Isteri & Aku & Kekurangan

Assalamualaikum, mungkin ada yang pernah dengar perkataan capik atau mungkin pernah menonton rancang si capik.

Aku ada kawan sekolah nama Aida, di sebabkan kemalangan kaki Aida bermasalah. Jadi dia tak boleh jalan secara normal. Dari umur dia 9 tahun Aida dah tak dapat jalan secara normal.

Aku masuk tingkatan 1, satu kelas dengan Aida. Aku sebenarnya tak asing dengan “Capik” sebab arwah atuk aku pun dia ada masalah bahagian kaki dan berjalan serupa macam Aida.

Masuk tingkat 1, jadi mula lah orang bergossip cakap itu budak Capik. Sekali aku tengok nampak Aida jalan nak masuk ke dalam kelas. Kelas kami tingkat 3, jadi sebenarnya bila aku tengok Aida naik tangga tu tengok dari jauh dah tahu penat.

Hari pertama jadi korang tahu lah kan, sesi kenal diri. Aku kenalkan diri macam biasa, sampai turn Aida cikgu punya tanya punca kaki dia.

Aida pun dengan tenang dia explain sebab accident.

Hari pertama semua agak malu sikit, aku pun kurang bercakap. Dah masuk minggu ke dua, ke tiga baru kelas dah rancak. Bila ujian pertama ni keluar result Aida nombor satu. Baru semua ramai puji Aida, sepanjang tingkatan 1 tu, aku dengan Aida mungkin 2-3 bercakap.

Masuk tingkatan 2, satu kelas juga. Tapi kali aku dengan Aida banyak sikit bercakap sebab duduk meja dekat saja, selalu aku pinjam pen, kiranya tingkatan 2 tu memang aku banyak pinjam Aida dari pen, kerja sekolah, buku teks.

Tingkatan 3, juga satu kelas. Tapi kalini Aida jadi penolong dan aku jadi ketua kelas. Rasanya tingkatan 3 baru banyak aku komunikasi dengan Aida, dari ambil buku, panggil cikgu, hal PJ lagi.

Sebelum ni aku jarang nampak orang kutuk Aida, jadi bila dah masuk tingkatan 3 tahukan sukan selalu bercampur dengan kelas lain. Jadi waktu sukan ni selalunya Aida memang akan duduk.

Tapi dekat padang ada juga yang saja tiru jalan capik macam Aida. Aida dari luar ketawa tapi aku rasa dalam hati mesti terasa. Aku ada juga tegur cakap tak baik korang ni.

Tingkatan 3 tu kira banyak benda aku tahu pasal Aida. Dari rumah dia dekat mana, balik siapa ambik, pergi tusyen dekat mana. Dalam masa sama aku banyak kali suruh Aida tolong ajar matematik.

Subjek lain aku tak ada masalah untuk A atau B. Matematik yang payah. Umur 15 tahun ni, kau dah nampak ramai kawan sekeliling kau dah ada pakwe/makwe aku sendiri pun sama teringit ada makwe.

Tingkatan 3 tu, yang aku boleh di katakan suka cuma dekat Aida. Aku siap tukar nombor telefon dengan dia kot nak acah acah nanti nak tanya kerja rumah dengan jadual senang. Tapi aku jarang juga sms dia, sebab mahal kot satu mesej 50 sen. Sebab celcom ke maxis.

Tingkatan 4, aku pilih subject perakaunan dan Aida pilih bahagian yang sama dan sekali lagi kami satu kelas. Tingkatan 4 ni tak ada apa sangat sebab banyak main. Lagipun Aida duduk meja jauh jadi aku kurang sikit bercakap dengan dia.

Tingkatan 5, satu kelas yang sama sebab perakaunan. Kali ni semua fokus termasuk aku, aku minta Aida ajar add math, sebab ferus sangat.

Add math aku ujian pertama dapat 5 saja, sampai kena tampar dengan cikgu. Aku waktu tu terperanjat tapi tahan saja air mata nak nangis.

Habis waktu last belajar, Aida tanya aku sakit lagi ke, Aku jawab sakit sambil ter-esak tahan air mata dalam kelas. Nasib ada aku dengan Aida saja waktu tu.

Padahal dalam kelas tu, aku bukan paling rendah. Yang rendah dapat 3 sahaja, dan ramai dalam 4-5 orang yang dapat sama markah dengan aku, tapi aku sorang yang kena tampar.

Aku pun sambil tu membebel dekat Aida, kenapa yang lain marah sama tapi tak kena tampar aku sorang sahaja yang kena tampar. Jadi Aida pun ajak aku bincang jawapan, sebab dia dapat 86. Aku pun dalam sejam tu pun belajar dengan Aida dekat library sekolah.

Esoknya, Aida bagitahu aku dia ajak datang rumah dia hari sabtu boleh belajar. Dia ajak 4-5 orang lain join sekali. Tapi hari sabtu yang datang aku sorang, yang lain semua alasan sibuk.

Aku pun salam mak dengan ayah Aida baru belajar dekat ruang tamu rumah dia. 4 jam dekat rumah Aida, aku belajar add math. Aida suruh aku belajar dari basic, aku pun mula dari awal. Banyak basic aku fail.

Jadi sepanjang tingkatan 5, aku belajar sebulan sekali dekat rumah Aida. Ada sekali ni, mak ayah dia ajak aku join diorang makan. Aku memang reject terus sebab malu, tapi ayah dia paksa cakap sekali sekala.

Aku pun ikut, rupanya diorang nak makan dekat luar. Aku yang dalam kereta ni memang rasa janggal. Pergi makan dekat kedai nasi ayam famous ni. Ayah Aida pun sambil tu sembang dengan aku tanya hal personal dan belajar semua.

Balik tu pula kena hantar sampai depan rumah, memang malu juga. Trial spm aku dapat 6 A 2 B 1 C add math aku dari F, membawa ke D dan sekarang C.

Aku pun memang all out sebab SPM makin dekat, Aida pun busy belajar. Waktu ni semua dalam kelas memang fokus bercakap pun jarang. Semua all out bahagian mana yang lemah.

Malam sebelum SPM aku sms Aida cakap goodluck semoga Aida menjawab dengan mudah. SPM pun bermula, habis SPM semua dah start dengan plan masing masing. Aku masa ni plan nak duduk rumah tidur sampai keluar result, zaman myspace dah habis masuk era Facebook.

Hampir setiap malam, aku dengan Aida ni PM dekat facebook.

Kadang tu aku keluar dengan Aida pergi main bowling, tengok wayang, pergi arcade. Keluar result SPM, Aida punya memang jelas straight A. Aku pula 6 A 3 B. Sedikit kecewa sebenarnya, aku mati mati yakin yang minimum aku dapat 7 A atau 8 A.

Jadi semua sibuk nak apply ipta itu semua. Aku tanya Aida dia nak belajar mana, katanya nak belajar dekat aku pula kalau boleh nak belajar jauh. Sambung belajar dan aku dengan Aida ni kurang berhubungan.

Tapi ada seminggu sekali hantar pm tanya sihat ke tidak, okay ke tidak university. Umur kami jejak 21 tahun. Korang ingat tak, dekat facebook dulu dia ada macam teka, kau kahwin umur berapa, lepastu check meter pasangan kau berapa percent sesuai ke tidak.

Aku pun main benda tu tanya umur aku berkahwin bila, jawapan dia 56 tahun dan post dekat wall Facebook. Aida nampak dia pun pm aku cakap lama lagi nak kahwin tu.

Aku pun tiba tiba tanya dia “habis Aida rasanya nak kahwin umur berapa” Aida cakap mungkin akan jadi Andartu. Aku pun ni secara spontan, aku tulis ” apa kata kalau umur kita umur nak 30 tapi tak kahwin lagi apa kata kita dua kahwin ”

Aida pun balas, betul ke sambil type “haha” dekat belakang. Aku pun jawab yang aku serious. Jadi dia pun cakap okay dah screenshot. Kalau umur dia 29 dan tak kahwin lagi nanti dia akan PM aku dan demand suruh kahwin dengan dia.

Pejam celik, masa memang berjalan pantas. Diploma dah habis, degree dah habis masuk pula alam kerjaya. Aku sebenarnya tak tahu kenapa, bila umur aku masuk 23 tahun aku tiba tiba jadi introvert.

Hal sosial dan outdoor activities memang totally 0. Aku lebih selesa dalam zone aku sendiri, kawan sekolah menengah? Aku pun dah lama tak jumpa. Setakat nampak post masing-masing dekat facebook.

Jadi umur aku 28 tahun waktu 2020. Kirany era covid-19. Awal tahun 2020 aku accident, nasib baik tak ada patah tangan dan kaki, cuma terseret luka dekat tangan dengan kaki. Seminggu juga aku duduk dekat hospital.

Hari terakhir sebelum balik, datang tetamu yang aku tak jangka. Aida pun datang, aku sebenarnya lama tak chat dengan Aida. Lebih kurang 5-6 tahun, Aida ambik course perundangan dan dia memang busy.

Aida pun tegur aku “tak kenal lah tu” aku laju jawab kenal, takkan tak kenal. Tanya Aida macam mana dia tahu, rupanya dia ternampak post akak aku ni dia tag dekat aku jadi naik dekat timeline.

Akak aku post gambar aku dekat hospital sambil tulis “teman adik baru lepas accident” Aida pun pm akak aku tanya pasal aku jadi dia pun datang melawat.

Aku dengan Aida pun catch up, tanya kerja mana, okay ke tidak. Sihat ke tak, aku pun mula balik episode dengan Aida. Cerita macam panjang sangat pula. Aku pun singkatkan.

Hujung tahun 2020, Aida hantar aku screenshot 7 tahun lepas. Jadi aku pun baca apa yang aku tulis, Aida pun sambil bergurau dia tanya aku ingat lagi ke tak ni. Aku pun jawab ingat dan ajak dia kahwin tahun depan. Tldr, January 2021 kami berkahwin.

Kalau yang ada twitter tu mesti tahu pasal trend “from this to this” aku pun ada post juga gambar kami dari sekolah dan gambar waktu berkahwin. Aida pernah tanya aku, tak kisah ke dapat isteri Capik. Aku jawab tak ada masalah, tapi dia risau.

Dia cakap kalau kami berdua ada anak, nanti kesian mesti kawan sekolah dia cakap “mak kau capik” aku pun pernah fikir benda sama, tapi aku yakinkan Aida yang anak kita tak ada masalah dan boleh terima kekurangan ibu mereka sendiri.

Sebenarnya banyak aku tak cerita, kisah Aida kena buli. Itu tak termasuk dekat sekolah kalau Aida lalu nanti ramai jerit “capik capik capik” laju laju. Dekat sekolah pun dapat gelaran Aida capik. Tapi Aida kuat, dia biarkan.

Aku kalau dalam situasi Aida tak tahu macam mana reaksi. Sedangkan ada budak ketawakan pasal kaki Aida pun aku rasa macam nak marah.

Aku harap ramai yang dekat luar sana, ada pasangan, mak ayah atau adik beradik yang kurang sempurna fizikal mereka. Tolong bagi mereka dorongan semaksimal mungkin. Kalau bukan kita yang boleh terima kekurangan mereka ni siapa lagi?

Aku pun harap anak aku terima keadaan mak mereka dan tak tertanya tanya “kenapa aku dapat mak capik” semoga sama-sama kita membantu orang sekeliling kita.

– Zaim (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *