodohkan kami bersama kerana saya sudah melupakan dia dahulu dan meminta supaya Allah tidak menjodohkan kami berdua.

Tetapi siapa lah saya untuk menidakkan ketentuan Allah. Saya menerima dan bersyukur atas pemberian Allah ini walaupun hati saya sangat kecewa dengan perkahwinan kami.

Suami berubah setelah berkahwin, dia tidak lagi menyayangi saya dan seringkali berusaha untuk membuang saya dari hidupnya. Saya tidak tahu kenapa dia meminta saya menerimanya kembali lalu ingin membuang saya untuk kesekian kalinya.

Saya merasakan dia berdendam dan berkahwin hanya untuk membalas dendam terhadap saya yang dulu memutuskan hubungan kami. Saya memintanya untuk melepaskan saya dengan baik sekiranya dia tidak lagi menganggap saya isteri.

Suami juga pernah bertanya kepada saya kenapa takut akan perceraian? (lidah terus kelu)

Namun belum pun sempat kami menyelesaikan masalah kami, dia telah pergi ke negara luar mengikuti latihan kerja yang diaturkan oleh syarikat tanpa berbincang dengan saya.

Kontraknya setahun iaitu pada tahun ini. Saya meneruskan kehidupan dengan hati yang tertekan, kecewa, sedih, dan macam2 lagi yang tidak dapat digambarkan melalui kata2.

Saya ada mengadu pada keluarga mertua bahawa anaknya tidak menjalankan tanggungjawab dan seringkali menjadikan talak sebagai mainan. Tetapi keluarga mertua tidak mempercayai dan mengatakan saya yang meminta diceraikan.

Semenjak dia pergi dia langsung tidak menghubungi saya apatah lagi menanyakan khabar saya.

Sehingga satu hari saya kemalangan. Saya memberitahu dia melalui whatsapp (saya call dia tak angkat) tetapi dia tidak menghiraukan saya. Mungkin kerana dia fikir saya cuma mereka reka cerita.

Nasib saya baik kerana saya tidak luka cuma kereta kena baiki saya pula cuma terhantuk kepala di stereng. Dan Allah permudahkan urusan saya, lelaki yang melanggar saya itu membayar ganti rugi tanpa banyak soal.

Saya menanyakan suami apa harus saya lakukan dan bengkel mana yang ok memandangkan saya tidak pernah mengalami perkara itu dan tidak tahu mengenai kereta.

Keluarga pula jauh. Dia cuma memberitahu saya supaya pergi ke banyak bengkel dan pilih yang paling murah. Saya tidak berpuas hati dengan jawapannya yang sambil lewa tersebut. Saya mengharapkan dia menghubungi kawan kawannya untuk membantu saya.

Dan dia langsung tidak menanyakan khabar saya. Saya meminta kawan lelaki membantu saya untuk membawa kereta tersebut ke bengkel yang dia tahu. Saya takut ditipu oleh itu saya ajak kawan lelaki teman. Dan suami menyalahkan saya dan mengatakan saya curang.

Dia tidak menghubungi saya dan mengabaikan tanggungjawab nya sebagai seorang suami. Dia tidak menanyakan khabar dan mengabaikan perasaan saya selama hampir setahun.

Sebelum MCO, saya ada pergi ke negara tempat dia menjalani latihan kerja, namun saya telah dihalau ketika kami bertengkar.

Dan saya keluar setelah dihalau namun dia mencari saya setelah sejam saya keluar dari rumah dan menengking saya dan mengarah saya supaya masuk ke rumah. Setelah itu dia menangis dan meminta maaf kepada saya. Keesokannya saya pulang ke malaysia dgn hati yang hancur.

Sehingga ke hari ini dia tidak menanyakan khabar dan tidak menghubungi saya. Saya tidak faham dia tidak membenarkan saya keluar dan contact dengan sesiapa kecuali kawan perempuan tetapi dalam masa yang sama dia abaikan saya dan tidak menanyakan khabar.

Setiap hari saya menangis, saya tertekan dan kecewa dengan perkahwinan kami yang baru memasuki usia 2 tahun ini. Dia juga tidak menghubungi saya pada hari jadi saya dan juga ulangtahun perkahwinan kami.

Dia juga telah remove gambar perkahwinan kami di dp whatsapp. Dia juga telah deactivate akaun instagram perkahwinan kami dan membuat akaun instagram yang lain (gambar bersama kawan2 di negara itu) dan memesan pada kawan kawannya supaya tidak memberitahu saya.

Saya beranggapan bahawa suami tidak menjaga maruah saya sebagai seorang isteri.

Saya tidak pasti apa motif dan tujuan dia. Saya tidak tahu kenapa dia membuang saya semudah itu padahal dia sangat susah untuk mendapatkan saya kembali dulu.

Saya juga tidak tahu mengapa dia membohongi keluarganya dengan mengatakan bahawa dia menelefon saya setiap hari padahal dia tidak pernah menelefon saya dan setiap hari video call dengan keluarga dia.

Saya sangat terasa kerana sewaktu saya di negara tersebut, suami ada video call dengan keluarganya dan mereka menganggap saya seperti tidak wujud dan langsung tidak menanyakan mengenai saya.

Saya juga tidak faham kenapa suami mengatakan bahawa sekiranya ada masalah perbaiki bukan keruhkan tetapi dia tidak berusaha untuk berbincang dan selalu lari dari masalah.

Setiap kali saya mengajaknya untuk berbincang, dia akan meminta saya rehat sebab dia cakap saya penat dan nanti nantilah bincang.

Tapi tahun berlalu masalah tidak pernah selesai dan dia selalu lari dari masalah dengan mendiamkan diri dan tidak berusaha untuk berhubung dengan saya.

Dia juga pernah keluar dari rumah selama seminggu selepas kami bertengkar dan sehingga sekarang saya tidak tahu dia pergi ke mana (ketika itu). Dia telah membuang saya dari hidupnya dan berubah setelah berkahwin.

Saya ada bertahajud memohon pertolongan dari Allah, saya merasakan sangat menyayangi perkahwinan ini dan saya juga telah berjumpa ustaz kerana seringkali bertengkar atas perkara kecil. Ustaz memberitahu bahawa saya terkena gangguan dan ustaz telahpun membuangnya.

Saya pernah mengatakan kepada suami ketika bertengkar, ‘Kalau manusia tak boleh jaga dia, aku boleh’. Dan selepas itu saya mati akal kerana ayat itu keluar dari mulut saya sedangkan saya tak pernah nak cakap macam tu.

Saya juga masih ingat sampai sekarang, saya ada makan di satu kedai tepi jalan bersama suami selepas berkahwin.

Pada ketika itu saya makan mee goreng basah, waktu tengah makan tu saya boleh terbayang saya tengah makan ulat tapi saya rasa mungkin perasaan saya sahaja dan saya makan dengan penuh selera sebab teringin nak makan mee goreng basah waktu tu. Suami pula makan nasi goreng kampung.

Malam tu saya terjaga dalam pukul 1-3 pagi (tak ingat) sebab muntah dan saya muntah mee goreng tu sebijik macam saya makan (tak hancur) sedangkan bila kita makan mestila hancur sebab kita kunyah (Tapi suami tak syak apa2) Dan saya abaikan tapi masih teringat sampai sekarang.

Saya tengok kedai tu dh tutup. Saya selalu juga mimpi mengandung, mimpi baby, kena kejar hantu la banyak la. Minggu first kahwin saya mimpi suami curang 2 malam berturut turut mimpi sama.

Saya juga pernah mengadu pada suami saya ada nampak kelibat dalam rumah dekat dapur dan suami cakap tu cuma perasaan saya dan saya abaikan.

Saya juga pernah terjaga waktu 3 pagi pergi toilet dan saya tengok cermin, saya tengok saya yang dalam cermin tu tengah merenung tajam kat mata saya dan saya terus berdebar dan meremang.

Waktu tu suami kerja malam, saya tak dapat tidur dan buka yasin sampai suami balik. Saya buntu dan amat tertekan dengan kehidupan saya. Saya banyak kali terfikir untuk membunuh diri tapi saya sangat sayangkan perkahwinan kami dan keluarga saya.

Saya tidak punya ramai kawan dan saya tidak boleh bersedih di hadapan kawan kerana kawan mengenali saya sebagai happy go lucky person.

Saya sedih dengan suami yang abaikan saya dan membuang saya demi keluarga tetapi saya amat sayangkan perkahwinan kami dan sehingga sekarang hati saya sentiasa mengatakan suami ikhlas dan menyayangi saya cuma mungkin tersalah langkah dan ego. Saya juga mempunyai kekurangan.

Setelah berkahwin saya jadi seorg yang pemarah sehinggakan saya meminta suami untuk membunuh saya. Saya buntu dan amat kecewa dengan kehidupan. Saya ada cuba untuk berjumpa pskitri tetapi appointment saya telah ditangguh oleh kerana covid yang naik mendadak.

Doakan saya kuat dan tabah. Saya masih cuba untuk redha akan keguguran saya yang lepas. Saya sedih sebab keluarga mertua seakan tidak mempercayai akan keguguran tersebut seolah olah saya mereka reka cerita bahawa saya mengandung.

Saya sangat tertekan. Keluarga saya pula menyayangi suami dan tidak ingin masuk campur urusan rumah tangga saya. Saya sangat sedih kerana ayah menyuruh suami bersabar dengan saya seolah olah saya yang bermasalah.

Dan suami mengatakan saya yang bermasalah sebab ayah saya sendiri yang memintanya bersabar dengan anaknya. Ayah juga tidak mampu untuk memberi nasihat kerana dia juga membuat salah pada ibu dengan berpoligami diluar pengetahuan ibu (tidak dapat menjadi contoh).

Ibu juga tertekan dengan keadaan itu walaupun ayah sudah lama berkahwin, ibu seringkali menghubungi saya untuk meluahkan ketidakpuasan hatinya dan masalah yang dihadapinya, jiwa saya memberontak dan semakin tertekan kerana tiada yang memahami saya.

Tiada yang cuba untuk membantu saya malah hanya menghubungi untuk menceritakan masalah mereka sahaja. Kakak dan abang pula tidak membantu saya, mereka sibuk dgn keluarga mereka manakala adik masih belajar dan ibu menanggung perbelanjaan mereka dibantu oleh saya apabila perlu.

Tujuan saya menaip di ruangan ini adalah kerana saya ingin meluahkan rasa hati, saya tiada siapa2 untuk berkongsi dan tiada siapa yang sudi mendengar rintihan hati saya selain Allah. Saya juga manusia biasa, tidak sempurna.

Maafkan saya kerana saya tidak pandai mengarang ayat. Saya ingin meminta doa orang ramai supaya Allah permudahkan urusan kehidupan saya dan kurnia kan kami anak2 yang soleh dan solehah.

Saya sangat ingin menjadi ibu dan semoga hubungan kami bertambah erat dan keluarga mertua menyayangi saya. Saya redha dengan keguguran lalu.

Saya mohon doa kalian supaya Allah menggantikan sesuatu yang lebih baik lagi. Saya akan cuba menjadi hamba Allah yang baik. Saya nak masuk syurga Allah. Maafkan saya. Assalamualaikum.

Insan malang,

– Mira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *