Isteri Bergaji Besar Itu Isteri Tak Bersyukur Ke?

Assalamualaikum semua. Aku Lin. Berumur 30-an. Merupakan seorang isteri dan juga ibu kepada 4 orang anak. Seperti tajuk di atas, aku merupakan salah seorang isteri yang mana pendapatan bulanannya dua kali ganda pendapatan suami.

Semua orang tahu, hari ini rata-rata wanita adalah bekerjaya. Aku akui ramai wanita hari ini lebih kental dan sanggup untuk berusaha walau apa jua pancaroba.

Dan aku akui juga, usaha dan penat lelah itu ada sebabnya sendiri. Seperti aku, niat utama aku bekerja adalah untuk membantu suami.

Ye, ini niat aku. Dulu.. 10 tahun yang lalu semasa mula-mula berkahwin dan di izinkan bekerja. Bila ada anak, niat aku bertambah. Aku bekerja untuk membantu suami dan juga memberi keperluan terbaik buat anak-anak aku.

Apa silap aku? Niat aku. Berbekalkan niat itu, aku bekerja keras tanpa mengenal erti putus asa. Aku buat banyak perkara melebihi kemampuan aku kadang kala. Adakah aku kaya? Tidak. Tidak sama sekali. Pendapatan aku bertambah? Ye, bertambah dengan sangat banyak.

Ilmu dan skill aku bertambah. Kalau 5 tahun dulu, aku turun naik tangga pergi interview untuk gaji yang lebih baik walaupun dalam keadaan mengandung. Hari ini, kerja yang cari aku.

Kenalan aku ramai. Bekas-bekas bos yang aku pernah bekerja dulu kadangkala masih mencari aku untuk bekerja dengan mereka.

Mereka tawarkan gaji yang lebih tinggi, haruslah aku tidak teruskan. Adalah sebabnya aku tinggalkan kerja dahulu untuk kerja yang baru.

Portfolio aku ‘cantik’. Dan ianya public. Siapa-siapa pun boleh view hasil kerja aku sebab aku letak dalam website yang aku buat sendiri dan juga medium lain yang semua orang boleh tengok untuk buat rujukan.

Tak nak lah aku bagitau nanti semua orang tahu siapa aku. Pernah viral sampai oversea dan aku dapat panggilan untuk bekerja di luar negara. Tapi aku tolak dahulu, sebab aku ada tanggungjawab anak-anak dan aku tak nak suami aku jadi house husband uruskan anak disana.

Nanti aku cerita kenapa. Cita-cita aku tinggi. Impian aku besar. Apa yang aku niatkan, aku akan terus usaha, doa dan usaha sampai dapat.

Doa aku, doa yang sungguh-sungguh. Usaha aku, usaha yang betul-betul tahap bangun pukul 2 atau 3 pagi untuk belajar perkara baru. Dan aku selalu dapat apa yang aku usaha. Ada yang tak dapat, tapi gantinya lebih baik.

Apa jadi bila isteri seperti aku terlalu tinggi cita-citanya? Tak jadi apa-apa. Aku masih melakukan kerja rumah macam biasa. Masak sarapan. Masak dinner. Uruskan anak-anak. Suami aku banyak membantu. Sangat banyak. Kami toleransi dalam banyak perkara.

Cumanya… ok, mari aku mulakan cerita yang tak best. Bila mana aku dah gaji tinggi. Minta kerja mana-mana terus dapat. Senang cerita, rezeki aku mudah.

Suami aku start slow down. Dia tak nak bercita-cita tinggi dah. Sebab aku pun dah cukup. Dia rasa cukup dengan kehidupan sekarang.

Alhamdulillah cukup sebab aku banyak tolong cukupkan. Pendapatan rumah pun banyak aku tanggung asbab toleransi dan faham suami tak mampu nak sediakan semua. So, tak ada masalah.

Masalah aku bermula bila pkp. Aku mula bekerja dari rumah. Taska tutup. Jadi aku bekerja sambil jaga anak.

Suami aku tak dapat kerja dari rumah sebab industry dia memang perlu on site. Time ni la aku mula stress. Siang hari aku uruskan anak-anak. Malam bila semua tidur, aku siapkan kerja.

Purata aku tidur setiap hari 2 jam dari pukul 5-6 pagi sahaja. 6 pagi anak aku dah bangun dan aku kena siapkan semuanya.

Suami aku, dia pun sibuk nak gi kerja jadi akulah urus semua. Siang hari aku banyak join meeting je. Dua minggu pertama, aku okay. Pencapaian aku masih cemerlang. Aku masih ibu yang happy.

Dua minggu seterusnya, momentum aku mula merudum. Aku dah tak dapat focus kerja dah. Tapi aku masih berfungsi sebagai ibu yang baik, Cuma aku perasan aku terlalu cepat marah. Tidur aku kucar kacir.

Aku ada mengadu penat pada suamiku, tetapi dia nak tolong macamana? Dia pun perlu bekerja. Nak panggil part time babysitter, time tu covid mengganas. Nak keluar kedai pun takut. Aku tak sedar bila aku start jadi ‘gila’. Aku terlalu stress dan penat.

Aku mula terbayang nak bunuh diri. Dalam masa sama aku sayang anak-anak aku. So, aku terfikir nak terjun bangunan sama-sama dengan anak aku.

Aku sedar perkara tu, dan aku lawan semampunya. Tapi bila aku luar kawalan, semua terbayang sejelas-jelasnya depan mata.

Tunggu aku atur langkah je.

Tak cukup dengan tu, aku mula mimpi pelik-pelik. Dan aku mula nampak kelibat. Entah, aku rasa itu perasaan aku je. Suami aku mula nampak aku berubah. Berubah dari sudut cepat marah dan melenting. Terlalu penat dan mudah menangis tiba-tiba.

Tapi itulah, dia tak tahu itu dah masuk tanda depresi. Aku ada minta nak pergi jumpa pakar sebab aku cakap aku dah nak gila, tapi suami cakap aku tak gila. Dan aku tahu dia malu kalau betul aku gila.

Rentetan semua itu, aku bukan lagi aku yang dulu. Aku masih bercita-cita tinggi, tapi aku takut nak mengorak langkah. Aku takut nak cuba perkara baru. Aku jadi terlalu cepat stress.

Aku dah tak setahan dan lasak dulu. Aku dah ada anxiety. Terlalu banyak overthinking. Sekarang walaupun kerja kat rumah, aku tetap hantar anak aku ke sekolah dan taska.

Tapi kalau anak aku tak sihat, aku mula takut. Aku terbayang kisah pkp yang lalu. Aku tak kan bekerja sambil jaga anak di rumah lagi. Kalau tak sihat, aku ambil cuti. Atau aku paksa suami aku ambil cuti.

Hari ni, aku pulak rasa aku nak kerja seadanya. Banyak tawaran aku dapat, dan banyak aku tolak sebab aku rasa aku tak mampu, dari sudut mental terutamanya. Baru-baru ni, satu company MNC tawarkan aku kerja. Gaji lebih 15k ++. Tapi naluri aku tak sedap. Aku takut nak terima.

Aku takut kisah dulu datang lagi. Aku dah tak tahan stress macam dulu. Sekali aku down, aku betul-betul down tak function sampai berminggu-minggu. Aku sedaya upaya cuba elak stress dan rasa down sebab aku ada anak-anak yang masih perlukan ibu.

Suami aku pujuk juga aku terima kerja tu. Aku cakap aku dah tak sekuat dulu. Aku terlalu fragile sekarang. Aku rasa kerja sekarang dah cukup untuk aku elak dari stress. Kalau stress memang aku ambil cuti. Itu je solusi aku. Aku minta suami aku pula usaha. Bagi la aku pula kerja seadanya.

Sebelum ni, aku kerja kerja kuat, suami aku banyak urus hal anak-anak. Kali ni, biarlah aku pula uruskan urusan anak-anak macam yang dia buat dulu.

Tapi tu lah, suami aku cakap bidang dia bukan macam bidang aku. Aku budak IT. Skill aku banyak. Kalau dia nak jadi macam aku, dia kena mula dari bawah semula.

Aku cakap tak perlu pun masuk bidang aku. Bidang dia pun boleh improve. Sambung belajar, ambil sijil, update knowledge dan skill.

Dapatlah jawatan yang best sikit. Tak perlu la lari bidang. Tapi tu lah, sekadar cakap jela. Semua tu perlu usaha dan pengorbanan. Terlalu banyak alasan dan aku rasa aku dah give up nak berharap.

Suami aku nak hidup seadanya. Tapi mula stress bila semua perkara dah naik harga dan kena tanggung banyak perkara.

Oh, btw, aku slowly tolak komitmen aku pada rumah dan keluarga sebab aku banyak spend pada mental health aku. Tapi tulah, perkara tu pun di persoal.

Aku spend semua tu sebab aku nak kembali macam dulu. Walaupun aku rasa macam mustahil. Aku cuma harap suami aku kerja lebih sikit.

Usaha lebih sikit. Itu sahaja. Sampai bila nak duduk di tempat yang sama. Posisi yang sama, gaji yang sama. Sampai bila? Asyik aku je nak kena cukupkan dam make improvement.

Dah bila aku cakap macam tu, mula lah kena cop isteri tak bersyukur. Tak bertolak ansur. Aku dah bergolak gadai sampai jadi gila.

Mental dah terlalu rapuh dah sekarang. Rapuh tahap kena marah sekali dengan bos terus down rasa tak guna berbulan-bulan. Nak dapat semangat baru sangat susah.

Aku tak tahulah, yang faham je kot faham. So aku elak semua tu. Sebab harap usaha dia je sekarang. Nak gaji lebih, kerja lebih. Itu je. Aku dah tak minta apa-apa dah.

Tapi tulah, at the end, ayatnya, apakata kita jadi orang bersyukur. Bersyukur dengan kehidupan sekarang. Dah tu kalau asyik syukur je tak ada usaha untuk lebih baik, tak ada perancangan masa depan, tak jadi jugak.

Entahlah. Agaknya betul lah aku isteri tak bersyukur. Dapat offer gaji mahal pun tak nak terima. Mengharap suami yang usaha. Dasar isteri tak bersyukur.

Kadang-kadang aku jealous tengok lelaki-lelaki yang kerja sekali dengan aku. Kerja keras. Selesaikan masalah sampai pukul 2, 3 pagi.

Sanggup belajar perkara baru nak improve diri. Nak isteri dan anak-anak happy. Tapi itulah. Itu lelaki dunia lain. Dunia aku, perempuan yang perlu buat semua tu. Humm. Penatlah.

Last, kenapa aku tak nak lelaki aku jadi house husband kalau aku pergi kerja luar negara? Sebab aku tahu aku lemah. Emosi aku tak terjangka.

Boleh jadi aku akan persoal kenapa aku perlu bekerja untuk keluarga dalam keadaan kesihatan mental yang tidak stabil. Aku tak kan buat semua tu atau aku mungkin tak se ’open minded’ orang lain yang okay dengan perkara itu.

Silapkah aku jika aku bercita-cita tinggi dan punya impian yang tinggi, tetapi mengharap suami juga punya rasa yang sama? Tolong jawabkan untuk aku.

Aku tak boleh duduk diam. Ada je rasa nak set goal apa-apa. Dah set goal, jadi kena usaha. Ada juga aku tolong set kan goal untuk kami sama-sama capai.

Rumah impian by 2025. Settle hutang tahun depan. Contoh. Tapi tulah, impian sama-sama, usahanya seorang. Last-last jadi isteri tak bersyukur. Duduk jela rumah sekarang. Pakai je la apa adanya.

Entahlah. Taraf hidup makin naik, tapi kena bersyukur. Ada ke bersyukur tanpa perlu usaha dan hidup seadanya. Nak berjimat cermat pun kena usaha. Apa lagi perkara lagi. Entah.

Sekian, terima kasih.

– Lin, isteri yang tidak bersyukur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *