Assalamualaikum semua pembaca IIUM Confession. Aku nak cerita situasi aku sekarang ni sebab kadang aku keliru dengan apa masalah aku sebenarnya.
Jadi aku mohon kata-kata/nasihat yang positif dari semua disebabkan aku susah nak cerita masalah aku pada orang, jadi selalu aku sedaya upaya bertahan, simpan sorang.
Insecurity yes. Tu masalah utama aku. Sini aku ceritakan masalah yang buat aku sendiri celaru keadaan aku.
1. Pengajian
Aku banyak dikawal oleh ayah dari kecil sampai besar, dari apa yang aku nak belajar, apa yang patut aku belajar, jurusan, semua dia yang tentukan.
Kalau aku buat keputusan sendiri, alamatnya ayah bermasam muka tak bercakap dengan aku.
Jadi pengajian yang aku habiskan ni bukan lah atas minat aku, hasilnya, keputusan yang tak seberapa.
Bila jadi macam ni, aku selalu bandingkan diri aku denga n orang lain. Bukan setakat aku, ayah, mak selalu bandingkan aku dengan sepupu yang jauh lebih baik.
Dekat sini self esteem aku dah merudum. Tapi bila ditanya oleh kawan dengan yang lain, aku OK ke? Mestila OK. Keep smile.
2. Pekerjaan
Disebabkan pengajian aku keputusan tak berapa baik, pekerjaan sekrang bukan lah di posisi yang setaraf pengajian aku.
Bagi aku tak apa sebab aku cuba mula ambil pengalaman dari bawah. Itu lah yang aku kata pada diri bila ada yang asyik membanding pekerjaan aku dengan orang lain yang sama kelulusan.
Mak ayah aku pun suka bercerita sepupu sedara lain yang lebih elok dan stabil pekerjaan dia. Dekat sini jauh di sudut hati aku rasa mungkin diorang kecewa.
Bila kenduri, ya, soalan yang ditanya kerja apa, pasti mak ayah aku kata aku kerja bukan dalam bidang.
Kadang macam tak mahu menjawab. Self esteem aku merudum lagi. Tapi bila ditanya, OK ke, mestilah OK jawapan aku. Keep smile :)
3. Kewangan
Pekerjaan dengan gaji yang tak seberapa, aku cuba buat kerja lebih masa. Untuk cari duit lebih. Aku duduk jauh dari mak ayah.
Pada mak ayah, aku kerja macam orang lain, kadang mampu kirim mak ayah duit. Cuma hakikatnya kadang kalau gaji sikit, aku catu makan, cuba tak kacau simpanan.
Bila mak ayah tanya, ok ke, mesti la OK jawapan aku. Tak pernah tak OK walaupun lepas letak call, nangis tak berlagu. Kenang apa lah teruknya aku.
Tapi depan mak ayah adik aku tetap kena bagi taw yang aku kuat, supaya adik tak ikut jajak langkah teruk ni. Jadi diorang tak pernah tahu apa masalah aku.
4. Jodoh
Disebabkan no 2 no 3, aku pernah direject oleh beberapa orang. Suka pada aku, tapi bukan pekerjaan kuli aku, suka pada aku, tapi bukan pada teruknya berjimat dan murahnya barangan aku (tak up to date).
Aku niat dalam hati lepas tu tak mahu cari jodoh selagi tak capai pekerjaan & kewangan yang baik.
Umur hampir 30, tak juga dapat dua-dua tu. Datang seseorang, yang yang boleh terima pekerjaan aku yang rendah, kewangan tak stabil.
Buat aku jadi ragu-ragu bolehkah dia betul-betul terima aku. Aku tak pernah cerita masalah aku, tahan lapar pendam, bila ditanya OK, sedih OK, marah OK.
Mungkin bagi dia sebab aku OK dia pun OK. Dia pula stabil berbanding aku daripada no 1-3.
Buat aku jadi takut aku ni beban pada dia. Keluar dengan dia aku perhati brandednya barangan dan perbelanjaan dia. Jadi terlalu rendah diri. Pada aku pula lebih suka sederhana, semurah-murahnya.
Dia gelakkan aku tu perkara biasa. Nak terima dia pun aku ragu-ragu, aku tak sempurna serba-serbi. Memang semua tak sempurna, tapi paling tak sempurna tu aku.
Dari no 1-4 ni lah yang buat aku terlalu rendah diri. Di samping aku mengharapkan orang yang aku sayang beri kata semangat pada aku termasuk diri aku sendiri,
Mereka pula yang jadikan aku bahan ketawa, bahan perbandingan yang tak elok untuk dicontohi.
Direndah-rendahkan. Ya aku tak capai apa-apa langsung pada usia hampir 30 ni. Masih sama, tidak stabil kewangan, tidak stabil pekerjaan.
Aku cuba pujuk diri sendiri, tak apa, slow-slow, tapi kadang diri aku juga yang menghentam aku balik.
Kadang keliru apa masalah aku, sorang-sorang terkenang nasib diri, aku nangis, lepas nangis aku keluar sembang dengan orang. Macam biasa, aku OK saja. Bila sorang aku nangis balik.
Apa masalah aku sebenarnya? Susah aku nak bercerita pada orang sebab takut direndahkan lagi
– Amani (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit