Aku tahu ada di sini yang sangat baik dengan ipar dan ada juga yang tidak ‘ngam’ dengan ipar.
Kisah aku dengan ipar agak melemaskan jiwa. Daripada awal berkahwin sehinggalah sekarang hampir 10 tahun berkahwin, ada-ada saja ‘peel’ ipar aku ni.
Pada mulanya aku hanya melayan/mengikut sahaja kerenahnya. Tapi lama-kelamaan aku menjadi serabut dan semak dengan kerenah dia.
Sepanjang hampir 10 tahun menjadi ipar, aku melihat dia seorang yang sangat suka meminta dan mengharapkan bantuan daripada keluarga mentua.
Dia seorang yang tidak pandai berdikari dan tidak pandai mengurus serta menyelesaikan masalah hidup dia sendiri.
Setiap kali datang perkara atau masalah pasti aku dan pasangan akan menjadi mangsa tempat untuk dia melepaskan segala permasalahan kerana dia beranggapan kami ‘mampu’ untuk selesaikan.
Tapi yang selalu menjadi mangsa adalah ibu dan bapa mentua.
Sejak berkahwin rumah yang dia dan pasangan duduki adalah rumah yang dibeli mentua.
Mereka tidak perlu membayar apa-apa pun dan ketika memasuki rumah tersebut segala perabot dan kelengkapan rumah sudah ada.
Selepas mereka mempunyai anak, aku lihat mereka seolah-olah tidak ada perancangan dalam membesarkan anak.
Banyak perkara dari segi kewangan terutamanya dibantu oleh ibu bapa mentua.
Sehinggakan pendaftaran sekolah anak pun seolah tiada duit simpanan langsung. Itu belum lagi duit yang dipinjam daripada aku dan pasangan.
Yang selalu menjadi mangsa apabila ada ‘emergency’ adalah aku dan pasangan.
Kami juga mempunyai anak namun tidak pernah sekali pun mengharap bantuan duit apatah lagi menyusahkan ibu bapa mentua.
Tidak salah meminta bantuan daripada keluarga jika benar-benar susah, tetapi realitinya hidup bersenang-lenang. Boleh pergi bercuti sana-sini, kerap makan di luar, berhibur, online shopping.
Namun bila ada perbelanjaan yang lebih penting, terus seolah-olah tidak mampu dan tiada duit.
Seperti langsung tiada simpanan untuk masa depan. Tukar kereta besar ada duit, beli motor baru ada duit, tapi untuk perkara yang lebih penting terus tiada duit.
Belum lagi dengan perangai meminjam dan meminta benda-benda lain.
Sehingga aku dan pasangan bertengkar kerana ipar selalu meminjam wang dan meminta tolong itu dan ini. Ditambah pula selepas ini mereka bakal menimang lagi cahaya mata yang keempat.
Yang teruk menjadi mangsa nanti ibu bapa mentua akulah. Mereka terpaksa menguruskan itu dan ini seperti sebelum-sebelum ini.
Aku kasihan melihat mereka keletihan sebenarya. Umur masing-masing pun sudah mencecah 70 lebih.
Aku dan pasangan hanya bantu sekadar yang mampu kerana kami juga mempunyai komitmen dan tanggungjawab masing-masing.
Nak ditegur takut mendatangkan pergaduhan kerana ipar aku pernah bergaduh dengan ipar yang lain sebelum ini.
Apa yang berlaku dalam kehidupan mereka membuatkan aku belajar betapa pentingnya ilmu perkahwinan. Betapa pentingnya perancangan kewangan dan simpanan. Betapa pentingnya ilmu parenting.
Kerana sesetengah orang mengambil mudah perkara-perkara tersebut sedangkan itu adalah tanggungjawab dan amanah. Jika semua itu diabaikan, maka kegagalan dan kerugian yang menanti.
Aku ni sebenarnya tengah stress sambil menulis kerana ipar aku baru saja meminta bantuan yang aku sendiri tak tahu sama ada aku mampu untuk bantu atau tidak. Mental health aku juga perlu dijaga.
Tapi aku tahu, jika tidak dibantu pasti ada ‘drama’ baru yang akan muncul dan ibu bapa mentua akulah yang bakal menjadi mangsa.
Doakan mental aku kuat melayan kerenah ipar yang satu ini.
– Anggun (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit