Islam Bermula Dalam Keadaan Asing & Akan Kembali Asing

Bahawa hadith “Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali asing sebagaimana ia bermula” adalah khabar benar daripada Rasulullah SAW yang menggambarkan hakikat kitaran sejarah umat Islam.

Pada awalnya, Islam bermula dengan bilangan pengikut yang sangat sedikit dan dianggap asing di tengah masyarakat yang mendustakan dan memusuhi kebenaran.

Kemudian, Allah SWT menzahirkan agama ini, memberikan kekuatan kepada pengikutnya, dan menyebarkannya ke seluruh dunia.

Namun, keadaan itu tidak kekal. Apabila umat Islam mula lalai daripada ajaran agama mereka, berpaling daripada al-Quran dan Sunnah, serta tenggelam dalam kecintaan kepada dunia, maka Islam kembali asing

– Bukan kerana jumlah umatnya sedikit, tetapi kerana sedikitnya yang benar-benar memperjuangkan agama ini dengan ilmu, kefahaman dan pengorbanan.

Hadith ini juga mengandungi peringatan dan juga harapan. Ia mengingatkan kita bahawa Islam akan kembali menjadi asing di akhir zaman, bukan kerana umat Islam sedikit dari segi bilangan, tetapi kerana semakin sedikit yang benar-benar menegakkan agama ini secara menyeluruh.

Namun begitu, hadith ini juga membawa khabar gembira bahawa sebagaimana Islam pernah bangkit dari fasa asing, ia akan bangkit kembali dengan izin Allah.

Orang-orang yang asing dalam hadith ini adalah golongan yang tetap berpegang dengan agama Allah ketika majoriti manusia meninggalkannya.

Mereka tetap menegakkan sunnah Rasulullah SAW di saat ramai yang mengabaikannya. Mereka menanggung kesukaran, ditolak dan diperlekehkan, tetapi tetap sabar dan teguh. Maka bagi merekalah ganjaran “Tuba” yang ditafsirkan sebagai pohon di syurga atau syurga itu sendiri.

Akhirnya, hadith ini bukan sahaja satu bentuk peringatan, tetapi juga membawa khabar gembira – bahawa setelah keasingan yang kedua ini, akan datang pula zaman kemenangan dan kemuliaan Islam semula.

Ia selari dengan hadith-hadith yang menyebut tentang kemunculan al-Mahdi dan turunnya Nabi Isa A.S. pada akhir zaman, yang akan membawa kepada tersebarnya kebenaran dan hancurnya kekufuran.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

– Sumud Flotilla (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *