Isteri Bekerja

Kebelakangan ini, terlalu banyak artikel di media sosial yang memaparkan kepenatan seorang suri rumah tangga. Suri rumah tangga digambarkan tidak punya kehidupan sendiri, bekerja dari siang sampai malam, langsung tidak punya masa untuk diri sendiri. Aku jadi keliru, adakah aku isteri yang bekerja tidak penat, adakah kami isteri yang bekerjaya ini punya masa untuk diri sendiri? Mungkin, wanita-wanita berkerjaya yang dipaparkan di drama-drama Melayu tampak indah, tapi untuk aku sendiri semua itu jauh panggang dari api.

Sebelum memulakan cerita, aku perkenalkan diri. Nama aku Liya bukan nama sebenar. Sudah berkahwin, mempunyai 2 orang anak selepas hampir 10 tahun mendirikan rumah tangga bersama suami yang aku kenal hampir 15 tahun. Seperti tajuk di atas, ya aku mempunyai kerjaya sendiri, walau tidak bergaji besar namun aku punya duit hasil penat lelah sendiri. Rata-rata yang melihat aku mungkin akan cemburu, aku punya kereta sendiri, bekerja di bandar besar, hari-hari pergi kerja tidak menggunakan baju yang sama dan apa lagi yang bermain di benak fikiran orang aku tidak pasti. Namun, realiti yang aku dan wanita yang senasib dengan aku hadapi tidak seindah seperti yang digambarkan.

Aku dan suami bukanlah suami isteri seperti yang digambarkan melalui drama pukul 7, walau kedua-dua kami berkerjaya kami masih dikategorikan sebagai miskin bandar. Untuk mendapatkan kehidupan yang selesa, kami perlu berkorban. terlalu banyak pengorbanan yang aku dan suami lakukan, tak terkira. Pertama gaji, gaji aku dan suami digabungkan untuk membiayai perbelanjaan bulanan kami, Gaji suami telah ditetapkan untuk membayar perbelanjaan tetap bulanan seperti bil dan bayaran 2 biji kereta serta bayaran rumah. Gaji aku pula dikhaskan untuk bayaran pengasuh anak, perbelanjaan sekolah anak, perbelanjaan dapur dan juga perbelanjaan yang tidak termasuk dalam perancangan.

Sejujurnya gaji kami tiada baki, tiada langsung untuk simpanan. Mungkin ada yang akan mempersoalkan kenapa kami tidak asingkan dahulu untuk simpanan, kami sudah cuba namun simpanan yang pada awal bulan disimpan terpaksa dikeluarkan untuk menampung perbelanjaan bulanan. Suami ada memberikan aku nafkah, namun duit nafkah ini aku pusingkan semula menjadi wang perbelanjaan kami. Jadi dalam kamus hidup aku sendiri tiada langsung istilah shopping.

Aku tampak seperti memakai baju yang berlainan setiap hari, tapi tiada siapa yang tahu baju-baju itu aku rotate pemakaiannya supaya tiada siapa yang perasan. Tiada siapa yang tahu baju-baju itu aku pakai dari zaman anak dara lagi. Baju-baju baru yang nampak aku pakai adalah baju preloved hasil belian online. Suami aku juga begitu, baju-baju beliau tahun ke tahun tidak berganti. Kepentingan kami adalah anak-anak, biarlah kami tidak bergaya asalkan perbelanjaan anak-anak mencukupi.

Walaupun punya gaji sendiri, boleh dikira dengan lima jari berapa kali aku dan suami makan di luar. Rutin aku sebagai isteri bekerjaya begitu ketat, tiada istilah me time untuk aku. Seawal jam 5 pagi aku akan bangun dari tidur untuk menyiapkan bekalan anak-anak dan juga bekalan aku suami isteri. Bekalan yang aku sediakan meliputi sarapan kami semua, snack untuk anak-anak dan juga makan tengahari. Usai di dapur aku akan bersiap untuk ke pejabat seterusnya menyiapkan anak-anak. Selepas anak-anak dihantar ke sekolah dan pengasuh, aku dan suami pergi bekerja yang mana jarak tempat kerja kami hanya berjarak beberapa buah bangunan.

Aku boleh menarik nafas lega sekiranya hari-hari aku di pejabat tenang dan tidak sibuk, tapi adanya hari-hari di mana kesibukan di pejabat membuatkan aku lupa untuk minum, makan apatah lagi berehat sebentar. Waktu rehat tengahari, kami akan ke sekolah anak untuk makan bekalan makanan yang aku sediakan pada waktu subuh tadi selain menghantar beg sekolah petang untuk anak. Hidup aku di pejabat bersambung selepas itu sehingga tepat jam 5 petang.

Ada ketikanya aku dan suami terpaksa balik lewat kerana tuntutan kerja, kami harus bersedia untuk bayaran overtime kepada pengasuh yang mana casnya lewat satu jam RM10. Balik dari pejabat, ambil anak-anak di sekolah dan rumah pengasuh, aku lagi sekali memulakan rutin yang sama setiap hari, mengemas, memasak, membasuh baju, melipat kain dan pelbagai perkara lagi seperti yang dilakukan oleh suri rumah tangga. Beza aku dan suri rumah tangga adalah aku punya hanya beberapa jam untuk menyiapkan semua kerja-kerja tersebut.

Dalam masa menyiapkan kerja-kerja itu juga aku perlu melayan anak-anak, bermain dengan mereka dan membantu anak menyiapkan kerja rumah. Alhamdulillah, suami aku banyak membantu dalam menguruskan rumah tangga, dia yang melayan anak-anak ketika aku sibuk membuat kerja rumah. Suami akan membantu menyiapkan kerja rumah sekiranya anak-anak dalam perhatian aku.

Untuk makluman semua juga, aku dan suami mempunyai kerja part time yang mana kerja ini kami lakukan selepas anak-anak tidur. Kerja dari rumah yang hanya memerlukan komputer. Hasil dari part time ini yang kami gunakan untuk anak-anak. Baju baru, mainan baru dan makan di luar mengikut permintaan mereka. Kami memperuntukkan 2 jam untuk kerja ini yang mana waktu kami betul-betul berehat adalah waktu tidur iaitu pada jam 12.00 tgh malam. Rutin yang sama untuk aku akan bermula setiap hari pada jam 5 pagi.

Adakah aku selesa dengan kehidupan isteri berkerjaya seperti ini? Adakah aku bahagia? Jawapannya ya, aku redha. Aku bahagia selagi anak-anak yang aku sayangi boleh tersenyum. Penat? Ya, kadang-kadang aku rasa terlalu penat. Cemburu dengan kehidupan wanita lain yang berkerjaya dan bergaji tinggi, urusan rumah tangga diberikan kepada pembantu rumah. Cemburu kepada suri rumah tangga yang walau tidak bergaji namun punya suami yang mampu memberikan apa saja mengikut permintaannya.

Aku pohon, tiada lagi yang membandingkan kepenatan suri rumah tangga dan wanita berkerjaya seperti aku. Bukan aku memperlekehkan kepenatan dan beban suri rumah tangga, tidak sama sekali. Aku hanya ingin mencurahkan rasa, beban yang selama ini aku pikul yang orang nampak indah tanpa cacat cela.

Sekian dari aku, isteri berkerjaya yang tidak punya apa-apa.

Assalamualaikum….

– SEORANG ISTERI

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *