Hari ini masuk 8 tahun aku berkahwin dengan isteri aku, kami ada seorang anak yang berumur 3 tahun. Kami berkenalan melalui kawan dan aku mula sukakan dia kerana dia sangat baik hati.
Aku masih ingat lagi sewaktu kami tengah makan beramai-ramai di KFC, dia beli dua set. Satu set dia makan bersama kami dan satu set dia bungkus.
Mulanya aku ingatkan dia beli untuk orang di rumah dia, tapi lepas je dia dapat order bungkus tu, dia terus keluar dan bagi pada sorang gelandangan yang tengah minta sedekah. Waktu tu aku mula jatuh hati pada dia. Baiknya perempuan ni.
Selepas kejadian tu, aku mula rapat dengan dia. Pada mulanya dia macam acuh tak acuh. Balas whatsapp lambat, kadang tak balas terus. Bila ada peluang keluar bersama dia dan rakan yang lain, aku pastikan aku datang dan makin lama, kami makin rapat.
Bila rapat dengan dia, rupanya dia banyak join aktiviti kemasyaratan dan bagi bantuan. Aku mengikut segala aktiviti dia. Niat aku salah waktu ni, aku join ikut aktiviti tu sebab nak rapat dengan dia.
Makin aku kenal dia, makin aku jatuh cinta. Aku masih tak boleh lupa yang dia suap makan guna tangan sendiri pada orang tua di rumah kebajikan dengan penuh teliti dan hati-hati.
Mulanya aku ikut aktiviti kebajikan sebab dia, tetapi lama tu aku pergi sebab aku nak pergi sendiri. Menyukainya membuatkan aku lebih baik.
Lepas dah biasa, aku banyak kali pergi tanpa dia. Cumanya aku tak sekerap dia. Aku pergi bila aku free sahaja. Dia pun bukanlah selalu, tetapi keraplah juga berbanding dengan aku.
Setelah dalam setahun kami berkenalan, aku beranikan diri untuk menyunting dia. Pada mulanya dia diam dan tak bagi jawapan. Tapi aku insist untuk dia fikirkan dulu, seminggu, sebulan, setahun, aku tak kisah.
Lega apabila dia masih bagi layanan yang sama walaupun masih tak bagi kata putus untuk terima aku atau tidak. Mungkin sebab aku cakap yang dia tolak aku, kita masih boleh berkawan seperti biasa.
Dalam menunggu jawapan, dia masih setuju keluar bersama dengan aku. Aku minta no telefon ayah dia, dia kata nak buat apa? Aku katalah nak berkenalan dengan bakal ayah mentua. Dia tergelak kecil dan tersengih. Malam tu aku dapat whatsapp no ayah dia. Aku faham yang dia dah bersetuju terima aku.
Aku telefon ayah dia dan menyatakan hajat aku untuk menyunting anak dia. Ayah dia jemput aku ke rumah dengan parent aku sekali. Setelah beberapa kali datang ke rumah dia, aku mula datang membawa rombongan.
Di pendekkan cerita, kami berkahwin dan dia tinggal bersama dengan aku. Setelah setahun berkahwin dengan dia, aku perasan yang dia selalu tak ada duit walau bergaji besar.
Ikutkan gaji dia lebih besar dari aku dalam setengah ribu, tetapi simpanan dia tiada. Belanja rumah aku banyak keluarkan dan aku tak pernah miss bayar nafkah. Kadang kala aku bagi duit belanja bila dia cakap duit dah habis.
Aku jadi hairan dengan management duit dia. Dia bukanlah seorang yang berbelanja besar atau suka shopping. Sepatutnya apabila belanja hampir 100% aku keluarkan, dia patut ada banyak duit.
Waktu tu aku mula masuk campur urusan kewangan dia. Aku mula minta dia senaraikan apa yang dia bayar tiap-tiap bulan.
Waktu tu aku terkejut kerana banyak bayaran bulanan yang tak sepatutnya ada. Rupanya dia pernah ambil personal loan dua kali kemudian refinance. Lepas tu dia ada banyak langanan yang pelik-pelik.
Separuh gaji dia, untuk bayar personal loan sahaja. Lepas tu 35% lagi bayar bulanan yang mengarut-ngarut.
Rupanya apabila ada telemarketer call dia, dia terpaksa cakap ya kerana tak tahu sanggup nak cakap tidak. Walaupun cuma 30-70, tapi kalau dah sampai 4-6, dah jadi berapa ratus satu bulan? Dia macam ada banyak insurans yang bertindih dan banyak lagi ansuran bulanan yang mengarut.
Aku sendiri pun tak faham. Ada yang dia bayar untuk cd bahasa inggerislah, ada bayar untuk MLM, ada yang untuk scam seperti bayar saham, dalam masa 5 tahun akan dapat 100 kali ganda pualngan.
Ada yang dia beli produk kesihatan scamlah, corset lah, dan berbagai lagi yang sebelum kami kahwin yang dia masih kena bayar bulanannya. Aku pun tak faham. Pendek kata, banyak bayaran scam dan telemarketer dia bayar tiap-tiap bulan.
Ada yang dia kata ni bayaran yuran koperasi entah apa entah, bila aku cek dokumen rupanya dia bayar insurans kemalangan.
Aku telefon ejen insurans tu dan marahkan dia kerana menipu. Aku ugut nak laporkan ke bank negara. Aku banyak unsubscribe bayaran bulanan yang mengarut dan tak perlu. Cukup dia ada satu insurans kesihatan dan satu hibah sahaja.
Yang scam apa semua tu, aku suruh dia stop bayar dan aku fight sehabis mungkin untuk dia dapatkan balik duit dia tu. Turun naik persatuan penggunan, tapi tak jadi. Kena ugut balik untuk senarai hitamlah apa lah. Rupanya aku silap, nak cepat setel kena report ke tribunal pengguna.
Tetapi hanya beberapa sahaja yang dapat. Aku tak kisah, asalkan banyak bayaran bulanan dia dah stop. Tapi ada banyak lagi yang tak dapat nak lawan sebab dah sign perjanjian. Bila rujuk rakan peguam pun memang dia kalah.
Licik betul, ada yang kes dia kena daftar syarikat dan urusan tu antara syarikat dan syarikat, bukan pengguna atau pelanggan. Jadi tribunal pengguna tak boleh masuk campur. Keji betul scammer tu. Tu waktu dia belum kerja kerajaan, tapi sampai sekarang kesan dia tanggung hutang.
Dia ada dalam tiga kad kredit dan semuanya dia bayar minimum tiap-tiap bulan. Aku terkejut bila tengok jumlah hutang kad kredit dia tu. Kad kredit dia ada pun, sebab kena push-push dengan consultant untuk apply.
Bukan tu sahaja, rupanya bila kawan dia datang jual barang ke apa, terus dia beli sebab nak jaga hati kawan. Bila kawan tu jual barang scam pun, dia beli jugak. Bayangkan pad yang kononnya boleh ubat cancer dan jimat minyak pun isteri aku beli sebab nak jaga hati kawan.
Banyak benda produk mengarut yang aku tengok dia ada. Tu belum lagi dengan supplement yang tak masuk akal harganya.
Aku tanya dia, personal loan tu untuk apa? Dia kata yang pertama kali tu waktu mula-mula dapat kerja kerajaan. Adik beradik dia insist untuk dia buat loan peribadi untuk renovate rumah.
Aku tanya la, adik beradik lain ada sumbang apa-apa tak? Dia kata dia tanggung seorang. Waktu tu aku macam tak apalah, bila lagi nak berbakti pada keluarga.
Yang kedua tu, dia pinjam untuk abang dia yang nak berniaga dan selebihnya dia buat pelaburan yang rupanya scam. Aku terus geleng kepala. Abang dia berniaga tak sampai 6 bulan dah lingkup. Scam yang dia labur tu, semua dah bungkus.
Bukan itu sahaja. Rupanya dia ada beli kereta honda dan kakak dia guna. Tetapi dia cuma pakai kancil. Pada mulanya kakak dia kata cuma guna nama, tetapi setelah beberapa bulan, dia yang kena bayar. Dia takut nak mintak kakak dia bayaran bulanan tu dan dia diamkan sahaja.
Aku juga dapat tahu yang dia juga bayarkan yuran anak-anak abang dia. Padahal kakak dia tiap-tiap bulan upload story IG makan restoran besar, dua tiga bulan sekali pergi bercuti. Kadang-kadang bercuti di grand lexis port Dickson tu.
Jadi, mampu je lah nak bayar yuran bulanan anak dia tu. Tak cukup dengan tu, dia juga bagi belanja bulanan pada kakak dan abang dia. Kakak dan abang dia masih duduk bersama rumah mentua kami yang isteri belanja untuk renovate sehingga dua tingkat.
Aku jadi serba salah bila libatkan keluarga dia. Tetapi aku tak sanggup bila biarkan dia dibuli sebegitu rupa sekali. Isteri aku tak berani nak buat keputusan untuk minta bayaran kereta honda tu, stop bagi duit poket kat kakak dan abang dia sebab dia pun hutang banyak. Yuran sekolah tu aku kata tak apa bayarkan.
Dia juga akhirnya buka cerita yang bekas dia dulu banyak pinjam duit dia. Tapi satu sen pun tak dibayar balik. Bekas dia abusive dan selalu kikis duit dia. Patutlah dia macam takut nak mulakan semua apabila aku serius dengan dia. Aku cuba confront dengan ex dia dan akhirnya cuma dapat dalam lima ribu sahaja hutang tu.
Isteri aku cakap sebenarnya lebih, tetapi dia tak nak panjangkan lagi dan aku pun, dapat 5k tu cukuplah nak bayarkan hutang-hutang dia yang ada. Dia pun ada pinjam dengan kawan-kawan. Pinjam dengan kawan tu, bukan dia guna sangat pun, banyak untuk bayar itu ini bula orang insist.
Senang cerita, isteri aku ni, bila kena paksa sikit, dia akan kalah. Tu pasallah dia ada beli lesen MLM yang harga puluhan ribu. Konon kena daftarkan *** orang, lepas tu bila orang belanja dapat komisen. Tapi sah benda tu MLM. Lebih kepada penjualan lesen b*d*h tu. Bukannya pada komisen orang belanja.
Aku mula bayarkan hutang isteri aku tiap-tiap bulan. Duit simpanan yang sepatutnya jadi duit muka bayar rumah aku korbankan ke hutang dia dan untuk legal fee suapaya boleh selesaikan hutang-hutang dan bayaran bulanan yang pelik-pelik (aku rasa sah scam). Selain tu, aku habiskan duit tu untuk bayar lump sum hutang tertentu.
Dia rasa serba salah dengan aku sebab banyak habiskan duit untuk dia. Aku cakap yang bila kita berkahwin, aku tak sahaja berkahwin dengan keluarga dia, tetapi dengan hutang-hutang dia juga.
Waktu tu, aku mula rasakan yang isteri aku ni bukan sahaja terlalu baik, tetapi terlalu naif. Bayangkan kalau aku tak kahwin dengan dia, aku rasa mungkin dia dah bangkrap.
Dalam beberapa tahun lepas, aku meletup bila kakak dia minta dia belikan emas untuk dia. Kononnya isteri aku dan aku bergaji besar, apa salahnya belikan sikit untuk adik beradik. Kalau main-main tak apa juga, ni insist ajak keluar ke kedai emas. Lagi menyirap bila kakak dia dan isteri aku pergi naik honda yang isteri aku bayar tiap-tiap bulan.
Aku mengamuk dengan group whatsapp family mentua. Semua adik beradik terkejut bila aku marah macam tu. Terus beberapa adik beradik mentua aku leave group kerana aku. Rupanya mereka dah beli seutas rantai dan beli isteri aku beli dengan kad kredit.
Tapi rantai tu tak jadi ke kakak aku. Aku dapat tahu yang dia baling rantai tu ke isteri aku. Abang dia mula masuk campur dan marahkan aku. Bila dia start memaki, aku backfire balik dengan hutang ratusan ribu yang dia tak pernah bayar satu sen pun.
Aku cakap balik depan semua orang dalam group tu, yang hutang-hutang isteri aku tu, aku yang bayarkan juga. Isteri aku tu dah banyak hutang. Duit gaji aku tiap-tiap bulan salurkan ke hutang isteri aku. Rupanya isteri aku tak pernah cerita masalah kewangan yang dia hadapi dekat sesiapa pun.
Tahun tu raya yang paling malang dan suram bagi kami. Aku terus nak balik, tetapi ayah mentua aku halang aku dan sebenarnya dia sokong apa yang aku lakukan.
Kakak dan abang dia banyak minta isteri aku belikan itu belikan ini dan minta duit tambahan pada mereka lagi. Aku dapat tahu dari adik dia yang sokong aku, duit KWSP mentua aku pun dah habiskan pada mereka.
Tetapi aku tetap balik jugak kesokan harinya sebab kakak dan abang dia memang tinggal kat situ dan kami bermasam muka. Balik tu, aku whatsapp kakak dia untuk sama ada bayar sendiri honda tu atau aku ambil balik kereta tu. Sebab kereta tu bukan isteri aku yang bayar, kini aku yang bayar. Sebab dia ada banyak hutang lain.
Terus kakak dia block aku. Isteri aku diamkan sahaja. Tapi mereka tetap tak bayar duit bulanan kereta tu. Dua bulan lepas tu, aku pergi ke rumah mentua dan berdepan dengan mereka. Aku cakap, kalau tak bayar atau pulang, aku buat report polis kereta tu kena curi. Mereka tinggalkan kunci kereta tu dekat atas meja. Langsung tak nak jumpa aku.
Dalam group whatsapp, aku dituduh perosak keluarga. Dulu tanpa aku, semua orang baik-baik sahaja. Bila aku kahwin dengan isteri aku, semua jadi porak poranda.
Tapi aku aku rasa semua ahli keluarga tahu kisah sebenar. Jadi aku diamkan sahaja. Padahal duit poket ke kakak dan abang aku tu dan yuran anak mereka tu, aku tak pernah stop dan ada sebenarnya datang dari duit aku juga.
Kakak ipar aku tu pernah suruh adik aku tu minta cerai dengan aku. Bila aku dapat tahu, aku jadi menyirap.
Tapi kakak ipar aku tu minta maaf. Mungkin sebab aku suruh dia reflek balik diri sendiri, macam mana rasanya bila ada ahli keluarga suami dia minta suruh ceraikan dia. Jadi hal tu aku anggap dah selesai. Dan dia pun tak pernah cakap dah pasal halt u lagi.
Aku dan isteri aku buka akaun bersama dan kami banyak bayar komitmen kami bersama-sama dengan akaun tu. Aku mula susun kewangan dia dan buat belanjawan tiap-tiap bulan.
Bayangkan kami kena berjimat cermat, tetapi kakak aku tu rilek je pergi bercuti ke Langkawi, pangkor, perhentian, Thailand, join TT sana sini, tukar rim baru, modified kereta honda tu dan macam-macam lagi yang membazir.
Bayangkan aku pula korbankan duit simpanan aku untuk langsaikan hutang isteri aku, mereka pula upload IG tengah bercuti. Siapa tak merah dan panas.
Abang ipar pula asyik upload gambar jumpa orang ni jumpa orang tu, jumpa sifu ni, jumpa sifu tu. Tapi satu apa pun tak jadi. Balik-balik telefon mintak pinjam duit dekat isteri aku.
Lepas dapat je kunci kereta honda tu, terus aku ke bengkel dan trade in barang-barang dia modified kereta tu dan jadi standard balik. Dapatlah duit sikit, kepas tu aku jual kereta tu dengan baki barang-barang modified kereta tu.
Lega satu komitmen kereta dan insurans tahunan. Jual kereta tu pun, tak balik modal sangat pun, cuma cukuplah dapat bayar balik baki pinjaman dengan campurkan sikit duit kami.
Waktu PKP tempoh hari, gaji aku terpaksa berkurang sampai separuh sebab elaun-elaun dan berbagai bayaran lain aku tak dapat. Kerja aku kerja site, jadi tak dapat work from home sangat. Tapi aku tetap buat part time dengan kerja sebagai penghantar makanan dengan motor aku.
Punya kami berjimat, aku dah hampir 5 tahun tak pakai kereta. Isteri aku pakai kereta aku dan kereta isteri aku tu aku suruh dia jual sebab nak kurangkan komitmen.
Bayangkan, sehingga hari ini, aku tak dapat kumpul duit beli rumah walaupun gaji kami berdua sebenarnya besar.
Dalam tempoh 5 tahun, barulah dapat langsaikan separuh komitmen bulanan dia dan waktu tu barulah kami mula berani untuk menimang cahaya mata. Bimbang kami tak ada duit untuk pastikan segala makan dan bayaran lain-lain seperti insurans, sekolah, dan lain-lain.
Jadi, aku mula cakap pada kakak dan abang ipar aku, yang kami terpaksa stop bayar duit poket pada mereka kerana kami pun tak ada duit.
Kakak ipar aku mengamuk, aku buat tak peduli. Abang ipar dia diam tak balas. Walaupun darah daging, tetapi mereka patutnya berdikari sendiri. Jika tak mampu, buat cara tak mampu.
Stop bercuti dan pakai benda yang tak mampu. Ni telefon iphone latest. Aku pun dah masuk 4 tahun tak tukar telefon bimbit. Abang dia tu, aku doakan supaya berjaya dalam perniagaan dia tu.
Untuk pengetahuan semua, kakak ipar aku tak kerja, Dialah yang banyak masak dan uruskan rumah mentua aku.
Suami kakak ipar aku tu kerap tukar kerja. Kejap kerja tesco, kejap kerja econsave, kejap kerja hantar barang, kejap buka kedai burger, kejap kerja dengan kawan, kadang buat bisnes, kadang kerja freelance, dan susah betul nak kekal satu kerja.
Abang ipar aku pula, berniaga sana sini, tetapi asyik rugi sahaja. Kejap bela ikan, pastu terbengkalai, kejap projek dengan ahli politik, tapi apa pun tak jadi.
Ada sekali dah labur macam-macam, tetapi business partner lari dengan duit. Lepas tu berniaga air kangen yang kononnya boleh ubat seribu satu penyakit.
Habis isteri aku kena paksa beli berbotol-botol. Lepas tu berniaga ceragem. Lepas tu berniaga jual ubat kesihatan. Tup-tup dapat gelaran Dr, siap ada sijil. Kemudian terbongkar rupanya sijil Dr tu sijil palsu. Tak guna gelaran Dr dah, tapi still nak ubatkan orang guna produk pelik yang lain.
Nak jadikan cerita, bila PKP mula longgar dah boleh rentas negeri, aku balik rumah mentua. Abang dan kakak dia langsung tak keluar bilik bila kami pulang. Isteri abang ipar aku tu pun muka macam bermasam dengan kami. Cuma anak-anak mereka keluar bermain dengan anak kami.
Adik beradik yang lain, mereka pernah cakap yang dah lama isteri aku patut buat macam tu. Sebab seolah adik aku tu tanggung dua keluarga besar. Siap bayarkan kereta honda tu dan buat personal loan beratus ribu untuk mereka.
Aku pernah minta maaf secara personal pada mereka, tetapi mereka tetap tak layankan aku dan isteri aku. Isteri aku menangis bila abang dan kakak dia tak pedulikan dia.
Ayah mentua aku ni pula bagi aku tak tegas. Banyak keputusan keluarga, abang ipar aku yang decide. Sampai duit KWSP ayah mentua aku pun dia yang uruskan dan buat macam duit dia sendiri.
Sekarang ni, aku memang rasa aku perosak hubungan mereka adik beradik, tapi siapa yang tahan bila kami bertahun berjimat cermat untuk bayar hutang yang mereka buat tapi kami kena tanggung. Aku habiskan simpanan aku, tapi mereka pula seronok sakan berjalan dan berlagak macam orang kaya.
Yang abang ipar pula, walaupun dah bank in tiap bulan, tapi masih lagi whatsapp senyap2 ke isteri aku minta duit lagi. Isteri aku korbankan duit makan dia untuk bagi ke abang dia. Aku dapat tahu, aku cuma senyap dan protes dalam diam. Sekali sekala tak apa, tapi hampir tiap-tiap bulan benda yang sama.
Sekarang ni, kami masih tak henti bayar yuran untuk anak-anak mereka. Sebab aku anggap mereka macam anak sendiri juga. Yang lain aku mula stop. Gaji aku berkurang sebab company aku terkesan teruk sebab pandemic ni. Walau gaji isteri aku tak terkesan langsung, tapi komitmen bulanan dia masih tinggi.
Aku kira-kira, lagi dua tahun baru kami boleh bernafas dan mula mengumpul duit untuk beli rumah. Waktu tu barulah boleh nak beli kereta baru ke apa.
Aku tulis di sini sebab nak jadikan pengjaran pada semua. Memanglah adik beradik kadang gaji besar dan patut bantu adik beradik.
Tapi bukanlah dengan cara yang membuatkan adik beradik yang lain tanggung sehinga berpuluh tahun lamanya, tetapi kau lepas tangan. Kalau sama-sama tanggung tak apa, tapi biarkan adik beradik tu terkontang kanting tanggung berseorangan. Also, please lah stop terlalu naif.
Beranikan diri cakap “Tidak” atau “No”. Benda yang kadang-kadang keputusan cuma beberapa minit dan sign itu ini, tetapi kesannya bertahun-tahun. Tiap-tiap bulan kena bayar sehingga berpuluh tahun lamanya. Dapat yang kena bayar sampai 35 tahun, tak ke naya dengan keputusan pendek beberapa minit ata jam tu?
Aku sekarang ni insyaAllah. Lagi dua tahun, barulah kami boleh lega sikit bila separuh jumlah nilai hutang dia akan langsai. Banyak nasihat kawan-kawan yang pakar kewangan aku rujuk untuk selesaikan masalah isteri aku ni.
Jadi, mohon fikir banyak2 sebelum sign dan mohon beranikan diri untuk cakap tidak atau no kepada penjual-penjual yang selalu push-push ni.
– Entah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit