Ini pengalamanku sewaktu menjadi Pegawai Penyelidik Intern di FRIM, dua tahun yang lalu. Moga perkongsian ini bermanfaat untuk semua, kalau tak banyak, sedikit pun jadi.
Kursusku di UIA mewajibkan pelajarnya melengkapkan sesi latihan industri selama 3 bulan di akhir tahun ke-3 pengajian.
Maka, sebelum bermula semester ke-2, tahun ke-3, aku telah mempergiat usaha untuk mencari tawaran-tawaran seumpamanya, baik dalam sektor kerajaan mahupun swasta.
Ini kerana aku amat cerewet dalam pemilihan tempat latihanku ini. Tidak mahu tangkap muat sahaja. Hanya mahu yang terbaik.
Seperti aku, tempat latihan yang ku mohon juga begitu. Tidak kurang daripada 10 tempat yang ku mohon, hanya FRIM (Forest Research Institute Malaysia) dan NAHRIM (National Hydraulic Research Institute of Malaysia) yang sudi menerimaku.
Ada juga yang langsung tidak membalas permohonanku. Apabila aku hubungi untuk follow up, ini jawabnya,
“Kalau permohonan encik berjaya, kami akan hubungi semula dalam tempoh 14 hari berkerja”
Sejujurnya, FRIM bukanlah pilihan pertamaku. Sebab utama aku memilih FRIM kerana lokasinya terletak hanya 10 minit drive dari rumah keluargaku berbanding ke NAHRIM yang memerlukan 30 minit jika trafik lancar.
Sedari hari pertama aku report duty di pejabat sumber manusia di sini, aku dapat rasakan aku telah membuat pilihan yang tepat. Aku amat kagum dengan fasiliti penyelidikan di sini yang sempurna terletak di celah-celah rimbunan pokok-pokok hutan buatan ini.
Kalau nak digambarkan, macam scene dalam filem Hollywood, ada makmal di tengah hutan. Cuma bezanya tiada saintis gila yang bersembunyi cuba hasilkan superhuman di sini.
Aku ditempatkan di Makmal Biologi, Bahagian Hasilan Semulajadi. Dua orang pegawai penyelidik telah dipertanggungjawab untuk membimbing dan menyelia kerja-kerjaku sepanjang tempoh latihanku di sini.
Salah seorang daripadanya adalah Pegawai Penyelidik Kanan di FRIM yang cukup terkenal dalam bab dokumentasi dan penyelidikan tumbuhan ubatan (medicinal plants) yang diamalkan secara tradisional dalam kalangan orang Melayu dan Orang Asli.
Minggu pertama aku di sini, kemeriahan sambutan Aidilfitri masih terasa walaupun sudah di penghujung Syawal. Tiada yang lebih seronok melainkan jamuaan raya semasa lunch break.
Daripada jamuan jabatan sampailah yang paling grand, peringkat FRIM. Hari-hari makan lemang dengan rendang ayam pun tak apa, aku tak akan pernah jemu.
Aku juga telah diserap masuk ke pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama-sama dengan beberapa pegawai penyelidik dan penolong pegawai penyelidik yang lain. Semuanya berkelulusan Doktor Falsafah dan Sarjana.
Allah sahaja yang tahu waktu itu, betapa aku rasa kerdil, sampai malu nak berkomunikasi dengan pegawai-pegawai yang lain. Tidak lama untuk pegawai yang menjagaku menyedari akan hal ini lantas dia menasihatiku,
“Dalam kerja berpasukan, kunci utama adalah komunikasi yang berjaya”
Aku angguk tanda setuju.
“Dalam hal ini, kita sama-sama belajar. Kalau tak tahu, jangan malu bertanya”, tambahnya lagi.
Misi kami adalah untuk mencari alternatif yang lebih baik kepada ubat panas badan (antipyretic drugs) yang berada di pasaran.
Menerusi data kajian in-vitro (ujian tabung uji) terdahulu, ekstrak tumbuhan ubatan yang berpotensi diteruskan pula denga kajian in-vivo untuk menganalisa reaksinya dalam tubuh haiwan pula.
Fasa ini dinamakan kajian pra-klinikal bagi menentukan keselamatan dan keberkesanan sebelum digunakan kepada manusia.
“Kamu pernah handle tikus?”, pegawaiku bertanya.
“Tikus kecil (mice) atau tikus yang besar (rats)?”, aku balas dengan soalan untuk mendapatkan kepastian daripadanya.
“Wistar rats”, jawabnya tersengih.
Aku hanya mampu tersenyum. Macam-macam benda bermain dalam fikiran aku waktu itu. Sampai lupa yang aku belum jawab lagi soalan dia.
“Pagi esok ada delivery daripada Prima Nexus. Empat puluh ekor in total. Kamu standby di Animal House pakai baju sukan siap-siap”.
“Jangan risau, kita buat bersama-sama”, tambahnya lagi seakan-akan boleh membaca fikiranku.
Sedari mula aku dibimbing dan diasuh seperti aku yang paling istimewa. Aku rasa sangat dihargai sekalipun aku hanyalah yang menurut perintah.
Setiap kali ada cabaran atau halangan pada beberapa ketika sepanjang ujian in-vivo ini berjalan, keputusan mesti melibatkan semua, aku tak terkecuali.
Sehinggakan di akhir kajian, aku diberikan penghormatan dan kepercayaan untuk membentangkan dapatan kajian yang diperoleh kepada Pengarah Bahagian Hasilan Semulajadi.
Aku akhirnya sedar, tempat aku memang di sini. Aku mahukan suasana kerja seperti ini, rakan sekerja yang sama macam di sini dan tempat ini yang mendamaikan dalam kehijauan.
Selain itu, sudah menjadi kebiasaan aku sepanjang tempoh latihan di sini, menunggu waktu Zuhur di Masjid FRIM sebelum makan di kafetaria yang terletak bersebelahan.
Senibina masjid itu cukup sederhana, berteraskan kayu dengan siling tinggi berseri dengan limpahan pengcahayaan semulajadi sang suria menembusi dinding kaca yang menjadi bingkai pemandangan hijau di sekelilingnya.
Tenang, damai dan cukup sempurna. Sungguh, aku paling rindu yang ini.
Suatu hari, langkahku untuk ke masjid terhenti. Ada beberapa pasang mata yang memerhati aku dari celah-celah pokok di laluan pintas ke masjid.
“Moooo”
Hampir sahaja aku menjerit dek terperanjat. Mujurlah lembu-lembu itu sudah ditambat kemas pada batang-batang pokok.
Lembu untuk dijadikan korban sempena sambutan Aidiladha yang dah tak lama lagi. Petanda yang masa untuk aku di sini pun semakin di penghujung. Sungguh berat rasa hati ini.
Sepanjang tempoh latihanku di FRIM, aku tidak perlu menghadap traffic jam. Waktu berkerja pula antara 8am hingga 5pm daripada Isnin sampai Jumaat sahaja. Cuma, tiada elaun yang ditawarkan pada waktu itu.
Walau bagaimanapun, aku rasa bersyukur kerana Allah telah mempermudah segala urusanku sepanjang tempoh latihanku di sini. Aku berdoa semoga ada rezeki lagi untuk aku kembali untuk menyumbang bakti di FRIM. Hari-hari.
Sekian coretan daripada aku yang beruntung dapat intern di FRIM.
– Aku yang beruntung (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Ā https://iiumc.com/submit